Dengan Nama Allah, Maha Pemurah Maha Pengasih.
FAKTA-FAKTA ISU PENSWASTAAN TEBANGAN BALAK KOMPLEKS PERKAYUAN KELANTAN (KPK)
(2,000 ekar setahun untuk tempoh sepuluh tahun dengan harga bersih RM 1,370 se ekar)
01. Untung bersih mengikut harga pasaran sekarang bagi setiap tan balak adalah tidak kurang dari RM 500 se tan.
02. Kawasan KPK mempunyai 8 tan - 12 tan minima balak se ekar (Mengambil kira had tebangan).
03. Ini bermakna keuntungan bersih se ekar sepatutnya adalah di antara RM 4,000 - RM 6,000. (RM 500 x 8 tan = RM 4,000 atau RM 500 x 12 tan = RM 6,000)
04. Dengan itu, keuntungan bersih KPK sepatutnya di antara RM 8 juta hingga RM 12 juta setahun (RM 4,000 x 2,000 ekar = RM 8 juta atau RM 6,000 x 2,000 ekar = RM 12 juta)
05. Bagi tempoh 10 tahun (20,000 ekar) keuntungan yang patut dijana adalah antara RM 80 juta hingga RM 120 juta.
06. Sedangkan mengikut kertas cadangan Souncern yang dibentangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah KPK pada bulan Disember 2014, bayaran bersih se ekar yang akan dibayar kepada KPK hanyalah sebanyak RM1,372.70 sahaja. (RM 1,370 dibahagi RM 500 = 2.74 tan se ekar)
07. Adakah munasabah kawasan KPK hanya mempunyai kurang dari tiga tan se ekar??
08. Ini bermakna, keuntungan yang akan diberikan oleh Souncern adalah hanya sebanyak RM 2.7 juta setahun.
09. Mengikut kertas itu juga, Souncern mencadangkan KPK memeterai perjanjian untuk tempoh 10 tahun, melibatkan kawasan sebanyak 20,000 ekar.
10. Bagi tempoh 10 tahun keuntungan yang dijanjikan hanya sebanyak RM 27.4 juta sahaja.
11. Berasaskan perkiraan ini, KPK akan mengalami kerugian keuntungan di antara RM 52 juta hingga RM 92 juta bagi tempoh sepuluh tahun (Tidak termasuk 30% keuntungan tambahan yang dijanjikan kerana diragui ianya boleh terjadi atau tidak).
12. Ini belum mengambil kira kemungkinan pengeluaran sebenar adalah lebih besar, kayu yang dikeluarkan bermutu tinggi dan harga kayu akan meningkat pada masa akan datang.
13. Angka keuntungan bersih RM 500 se tan dan pengeluaran purata KPK antara 8-12 tan se ekar, saya perolehi daripada maklumat dalaman dan orang yang arif dengan kawasan KPK dan industri kayu.
Saya dimaklumkan, 6,000 ekar pertama kawasan yang diserahkan kepada Souncern telah pun di"tagging".
Ini bermakna KPK sudah pun mengetahui nilai sebenar yang ada di dalam kawasan berkenaan.
Nilainya lebih tinggi dari tawaran yang diterima.
14. Saya difahamkan KPK tidak melantik mana-mana penilai bagi pihaknya bagi urus niaga ini.
15. Souncern pula dikatakan melantik penilainya sendiri. Nilai yang diletakkan adalah RM1,950.00 se ekar kasar.
16. Bagi urus niaga sepenting ini, adalah sangat menghairankan mengapa KPK tidak melantik satu penilai bebas untuk menilai asetnya.
17. Souncern adalah syarikat yang dimiliki oleh Sern Kou Berhad, Syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.
18. Tidak ada dalam pengetahuan saya KPK diberikan tawaran saham dalam syarikat induk Souncern iaitu Sern Kou.
19. Semakan saya menunjukkan harga saham Sern Kou telah meningkat daripada 40 sen se saham pada akhir Disember (tarikh KPD membuat keputusan) naik kepada 69 sen sebelum ditutup pada 65 sen se saham pada Hari Raya Korban 2015 baru-baru ini.
Bermakna, syarikat berkenaan mendapat faedah yang lebih besar dari khazanah KPK.
20. Saya hairan mengapa tidak ada susunan korporat yang lebih menyeluruh di mana KPK diberikan saham dalam Sern Kou untuk mendapat faedah yang maksima dari urus niaga ini.
21. Sebagai kesimpulannya, saya masih berpendirian keuntungan bersih yang ditawarkan kepada KPK adalah sangat rendah.
22. Saya berpendirian jika tawaran terbuka dilakukan, KPK boleh mendapat keuntungan yang lebih besar.
23. Adalah menjadi tugas saya selaku Adun yang berjuang atas nama Islam untuk menjaga kepentingan terbanyak rakyat yang memberikan amanah dengan cara yang saya fikirkan berkesan untuk menghentikan amalan melepaskan khazanah Negeri Kelantan di bawah nilai pasaran secara berterusan satu demi satu sekarang.
Yb. Husam Musa
Adun Salor
15 Zulhijjah 1436/29 September 2015