KEBERAHIAN
ANWAR
BABAK DUA
Saya
menyambung surah keberahian Anwar
Ibrahim. Ramai pembaca merasa tak puas hati kerana surah pertama saya
terputus. Sebenarnya bukan sengaja saya
putuskan. Saya berbuat sademikian kerana
budaya menulis dalam portal juga ada hadnya. Jika terlalu panjang tulisan
pembaca akan menjadi peniaga buluh kasap
– ujung hilang panggal lesap.
Saya
akui anak semua bangsa amat tertarik dengan
keberahian Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Mahathir.
Sabenarnya tulisan saya mengenai keberahian
Anwar Ibrahim ini bukan satu yang baru. Keberahian ini menjadi ‘hot’ semenjak kemenangan Pakatan
Harapan malam 9 Mei 2018 dahulu.
Seawal tahun
2013 saya pernah menulis tentang keberahian Anwar Ibrahim. Sila rujuk MalaysiaKini.
Pada 12 September 2013 saya ada menulis satu article bertajuk – Apa Dia 2 September.
Sejarahnya
bagini: Satu tahun sebelum Anwar dibuang dari United Malays National Organisation saya telah ditemu bual
oleh John Comley – Ketua Pengarang majalah
Times edisi Asia. Temu bual ini muncul dalam majalah
Times keluaran 6 Oktober 1997. Wajah Anwar
Ibrahim menjadi hiasan kulit majalah.
Saya
ditanya oleh Ketua Pengarang Times tentang keberahian Anwar Ibrahim. Dibawah
ini saya pungut kembali apa yang telah berlaku
dalam temubual itu dan apa yang telah saya
rakamkan pada 12 Septembar 2013 yang diterbitkan oleh MalaysiaKini.
Sebelum
tamat temubual tuan pengarang telah meminta saya meramalkan apakah Anwar akan
menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya tidak menjawab dengan segera. Lalu si
John ini mengulangi katanya.
"Mister
Rais, let's take a bet would Anwar be the next Prime Minister?" Saya
senyap tidak menjawab. Tuan Pengarang meneruskan lagi "Let's bet a
house..."
Saya
menerangkan yang saya tidak ada rumah. Dengan cepat tuan pengarang menyampuk ‘
your mum's house'. Nah, ertinya kami bersetuju untuk bertaruh. Saya dengan
rumah arwah ibu saya di Jelebu. Tuan Pengarang Times dengan rumahnya entah
dimana.
"Mister
Comley... Anwar has lots of political enemy, therefore he is NOT the next Prime
Minister". Dalam bahasa Melayunya saya berkata ‘Tuan Comley, si Anwar ini
banyak musuh politik saya yakin dia tidak akan menjadi Perdana Menteri'. Inilah
jawapan yang saya berikan secara jujur kepada pengarang Times Magzine. Ini
lebih satu tahun sebelum 2 September 1998. Yang lainnya telah menjadi sejarah.
Hari
ini keberahian Anwar Ibrahim semakin membuak-buak. Malah pada hemat saya keberahian
si Anwar ini telah membajak agenda reform. Kebarahian si Anwar hendak menjadi Perdana Menteri ini telah dijaja ke hulu ke hilir hinggakan
menjadikan anak semua bangsa bosan muntah politik.
Perjuangan
anak semua bangsa dan para Reformis untuk
membuka ruang demokrasi diganggu. Ajenda reform menjadi
corot. Akibatnya anak semua bangsa di
Malaysia telah dikepong dan dipaksa menerima keberahian Anwar ini sebagai
ajenda utama. Keberahian Anwar dijadikan pedoman dan teraju politik Malaysia.
Ajenda perubahan struktural dan ajenda reform terpinggir.
‘ Bila
Anwar jadi PM nanti… semua boleh selesai… Hujan emas dan hujan musang king setiap
bulan. Saya sebagai Yb…. saya sebagi
senator…. saya sebagai Menteri sekarang buat senyap senyap.. nanti bila Anwar
jadi PM… baru saya akan keluarkan segala
rancangan kebajikan untuk rakyat…. kalau buat sekarang Mahathir akan dilihat
baik….’ Inilah mantra sulit yang sesekali
kita dengar apabila Menteri ditanya kenapa senyap badak dalam parlimen dan kenapa PaK Menteri tak
ada inisiatif baru untuk rakyat.
Semenjak
9 Mei 2018 – babak- babak politik di Malaysia adalah manifestasi dari
keberahian Anwar Ibrahim. Secara hitam puteh saya telah menyatakan bahawa hampir
setiap minggu, hampir setiap bulan persoalan keberahian Anwar Ibrahim ini muncul.
Tak habis habis. Tak putus putus persoalan apakah Anwar akan jadi Pedana
Mentari sesudah Mahathir dibincangkan.
Dari
warung Mek Ngoh, ke restoran Mamak , ke portal berita, ke kumpulan watapps, ke
dewan kuliah – persoalan apakah Anwar Ibrahim akan dapat kerusi Mahathir digebangkan.
Paling
akhir kelmarin 29 Julai 2019. Keberahian
Anwar muncul apabila Hadi Awang
Presiden Parti Islam Pas meminta agar Mahathir
terus menjadi Perdana Menteri tanpa diganggu gugat. Azmin
Ali masuk semangkuk dengan memberi komen positif tentang kenyataan pemimpin
Parti Islam ini.
Jeng
jeng jeng.
Saperti
tiupan sangkala telah sampai – segala rangka dan segala jembalang dari pelbagai pelusuk bangun membodek…opps…
bangun bersuara. Watak-watak YB Abdulah
Sani muncul senada bertempik dan melaungkan Janji Mahathir. Janji Mahathr. Dua tahun. Janji Mahthir. Dua tahan.
Dua tahun janji Mahathir menjadi mantra. Para pengikut Yb Abdullah Sani beratip tanpa tasbih dengan
mulut berbuih-buih menyebut dua tahun dua tahun dua tahun. Amin.
Pengikut
ajaran mazhab Yb Abdullah Sani yakin perjanjian
Mahathir adalah muktamad. Mahathir akan berundur dalam masa dua tahun. Kerusi Mahathir akan diberikan kepada Anwar Ibrahim.
Bayangkan
seawal 1973 lagi saya telah
mendengar keberahian Anwar Ibrahim ini. Seawal 1973 saya telah terjumpa watak Abdulah Sani.
‘ Wahai
Hishamuddin Rais.. seawal tahun 1973…kamu biar betul… kamu jangan buat fitnah….
kamu jangan fitnah Abam..kamu ini dah kena dedak Atok… dah jadi macai Azmin Ali…’
Tidak.
Bukan dedak dan bukan macai. Ini sejarah. Babak keberahian Anwar pada
tahun 1973 ini telah beberapa kali saya surahkan kepada kawan-kawan yang rapat.
Tapi kali ini sejarah mewajibkan saya merakamkan sebagai bahan sejarah kepada umum.
Pada Oktober
1973 dunia gempar. Perang Arab-Israel pecah. Yahudi memanggil Perang Yum
Kippur. Warga Arab memanggil ini Perang
Ramadan. Ini kerana ianya bermula dalam bulan Ramadan 6 Oktober 1973 dan tamat pada 26 Oktober.
Sebagai
Setiausaha Agong Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya saya mengadakan Sudut
Pidatu pada pagi Sabtu 13 Oktober. Saya
menghasut anak mahasiswa semua bangsa
untuk menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Akhirnya – lebih dari 500 orang siswa siswi UM
turun berdemo anti- Amerika di hadapan Kedutaan Amerika dalam Bangunan AIA di Jalan Ampang.
Demo mahasiswa
penyokong rakyat Palestin dari UM telah diserang oleh gerombolan FRU.
Bertempiaran kami lari.
Pada 16
Oktober sekali lagi satu demo yang besar disusun. Kali ini melibatkan pelajar
dari Universiti Kebangsaan dan dari
Institut Teknoloji Mara. Hampir lima ribu kami bersetiakawan dengan perjuangan
Palestin. Demo kami diawasi oleh polis.
Pegawai polis yang bertugas pada hari itu ialah ASP Yahya – telah arwah.
Dari
Bangunan AIA kami bergerak ke Lincoln
Center. Ini pusat budaya Amerika. Kami menuntut pusat ini ditutup. Tetiba Ghazali Shafie Menteri Dalam
Negeri datang ke hadapan Lincoln Center. Menteri berucap dari atas bontot kereta dengan menggunakan loud hailer.
Ghazali Shafie meminta pelajar bersurai.
Ketika
ini saya berada dikawasan belakang bangunan. Anwar telah belot. Anwar telah memecahkan demo dengan membawa pelajar bersembahyang ke Masjid Negara. Ini menepati
perminatan Ghazali Shafie.
Pada pagi
Isnin 22 Oktober 1973 dilaporkan sebuah bom telah meletup di pusat membeli
belah Robinson Jalan Tun Perak – betul betul
di sabelah Lincoln Center. Keadaan dan suasana politik menjadi tegang.
Dua
hari kemudian saya di cari oleh polis. Bukan untuk ditangkap tetapi untuk dibawa
bertemu Tun Razak – Perdana Menteri. Saya meminjam baju
batik lengan panjang milik Arwah Yunus dan kasut kulit dari arwah Hamzah Kassim
untuk dilihat bersopan. Adi Satria dari Kolej Kelima menghantar saya dengan
motosikal ke bangunan Dewan Bahasa dimana Abdullah Majid Setpol Tun Razak
mengambil saya dalam kereta Volkswagen puteh.
Saya
dibawa ke rumah Ghazali Shafie di wilayah Bellamy. Disana telah ada pemimpin-pemimpin
pelajar dari ITM dan UKM. Anwar Ibrahim
dan Omar Jaafar – kini Tuan Speaker Dewan Melaka - ada bersama. Kami berbuka
puasa di rumah Ghazali Shafie.
Tetiba Asp
Yahya membentangkan sepanduk kain rentang bertulis – PKM MENYOKONG PERJUANGN
RAAYAT PALESTIN. Menurut ASP ini
adalah kain rentang Parti Kominis Malaya
ditemui di Bangunan Robinson yang telah
mereka bom.
‘ PKM …
telah mengambil kesempatan demo kamu…ini bahaya..’ Ini kata-kata Asp Yahya
kepada saya.
Tapi
propaganda Asp Yahya ini kantoi mantoi. Kaum kiri telah lama tidak lagi menggunakan
dua A untuk mengeja rakyat. Kaum kiri mempelopori penggunaan K untuk mengeja RAKYAT. Jelas ini perang saraf
polis dan SB agar kauam pelajar jangan turun ke jalan raya. Ini jelas kain
rentang buatan SB.
Malah
bom di Robinson pun meletup awal pagi. Tak
ada siapa yang terdengar. Gambar dalam
NST memperlihatkan cermin dinding yang pecah agak terlalu manja sehinggakan
badan kucing pun tak boleh melintasi lubang
yang pecah. Amin.
Dari
rumah Ghazalie Shafie kami berangkat ke
Sri Taman rumah resmi Tun Razak. Ketika kami sampai Tun Rzak tidak ada dirumah.
Kami dibawa ke ruang lapang. Semua pemimpin pelajar duduk saperti dalam
parlimen. Cuma kerusi Tuan Speaker masih kosong. Saya dibahagian hadapan
disebelah ASP Yahya. Ghazali dan Abdullah Majid ada sama. Anwar, Ibrahim Ali
dan Omar Jaafar sebaris.
Tetiba
Tun Rzaka sampai dengan pengawal pribadi. Dia memakai bush jaket.
‘ Maaf
leh ye…saya terlambat …ada hal… tadi di Ipoh
ada kemalangan.. lombong pecah …’ Saya masih ingat lagi Tun Razak pekat dengan
lorat Pahangnya. Tapi tidak menggunakan kawan dan koi telah memulakan perbualan.
‘
Lombong dekat Ipoh pecoh kerna ujon lebat…. keena lawat disana… ada kematian….’
Tetiba terdengar
suara balas dari lorat Kelantan. ‘
Susooh la yee jadi Piem ni… seeebuk…disini ade orang nak jadi Piem… tu Anwar…’
Keberahian
Anwar terpancut bukan dari mulut Ibrahim Ali. Dari mulut Hanapi Majid dari Persatuan Mahasiswa Islam
Univesiti Malaya. Bayangkan seawal 1973 lagi telah wujud watak Abdulah Sani. Saheh watak Abdullah Sani ini bukan watak
baru. Watak ini berani bercakap tapi bebal.
Saya
memerhatikan muka Anwar yang tidak tahu ke mana nak disorokkan kerana berahinya
telah terbonggeng. Yang membonggengkan ialah Hanapi Majid a.k.a Abdullah Sani Senior
– kaki bodek dari persatua mahasiswa Islam UM.
Anwar
memandang ke bawah salah. Memandang ke depan salah. Berahinya telah kantoi. Anwar
terbogel dihadapan Tun Razak Perdana
Menteri pada ketika tu. Bayangkan betapa
malunya keberahian Anwar. Kah kah kah.
‘ Kamu
tulis apa? ‘ ASP Yahya bertanya kepada saya yang sedang mengambil nota
perbualan.
‘ Jangan
tulis..’ Ini arahan polis kepada saya pada
malam itu.
Babak
sejarah ini telah berlalu selama 46 tahun. Kini Anwar Ibrahim telah menjadi
Datuk Seri Anwar Ibrahim. Selama 46 tahun ini Anwar telah menyimpan berahi
untuk menjadi Perdana Menteri. Pertanyaan
dari Ketua Pengarng majalah Time datang bekali-kali diajukan kepada saya.
‘
Mister Rais… will Anwar Ibrahim be the next Prime Minister after Mahathir?
Saya
masih mencari John Comley untuk mendapatkan rumah yang telah saya menangi dalam
pertaruhan 1997. Siapa ingin bertaruh sila masukan duit pertaruhan. Gadai apa yang
patut. Tunggu minggu depan untuk jawapan. (TT)
-------