APA
MAKNA 7 MARCH
Demonstrasi
7 March telah berlalu. Laungan - Undur Najib Undur - masih
berdengong di telinga. Gambaran kain rentang besar dengan tulisan –
UNDUR NAJIB – telah menjadi imej berita media dalam dan luar
negara. Muka depan akhbar Guang Ming Daily terpampang tajuk berita
: REFORMASI 2.0. Manakala muka depan akhbar Kwang Wah Yit Poh penuh
dengan gambar 7 March.
Media
Baru – The MalaysianInsider dan MalaysiaKini meledak dengan
pendatang dan langganan baru. FaceBOOK Malaysia menjadi berat membawa
berita dan gambar tunjuk perasaan petang Sabtu. Apa sebenarnya 7
March? Apa dia #KitaLawan?
Demonstrasi
7 March 2015 di Sogo ini adalah pemulaan siri siri tunjuk tunjuk
perasaan yang telah dan sedang disusun oleh anak- anak muda. Saya
ulangi sekali lagi : disusun oleh anak-anak muda. Justeru – kata
kunci disini ialah perkataan ANAK MUDA. Inilah kunci politik
Malaysia Baru. Anak muda adalah pemegang kunci yang akan membuka arah
dan garis politik baru Malaysia.
Anwar
dipenjara pada 10 Febuari yang lalu. Pada Sabtu pertama sesudah
pemenjaraan satu kumpulan anak muda telah memulakan gerakan Undur
Najib - Undur Rosmah. Hampir 500 ratus anak muda telah turun berdemo
di Sogo untuk kali pertama pada Hari Kekasih 14 Febuari 2015.
Sesudah
demo kali pertama ini kita mula terbaca pandangan Profesor Kang Kong
dan pandangan Penganalisa Politik yang mengatakan bahawa 'politik
jalan raya' telah TIDAK POPULAR lagi. Politik jalan raya telah gagal.
Jalan Raya sebagai wadah politik menurut tulisan Profesor Kang Kong
telah tidak relevan.
Saya
mulanya tersenyum kemudian saya ketawa terbahak-bahak. Ini kerana
saya dimaklumkan bahawa Phd yang ada pada Profesor Kang Kong ini
didapati bukan dengan ilmu kajian tetapi dibeli dengan timbang kati.
Saya langsung tidak ada keyakinan terhadap Tukang Analisa Politik.
Ini kerana saya dapati tulisan garapan Si Penganalisa politik ini
membuktikan Si Mamat ini amat 'kureeng membaca'. Jauh sekali memahami
falsafah dan teori politiik terkini.
Saya
bukan angkuh. Tetapi merasa marah kerana pada minggu pertama sesudah
Anwar dipenjara berbuih-buih mulut saya menerangkan tentang duduk
pekara dan Sejarah Gerakan Reformasi98.
Saya
dihujani dengan 'pertanyaan'. Sebenarnya yang bertanya bukan ingin
bertanya tetapi ingin memperlekeh teori politik Jalan Raya sebagai
satu wadah politik dalam negara Dunia Ketiga. Menafikan jalan raya
sebagai wadah politik untuk menumbangkan rejim yang zalim dan ganas.
Pertanyaan
ini jelas berniat untuk memperlekehkan sokongan rakyat terhadap
Anwar Ibrahim. Ingin menafikan sokongan anak-anak muda terhadap
Pakatan Rakyat. Pertanyaan yang bersalur tohmahan ingin menunjukkan
bahawa apa pun yang kita lakukan United Malays National Organisation
tetap berkuasa. Ke jalan raya adalah sia-sia.
Hakikatnya
'orang-orang' yang bertanya dan mempersoalkan kenapa TIDAK ramai
turun ke jalan raya pada minggu pertama sesudah Anwar dipenjara –
sebenarnya tidak menyokong politik jalan raya. Pertanyan itu hanyalah
helah untuk memastikan politik jalan raya kendur. Berniat agar
politik jalan raya gagal. Sebenarnya ada niat jahat dalam hati
sanubari mereka.
Jangan
silap baca sejarah. Ketika Anwar diterajang dari tampok kuasa TIDAK
ramai yang datang bersimpati ke Bukit Damansara. Malah saya sendiri
TIDAK pernah sampai ke wilayah itu. Ketika itu saya melihat ini Anwar
ditendang kerana pergaduhan dua kumpulan lanun. Satu kumpulan lanun
besar diketuai oleh Mahathir dan satu lagi lanun baru muncul yang
dikepalai oleh Anwar. Ini bacaan awal oleh ramai orang termasuk saya
sendiri. Justeru saya tidak ambil pot tentang apa yang terjadi
dirumah Anwar di Bukit Damansara.
Jangan
salah baca. Satelah Anwar lupus dari tampok kuasa memang TIDAK ramai
yang turun ke pekarangan rumah Anwar. Kenyataan Anwar pada ketika
ini masih mundar mandir. Tidak jelas dan TIDAK melawan. Sejarah
minggu pertama merakamkan bagaimana Anwar masih menganggap Mahathir
Muhamad sebagai 'mentor' bukan sebagai musuh.
Apabila
Anwar membawa rakyat ke jalan raya pada 20 September 1998 saya masih
kurang yakin tentang arah dan tujuan demonstrasi petang itu. Saya
hanya turun untuk melihat dan mengkaji. Untuk melihat ke mana agaknya
Anwar akan mengarahkan puluhan ribu sosok yang berdemo.
Biar
saya terangkan fakta disini. Pada 20 September 1998 – ramai yang
turun ke jalan raya kerana Anwar Ibrahim ialah Timbalan Perdana
Menteri. Kerana Anwar Ibrahim ialah Timbalan Presiden Parti United
Malays National Organisation.
Justeru
ramai ketua bahagian, ramai tukang bodek, ramai pencari kontrek,
ramai broker politik yang turun. Kesemua mereka menyimpan harapan
dalam dalam masa satu atau dua minggu Mahathir akan tumbang. Anwar
Ibrahim akan menjadi PM Malaysia yang baru. Turun ke Dataran Merdeka
pada 20 September akan dijadikan modal saham perlaburan untuk mencari
projek atau silap silap dapat bertanding menjadi YB. Justeru pada
petang itu saya ternampak – Khir Toyo, Ahmad Sebi dan Zambry. Semua
membeli saham.
Para
petang 20 September ini ribuan penunjuk perasaan yang berhimpun di
Masjid Negara kemudian berarak ke Dataran Merdeka. Dari sinilah
munculnya rujukan dan tahap perbandingan – ramai atau tidak yang
turun ke jalan raya. Berjaya atau gagal tunjuk perasaan itu. Tarikh
20 September ini dijadikan patukan. Ini tidak tepat
Kejayaan
REFORMASI98 ialah mengkalihkan politik jalan raya dari berpusat di
sosok Anwar Ibrahim ke agenda menjatuhkan Mahathir Muhamad.
Anwar Ibarahim hanya 'alat' untuk mengolah persetujuan. Mahathir
dicap sebagai zalim dan Anwar dinobatkan sebagai ikon mangsa
kezaliman. Ini kejayaan REFORMASI98
Pada
awalnya ada pelbagai slogan simpang siur. Akhirnya terarah dengan
slogan Undur Mahathir Undur. Tetapi awalnya para demonstran masih
belum melihat United Malays National Organisation sebagai musuh.
Ramai dalam Gerakan REFORMASI98 hanya melihat Mahathir sebagai
musuh. Parti Ketuanan Melayu ini masih belum ditakrif sebagai musuh.
Justeru
kita melihat bagaimana teori saya yang kurang yakin terhadap
kumpulan Anwar Ibrahim ini menjadi fakta apabila Ezam Mat Nor dan
kuncu-kuncu lari menyerah diri kepada United Malays National
Organisation.
Apa
sangkut paut fakta sejarah ini dengan 7 MARCH?
Kali
ini semuanya bebeza. Kali ini gerakan ini dipanggil #KitaLawan.
Penggunanan # melambangkan ianya gerakan anak muda. Lambang # ini
TIDAK wujud pada tahun 1998. Yang wujud hanya Mahazalim dan
Mahafiraun. Ini pun laman yang bergerak dibawah tanah.
Untuk
Profesor Kang Kong dan Mat Penganalisa Politik – sila fahami kali
ini slogan awal ialah Undur Rosmah dan Undur Najib. Tidak ada lagi
siapa yang menganggap Najib sebagai mentor atau sebagai ayah. Kali
ini yang jelas ialah perlawanan anak anak muda yang mahu
meruntuhkan yang lama untuk mendirikan yang baru
Bebaskan
Anwar Ibrahim masih lagi menjadi laungan tetapi politik anak muda
kali ini tidak ambil pot tentang siapa Ketua Pembangkang, siapa Hadi
Awang atau siapa Nik Abduh. Anak muda tidak ambil pot ada atau tak
ada PRK di Permatang Pauh. Semua ini TIDAK relevan. Untuk #KitaLawan
yang penting ialah melawan dan turun ke jalan raya.
Politik
jalan raya kali ini adalah politik pasca Arab Spring, pasca Tunisia,
pasca Occupy. Politik jalan raya kali ini ialah pasca PRU12 pasca
PRU13. Kali ini anak-anak muda yang turun ke Sogo mewakili 52% warga
Malaysia. Najib dan Rosmah bersama United Malays National
Organisation hanya mendapat sokongan 47% rakyat Malaysia. Ini fakta.
Najib dan Rosmah sedar hal ini. Malah mereka tahu dalam PRU 13
mereka menang dengan jalan tipu.
Sebelum
diakhiri - ada satu pekara yang amat menonjol tapi mungkin ramai
terlepas pandang. Satu petang Sabtu pada tahun 1998 ketika kami
sedang berdemonstrasi di Sogo – Dr Wan Azizah telah turun dengan
kereta. Melalui kereta atap terbuka Wan Azizah telah melambai dan
mengacung tangan tanda melawan kepada para demonstran.
Media
milik parti Ketuanan Melayu secara gila-gila menyerang hebat Wan
Azizah. Menuduh Wan Azizah tidak bertanggung jawab menggalakkan
politik jalanan. Akhirnya Wan Azizah mengatakan bahawa dia turun
kerana membeli belah. Dia berada di Jalan TAR secara tidak sengaja.
Saya tahu ini bohong. Wan Azizah pada ketika itu tidak memiliki
kesedaran politik yang ampoh tentang politik jalan raya..
Pada
7 March 2015 , Sabtu lalu, Dr Wan Azizah telah mendewasa. Kini Wanita
Malaysia Pertama ini bukan sahaja percaya akan politik jalan raya
malah telah turun sama ke jalan raya berdemo. Petang itu Dr Wan
Azizh telah berucap betul-betul dihadapan tangga Sogo. Arang yang
terconteng dimuka Wan Azizh semenjak tahun 1998 kini terlupus. Dr Wan
Azizah bersama kaum keluarga telah berarak dari Sogo ke ke KLCC.
Profesor Kang Kong sila ambil perhatian fakta ini.
Profesor
Kang Kong juga wajib sedar kali ini tindakan anak anak muda semakin
cool dan pop. Mereka berbaju hitam – simbol countrer culture pasca
punk. Baju hitam mereka ada tanda ledakan kemarahan terhadap generasi
'oldtai' yang menggunakan politik dan kuasa untuk mengkayakan anak
bini dan kroni. Justeru, sila dengar gendang perang yang mereka palu
setiap petang Sabtu di hadapan Sogo. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa mahu melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
02-92-21-30-45
--------------