KRISIS
SELANGOR DAN
DAULAH TERPENDAM
Ketika
tulisan ini digarap Khalid Ibrahim sedang berbincang dengan Sultan
Selangor. Hari Sabtu 9 Ogos 2014 yang lalu Parti Keadilan Rakyat
telah menyingkirkan Khalid dari menjadi ahli PKR. Sebelum ini parti
DAP telah juga hilang kepercayaan kepada Khalid Ibrahim. Manakala PAS
akan membuat keputusan pada 17 Ogos ini.
Justeru
apabila Khalid bersemuka dengan Sultan pada pagi Senin 11 Ogos
2014 , si Khalid ini tidak mewakili sesiapa pun. Dia hanya mewakili
dirinya sendiri.
Saya
yakin pasti ramai ahli PKR, ahli PAS dan ahli DAP tertanya-tanya apa
telah berlaku pada kerajaan Pakatan di Selangor. Saya juga yakin
bukan hanya warga Selangor yang ingin tahu apa yang sedang berlaku
dalam kancah politik PKR dan Pakatan Rakyat, malah rakyat Malaysia
juga mahukan pencerahan.
Pada
hemat saya naluri ingin tahu ini adalah satu permintaan yang adil.
Lampu picit politik wajib diberikan kepada sesiapa sahaja yang
memerlukan pencerahan. Adalah juga adil kepada diri saya sendiri
untuk menerangkan sajelas mungkin kepada pembaca tanpa berselindung
dengan retorik.
Surahnya
bermula disini: Umum mengetahui sebelum Khalid Ibrahim masuk menjadi
ahli PKR, sosok ini adalah pegawai tertinggi dalam Perbadanan
Nasional (PNB) dan juga menjawat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
Guthrie. Pangkat yang besar ini membolehkan Khalid diberi peluang
untuk memiliki berjuta-juta saham syarikat Guthrie. Memiliki saham
bukan satu kesalahan dari segi undang-undang negara mahu pun dari
segi undang-undang Islam.
Untuk
membeli saham ini Khalid Ibrahim telah meminjam duit dari Bank
Islam. Meminjam duit untuk beli saham - apabila harga saham naik
maka saham ini akan dijual. Keuntungan dari penjualan saham
membolehkan Khalid membayar hutang. Ini yang di rancang oleh Khalid
Ibrahim
Meminjam
duit, berhutang, atau menjual saham bukan satu kesalahan
undang-undang dan tidak melanggar hukum Islam.
Jika
pinjam duit bank tak salah, jika jual saham TIDAK salah dari segi
undang-udang – apa kesalahan Khalid Ibrahim?
Apa
yang terjadi ialah nasib si Khalid ini kurang baik. Bukan salah ibu
mengandung – salahkan turun naik Bursa Saham Kuala Lumpur. Nilai
saham milik Khalid merundum. Jika saham dijual – hasil dari jualan
ini TIDAK dapat menampung untuk membayar hutang Bank Islam. Hutang
Khalid bertapok tambah.
Akhirnya
kerana hutang tak langsai - Bank Islam telah mengambil alih saham
Guthrie milik Khalid Ibrahim dengan nilai sebanyak $56.5 juta dolar
Amerika atau $214.7 juta ringgit Malaysia. Tolak punya tolak. Kira
punya kira Khalid Ibrahim masih lagi terhutang sebanyak
$18.521.806.12 dolar Amerika atau $56.5 juta ringgit Malaysia.
Sebagai hutang tak berbayar maka duit bunga pun naik. Ketika Khalid
membuat perundingan gelap dengan wakil Daulah Terpendam jumlah
hutang Khalid Ibrahim dengan Bank Islam telah melintasi $70 juta
ringgit Malaysia.
Sekali
lagi dinyatakan – Khalid berhutang dengan Bank Islam bukan satu
kesalahan. Betul. Tetapi yang menjadi satu kesalahan ialah apabila
hutang Khalid Ibrahim sebanyak $70 juta ringgit ini telah digunakan
oleh United Malays National Organisation sebagai sumber ugutan.
United
Malays National Organisation tahu bahawa pada PRU13 dahulu parti
Ketuanan Melayu ini telah ditolak rakyat. Hanya dengan penipuan SPR
yang membolehkan Parti Ketuanan Melayu ini dapat berkuasa kembali.
Amat jelas 52% rakyat Malaysia telah memilih Pakatan Rakyat. Hanya
47% pengundi memilih United Malaya National Organisation dan
kuncu-kuncunya.
Selangor
negeri terkaya telah jatuh ke tangan Pakatan. Justeru Daulah
Terpendam telah meneliti dan merancang stratiji untuk merampas
kembali Selangor. Daulah Terpendam melihat sosok yang bernama Khalid
Ibrahim adalah sosok yang bermasalah. Hutang Khalid Ibrahim adalah
peluang terbaik untuk dijadikan bahan ugutan.
Ini
samalah saperti apa yang telah terjadi kepada Najib Razak. Sejarah
merakamkan bagaimana Najib Razak telah bersetuju untuk mengagihkan
tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura kepada Lee Kuan Yew.
Berita
agihan tanah KTM meledak luas kerana mengikut Akuan Bersumpah PI
Balasubramaniam - pertemuan Najib dengan Altantuya bermula di Pulau
Sentosa Singapura. Mustahil ajen Lee Kuan Yew tidak mengetahui 'rompi
pompi' Najib di pulau ini. Justeru, kemungkinan 'ugutan' muncul maka
Najib bersedia memberikan tanah KTM ini dengan harga yang amat murah
sekali – lebih murah dari harga kepala ikan di pasar borong Chow
Kit.
Hakikatnya
Najib kena 'pow' oleh Lee Kuan Yew. Hakikatanya Khalid Ibrahim juga
kena 'pow' oleh Parti Ketuanan Melayu. Kalau Najib memberikan tanah
KTM di Singapura kepada Lee Kuan Yew. Apa pula yang diberikan oleh
Khalid Ibrahim kepada United Malays National Organisation?
Peras
ugut yang berlaku diantara Khalid Ibrahim dengan United Malays
National Organisation amat jelas. Malah peras ugut ini berlaku secara
terang dihadapan mata seluruh rakyat Malaysia.
Peras
ugut ini berjalan saperti ini : Pertama Khalid Ibrahim wajib terus
duduk jangan bergerak dari jawatan MB Selangor walau pun PKR, DAP
dan PAS telah TIDAK percaya kepada kepimpinan Khalid Ibrahim. Ini
penting kerana jika Khalid tergelincir dari kerusi MB maka semua
perancangan akan gagal.
Kedua:
Khalid Ibrahim wajib meluluskan Projek Langat dua yang selama ini
tidak bergerak. Banyak kroni tertunggu-tunggu akan projek ini. Malah
pelaburan dari Jepun ternanti-nanti. Entah-entah banyak rusuk kroni
yang telah patah ditumbuk Jepun.
Ketiga:
Khalid Ibrahim wajib meluluskan Projek Kidex – lebuh raya bertol
di Petaling Jaya. Ini penting kerana Tuan Empunya Projek Kidex ini
telah berjasa kepada United Malays National Organisation. Projek
bertol ini adalah 'ucapan terima kaseh' kerana berjaya menggunakan
Hukum bin Hakam untuk mengembalikan Perak ke tangan Ketuanan Melayu.
Keempat:
Menjual 308.72 ekar Tanah Kerajaan Selangor adik Danny Tan – adik
Vincent Tan – towkay judi tersohor. Jual beli ini dilakukan dengan
cara gelap – atau lebih molek dipanggil ' negotiated deal' yang
mana tak ada siapa pun tahu. Pemimpin Pakatan tidak tahu. Malah Exco
Selangor sendiri pun tidak tahu.
Betul
ke semua ini? Semua yang saya tulis ini adalah benar bukan fitnah
dan bukan tohmah. Jauh sekali retorik politik. Pekara dan fakta ini
wajib saya nyatakan kepada pembaca. Saya akan memikul beban politik
yang maha berat kerana sayalah secara resmi telah memulakan membuka
tentang salah laku Khalid Ibrahim ini.
Dalam
SUARA KEADILAN 11 Febuari 2014 – saya telah menulis tentang
kepimpinan Khalid – walau pun secara ''touch n go' tapi hakikatnya
pada ketika itu semua maklumat telah ada dalam komputer saya. Justeru
salah laku Khalid ini – jika TIDAK saya umumkan kepada orang ramai
maka ianya akan menjadi beban yang terpaksa saya pikul dalam hidup
saya. Melakar fakta-fakta ini adalah tugas jujur seorang warga yang
menyokong perjuangan Pakatan Rakyat.
Pekara-pekara
yang diatas adalah berdasarkan Laporan Bertulis dari Ibu Pejabat
Parti Keadilan Rakyat. Laporan setebal 24 muka surat ini telah
diminta secara resmi oleh Murshidul Am Parti PAS – Tuan Guru Nik
Aziz. Tuan Guru telah meminta Setiausaha Agong PKR – Saifuddin
Nasution – menerangkan sebab musabab kenapa Khalid Ibrahim ini
perlu digugurkan dari jawatan Menteri Besar Selangor.
Laporan
ini telah siap tiga hari sesudah Hari Raya dan telah diberikan kepada
semua pucuk pimpinan PAS dan DAP. Ini bertujuan untuk menerangkan dan
memberi pencerahan kenapa PKR sebagai sebuah parti politik telah
hilang kepercayaan terhadap Khalid Ibrahim. Kenapa Khalid Ibrahim
wajib diundurkan dari jawatan Menteri Besar.
Sayugia
saya ingatkan bahawa kes hutang Khalid Ibrahim ini telah lama
berligar. Ini sebelum dia masuk menjadi ahli PKR. Sebelum dia
bertanding dipilihan raya kecil Ijok. Kes ini sering mendapat
laporan dari media – terutama ruang media yang bersangkutan dengan
perniagaan.
Lalu
timbul pertanyaan – kalau Khalid Ibrahim ada kes salah laku kenapa
TIDAK buat laporan kepada SPRM. Ini sabenarnya satu pertanyaan yang
amat jujur jika pertanyaan ini datang dari Mak Cik Felda. Tetapi apabila
pertanyaan ini datang dari Senator, Pemimpim AMK atau dari Ketua
Cabang PKR – maka jelas ada niat busuk dibelakang pertanyaan ini.
Semua
aktivis politik , ahli politik , aktivis Ngo dari apa saja bentuk
sedar bahawa SPRM ini adalah jentera daulah. Deep State atau Daulah
Terpendam menggunakan SPRM ini bukan untuk menyelesikan kes rasuah
atau untuk membasmi rasuah. SPRM ini akan digunakan untuk membunuh
musuh politik kumpulan elit yang berkuasa.
Apakah
tuan-tuan pembaca terlupa apa yang terjadi kepada Datuk Norza –
Ketua Pemuda United Malaya National Organisation Wilayah Persekutuan.
Datuk muda yang bersinar cahaya politiknya ini adalah kawan baik
menantu Pak Lah. Tetiba pada bulan Januari 2009 Norza dituduh
memberi rasuah. Norza yang juga ahli Majlis Tertinggi akhirnya gugur
dari perlawanan merebut jawatan. Yang menarik bukan Norza TIDAK
bertanding. Apa yang menarik ialah bagaimana SPRM telah digunakan
oleh Daulah Terpendam. Kes Datuk Norza ini padam bagitu sahaja.
Jika
Khalid Ibrahim TIDAK mengikut skrip maka Khalid juga akan dijadikan
Datuk Norza. Khalid akan diistiharkan bangkrap dan SPRM akan masuk.
Pada ketika ini mustahil ini akan berlaku. Betul SPRM akan datang.
SPRM akan datang untuk menobatkan Khalid - lebih puteh dari puteh -
lebih bersih dari bersih. Kita lihat dan tunggu. (TT)
ulang baca disini tentang berita awal rasuah khalid
yang telah disiarkan dalam suara keadilan 11 feb 2014:
http://tukartiub.blogspot.com/2014/02/memahami-kajang.html
NOTA
tulisn ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa yang ingin melanggan
akhbar mingguan ini sila
pukul talipon 03-92-21-30-45
----------