HIMPUNAN #KITALAWAN 7 MAC DESAK NAJIB UNDUR
Sekretariat #KitaLawan memutuskan bahawa himpunan di hadapan Sogo pada setiap hari Sabtu jam 4.00 petang akan diteruskan walaupun terdapat penangkapan yang dibuat oleh pihak Polis terhadap peserta himpunan pada minggu lepas. Ini adalah sejajar dengan pendirian gabungan #KitaLawan yang mana himpunan akan diteruskan setiap minggu sehingga tuntutan kami dipenuhi.
Maka, himpunan besar akan diadakan pada 7 Mac 2015 dengan tumpuan khusus supaya Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan segera dan seterusnya membebaskan saudara Anwar Ibrahim. Gesaan kami dibuat bersandarkan fakta-fakta yang menunjukkan kegagalan beliau menjalankan tugas sebagai pemimpin utama negara seperti berikut:-
1. Memusnahkan kewibawaan Institusi Kehakiman dengan memenjarakan Saudara Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik melalui konspirasi Fitnah 2.
2. Meletakkan kedudukan kewangan negara dalam bahaya melalui skandal 1MDB dimana hutang 1MDB yang mencecah puluhan bilion Ringgit bakal ditanggung oleh rakyat.
3. Hiprokasi beliau terhadap isu-isu hak asasi manusia yang mana akta-akta zalim dan drakonian seperti Akta Hasutan masih digunakan untuk menghukum rakyat demi melindungi kuasa dan kedudukan beliau.
4. Ketidak pedulian beliau terhadap ekonomi rakyat terutamanya dengan meneruskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sedangkan beliau, keluarga mahupun pimpinan UMNO Barisan Nasional yang lain terus bermewah dan berbelanja dengan boros.
5. Pengurusan ekonomi negara yang lemah dan tiada kekuatan menolak dasar ekonomi yang tidak adil kepada rakyat seperti masih mengadakan rundingan perjanjian TPPA, gagal menghapuskan cukai eksais kereta yang melampau dan sebagainya.
6. Meminggirkan nasib golongan muda yang berhadapan dengan kos sara hidup tinggi, pengangguran, kualiti pendidikan yang merudum dan mahasiswa tiada kebebasan akademik.
7. Masalah rasuah, penyelewengan dan ketirisan yang terus berleluasa dimana tiada keikhlasan mahupun usaha (political will) dibawah kepimpinan beliau untuk membanterasnya sedangkan pemberi maklumat terus dihukum.
8. Tuntutan-tuntutan khusus rakyat seperti pilihanraya yang bersih dan adil, royalti minyak, anti-Lynas, dan pelbagai isu-isu lain langsung tidak didengar dan dihiraukan.
9. Menyekat kebebasan media dimana media arus perdana hanya menjadi saluran penyebaran agenda UMNO dan pemerintahan beliau masih menggunapakai amalan lapuk permit penerbitan bagi menghadkan saluran-saluran media alternatif.
10. Menggalakkan kewujudan kumpulan-kumpulan ekstrimis perkauman atau agama seperti Perkasa seolah-olah kepimpinan beliau mahu membiarkan agar berlakunya ketegangan kaum dan agama.
11. Penyalahgunaan institusi-institusi kerajaan seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM yang menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi tersebut.
12. Kes pembunuhan Altantuya yang masih menjadi tanda tanya dan pengakuan Sirul bahawa ada arahan atasan untuk melakukan pembunuhan tersebut perlu diperjelaskan.
Kami percaya terdapat banyak lagi bukti-bukti kegagalan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia. Jika dibiarkan, lebih banyak lagi kerosakan dan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat. Justeru itu, kami mengajak rakyat Malaysia untuk mengambil langkah yang pertama untuk memperbetulkan halatuju masa depan negara iaitu dengan bersama-sama menyertai anak muda untuk turun beramai-ramai pada 7 Mac 2015 bagi mendesak Najib Razak meletakkan jawatan dengan segera.
25 FEBUARI 2015
SEKRETARIAT #KITALAWAN
-----------