ANAK MUDA BANGUN MELAWAN

Embargo sehingga jam 3 ptg
10 November 2010
9.00 malam - 11.50 malam
Dewan Perhimpunan Cina Selangor,
Jln Dato Maharajalela,
Kuala Lumpur
RESOLUSI RAPAT ANAK MUDA MALAYSIA
Perkembangan mutakhir seolah-olah menggambarkan parti menuju krisis. Perkembangan ini menjadikan anggota parti khasnya dan rakyat amnya agak gelisah kerana dalam keadaan regim pemerintah yang makin rakus, rakyat gusar kiranya harapan yang tinggi kepada Parti KEADILAN Rakyat (Pakatan Rakyat) tidak mampu tergalas kerana kekecohan yang berlaku ketika pemilihan parti kali ini.
Namun atas kesedaran ini juga, jika ada kepincangan ia tidak seharusnya disapu ke bawah permaidani. Selaku parti masa depan yang bakal menerajui negara, kita harus berjiwa besar mengakui sebarang kepincangan (jika ada) dan sentiasa sedia untuk memperbaiki kelemahan diri.
Menginsafi harapan rakyat dan perlunya memperbaiki keadaan parti maka hari ini 213 orang dari seluruh negara yang berkumpul dalam Rapat Anak Muda KEADILAN telah meluluskan 6 resolusi penting:
1. MEDIA TIDAK HARUS DIGUNAKAN SEBAGAI MEDAN PERDEBATAN.
Rapat Anak Muda mengambil pendirian sesiapa juga; selepas ini yang menyerang atau menjawab serangan menggunakan media dianggap khianat dan pembawa masalah kepada parti. Menjawab serangan juga akan dilihat sebagai usaha untuk memanjangkan isu. Demi anggota dan rakyat, seharusnya selaku pemimpin besar kita juga mampu memilih isu untuk dijawab atau diabaikan.
2. PEMILIHAN PARTI SEHARUSNYA BERASASKAN IDEA SEGAR, NILAI DAN REKOD KE ARAH MEMPERKASA ANGGOTA DAN RAKYAT.
Rapat Anak Muda menyarankan anggota parti seharusnya memilih calon berdasarkan perkara ini; menolak calon yang menyerang lawan; menolak calon yang tidak punya idea; malah menolak calon yang hanya “bergantung atau bergayut” kepada individu tertentu sahaja.
3. RAPAT ANAK MUDA MEMPERAKUI BAHAWA SESUNGGUHNYA PEMILIHAN PARTI KALI INI MEMPUNYAI BANYAK MASALAH.
Oleh yang demikian rapat ini mendesak agar parti (yang berjiwa besar) memperakui wujudnya masalah ini. Sejarah besar yang kita ingin cipta melalui sistem pemilihan yang diperkenalkan akan lebih unggul dan dihormati jika kita sanggup memperakui kelemahan diri (termasuk berhenti menuding jari) dan bersama-sama memperbaiki kelemahan tersebut.
4. PARTI MESTI DENGAN SEGERA MEMBERHENTIKAN PROSES PEMILIHAN YANG SEDANG BERLANGSUNG SEHINGGA SEMUA ADUAN DISIASAT. Satu Jawatankuasa Penyiasat Bebas yang turut dianggotai wakil calon bertanding mesti dibentuk serta merta untuk mencari jalan terbaik memperbaiki keadaan. Rapat Anak Muda mendesak Presiden agar bertindak segera dengan kuasa yang ada padanya agar mengarahkan pemilihan yang sedang berlangsung dihentikan serta merta. Pemilihan semula harus dilakukan dengan sistem yang telah diperbaiki dan dipersetujui bersama. Rapat Anak Muda mencadangkan Dato’ Fauzi Abdul Rahman dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa tersebut.
5. RAPAT ANAK MUDA JUGA MEMUTUSKAN AGAR SEMUA CALON DAN/ATAU PEMIMPIN DI SEMUA PERINGKAT TIDAK MENGAMBIL TINDAKAN MELETAKKAN JAWATAN DAN/ATAU MENARIK DIRI DARI BERTANDING BERIKUTAN KRISIS YANG MELANDA. Rapat ini menyeru agar semua calon dan pemimpin berlapang dada bersatu menggunakan semua kedudukan sedia ada sepenuhnya untuk mendesak resolusi ini dilaksanakan oleh parti.
6. ATAS SIFATNYA SEBAGAI SEORANG TOKOH YANG DISEGANI DAN TIDAK BERTANDING, RAPAT ANAK MUDA BERSETUJU AGAR DATO’ FAUZI ABDUL RAHMAN, PENGERUSI MPN, KEADILAN PAHANG, MENJADI JURUCAKAP DAN MEMBAWA RESOLUSI INI UNTUK DISERAHKAN KEPADA PRESIDEN PARTI. Rapat Anak Muda meminta Presiden Parti memberikan maklumbalas pertama terhadap resolusi ini dalam tempoh 24 jam selepas penyerahannya. Presiden juga dituntut agar memainkan peranan utama di dalam menangani krisis yang sedang melanda; bersikap adil kepada semua pihak yang bertanding dan seluruh anggota parti.
Semua perkara yang terkandung di dalam Resolusi ini dicapai setelah semua yang hadir di dalam Rapat Anak Muda berbincang, berhujah dan berdebat memikirkan masa depan parti dan harapan rakyat terbanyak. Rapat Anak Muda Keadilan hari ini merayu semua pihak mengenepikan ego masing-masing demi memikirkan kepentingan parti, rakyat dan negara.
Salam perjuangan
10 November 2010
9.00 malam - 11.50 malam
Dewan Perhimpunan Cina Selangor,
Jln Dato Maharajalela,
Kuala Lumpur








