DAP tetap mahu Peguam Negara beri penjelasan mengenai kes Zahid
KLANG – DAP kekal dengan berpendirian mahu Peguam Negara mengeluarkan kenyataan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas tanpa bebas Zahid.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya tidak berganjak daripada pendirian yang menuntut satu penjelasan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung keputusan berkenaan.
“Semestinya perlukan penjelasan (daripada Peguam Negara) sama ada cukup sekadar penjelasan kepada umum, DAP tetap dengan pendirian kami dan satu penjelasan perlu diberikan tapi apakah jenis penjelasan itu saya tidak boleh paksa Peguam Negara apa nak beritahu.
“Terpulang kepada Peguam Negara untuk tentukan apakah penjelasan yang perlu diberikan, saya rasa Peguam Negara yang baru (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh) juga telah keluarkan kenyataan, hari ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Kongres Kebangsaan Wanita DAP di Shah Alam, pagi tadi.
Langkah itu jelas Anthony perlu bagi memastikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi perundangan negara masih kukuh.
“Tidak ada persoalan sama ada DAP terima atau tidak, tapi kepercayaan masyarakat tentang sistem perundangan, itu yang saya nyatakan kepada Anwar Ibrahim.
“Saya rasa Peguam Negara harus ambil langkah perlu untuk memastikan kepentingan dan kepercayaan rakyat masih kukuh,” katanya lagi.
DAP sebelum ini menegaskan Peguam Negara (ketika itu), Idrus Harun seharusnya memberikan penjelasan terbuka berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.
Penjelasan ini katanya, penting bagi memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, DAP menyatakan pendirian agar kerjasama yang dibina dalam kerajaan perpaduan harus dicerminkan di peringkat akar umbi.
Anthony berkata, kerjasama dalam kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim harus dikekalkan kerana kelangsungan sebarang kerjasama adalah berdasarkan kepada hubungan baik antara ahli di peringkat bawah.
“Kalau kerjasama ini di peringkat pucuk pimpinan sahaja ia tidak cukup untuk memastikan bahawa kerjasama itu diterima oleh semua peringkat parti. Ini adalah satu permulaan yang baik malah dalam Perhimpuan Agung UMNO juga saya hadir.
“Ini adalah satu permulaan bagi saya dan sudah tentu kita kena buat lebih daripada itu, adakan program bersama di peringkat akar umbi supaya masyarakat melihat bahawa kerjasama ini adalah satu semangat yang baik dan juga satu semangat untuk membawa politik yang lebih progresif dalam negara kita,” katanya. –