HARGA sayur-sayuran di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dijangka meningkat antara 30% hingga 70% berikutan kekurangan tenaga kerja di bawah peraturan baharu operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pemilik gerai di pasar berkenaan, yang masih menjadi hab utama hasil pertanian segar ke pasar lain, kedai runcit dan pasar raya di Lembah Klang, mengurangkan stok kerana mereka hanya menggunakan pekerja tempatan, kata Pengerusi Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Wong Keng Fatt.
“Kerajaan hanya membenarkan pekerja tempatan memasuki pasar borong, namun sukar untuk menggaji pekerja tempatan.
“Sekiranya kekurangan pekerja berterusan, situasi ini (kenaikan harga) mungkin akan berterusan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Buruh di pasar dikuasai oleh buruh asing, namun kebanyakan pekerja ini tertakluk di bawah peraturan PKPD yang dilaksanakan di utara Kuala Lumpur dan Selayang sekaligus menjejaskan mereka di sekitar pasar borong berkenaan.
Minggu lalu, pasar berkenaan ditutup sementara untuk kerja sanitasi bagi mencegah Covid-19, dan kini hampir separh daripadanya beroperasi.
Hanya 110 daripada 216 gerai di pasar berkenaan beroperasi sejak dua hari lalu.
Wong berkata, kini pihak berkuasa mahu sesiapa yang mahu masuk ke pasar borong berkenaan menunjukkan bukti mereka telah menjalani ujian Covid-19.
Ini terpakai kepada pekerja pasar, pengangkutan atau logistik dan pengguna, dan menyebabkan jumlah pelanggan berkurangan.
“Kos ujian Covid-19 (di pusat kesihatan swasta) adalah antara RM400 dan RM600 dan selepas itu kamu kena tunggu laporan, jadi walaupun ada yang menjalani ujian itu, ia mengambil masa beberapa hari untuk mendapat keputusan,” kata Wong.
Satu lagi impak syarat ini adalah ketika bekalan sayur berkurang di pasar, bekalan tidak dapat dihantar keluar ke pasar lebih kecil buat sementara waktu.
Namun, katanya harga sayur-sayuran akan lebih tinggi berbanding biasa buat sementara waktu.
PKPD di utara Kuala Lumpur berkuatkuasa sehingga 3 Mei dan kira-kira 15,000 penduduk dan pekerja yang tinggal di kawasan itu akan diarah menjalani ujian saringan Covid-19, kata Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.
Pasar harian Selayang juga ditutup pada 21 April dan masih belum menyambung perniagaan.
Penasihat pasar harian Yap Chin Chon berkata, kebiasaanya bulan Ramadan adalah waktu yang baik untuk peniaga dan penjaja meraih keuntungan namun mereka kini tiada pendapatan.
Beliau berharap pihak berkuasa berkenaan dapat menyemak perkara ini dan membenarkan pasar kembali beroperasi, kerana bekalan makanan adalah keperluan penting di bawah PKP. – 28 April, 2020.