MEMAHAMI
MAKNA PERHIMPUANAN
Perhimpunan tahunan United Malays National Organisation baru selesai. Tidak banyak konsep dan dasar arah tuju negara yang dibicangkan. Gerombolan Ketuanan Melayu tidak membincangkan cukai GST. Tidak membincangkan berbilion ringgit yang dibawa lari keluar negara melalui projek 1MDB.Tidak membincangkan barah rasuah yang semakin parah. Tidak membicangkan melorohnya masuk pendatang haram yang semakin membawa mudarat. Tidak ada seorang pun ahli parti Ketuanan Melayu yang menimbulkan agenda pemerentahan adil.
Apa yang didengari hanya garis perkauman yang semakin terbuka disebarkan. Politik membodohkan Orang Melayu. Ucapan-ucapan bangang untuk menakut-nakutkan Orang Melayu.
Tetapi dalam tulisan ini bukan pekara-pekara ini yang ingin saya garap. Ada satu pekara yang lebih mustahak. Satu agenda terpendam yang wajib saya gali dan bogelkan untuk diketahui umum. Agenda ini wujud dalam perhimpunan bani Ketuanan Melayu ini – tapi jika TIDAK digali dan cungkil agenda ini tidak dapat dilihat.
Sebelum gerombolan Ketuanan Melayu ini berhimpun orang ramai ada membaca dalam laman, blog dan portal internet tentang parti United Malays National Organisation ini sudah nyawa-nyawa ikan. Ada blogger penting, ada blogger bekas menteri dari parti gerombolan ini sendiri secara terbuka mengkritik Najib. Bekas Presiden parti ini sendiri mempertikaikan keupayaan Najib untuk memimpin. Pimpinan Najib yang manai dan tak tentu hala menjadikan parti ini nyawa-nyawa ikan – hujah mereka.
Najib dikatakan lembik dan takut pada bini. Kritikan ini menyeru agar parti ini berubah. Menilai diri dan membuat perubahan agar disayangi kembali. Malah ada suara yang memberi cadangan jika Najib ditendang keluar dan ketua baru dinobat maka United Malays National Organisation akan cermerlang, gemilang dan terbilang.
Saya menolak fakta-fakta ini. Saya menolak fakta yang mengatakan parti bani Ketuanan Melayu ini sedang nyawa-nyawa ikan. Untuk saya United Malays National Organisation ini telah lama terkubur. Parti ini telah ditolak oleh rakyat Malaysia. Batu nisan pertama muncul tahun 2008. Batu nisan kedua sampai 2013.
Pada PRU12 tahun 2008 – kita melihat bani Ketuanan Melayu ini hilang undi popular di Tanah Semenajung. Pada PRU13 United Malays National Organisation terus lungkup. Parti ini dan kuncu-kucunya hanya mendapat 47% sokongan pengundi. Undi popular dan undi majoriti di seluruh Malaysia dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Ini fakta bukan propaganda.
Apa hubungan fakta ini dengan perhimpunan gerombolan Ketuanan Melayu yang baru selesai?
Biar saya rungkai apa makna terpendam yang saya maksudkan itu. Memang betul ucapan yang mengatakan bahawa parti Ketuanan Melayu ini telah ditolak, dikeji dan dihina. Presiden dan Timbalan Presiden United Malays National Organisation telah berkata bahawa jika parti ini TIDAK berubah maka mereka akan diubah.
Tetapi semua ini kenyataan bohong. Ini propaganda bohong. Ini kenyataan decoy. Ini otek-otek. Ini satu umpan politik yang sedang ditabur.
Biar saya terangkan disini bahawa dalam PRU14 yang akan datang ini parti Ketuanan Melayu ini akan TETAP menang. Bukan sahaja akan menang malah akan menang besar. Bukan sahaja menang besar malah akan kembali mendapat majoriti dua par tiga.
Saya cukup yakin dengan apa yang saya nyatakan diatas. Malah saya berani mengatakan bahawa dalam PRU15, PRU16...PRU70 – parti United Malays National Organsiation ini tidak akan dapat dikalahkan dalam pilihan raya. Dalam sejarah Dunia Ketiga TIDAK ada kerajaan zalim dapat digulingkan melalui pilihanraya. Malah saya amat yakin jika pilihan raya boleh mengubah apa apa di Malaysia ini maka pilinan raya itu telah lama diharamkan.
Pasti para pembaca akan bertanya – awal tadi saya katakan United Malays National Organisation telah ditalkinkan. Jika sudah mati bagaimana parti ini terus dapat berkuasa?
Parti Ketuanan Melayu sebagai parti politik telah lama mati. Apa yang dilawan oleh Pakatan Rakyat dalam PRU12/13 bukan parti United Malays National Organisation. Tetapi jentera daulah – state machinery. Pakatan Rakyat telah melawan satu sistem dan struktur pilihan raya yang telah diwujudkan oleh SPR - Suruhanjaya Pilihan Raya. Sistem ini diwujudkan untuk memastikan parti bani Ketuanan Melayu ini akan terus menang.
Justeru, suara-suara sedih dalam perhimpunan yang baru selesai memang benar ditujukan kepada ahli parti. Itu saranan tersurat yang terbuka. Tetapi paling penting ucapan Najib dan ucapan Muhyiddin ditujukan khusus kepada SPR dan juga kepada jentera daulah yang lain. Malah ucapan ini secara tersirat ditujukan kepada kumpulan-kumpulan Daulah Terpendam untuk sedia merancang langkah-langkah saterusnya jika Pakatan Rakyat berjaya membawa satu lagi ombak kemenangan yang baru.
Kesedihan Najib dan Muhyiddin ini sedang disambut baik. Langkah pertama yang akan diambil oleh SPR ialah melakukan persempadan semula. Langkah ini akan memastikan kemenangan besar bani Ketuanan Melayu. Dari segi perlembagaan memang persempadanan semula ini boleh dilakukan.
Tetapi hakikatnya persempadan semula yang sedang dirancang ini bukan dilakukan dengan bebas dan demokratik. Persempadanan semula ini dilakukan oleh ajen-ajen dan kaki tangan United Malays National Organisation yang menyamar sebagai ahli SPR. Tujuan persempadan semua ini adalah untuk memastikan United Malays National Organisation akan menang besar dalam PRU14 yang akan datang.
Kenapa saya bagitu yakin? Apakah Pakatan Rakyat dapat dikalahkan? Jawapan saya cukup senang. Sila baca apa kata Tan Sri Rashid Abdul Rahman bekas pengurusi SPR. Saya petik berita ini dari laporan Malaysian Insider 25 November 2013. Tan Sri Rashid telah menguruskan 6 dari 12 PRU yang telah dijalankan.
(Tan Sri Rashid Abdul Rahman).... berkata selaku bekas pengerusi SPR, beliau tahu cara mengekalkan kuasa orang Melayu.
Katanya, tiga proses persempadanan semula yang berlaku semasa beliau berada dalam SPR telah mengekalkan kuasa orang Melayu.
“Kami lakukan secara sah dan teliti....
Mulut bekas Pengerusi SPR sendiri telah menyokong hujah saya dengan jelas. Saheh - tujuan persempadan semula diadakan ialah untuk memastikan bani Ketuanan Melayu terus berkuasa.
Persempadan semula terakhir telah dilakukan pada tahun 2003. Kerusi Parlimen telah ditambah dari 198 untuk menjadi 222 - jumlah ahli parlimen hari ini. Ada penambahan 23 kerusi. Dari segi sejarah - 22 dari 23 kerusi baru dimenangi oleh United Malays National Organisation. Dua pimimpin Pas – Mat Sabu dan Mahfuz - menjadi mangsa. Hanya Karpal Singh saorang yang menang dengan persempadan baru ini kerana yang dipecahkan ialah kawasan Bukit Jelutong.
Hari ini kita telah diberitahu bahawa Sarawak telah melulukan penambahan kerusi DUN – dari 71 ke 82 kerusi. Hakikatnya sampai kiamat pun Sarawak akan terus dimiliki oleh kuncu dan kroni Taib Mahmud.
Justeru, saya melihat ucapan-ucapan sedih tentang parti Ketuanan Melayu dalam perhimpunan yang berlalu hanya sebagai umpan. Ini umpan untuk melekakan Haji Hadi. Ini umpan untuk melalaikan Lim Kit Siang. Ini umpan untuk melenakan Anwar Ibrahim.
Dari laporan media tentang perhimpunan gerombolan yang baru berlangsung, para pemimpin Pakatan Rakyat akan berpendapat bahawa parti Ketuanan Melayu ini sedang nazak. Parti ini tidak lagi mendapat sokongan orang ramai. Malah Muhyiddin sendiri telah berkata mungkin sesudah PRU14 Najib tidak lagi menjadi PM Malaysia. Ini semua hampeh. Semua ini bohong.
Pada ketika ini SPR sedang merancang untuk menambah antara 30 ke 40 kerusi parlimen yang baru. Pasti air liur Hadi, air liur Guan Eng dan air liur Anwar meleleh. Ucapan sedih Najib dan Muhyiddin adalah viagra yang akan mendorong tegak nafsu DAP, PAS dan PKR untuk bersetuju menerima persempadan semula.
Air mata Najib dan Muhyiddin sedang berlinang-linang mengenangkan nasib Orang Melayu. Linangan air mata Melayu ini pasti akan menjerut hati Haji Hadi.Parti PAS pasti melompat suka apabila terdengar penambhan kerusi. Apatah lagi kalau kerusi ini dijenamakan sebagai kerusi Melayu. Bagitu juga DAP akan 'ngang' bila dapat tahu akan ada penambahan kerusi Cina. Manakala PKR tidak dapat tidak akan teriku-ikut sama.
Hasilnya – PRU14 yang akan dimenangi dengan jumlah besar oleh United Malays National Organisation. Maka akan diberitakan bahawa yang memenangkan parti ini dalam PRU14 ialah kesedaran ahli parti. Mereka telah berubah satelah mendengar nasehat para pemimpin. Ahli parti Ketuanan Melayu membanting tulang bekerja keras mencari sokongan pengundi. Ada berita bagaimana pengundi Cina telah bertaubat satelah mendengar ucapan Najib yang memberi ingatan bahawa 'pengundi Cina' penting. Berita akan disebar bagaimana parti ini telah berjaya memenangi hati anak anak muda.
Lihatlah betapa licik dan bijak perancanga ini telah diatur dan disusun. Semua ini dilakukan oleh Daulah Terpendam yang merancang dan memberi nasehat kepada Najib dan Muhyiddin untuk bersandiwara.
Kepada penyokong Pakatan Rakyat saya berharap mereka akan sedar tentang sandiwara ini. Saya berharap mereka akan bersuara agar parti mereka akan menolak projek persempadan semula.
Untuk ahli-ahli PKR – jika ada yang kurang yakin dengan hujah saya maka saya jawap dengan satu pertanyan.
Akhbar saya menulis ini namanya Suara Keadilan. Jualan akhbar ini telah melintasi 100 ribu naskah saminggu. Tetapi hingga ke hari ini kerajaan Ketuanan Melayu ini TIDAK membenarkan Suara Keadilan mendapat lesen cetak. Jika akhbar ini TIDAK dibenarkan mendapat lesen cetak apakah gerombolan Ketuanan Melayu akan membenarkan Pakatan Rakyat menang untuk memerentah di Putra Jaya? (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melaggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon:
03-92-21-30-45
-------------