INILAH YANG SAYA KATAKAN SEPERTI SAORANG LIPAS
MARI KITA BERLAKU ADILnota:dibawah ini saya masukan tulisan saudara A.Jalak Hussein.
tulisan ini telah lama tersebar. kalau saya tidak silap hampir
lebih dari lima tahun. awal-awal dulu ketika saya baru pulang
dari kamunting ada kawan telah memberi saya satu cetakan
salinan tulisan ini.
wajib saya berkata jujur disini – sebenarnya saya amat bangga
apabila saya di serang.
ada satu pekara yang amat amat saya takuti. seperti pak pandir
mendengar suara mak andeh melagukan:
tok tok kai
serondong batang
mana hinggap
di tengah belakang
bagitulah takutnya saya.
saya takut akan sampai satu ketika nanti saya tidak lagi
diserang. jika ini berlaku maka saheh saya telah merosot.
jika musuh tidak menyerang ertinya: kamu dan musuh memiliki
pandangan yang sama. atau kamu telah bersama musuh.
atau kamu tidak lagi memiliki kekuatan fikrah untuk berhujah.
saya tidak kenal siapa a. jalak hussein. saya rasakan saudara saya ini
penulis yang baik. aturan ayat. sususan ayat , tidak ada ejaan salah
seperti tulisan saya yang banyak menggunkan ejaan lama.
tulisan ini memiliki beberapa ingatan sejarah.
tentang kesahehan fakta sejarah – bersabar lah – nanti saya akan jelaskan.
kepada saudara saya A.Jalak Hussein - saya minta maaf
kerana menyiarakan tulisan ini tanpa meminta kebenaran.
saya harap saudara tidak akan menyaman.
kalau saya disaman kucing dan anjing saya akan mati kelaparan. (TT)
nota:saya cuba mencari kembali tulisan saya tentang putrajaya
yang melahirkan tulisan ini.saya gagal.
ini kerana saya tidak bagitu arif dalam ilmu komputer.
jika saya temui nanti - saya akan paparkan disini.
KAREKTOR SEBENAR HISHAMUDDIN RAISOleh: A. Jalak HusseinSebut saja nama Hishamuddin Rais, masih segar dalam ingatan mereka yang pernah terlibat dalam revolusi dan kebangkitan gerakan pelajar yang melanda Universiti Malaya sekitar tahun 1970-an.
Gerakan yang berbau sosialis itu telah berjaya dipadamkan oleh Kerajaan kerana jika dibiarkan ia boleh memudaratkan keselamatan negara. Ia memberi imej negatif terhadap mahasiswa yang menjadi aset dan harapan untuk nusa dan bangsa agar mereka sentiasa menumpukan perhatian terhadap dunia akademik semata-mata, bukannya terlibat dalam gerakan politik anti-Kerajaan yang boleh mengancam masa depan mereka sendiri dan juga negara. Hishamuddin Rais adalah salah seorang pemimpin politik pelajar di universiti tersebut bersama saudara (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, Ibrahim Ali dan beberapa individu lagi. Kebanyakan mereka ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Tetapi Hishamuddin dapat meloloskan diri lalu meninggalkan negara ini ke luar negeri menjadi pelarian politik. Dia hidup merempat di Moscow, Russia dan kemudian ke beberapa negara Eropah.
Di sana dia bekerja dalam pelbagai jenis pekerjaan untuk menyara hidup. Pernah juga dia bekerja sebagai tukang basuh di restoran. Sambil merantau, dia memperkayakan ideologi sosialisnya yang sentiasa membara. Sikap anti-Kerajaannya tidak pernah padam. Kerajaan Malaysia telah menyenaraikannya sebagai orang buruan dan diharamkan memasuki negara ini atas sebab perbuatannya yang dianggap mengkhianati negara. Sejak zaman Tun Razak hingga Tun Hussein Onn, Hishamuddin tidak pernah pulang. Tetapi, apabila YAB Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Hishamuddin diberikan pengampunan. Dia pulang ke tanahair dan diterima baik oleh Kerajaan.
Apabila krisis UMNO berlaku pada 1998 yang menyaksikan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat, Hishamuddin terlibat dalam gerakan reformasi untuk menumbangkan Kerajaan melalui demontrasi jalanan. Inilah karektor sebenar Hishamuddin Rais. Dia sememangnya tidak tahu mengenang budi.
Apabila Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) ditubuhkan, dia dilantik sebagai salah seorang pemimpin dan aktivis parti itu. Sikapnya sebagai seorang penentang Kerajaan makin bersemarak. Dia dengan lantang mengutuk dan mencerca Kerajaan dan Dr. Mahathir. Ibarat kacang lupakan kulit, dia sering muncul dalam demontrasi jalanan. Pilihanraya Umum 1999 menyaksikan KeAdilan hanya mampu mendapat empat kerusi parlimen sahaja.
PAS adalah pihak yang mendapat untung besar daripada krisis dalaman UMNO apabila meraih sejumlah 27 kerusi parlimen dan 98 kerusi Dewan Undangan Negeri. Parti itu bukan sahaja mengekalkan penguasaannya di Kelantan, malah menawan Terengganu serta berjaya melebarkan sayapnya ke Kedah, Perlis, Perak, Pahang dan Selangor.
Walaupun KeAdilan semakin lemah dan ramai pemimpin serta ahlinya kembali ke pangkuan UMNO, namun Hishamuddin terus-terusan melakukan perbuatan menghasut rakyat membenci Kerajaan. Sikap ini bukan pelik bagi Hishamuddin untuk terus-terusan menghasut rakyat. Pada tahun 2000, dia ditahan di bawah ISA dan dihantar ke Kamunting, Perak. Selepas dua tahun di sana, dia dibebaskan. Kini aksinya semakin lemah dan tidak secergas dulu.
Namun kegiatan penulisannya yang tajam mengkritik Kerajaan masih diteruskan. Yang terbaru, dia memperlekeh kehebatan projek futuristik kebanggan negara iaitu Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Pelbagai tohmahan karut yang disulami istilah bombastik diungkapkan untuk merendah-rendahkan usaha Dr. Mahathir membina Putrajaya.
Sudah menjadi adat dunia, orang yang tidak mendapat habuan dan peluang dalam mengikuti arus perdana akan membuat bising tidak tentu arah untuk menyatakan ketidakpuasan hatinya. Begitulah sikap Hishamuddin Rais.
Pusat Konvensyen Putrajaya (PCC) diibaratkannya sebagai seekor lipas. Delegasi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang bermesyuarat dan bersidang bagi membincangkan segala masalah Umat Islam sejagat dianggap sebagai lipas-lipas kecil yang memakan sisa-sisa makanan terbuang. Bangunan Perdana Putra yang menjadi nadi utama Jabatan Perdana Menteri dianggap sebagai binaan aneh penuh cacamarba yang tidak ada kaitan dengan citarasa tempatan. Seri Perdana pula disifatkannya sebagai mahligai yang memanifestasikan kemegahan seorang pemimpin yang lupa daratan. Bermacam-macam lagi anggapan pelik dan tuduhan liar direka oleh Hishamuddin. Baginya, apa yang direkayasa dan terserlah di Putrajaya itu hanyalah simbol keegoan seorang pemimpin.
Perbuatannya membandingkan Putrajaya dengan beberapa ibu kota pentadbiran negara-negara luar juga mendedahkan daya pemikirannya yang sudah cetek idea. Dia terlupa setiap bandar yang disebutkannya itu ada keunikan yang tersendiri yang tidak boleh dipertikaikan. Nampaknya pemikiran Hishamuddin semakin bercelaru. Begitulah padahnya jika menganut fahaman komunis sosialis yang bercanggah dengan ajaran Islam yang menyalahi fitrah kejadian manusia. Pendek kata, kecelaruan pemikiran Hishamuddin Rais inilah yang melahirkan penulisan menghentam Kerajaan atas dasar kecewa dan cemburu yang tidak bertempat.
Rata-rata idea yang dihuraikan olehnya tidak islamik, emosional dan tidak relatif meskipun dikupas mengikut sudut ilmu semiotik. Ciri-ciri universal kontemporari fleksibel yang tersirat di sebalik senibina bangunan-bangunan di Putrajaya itu tidak dinyatakan secara jujur. Nampaknya Hishamuddin menyembunyikan sesuatu dari pandangan mata hati yang inginkan kelestarian dan keterbukaan dalam bidang senibina yang sentiasa berkembang. Jika mengikut pandangan nya, ilmu senibina akan menjadi rigid dan bersifat stereotype. Memang padanlah dengan diri Hishamuddin sendiri yang rigid kerana pemikiran komunis sosialisnya itu. Apa saja idea baru yang dianggap mengancam komunisme sosialisme akan ditentang dan diharamkan.
Begitulah penulis melihat karektor sebenar Hishamuddin Rais, penganut fahaman komunis sosialis yang semakin terpinggir dan bakal dikuburkan. Benar kata Al-Marhum Imam Khomenei, pemimpin Revolusi Iran 1979 sewaktu menasihati Mikhail Gorbachev, Presiden Republik Kesatuan Soviet ketika ia bergelar kuasa besar yang bersaing dengan Amerika Syarikat dalam era Perang Dingin, ‘letakkanlah komunisme kamu itu ke dalam muzium sahaja’. Akhirnya pada tahun 1990 Kesatuan Soviet lenyap dari peta dunia. Komunisme dan sosialisme semakin goyah dan lemah. Begitu jugalah nasib Hishamuddin Rais.
Dia terpaksa melukut di tepi gantang memohon ehsan daripada pendokong reformasi untuk menghidupkan fahaman yang semakin nazak itu. Masanya akan tiba di mana Hishamuddin akan menjadi surat khabar lama atau artifak sejarah yang akan dimuziumkan oleh kemajuan dan penghayatan Islam yang syumul dan subur di bumi Malaysia ini. Itu pun jika masih ada yang sudi untuk mengenang-ngenang Hishamuddin Rais, seorang yang tidak tahu mengenang budi jauh sekali tahu diuntung.
dipetik dari Bultein Malaysia
www.bkn.gov.my