ISLAM BUDAYA & HARI RAYA
Jika kita membaca dengan teliti Batu Bersurat Kuala Berang Terengganu maka kita dimaklumkan bahawa agama Islam Arab telah sampai ke Tanah Melayu anggaran tahun 1303. Siapa membawa dan dari mana masih dalam kajian dan teori. Apa yang saheh bahawa pada ketika itu Bani Melayu telah memiliki tuhannya yang dipanggil Dewata Mulia Raya.
Batu Bersurat ini adalah tanda rakaman permintaan memasukkan agama Arab – agama Islam - ke alam Melayu melalui persetujuan Dewata Mulia Raya. Amin
Sejarah moden hari ini merakamkan satu pandangan bahawa negeri Melaka telah wujud seawal 1262 Tahun Masehi. Kita juga diberitahu melalui Salatul Salatin bagaimana warga Melayu Melaka yang ketika itu bukan beragama Islam telah terperanjat hairan apabila melihat ahli perniagaan dari Timur Tengah atau India tunggang tunggit di tepi pantai. Ini dikatakan berlaku pada tahun 1404.
Kita juga diberitahu bagaimana Sultan Melaka Parameswara bemimpi dan ‘anunya’ dipotong. Lalu Baginda menganut agama peniaga Arab yang datang mencari rempah rampai di Melaka. Sama ada ini dongeng atau mitos bukan babak ini yang dibincangkan dalam tulisan ini. Apa yang saheh ialah apabila Raja memelok agama Islam maka rakyat dan pengikut Baginda juga memelok agama yang sama.
Saya amat yakin agama Islam dizaman Kesultanan Melaka amat murni. Allah ketika itu didakwahkan sebagai Yang Maha Pemurah lagi Penyayang. Islam belum lagi menjadi agama ritual. Islam belum lagi menjadi agama yang suka melarang . Islam belum lagi menjadi agama suka menghukum dan menyusahkan penganutnya – saperti hari ini. Jika pada ketika itu Islam memiliki perangai saperti Islam hari ini mungkin Sultan Melaka tidak akan membuat dongeng tentang ‘anunya’ yang tersunat.
Hakiktanya Islam yang datang ke alam Melayu tidak dilembagakan. Islam bukan agama daulah. Islam datang sebagai agama suci untuk umat manusia.
Fakta sejarah membuktikan bahawa Bani Melayu sebelum 1404 telah memilik asas beragama. Justeru kedatangan dan penerimaan Islam tidak menimbulkan masaalah. Melayu pada ketika itu telah ada tuhan – Dewata Mulia Raya. Terus diganti dengan Allah yang menjadi Yang Maha Esa.
Bani Melayu percaya kepada mahlok halus. Melayu percaya bahawa pokok berhantu. Hutan berhantu. Batu dan busut berhantu. Hidupan memiliki semangat. Dalam Islam makhlok halus ini ialah Jin dan Malaikat. Konsep semangat Bani Melayu diganti menjadi roh. Justeru tidak ada perbalahan untuk Bani Melayu menerima konsep roh, Jin dan Malaikat.
Ritual-ritual Islam datang menyerap masuk ke Alam Melayu dengan harmonis. Justeru bersemah dan berancak akan dimulai dengan Bismilah. Melayu memiliki tangkal sebagai azimat pendinding. Kini tangkal masih lagi menjadi azimat. Kini dalam tangal terselit beberapa baris surat Yassin. Walhal tangkal adalah konsep agama lama Melayu.
Jampi dan serapah Melayu adalah sebahagian dari perubtan Melayu. Dizaman sebelum Islam jampi dimulai dengn bacaan Ooom. Bila Islam sampai Melayu masih berjampi dengan dimulai penambahan Bismillah. Jampi akan diakhiri dengan doa. Kalau sebelum Islam sampai ke Melaka dukun dan bomoh melalui jampi dan serapah akan meminta pertolongan Dewata Mulia Raya. Satelah memelok Islam bomoh , pawang dan dukun meminta pertolongan dari Allah.
Agama Bani Melayu sebelum Islam sampai telah memiliki konsep syurga dan neraka. Memiliki konsep paha dan dosa. Perkataan-perkataan ini berasal dari Bahasa Sanskrit . Konsep ini tidak diubah agar senang difahami oleh Bani Melayu. Dan amat senang untuk diterima pakai. Malah didalam syurga juga ada Bidadari. Konsep bidadari ini telah wujud sebelum 1404. Maka konsep bidadari dalam syurga terus diguna pakai hingga ke hari ini di alam Melayu Nusantara. Amin.
Apa yang ingin saya paparkan disini ialah agama Islam menjadi selari dengan budaya Melayu Nusantara. Bumi tropikal yang indah permai telah lama dilihat oleh Bani Melayu sebagai syurga. Justeru apabila para Ustad menggambarkan keindahan syurga maka Bani Melayu membayangkan hutan hijau dan bunga-bungaan saperti taman bunga dalam Istana. Sungai yang mengalir dalam syurga mungkin menarik perhatian Bani Arab yang hidup dipadang pasir. Dan tidak pernah melihat sungai dan air terjun. Tetapi untuk Bani Melayu gambaran air sungai dalam syurga bukan satu yang asing. Ianya sama saperti air terjun Jeram Toi di Jelebu atau aliran air Sungi Gabai Hulu Langat. Amin.
Hari ini ada pelbagai bentuk dan jenis Islam. Pasti mustahil untuk menolak kenyataan ini. Hakikatnya Islam itu adalah kepercayaan. Islam bukan lagi milik Arab. Islam telah menjadi sejagat. Dalam kepercayan kita diberi pilihan – percaya atau tidak percaya.
Di bumi tropical Malaysia ini kita sedang melihat kepelbagaian Islam. Bukan Islam Sunni atau Islam Shiah yang saya maksudkan. Bukan. Bukan. Bukan.
Di Malaysia pada hemat saya ada pelbagai bentuk Islam. Ada apa yang saya panggil Islam kad Pengenalan, ada Islam keturunan, ada jadi Islam untuk dapat projek, ada Islam ritual, ada Islam politik dan ada Islam budaya.
Islam budaya inilah yang pada hemat saya amat penting peranannya dalam kontek beragama Di Malaysia. Islam budaya ini amat amat menarik walau pun tidak ramai yang sedar bahawa ianya wujud. Hari ini Islam budayalah yang menjadi teraju dan panglima kehidupan Bani Melayu. Islam budaya ini tidak disedari ianya wujud kerana ianya telah menjadi sebahagian dari kehidupan. Budaya itu ialah kehidupan. Dalam pemahaman Islam budaya agama itu sabenarnaya adalah sebahagian dari kehidupan.
Islam budaya ini bukan Islam ritual. Islam budaya bukan Islam dakwah. Jauh sekali Islam Taliban. Islam budaya lahir dari air, udara , sungai, gunung bukit bukau kayu kayan Bumi Melayu.
Dalam alam tropical ini budaya Melayu telah wujud sebelum sampainya Batu Bersurat. Budaya Melayu telah sedia ada sebelum Parameswara menjadi mualaf. Bila Islam sampai budaya Melayu secara terbuka menerima agama baru ini dalam kontek budaya. Ini sama saperti kesampaian agama Hindu yang lebih awal dari Islam. Hakikatnya sebelum agama Hindu sampai dari India budaya Melayu telah wujud. Bani Melayu telah wujud sebelum Hindu. Bani Melayu telah wujud sebelum Islam. Inilah asas untuk memahami kewujudan Islam budaya.
Manifestasi utama Islam budaya ini ialah sikap tolerensi. Tolerensi disambut baik dengan sikap keterbukaan Bani Melayu untuk menerima apa yang menarik, apa yang baik dan boleh untuk memperkayakan budaya Melayu itu sendiri. Justeru budaya Melayu menerima dan merayakan Hindu. Melayu menerima Islam. Melayu menerima Isa dari Nazareth.
Konsep-konsep agama Hindu bersepah-sepah masih diguna pakai. Kewujudan konsep ini memang tidak disedari kerana iaya telah menjadi budaya – menjadi sebahagian dari kehidupan.
Sikap tolerensi sabenarnya adalah kekuatan Bani Melayu. Justeru Melayu di Pilipina merayakan agama Kristian. Manakala Melayu di Bali merayakan Hindu. Tidak ada masaalah. Amin.
Pasti ramai akan bertanya dan tertanya-ranya apakah ciiri dan pola Islam budaya?
Pada hemat saya contoh terbaik untuk memahami Islam budaya ialah melihat kesampaian bulan puasa dan hari raya. Puasa dan hari raya yang kita rayakan di Malaysia ini adalah manifesatai Islam budaya. Puasa dan berhari raya di Malaysia bukan Islam ritual.
Ini bukan pula bermakna Islam budaya wujud tanpa ritual atau amalan. Ada amalan tetapi amalan ini bukan panglima. Islam budaya mengamalkan dan mengikut ritual waktu mula berpuasa dan waktu berbuka puasa. Ritual atau amalan ini ditaati. Tetapi amalan ini bukan pemandu. Yang menjadi panglima dan pemandu Bani Melayu pada bulan puasa ialah budaya Melayu.
Kewujudan bazar Ramadan adalah contoh terbaik Islam budaya. Seribu satu macam jenis kueh Melayu tradisional muncul untuk dijual dalam bulan puasa. Islam budaya merayakan bulan puasa dengan lauk pauk, kuih muih dan makanan menarik. Malah Islam budaya yang toleren menerima masuk makanan baru saerti Roti John dan Goreng Pisang Cheese.
Islam budaya juga telah menerima masuk budaya ang pau dari budaya China. Sama saperti zaman kerajaan Melayu Melaka dahulu , Bani Melayu telah mengubah suai ang pau untuk menjadi menjadi duit raya. Dari sampul merah – gong hee fat chai – ianya ditukar dengan sampul hijau degan ucapan selamat hari raya. Ini manifestasi keindahan Islam budaya.
Tidak cukup dengan duit raya Islam budaya sedang merayakan malam tujur likur. Bermain bunga api dan membakar mercun bukan ritual Islam Arab. Ada yang tidak faham makna bunga api dan mercun. Justeru dilarang berbunga api dan membakar mercun. Ini sikap bebal yang tidak faham apa makna merayakan. Mercun dan bunga apa itu adalah tanda dan makna kita sedang merayakan. Bakar bunga api dan bakar mercun adalah nahu untuk memberi tahu Dewata Mulia Raya bahawa kita amat bergumbira.
Pada bulan puasa sila lawati kampong-kampong disekitar Sayong Kuala Kangsar – dikampong tepi tebing Sungai Perak. Disini wujud satu lagi manifestasi Islam budaya. Diwilayah ini anak-anak muda akan membakar meriam buluh atau meriam besi dengan menggunakan karbide. Dari Kampong Hulu anak anak muda akan berlawan tembakan dengan Kampong Hilir. Dum dum dum ini adalah manifestasi Islam budaya.
Bila hari raya sampai Bani Melayu akan mengadakan rumah terbuka untuk sesiapa sahaja yang melintasi dihadapan rumah mereka. Islam Iraq, Islam Saudi atau Islam Pakistan tidak memiliki budaya meriam buluh jauh sekali konsep rumah terbuka. Hanya Islam budaya di Malaysia yang memiliki rumah terbuka.
Apa yang ingin saya sampaikan disnilah ialah kekuatan Islam budaya. Manifestasi yang saya sebutkan adalah tanda kekuatan Islam budaya. Sabenarnya , tanpa disedari majoriti penganut Islam di Malaysia ini terangkum ke dalam mazhab Islam budaya. Bukan mazhab Sunni atau Shiah.
Islam budaya ini toleren, terbuka tanpa menjanjikan syurga atau neraka. Tanpa menaburkan larangan. Tanpa memiliki sikap suka menghukum. Tanpa keharmonian Islam budaya mustahil Parameswara ingin jadi mualaf. Selamat Hari Raya. Selamat merayakan Islam Budaya. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
---------