SELANGOR
- KRISIS DEMOKRASI
Ketika
tulisan ini digarap perlantikan Menteri Besar Selangor masih belum
tuntas. Nama-nama yang dicadangkan kelihatan 'bertaburan'
disebut-sebutkan oleh media baru dan lama. Ada yang saheh dan ada
yang 'angin-angin'.
Dilaporkan
oleh media bahawa Presiden Pas Haji Hadi Awang telah menghantar tiga
nama ke Istana. Kesemua nama dari partinya. Nama siapa ini? Hanya
Hadi Awang sahaja yang tahu. Manakala DAP – telah menghantar hanya
satu nama : Wan Azizah Wan Ismail. Parti Keadilan Rakyat juga telah
menghantar satu nama: Wan Azizah Wan Ismail.
Satu
nama lagi yang disebut media ialah nama Azmin Ali. Nama ini TIDAK
disenaraikan oleh PKR. Tidak disenaraikan oleh DAP. Tidak ada parti
politik dalam Pakatan Rakyat yang mengajukan nama Azmin Ali kepada
Istana. Maka nama yang TIDAK disenaraikan ini sedang dan pasti akan
menimbulkan permasalahan besar.
Pekara besar inilah yang wajib difahami dan disedari oleh
rakyat Malaysia. Lebih besar dari nama Azmin Ali. Pekara-pekara ini
bukan hanya melibatkan ahli PKR atau penyokomg Pakatan Rakyat.
Pekara-pekara ini amat fudumental yang melibatkan kesedaran seluruh
rakyat Malaysia – tanpa mengira parti dan mazhab.
Pekara
ini ialah tentang demokrasi. Demokrasi di Malaysia ini berkait
rapat dengan Raja Berpelembagaan. Justeru tulisan ini akan cuba
memberi pencerahan tentang demokrasi dalam konteks raja
berpelembagaan.
Pertamanya
tulisan ini menolak kesah-kesah karut marut tentang asal usul raja
atau sultan. Sultan dan raja muncul dalam evolusi perkembangan
tamadun manusia. Raja muncul merata-rata diseluruh dunia.
Kemunculan mereka ini sama sahaja bentuk dan labonnya. Raja lahir
ketika masyarakat pertanian masih dalam tahap paling awal. Sosok ini
menjadi raja untuk memimpin kaum tani, kawasan pertanian dan
menjaga kepentingan kampong.
Justeru
– hari ini - tidak masuk akal kalau raja masih dianggap
mewakili tuhan. Atau dianggap jelmaan tuhan diatas muka bumi ini.
Ini hanya mistos yang muncul dalam zaman 'gelap'. Pencerahan telah
membuka minda ummat yang boleh mentakrifkan apa yang tahyul, apa yang
karut dan apa yang rasional masuk akal.
Di
Tanah Melayu , saperti di negara-negara lain dalam dunia ini – raja
dan sultan wujud. Zaman feudal ini bukan satu yang memalukan. Ini
sebahagian dari sejarah tamadun bangsa. Tidak ada tamadun
bangsa-bangsa dalam dunia ini yang dapat melarikan dari evolusi
kemunculan kaum feudal ini – kecuali bangsa-bangsa yang tahap
tamadunnya belum enap stabil dalam bentuk ekonomi pertanian dan
mereka dilaggar penjajah yang membawa moden.
Apabila
Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris datang ke Tanah Melayu - raja
memainkan peranan kepimpinan yang gemilang. Kuasa ekonomi Raja
Melayu kini dicerbohi oleh 'orang luar' i.e penjajah. Maka kita lihat
Dato Bahaman, Mat Kilau, Maharaja Lela, Dol Said, Tok Gajah –
bangun mengangkat senjata melawan penjajah. Mereka ini adalah ''kaum
kerabat orang Istana' sebahagian dari struktur feudal.
Penjajah
Belanda dan Portugis – kuasa penjajah awal telah 'melutu dan
menggasak' kaum feudal. Ini membawa penentangan hebat dari anak tanah
jajahan. Kuasa kolonial fascist Jepun ganas – justeru dapat
tentangan dari semua kelas dan gulungan.
Pengalaman
kuasa penjajah awal ini telah dikumpulkan oleh British. British
menggunakan taktik - pecah dan perentah. Dengan licik kuasa kolonial
British telah menggunakan sistem feudal ini untuk menampong dan
membantu kuasa penjajah merampok dan menjarah hasil kekayaan tanah
jajahan. Ada raja dinobatkan oleh British. Ada raja yang melawan British dihalau keluar negeri atau dihantar ke Lautan Hindi. Inilah yang
berlaku di Tanah Melayu.
Sistem
feudal – raja dan sultan – tidak diganggu gugat. Berperang
dengan Bahaman dan Maharaja Lela membawa belanja yang amat besar.
East India Company datang ke Tanah Melayu untuk mencari laba bukan
datang berziarah untuk mengembangkan silatul rahim beramal jariah.
Apabila
mengundur kuasa kolonial British telah meninggalkan satu
Perlembagaan yang menyerupai sistem pentabiran Parlimen Raja
Berpelembagaan – saperti yang wujud di England. Baginda Queen telah
digantikan dengan Yang DiPertuan Agong. Adat istiadat Melayu dan
agama Islam telah diwakafkan kepada raja dan sultan. Ahli Parlimen –
dewan rakyat dan dewan negeri - membuat hukum dan undang-undang. Para
YB ini dipilih melalui pilihanraya.
Jika
kita baca semuanya nampak cun dan bergetah. Tetapi dalam
realpolitik hakikatnya ialah apa yang sedang kita perhatiklan
berlaku di Selangor. Ini realpolitik dalam negara Dunia Ketiga.
Apa
yang sedang berlaku adalah contoh terbaik dimana sistem raja
berpelembagaan telah terpesong dan menjadi lucah. Untuk memahami ini
kita kembali melihat apa yang telah berlaku di Perak 2009. Kes Perak
ini telah dijadikan rujukan atau 'precedent' dalam bahasa
undang-undang. Nizar Jamaluddin - Menteri Besar dari Pakatan Rakyat
telah digantikan dengan Zambry Kadir dari Barisan Nasional.
Ini
berlaku diatas hujah bahawa Zambry memiliki sokongan terbanyak dalam
Dun Perak. Sokongan terbanyak ini diyakini oleh sultan maka Zambry
Kadir dilantik sebagai MB Perak. Kes tutup. Perlembagaan ditaati.
Di
Selangor kita lihat pekara yang sama berulang. Khalid Ibrahim hilang
kepercayaan dari partinya. Khalid gugur sebagai MB Selangor. Dr. Wan
Azizah mendapat sokongan 30 Adun Selangor. Jumlah Adun Selangor ialah
56 orang – justeru 30 Adun adalah angka majoriti. Maknanya Wan
Azizah pemilik suara majoriti.
Seharusnya
jika mengikut raja berpelembagaan dan mengikut rujukan Kes Perak –
Wan Azizah adalah MB Selangor yang baru. Ini TIDAK berlaku. Kong
kalikong terjadi. Putar alam belit membelit berlaku. Dari kedegilan
Khalid Ibrahim hingga ke dulak dalik Hadi terserlah. Maka masuk pula
sosok yang bernama Azmin Ali.
YB
Azmin Ali – di ulangi sekali lagi - namanya TIDAK ada dalam
senarai. PKR – partinya sendiri TIDAK mencalonkan dirinya. Malah si
Azmin ini adalah salah seorang dari 30 Adun yang menyokong Dr Wan
Azizah. Malah Azmin telah menanda tangani surat Akuan Bersumpah
untuk menyokong Wan Azizah.
Jika
Azmin Ali dipilih oleh Istana maka ini adalah pilihan Istana. Maka
jelas dilihat, jelas dibaca bahawa Azmin bukan pilihan PKR. Bukan
pilihan Pakatan Rakyat. Azmin TIDAK mewakili kepentingan PKR atau
Pakatan Rakyat - jauh sekali rakyat. Azmin akan dilihat dan dibaca
sebagai mewakili sultan. Timbul persoalan untuk kurun ini : dari
bucu mana Istana mengutip nama Azmin. Inilah yang menjadi persoalan
hakiki.
Hakikatnya
- jika Istana boleh mengutip nama – maka TIDAK perlu Selangor malah
Malaysia juga TIDAK perlu mengadakan pilihan raya. Mungkin saban
tahun , atau lima tahun sekali atau bila-bila masa sahaja si sultan
boleh memilih sesiapa sahaja – malaon mana pun - untuk menjadi
Menteri Besar atau Menteri Kabinet waiama Perdana Menteri sekali pun.
Justeru,
pada hemat saya - apa yang sedang kita lalui ini bukan hanya tentang
Selangor, tentang PKR atau tentang Azmin atau Wan Azizah. Diakui –
mereka semua ini adalah pemain utama tetapi dibelakang nama-nama ini
ada yang lebih penting.
Pada
hemat saya yang paling penting ialah pemahaman kita semua tentang apa
itu demokrasi. Apa itu suara ramai. Apa maknanya suara majoriti. Apa
maknanya parlimen. Sebagai anak semua bangsa – apakah yang kita
fahami tentang raja berpelembagaan.
Untuk
saya ini lebih penting kerana ianya membawa implikasi yang maha jauh.
Sesudah Azmin atau Wan Azizah atau Hishamuddin Rais mati – negara
yang bernama Malaysia ini akan terus wujud. Ahli politik pergi dan
datang. Kemenangan jangka pendek hanya kemenagan pendek.
Apa
yang berlaku di Selangor ini adalah penglucahan proses demokrasi.
Kesongsangan akidah dalam pemahaman apa itu suara majoriti. Para
politikus mendahulu kepentingan diri. Ini dibantu pula oleh kegagalan
kita semua sebagai warga untuk bersuara dan menyatakan apa yang
benar dan apa yang salah. Nilai salah benar kita menjadi lucah.
Paling sedih adalah kegagalan lembaga feudal yang dinobatkan oleh
Perlembagan dalam bentuk Sultan.
Kegagalan
yang saya maksudkan ialah kegagalan lembaga feudal untuk melintasi
yang duniawi. Melihat dari mata hati Ratu Adil. Membawa
keadilan bukan sahaja ke Selangor malah ke atas muka bumi ini.
Kini
anak semua bangsa melihat lembaga feudal ini bertentangan dengan
konsep demokrasi. Kegagalan feudal untuk menghormati suara majoriti
akan membawa implikasi yang maha lama. Pada ketika ini kegagalan
lembaga ini semakin dilihat jelas. Buruknya sistem feudal ini
terserlah. Terbukti - krisis Selangor membuka ruang dimana raja atau
sultan boleh memilih sesiapa sahaja.
Saya
yakin dari keburukan ini pasti akan muncul satu sistem yang dapat
menghormati dan menobatkan rasa hati dan pilihan majoriti rakyat.
EPILOK
Ketika
tulisan ini tamat ditulis nama MB Selangor yang baru masih
dirahsiakan. Ini adalah tanda-tanda zaman.
Pada
satu ketika dahulu – dalam hikayat-hikayat Melayu lama - sebelum
Menteri dilantik canang dan tabuh telah dipalu. Rakyat saentero
negeri dijemput bertandang menyambut kedatangan Sang Menteri.
Yang
capek datang bertongkat
Yang
buta tertanya tanya
Yang
pekak membakar meriam
Yang
bisu bertunda-tunda
Nasi
mendidih menganak sungai
Kerak
nasi membusut jantan
Hampas
kelapa menutup pandang
Tujuh
hari tujuh malam
Sultan
kenduri gegak gempita
Menyambut
Menteri baru dikata
Sekarang
ini:
Yang
majoriti ditolak pergi
Yang
rasuah dipanggil mari
Yang
kelentong dijemput datang
Yang
dulak dalik imam sembahyang
Nama
MB masih rahsia lagi. (TT)
--------------