Hari ini ramai warga sedar bahawa politik Malaysia sesudah PRU15 masih terumbang ambing. Kita tidak perlu pergi belajar ke Oxford Universiti atau ke Havard Universiti untuk membaca, melihat dan memahami apa yang berlaku.
Hari ini ramai warga melihat negara tidak terurus dan semakin bercelaru walau pun telah hampir setahun kerajaan baru ditubuhkan.
Kerana ini ramai warga, ramai menganalisa dan pemerhati politik memberi sebab itu dan sebab ini.
Ada yang menuduh Anwar gagal. Kini Anwar menjadi seleberiti berjoget terpekik terlolong ke sana sini. Anwar tidak boleh buat kerja. Anwar tidak masuk pejabat dan fail kini membukit. Banyak jawatan GLC masih belum di isi.
Tidak cukup dengan berita ini timbul pula cerita apabila Anwar buka mulut dia berbohong. Semua janji jadi capati. Anwar dicap sebagai kaki putar numero uno.
Ada warga dan pemerhati politik yang memberi pandangan bahawa jemaah menteri kabinet Anwar tidak ada pengalaman dan ada yang tidak cerdik.
Justeru, kerana keadaan ini maka yang paling resah gelisah ialah Bani Melayu. Tidak Bani China. Tidak Bani India.
Hakikatnya Bani Melayu makin gelisah. Bani Melayu makin resah. Bani Melayu merasa tidak selesa. Perasan resah dan gelisah ini tidak difahami secara tuntas. Hanya dirasakan.
Resah gelisah wujud tetapi Bani Melayu secara ilmiah lagi tuntas mereka tidak tahu dari mana punca kegelisahan ini datang.
Virus yang mengganggu Bani Melayu ini dari mana ? Dari bilik makmal mana bocornya virus yang menjadikan Bani Melayu gelisah resah dalam negara mereka sendiri?
Tulisan ini cuba memberi satu jalur pandangan untuk mencari sebab musabab yang mewujudkan kegelisahan Bani Melayu.
Sebenarnya sebab musabab wujud kegelisahan Bani Melayu ini cukup jelas. Memahaminya tidak memerlukan ilmu bedah otak.
Bani Melayu gelisah resah kerana untuk pertama kalinya dalam sejarah moden tamadun Tanah Melayu - Perdana Menteri yang di lantik bukan datang dari parti Melayu.
Najib Perdana Menteri walau pencuri yang di masukan ke dalam penjara masih berasal dari parti Melayu – parti United Malaya National Organisation. Mahathir ketika dilantik kali ke dua berasal dari Parti Melayu Bersatu. Begitu juga Muhyidin. Ismail Sabri pengganti Muhyidin juga dari parti Melayu United Malaya National Organisation.
Tetapi Anwar bin Ibrahim yang menjadi Perdana Menteri Ke 10 satelah PRU15 bukan dari parti Melayu. Anwar dipilih jadi PM bukan berasal dari parti Melayu.
Anwar datang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Parti ini bukan parti Melayu. PKR klim parti berbilang bangsa bukan eksklusif parti Melayu. Ada India , ada China, ada Baba dan ada Yang Lain dalam PKR Jangan silap baca Anwar bin Ibrahim adalah Melayu. Hanya Anwar tidak memimpin parti Melayu.
Justeru kerana PM kali ini bukan dari parti Melayu maka semenjak selesai PRU15 kita lihat suasana politik Tanah Melayu semakin tidak stabil – porak peranda tunggang langgang. Retak menunggu belah.
Tidak ada pula pemerhati dan penganalisa politik berkata dengan sempoi ‘... Anwar bukan dari parti Melayu... bukan dari UMNO... Bersatu... PAS... ini sebab orang Melayu jadi huru hara ...gelisah...’
Bani Melayu keseluruhan kini melihat kuasa politik Tanah Melayu telah terlepas dari tangan Melayu. Hakikat ini adalah hakikat empirikal lagi ilmiah.
Malah amat jelas dalam real politik jumlah YB DAP lebih ramai dari YB PKR. Dalam Parlimen DAP ada 42 kerusi. PKR hanya ada 31 kerusi. Jumlah 42 lebih ramai dari 31.
Dalam sistem demokrasi mengundi dan pungutan suara pastilah suara 42 YB DAP lebih kuat dari suara 31 YB PKR.
Tambah meresahkan lagi dalam PKR sendiri masih ramai YB yang bukan Melayu.
Jeng jeng jeng sampai media sosial. Masuk Tik Tok. Kempen PKR jadi kuda DAP bermula.
Justeru kempen Tik Tok yang menggambarkan PKR ditunggang oleh DAP menusuk dan menggigit. Kempen naratif ini dalam media sosial ini berjaya . Naratif DAP menunggang PKR ini amat-amat di yakini oleh Bani Melayu.
Bani Melayu melihat kuasa politik kini telah masuk ke tangan parti DAP. Parti DAP ini walau pun klim sebagai parti berbilang bangsa masih di lihat oleh Bani Melayu sebagai parti Bani China.
Tidak semua Bani Melayu buta sejarah.
Bani Melayu sedar fakta dimana sejarah DAP ini berasal usul dari Parti Peoples’s Action Party (PAP) yang di kepalai oleh Lee Kuan Yew. Sosok Lee Kuan Yew ini dengan licik berjaya mengambil pulau Singapura yang asalnya sebahagian dari Tanah Melayu untuk dijadikan wilayah Bani China.
Dari suasana ini muncul dua naratif induk dalam landskap politik Tanah Melayu hari ini.
Pertama : Kuasa politik Melayu telah hilang dari milik Bani Melayu. Ke dua : Parti PKR sedang di tunggang oleh DAP.
Untuk memperkukuhkan naratif PKR jadi kuda tunggang ini dibuktikan bahawa PKR tidak memiliki sokongan Melayu. Bukan sahaja dalam PKR ramai YB bukan Melayu malah dalam undi pilihan raya juga YB Melayu hanya menang dengan undi Bani China a.k.a undi China penyokong DAP.
PKR tidak mendapat sokongan Melayu ini bukan mitos politik. Bukan propaganda politik. Ini terbukti secara ilmiah bahawa sokongan Melayu terhadap PKR tidak melintasi 20%.
Kajian demi kajian. Pungutan suara demi pungutan suara telah dijalankan. Merdeka Center dan Ilham Center membuat kajian mendapati Bani Melayu tidak menyokong PKR.
Sekali lagi kita tidak perlu belajar politik di Oxford Universiti atau di Yale Universiti. Memadai kita rujuk keputusan PRN 6 Negeri yang baru selesai untuk memahami sokongan Melayu terhadap PKR.
Rata-rata keputusan PRN 6 Negeri membuktikan Bani Melayu tidak menyokong PKR. Negeri lubuk Melayu - Kedah, Terengganu dan Kelantan semuanya menyokong Bersatu atau Parti PAS.
Malah di Selangor di wilayah lubuk-lubuk Melayu calon PKR , calon Amanah atau calon United Malays National Organisation semua bungkus.
Di Pulau Pinang lebih menakjubkan. Paling tertonggeng ialah 3 DUN di Permatang Pauh semuanya jatuh ke tangan Perikatan Nasional. Permatang Pauh adalah kubu kuat kampung asal Anwar Ibrahim.
Permatang Pauh ialah kerusi tradisional anak beranak Anwar. Ketika Anwar dalam penjara kerusi ini dimiliki oleh isteri Anwar. Sesudah itu kerusi yang sama di duduki oleh anak Anwar. Kali ini semua bungkus. Parlimen kalah dan 3 DUN lingkup.
Bukan sahaja Profesor dari Oxford akan tersenyum membaca kesah Permatang Pauh ini malah Profesor dari Sintuk juga akan akur bahawa Bani Melayu tidak lagi menyokong Anwar bin Ibrahim.
Kenapa Bani Melayu tidak menyokong PKR? Kenapa Bani Melayu tidak menyokong Anwar Ibrahim?
Apakah kerana Anwar dituduh meliwat Saipol Bukhari ? Kes liwat ini menjadikan Bani Melayu tidak percaya kepada Anwar ? Mungkin betul mungkin tidak.
Tapi apa yang jelas kempen media sosial yang menggambarkan Islam sedang terancam adalah sebab utama. Islam dihebohkan sebagai sedang digugat.
Yang mengancam Islam , yang menggugat Islam pastilah parti DAP parti milik Bani China. Malah DAP dituduh sebagai Parti Komunis yang anti agama dan anti Islam.
Malah Hadi pemimpin Parti Pas menganggap kerajaan Anwar Ibrahim ini sebagai kerajaan luar tabii. Kerajaan yang di tunggang oleh DAP yang anti Islam.
Ancaman terhadap Islam ini menjadi satu kempen yang berjaya. Bani Melayu mendengar Islam diancam ini dari kuliah-kuliah tidak resmi di Masjid. Merak juga melihat dari apa yang berlaku di hadapan mata. Bani Melayu merasa yakin akan naratif Islam diancam.
Propaganda dan naratif Islam Diancam dari Tik Tok, dari YouTube dari FB dari Ustad YouTube inilah yang menjadikan Perikatan Nasional mendapat kemenangan besar dalam PRN 6 Negeri.
Untuk mempertahankan Islam yang sedang terancam Perikatan Nasional dan para penyokong memiliki 4 bom nuklear.
Empat bom nuklear ini ialah Liberal, Plural. Sekular dan LGBT. Bom-bom ini jika dilepaskan ke wilayah PKR pasti akan memusnah dan menghancurkan saki baki sokongan Bani Melayu kepada PKR.
Contoh terbaik bagaimana bom ini bergerak telah dibuktikan dalam PRN 6 Negeri yang lalu.
Kiraan Undi Awal adalah bukti ilmiah bahawa Bani Melayu tidak lagi menyokong PKR. Justeru pengundi Melayu percaya Islam sedang terancam.
Pengundi awal terdiri dari Pegawai Kerajaan, Polis dan Tentera. Mereka ini hampir 100% dari Bani Melayu. Mereka menjadi pengundi awal kerana bertugas dihari mengundi.
Bila kertas undi dibuka jelas dibuktikan hampir 80 % - 90 % pengundi awal telah menolak Pakatan. Pengundi awal telah memberikan undi kepada Perikatan Nasional.
Pelik tetapi benar perkara ini belum pernah berlaku. Pegawai kerajaan, Polis dan Askar amat setia kepada kerajaan. Tapi kali ini secara terbuka mereka telah termakan kempen Hadi yang mempropaganda kan Islam sedang digugat. Kerajaan Anwar Ibrahim kerajaan di luar tabii. Kerajaan campuran Pakatan-Barisan sedang ditunggang oleh DAP parti Komunis.
Jelas lagi terang Polis tidak tunjuk hormat dengan Menteri KDN. Jelas lagi terang Askar tidak tunjuk hormat pada Menteri Pertahanan. Jelas lagi terang Pegawai Kerajaan tidak ambil pot tentang habuan yang ditabur oleh Anwar Ibrahim.
Apakah betul kerajaan Anwar di luar tabii ? Apakah betul Islam sedang diancam ? Apakah benar Islam tergugat oleh DAP ? Tunggu minggu hadapan Amin. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN
JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW.COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/09/15/keresahan-orang-melayu
DAN
THE MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/462170