TIDAK ADA SANGKUT PAUT DENGAN ISLAM
MEMAHAMI MINYAK DAN POLITIK DUNIAApa sahaja tulisan yang cuba menghuraikan apa yang sedang berlaku di Timur Tengah – tanpa memahami ekonomi dan kepentingan kaum pemodal – maka analisa itu akan kantoi. Hasilnya bukan satu analisa yang kukuh yang boleh membawa pencerahan tetapi cakaran perasaan ‘ kesukuan mazhab’ yang amat cetek dan kurang ilmiah.
Analisa politik tanpa ekonomi akan menghasilkan analisa yang tidak mendalam yang hanya berupaya membincangkan nama watak, nama tempat dan apa yang telah atau sedang berlaku. Politik Timur Tengah tanpa diikat rapat dengan bahan bakar petrol bukan satu analisa politik yang tuntas.
Saya perhatikan masih ada lagi yang gagal memahami konflik antara Amerika dengan Syria. Masih ada lagi yang mengira mayat di Syria sebagai tanda kezaliman Presiden Bashar. Yang menjadi lawak sedih ialah apabila tukang kira ini juga – mungkin kerana mangsa guruh – telah tidak pula mengira mayat-mayat yang terus bergelempangan di Pakistan akibat serangan drone. Drones ini ialah kapal terbang pengembom tanpa pemandu milik kuasa imperialis Amerika.
Ramai yang masih berpendapat bahawa apa yang sedang berlaku di Syria ialah pertembungan antara mazhab Shia dengan Sunni. Pandangan ini salah. Pandangan inilah yang sedang dijual oleh media antarabangsa. Inilah juga ‘cerita’ yang dipungut oleh Pak Lebai dan Pak Khatib ketika mereka cuba memberi ‘kuliah pencerahan’. Kuliah perncerahan berbentuk ini samalah saperti Rosmah Mansor memberi kuliah tentang berjimat cermat – sesat lagi menyesatkan.
Sekali lagi disini saya nyatakan bahawa apa yang sedang berlaku di Timur Tengah khususnya di Syria adalah hasil perancangan kaum pemodal antrabangsa bersama NATO. Rancangan untuk mengubah lanskap politik Timur Tengah telah lama di rancang.
Seymour Hesh pada 5 March 2007 dalam majalah New Yoker telah membocorkan dengan panjang lebar strateji Amerika yang baru untuk menundukkan rejim-rejim yang dilihat gagal untuk menjadi barua setia saperti Saudi Arabia.
KAPITALIS BERGERAK TANPA AGAMA
Jantan Yahudi yang bernama Seymour Hesh ini pada tahun 1969 telah memeranjatkan dunia dengan laporan My Lai. Ini adalah berita jenayah perang Presiden Richard Nixon di Vietnam. Orang-orang kampong di My Lai telah dibunuh beramai-ramai oleh soldadu Amerika dalam usaha sia-sia untuk mengalahkan Gerakan Pembebasan Vietnam.
Wartawan ini juga telah bertanggung jawab membocorkan berita tentang apa yang sedang dilakukan oleh soldadu Amerika terhadap para tahanan di Abu Ghraib Iraq pada tahun 2004. Laporan Abu Gharaib ini telah mensahehkan sekali lagi bahawa kempen ‘demokrasi dan hak asasi’ yang dibawa oleh Amerika ke Timur Tengah hanyalah tipu helah untuk menaklok telaga minyak di Iraq
Menurut Seymour dalam tulisannya yang bertajuk Redirection dalam majalah New Yorker; pada tahun 2007- satu rancangan telah diatur untuk memastikan semua rejim-rejim yang dilihat degil dan tidak sudi tunduk kepada Amerika akan dijatuhkan. Antara perancang projek ini ialah Dick Chenny, Donald Rumsfled, dan Paul Wolfowitz. Termasuk juga Zalmay Khalilzad yang berasal dari Afghanistan.
Selain dari menawan telaga minyak, rancangan ini juga untuk memastikan negara-negara ini akan dipaksa untuk membuka pasaran. Iraq yang tidak membenarkan syarikat minyak milik imperialis melabor cari gali telah menjadi sasaran utama. Libya dibawah Muammar Gadaffy dilihat bahaya kerana dengan duit minyak Gaddafy telah dapat membantu negara Afrika untuk menolak kemasukan soldadu Amerika ke bumi Afrika. Manakala Iran ketika ini sedang dikepong dengan sekatan ekonomi yang bertujuan melemahkan untuk senang ditaklok.
Latar belakang projek Timur Tengah Baru ini ialah perang Iraq. Dalam pertempuran dengan gerila Iraq jelas kelihatan kekuatan bala tentera Amerika telah menerima tentangan hebat. Tentangan yang amat hebat telah dilakukan oleh rakyat Iraq - dari semua mahzab anak semua bangsa.
Dengan secara terancang untuk mengalahkan gerila pembebasan ini, Amerika telah memasukan jarumnya untuk melaga-lagakan warga Iraq. Amerika melalui ajen-ajennnya telah mengebom masjid dan tempat ibadah mazhab Shiah. Kemudian ajen yang sama akan pergi mengebom pula masjid Sunni.
DOLAR MEMAKAI BAJU ISLAM
Apakah kita semua lupa dengan nama Abu Musab al- Zarqawi – ketua gerila Sunni berkaki satu - yang cukup hebat menyerang soldadu Amerika. Sandiwara Zarqawi menjadi ‘absurd’ apabila dilaporkan juga bahawa si Zarqawi ini juga bermata satu. Sebenarnya si Zarqarwi yang licik ini hanyalah permainan propaganda Amerika dalam strateji pecah dan perintah.
Sama ada Zarqawi berkaki tiga atau bermata tujuh wujud atau tidak telah menjadi tidak penting. Apa yang penting melalui ‘ ledakan bom’ telah berlaku keretakan dalam setiakawan menentang imperialis dikalangan warga Iraq. Di bawah Saddam Hussein konsep pemisahan antara Sunni/Shiah telah cuba dibasmi. Kini perbezaan antara Sunni dengan Shiah telah digunakan oleh kuasa imperil Amerika untuk memadamkan gerakan gerila menentang mereka.
Dengan senyap-senyap Amerika juga telah memberi kelengkapan senjata kepada ‘kumpulan Shiah’ yang sedang naik minyak kerana masjid mereka dibom. Maka bermulalah pertelingkahan mazhab secara tersusun di bumi Iraq.
Racangan licik ini sekali pandang memperlihatkan bahawa strateji ini menguntungkan Iran. Ini kerana rejim baru yang dinaikkan ke atas tahta di Baghdad adalah politikus Shiah yang amat bersimpati terhadap Iran.
Awas! Tidak bagitu senang dibaca rancangan jahat ini. Jangan tersilap baca. Kaum pemodal dan kuasa imperial Anglo-Amerika bukan hanya merancanag untuk Iraq dan Iran, malah seluruh Timur Tengah. Lanskap politik baru dengan kemunculan rejim Shiah di Iraq yang ‘ tidak memusuhi Iran’ telah menakutkan Saudi Arabia dan juga semua Negara-negara Telok. Apabila Saudi takut maka jarum Amerika telah berjaya.
Disini muncul pula Putera Bandar bin Sultan sosok yang amat dipercayai oleh Raja Fahad. Semenjak tahun 1983 hingga tahun 2005 , selama 22 tahun Bandar telah menjadi Duta Saudi ke Amerika. Ketika inilah Bandar telah bekerjasama dengan kumpulan Neo-Con untuk merancang dan mengubah lanskap politik Timur Tengah.
Kerjasama antara keluarga Saud dengan zionis Israel menjadi lebih mesra. Saudi dengan duit petrol telah berjaya ‘mematahkan’ revolusi Palestin. Perjuangan bersenjata Palestin kini menjadi mandul apabila banyak pemimpin Palestin terperangkap dengan ‘petro dollar’ yang dihamburkan oleh Saudi dari bertempur dengan zionis Israel.
Harus diterima hakikat sebagai fakta sejarah bahawa Saudi dengan kerjasama Amerika dan CIA telah melahirkan Usama Bin Ladin dan juga apa yang dikenali sebagai Al-Qaeda. Dengan ‘petro dollar’ Saudi telah membiyai banyak kumpulan-kumpulan ‘salafi dan wahabi’ yang memiliki pandangan kolot, reaksionari, anti-perempuan dan kanan.
Sokongan Saudi ini tidak ada sangkut paut dengan agama. Agama untuk kaum kerabat Saud hanyalah telaga minyak yang menghasilkan petro dollar. Dengan menyokong kumpulan reaksionari Islam ini , keluarga Saud akan terus dapat bertahta diatas telaga minyak di Semenajung Arab. Melalui petro dolar Saudi dilihat sedia ‘berbelanja’. Ini akan mententeram suasana penentangan terhadap rejim keluarga Saud.
RAMAI MELAYU KENA KELENTONG
Penentangan Saudi terhadap Iran ini juga tidak ada sangkut paut dengan teoloji Islam, mazhab Sunni atau mazhab Shiah. Keluarga Saud menentang Iran kerana Iran sebuah republik. Ketika Iran dibawah Ahamad Reza Pahlevi dahulu hubungan keluarga Saud dan Pahlevi ini adalah baik dan tidak bermusuh. Kedua-dua Raja ini berlumba-lumba untuk menjadi barua Amerika. Dua negara ini berlumba-lumba membeli senjata dari kuasa Anglo- Amerika
Iran telah menghumbankan sistem beraja yang tidak wujud dalam teoloji Islam. Tetiba Iran menjadi musuh. Dengan serta merta konflik Sunni/Shiah menjadi ajenda utama. Iran membawa garis kesedaran baru untuk rakyat tertindas. Bayangkan jika umat Islam memiliki kesedaran bahawa dalam Islam tidak ada Raja , Shah, Malik atau Sultan – inilah yang mengerunkan keluarga Saud di Riyadh.
Dibelakang Saudi ini ialah kuasa imperialis Anglo-Amerika dan syarikat minyak antrabangsa. Mereka memberi sokongan yang kuat kepada keluarga Saud. Keluarga Saud juga semakin intim hubungan mereka dengan Israel. Malah Israel dan Saudi terus menggalakan Amerika untuk menyerang Iran. Kepada Saudi Arabia jika Iran ranap maka berulah mereka dapat bertenang.
Wajib juga kita semua sedar bahawa satelah PLO mandul dan gerila Palestin meninggalkan gerakan bersenjata , kumpulan yang masih berjuang mengangkat senjata hanya Hamas dan Hisbullah. Hamas kini menjadi pentadbir di Gaza. manakala Hisbullah menjadi satu gerakan politik yang ampuh di Libanon
Didalam Projek Timur Tegah Baru – Hisbullah yang disokong oleh Syria dan Iran ini dianggap ‘terrorist/pengganas’ oleh Amerika. Tetapi untuk warga Palestin dan warga Lebanon Hisbullah adalah wira Arab yang masih berani mengangakat senjata melawan zionis Israel. Jika Syria atau Iran di serang tidak dapat tidak Hisbullah akan pasti menyerang Israel.
Pusing punya pusing kita akan sampai juga kepada Israel – punca segala masalah di Timur Tengah. Negara ‘pasang siap’ made in Amerika ini telah dipasang pada tahun 19848 dahulu sebagai strateji kuasa imperil untuk menggangu gugat bumi Arab.
Isreal kalau dikaji dengan rapi maka kita akan membuat rumusan bahawa Israel inio hanyalah pengkalan tentera Amerika yang tercanggih. Tugas Israel di Timur Tengah ialah untuk memastikan tidak ada negara di Timur Tengah yang berani sekali lagi bersuara saperti Saddam Hussein atau Muammar Gadaffy.
Perang yang dilancarkan oleh Amerika bertujuan untuk memastikan semua negara, semua rakyat dunia, anak semua bangsa akan tunduk kepada kuasa imperial Amerika. Kuasa imperial ini memerlu semua sumber bahan mentah jatuh ke tangan mereka. Semua punca ekonomi akan jatuh ke bawah kawalan mereka. Semua negara akan membuka pasaran mereka untuk kaum kapitalis antarabangsa membuat untung. Rakyat dunia hanya hanya diperlukan untuk menjadi konsumer yang setia tanpa banyak soal jawab.
Kuasa imperial Anglo-Amerika memerlukan Hamid Karzai, Zadari, Al-Khalifa, Al-Malik Faizal dan bukan Bashar al-Assad dan Mahmooud Ahmadinejad yang menggangu aliran bahan bakar petrol ke pasaran dunia. END
SABTU INI KITA BERDEMO
NOTA:tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar SUARA KEADILANyang terbaru -
sesiapa ingin
melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon : 03-22-72-40-45