CHUA Tian Chang, atau lebih dikenali dengan nama Tian Chua, memutuskan untuk bertanding sebagai calon Bebas dalam pertandingan 10 penjuru di kerusi Batu kerana janji dibuatnya kepada pengundi kawasan itu empat tahun lalu.
Tian Chua adalah ahli Parlimen Batu dari 2008 hingga 2018 tetapi gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU14 selepas hilang kelayakan pada hari penamaan calon.
Beliau kemudiannya menawarkan sokongan kepada calon Bebas ketika itu, P. Prabakaran yang menang dan menjadi wakil rakyat termuda.
“Saya berjanji kepada pengundi Batu yang saya akan terus berkhidmat. Saya tak akan tinggalkan Batu. Saya perlu tunaikan janji itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, bukan niatnya untuk menimbulkan kemarahan bekas partinya, PKR, tetapi merasakan ia adalah tindakan yang betul untuk diambil.
Beliau menjelaskan yang keputusannya untuk bertanding dimaklumkan kepada kepimpinan PKR sebelum hari penamaan calon.
“Saya beritahu Anwar (Ibrahim, presiden PKR) yang saya minta maaf tetapi saya putuskan untuk ambil jalan ini,” kata Tian Chua.
“Saya juga beritahu yang ini tidak pernah berniat untuk menjejaskan hubungan kami.”
Katanya lagi, beliau tidak mengharapkan Anwar memahami keputusannya, malah pemimpin PKR lain juga turut memujuknya supaya tidak bertanding di Batu.
“Tetapi saya percaya apa yang saya buat adalah betul,” kata politikus berusia 59 tahun itu.
Pertandingan 10 penjuru di Batu adalah yang terbanyak pada PRU15 kali ini.
Daripada 10 calon merebut kerusi Batu, enam adalah daripada pakatan dan parti politik utama, iaitu Prabakaran (Pakatan Harapan (PH)-PKR), A Kohilan Pillay (Barisan Nasional (BN)-MIC), Azhar Yahya (Perikatan Nasional (PN)-PAS), Wan Azliana Wan Adnan (Gerakan Tanah Air (GTA)-Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan) dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia).
Mereka melawan empat calon Bebas - Tian Chua, Siti Zabedah Kasim, Nur Fathiah Syazwana Shaharudin dan Too Cheng Huat.
Parlimen Batu dianggarkan mempunyai lebih 113,000 pengundi selepas mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun ditambah secara automatik ke dalam senarai daftar pemilih.
Mengikut pecahan kaum, pengundi kawasan itu majoritinya adalah Melayu (43%), Cina (30%), India (20%) dan lain-lain (7%).
Penyokong PH merasakan Tian Chua membuat keputusan salah kerana ia menarik undi daripada Prabakaran seterusnya menyebabkan pakatan itu kehilangan kerusi Batu.
Berikut adalah wawancara The Malaysian Insight bersama Tian Chua:
Q: Dengan bertanding lagi, apa yang awak harapkan buat lebih baik berbanding apa yang sudah Prabakaran buat?
A: Saya bukan baru di sini. Saya sudah di Parlimen sejak 10 tahun lepas, saya sudah berkhidmat di sini selama 10 tahun. Jadi orang boleh buat perbandingan. 10 tahun saya lawan empat tahun Prabakaran. Biar rakyat putuskan jika saya boleh kerjalebih baik atau Prabakaran lebih baik. Sekarang masanya pengundi buat keputusan. Saya bukan pergi temuduga kerja untuk cakap saya boleh buat lebih baik.
Q: Ada cakap-cakap akar umbi yang awak bermasalah dengan Prabakaran.
A: Bagi saya itu tidak relevan. Rakyat perlu buat penghakiman berdasarkan kemampuan kami. Siapa lebih berkemampuan. Saya tidak ada masalah dengan calon lain juga. Kami hanya mewakili pelbagai lapisan berbeza politik Malaysia.
Q: Awak ada bercakap dengan Prabakaran sebelum memutuskan untuk bertanding?
A: Keputusan (untuk bertanding) dibuat lama dulu. Dia tahu mengenainya. Parti pun tahu. Prabakaran memutuskan yang dia sudah cukup kuat berseorangan. Dia cabar saya pada pemilihan PKR Cabang Batu dan dia menang. Itu bermakna dia sudah cukup kuat untuk beritahu pengundi Batu yang dia sekarang sudah besar. Dia tak perlukan Tian Chua untuk jadi mentor atau berkempen untuknya. Saya hormati keputusan itu, orang muda ada cita-cita mereka sendiri.
Jadi sekarang, memandangkan dia sudah buat keputusan, biar dia beritahu kepada rakyat dan mereka akan putuskan. Saya bukan di sini untuk melawannya dan saya tidak berkecil hati. Kerana dia rasa pasukan dan jenteranya sudah cukup untuk membantunya, dia boleh teruskan. Dia ada hak untuk berbuat begitu.
Q: Di media sosial ramai kata jangan buang masa undi calon Bebas. Apa pandangan awak?
A: Tak kisah. Perlembagaan benarkan ini berlaku (untuk bertanding secara Bebas). Sama ada calon Bebas atau calon parti, di akhirnya, ia adalah keputusan rakyat. Media sosial juga cakap semua benda lain selain daripada Pakatan Harapan sudah tidak relevan. Ada benarnya, jadi biarlah.
Q: Apa pandangan awak tentang jumlah calon yang ramai di Batu?
A: Saya tak tahu mengapa mereka semua datang ke Batu. Tetapi sebagai orang sudah lama di sini, saya mengalu-alukan mereka. Ini bermakna ramai orang berminat untuk berkhidmat di sini. Nasihat saya hanyalah, bila kalah, jangan lari. Teruskan berkhidmat.
Q: Siapa awak rasa pencabar utama? Prabakaran?
A: Bukan, bukan Prabakaran. Saya rasa cabaran terbesar untuk saya datangnya dari BN (Kohilan) dan PN (Azhar Yahya).
Q: Kenapa?
A: Kohilan bukan calon lemah, kerana itu MIC dan MCA berebut hendak kerusi ini. Mereka fikir ini kerusi boleh menang. Dia boleh tarik undi orang India dengan jentera mereka.
Selain itu, dia dapat sokongan Gerakan dan MIC. Kohilan berpengalaman dan calon disukai ramai, dia juga orang sini. Saya tak mahu perlekeh kemampuannya.
Sentimen orang Melayu pula kita tak tahu. Mereka majoriti di sini. Ia (undi) boleh pergi ke BN jika saya tak bertanding. Saya ada sokongan besar daripada orang Melayu. Saya yakin dapat kekalkan sokongan tradisi di sini.
Q: Bagaimana awak berkempen? Rumah ke rumah? Ceramah?
A: Saya buat semuanya. Saya mampu ubah keadaan dalam empat hari pada pilihan raya lepas (bila PH beri sokongan kepada Prabakaran yang merupakan calon Bebas ketika itu). Kita boleh mendekati rakyat dan dengan jentera, kita mampu ubah fikiran rakyat untuk beri undi kepada Prabakaran.
Itu kekuatan jentera kita ketika itu. Kita ada jentera komuniti yang sangat kuat. Prabakaran tidak mahu guna mereka sekarang. Mereka sekarang bersama saya. Dia ada pasukannya yang membantunya pada PRU14, jadi dia terus bersama mereka. Ini pasukan asal cabang kami dan sudah di sini hampir 20 tahun. Mereka sudah berkhidmat di sini sejak mula-mula saya datang sini. – 13 November, 2022.