Perang Ukraine atau “ Special Operation - operasi istimewa Putin “ yang bermula pada 24 Februari 2022 lalu telah masuk ke bulan ke dua. Banyak kota-kota Ukraine telah di musnah oleh ledakan bom dari udara, dari kereta kebal dan dari kapal selam yang melancarkan peluru berpandu.
Mengikut banci tahun 2020 penduduk Ukraine berjumlah 44.13 juta. Hari ini lebih dari 6 juta warga telah kehilangan tempat tinggal. Seramai 4 juta telah menjadi pelarian perang. Hampir 500,000 orang telah masuk ke Rusia. Seramai 2.5 juta telah melarikan diri ke Poland. Selain dari itu warga Ukraine yang ingin menyelamatkan diri telah mendapat perlindungan di Slovakia, Romania, Hungary dan Maldova.
Ini krisis pelarian perang yang terbesar di Eropah sesudah Perang Dunia Ke Dua.
Jangan salah baca. Jangan silap faham. Hishamuddin Rais bukan menghalalkan apa yang dilakukan oleh Vladimir Putin. Keganasan tetap keganasan. Menceroboh masuk ke negara asing adalah salah laku yang wajib dikutuk.
Putin bersalah menceroboh dan menyerang Ukraine. Tindakan Rusia menyerang Ukraine ini sama seperti Presiden Bush menceroboh dan menyerang Iraq pada tahun 2001. Sama seperti tindakan Presiden Obama masuk menghantar soldadu Amerika ke Syria pada tahun 2014.
Amerika melakukan jenayah perang selama 20 tahun apabila masuk menceroboh dan menyerang Afghanistan pada tahun 2001. Israel salah kerana menceroboh menyerang Syria pada tahun 1967 dan menawan Bukit Gholan hingga ke hari ini. Singapura salah menceroboh ruang udara Malaysia yang dialami oleh warga Johor yang dikatakan semakin kerap berlaku kebelakangan ini.
China juga salah menceroboh masuk perairan Filipina, Vietnam dan Malaysia di Lautan Sunda. China juga melanggar undang-undang dunia apabila masuk menceroboh sempadan Republik Taiwan saban tahun. Jika China masuk melanggar Taiwan ini bermakna China melakukan jenayah perang.
Imperialis - sama ada imperialis Amerika, Rusia atau China tidak ada beza. Watak , perangai dan tindak tanduk kuasa imperialis adalah sama
Apa yang timbulkan disini ialah bagaimana media Barat menggarap cerita apabila Rusia menyerang Ukraine. Media arus perdana Barat terus tanpa henti mengutuk dan menyelar Presiden Putin dan Rusia.
Keganasan dan kemusnahan yang dilakukan oleh Rusia dipapar setiap detik. Dari media cetak, dari kaca tv dan media baru yang dimiliki oleh syarikat Amerika semuanya seirama menyelar Rusia.
Bucha – dari sebuah pekan kecil entah dimana letaknya di Ukraine kini menjadi perbualan dunia. Bucha yang penduduknya tidak melebihi 40,000 orang telah dihebohkan bagai nak rak. Di Bucha dikatakan soldadu dan bala tentera Rusia telah melakukan keganasan terhadap orang awam.
Mayat yang bergelimpangan dengan tangan terikat ditemui di tengah jalan . Apa yang berlaku di Bucha ditakrif oleh media Barat sebagai genocide – pembunuhan orang awam beramai-ramai.
Rusia menafikan apa yang berlaku di Bucha. Menurut Rusia semua ini hanyalah sandiwara yang dipentaskan untuk memerangkap dan menuduh Rusia melakukan jenayah perang.
Ketika Bush mengebom Baghdad kita tidak terjumpa laporan media Barat yang menuduh Presiden Bush melakukan genocide ke atas warga Iraq. Ketika Israel mengebom Gaza media Barat senyap membisu. Tidak ada media Barat - CNN, BBC atau New York Times melaporkan niat untuk mendakwa Benjamin Netanyahu ke mahkamah dunia kerana genocide.
Justeru laporan berita yang berat sebelah pasti akan membuka fikrah sesiapa sahaja yang rasional. Berfikir secara rasional untuk mengamati apa yang sebenarnya sedang berlaku di Ukraine.
Bertanya pada diri : Udang jenis apa ada tersorok di tembok Kyiv.
Mana propaganda, yang mana sandiwara, yang mana berita teater, yang mana berita palsu, mana operasi salah bendera dan yang mana berita perangkap. Kita sebagai insan yang bertanggung jawab wajib terus meneliti. Jangan ambil sikap tangkap muat dan malas berfikir dan menganalisa .
Untuk memahami cerita dan apa berita kita wajib melihat apa sebenarnya agenda di belakang tabir. Kita wajib bijak membaca apa makna suara dan kenyataan dan tindakan Presiden Biden, Kesatuan Eropah dan NATO.
Langkah pertama yang diambil oleh Amerika dan Kesatuan Eropah ialah melakukan sekatan ekonomi terhadap Rusia. Dari minggu pertama apabila pecah perang Amerika telah menyusun strategi untuk menyekat ekonomi Rusia.
Amerika , NATO dan Kesatuan Eropah telah melancarkan perang ekonomi. Serangan ekonomi telah lama berlaku. Amerika dan sekutunya telah mengadakan sekatan ekonomi semenjak Rusia mengambil alih kembali Crimea pada tahun 2014.
Sesudah Ukraine diserang sekatan ekonomi ditambak dan diperketat.
Dari segi ekonomi Rusia adalah pengeluar minyak dan gas yang terbesar dalam dunia. Rusia memiliki simpanan minyak dan gas dalam bumi yang masih belum dicari gali. Rusia mengeluarkan 10.5 juta tong minyak sehari atau 14% dari pengeluaran dunia. Rusia juga pengeluar gas ke dua terbesar dalam dunia selepas Amerika.
Malah negara-negara Eropah Barat dari Perancis hingga ke Itali membeli cecair gas dan bahan bakar minyak petroleum dari Rusia. Rusia menjadi pembekal 40% bahan tenaga bakar untuk German.
Hakikatnya tenaga leterik Eropah datangnya dari Rusia.
Rusia dilihat seperti saluran nadi darah – gas dan minyak - untuk Eropah Barat dan Timur. Minyak dan gas Rusia datang dari perut bumi bukan dari dasar laut. Maknanya cari gali yang lebih mudah. Maknanya keuntungan lebih lumayan untuk Rusia.
Mengikut laporan International Energy Agency pada tahun 2021 45% bajet Rusia datang dari jual beli minyak dan gas.
Pada awal perang German enggan terlibat secara mendalam. German enggan menghantar senjata ke Ukraine. Ini kerana kebergantungan German dengan bahan tenaga gas dan minyak dari Rusia.
Amerika telah memberi tekanan kepada German. Sekatan ekonomi dari German amat penting dalam strategi perang ekonomi. German adalah pemacu utama ekonomi Eropah yang diikuti oleh Perancis..
Malah sebelum perang pecah Amerika telah meminta German memutuskan hubungan ekonomi yang intim dengan Rusia.
Projek Nord Stream 2 - saluran paip gas bernilai 2 bilion dolar telah siap. Modal projek ini dari German. Projek ini untuk menambah saluran paip Nord Stream 1 yang sedia ada. Amerika tidak selesa dengan saluran paip ke dua ini. Justeru Amerika terus memberi tekanan.
Apabila perang pecah tekanan Amerika ke atas German bertambah kuat. Akhirnya German membatalkan Nord Stream 2 dari beroperasi. German juga bersetuju untuk menghantar senjata ke Ukraine.
Jelas hubungan ekonomi German dengan Rusia melalui gas dan minyak ini mahu dimusnahkan oleh Amerika. Terbukti Amerika mahu Eropah membeli bahan bakar gas dan minyak dari Amerika.
Maka terbukti kebenaran kata-kata Karl Marx (1818-1883) ahli falsafah German yang berkata 100 tahun dahulu bahawa perang adalah perebutan punca ekonomi.
Dampak pertama kita lihat bagaimana untuk pertama kalinya German telah menggandakan bajet pertahanan dari 52.8 bilion dolar untuk tahun 2021 ke 112.7 bilion dolar untuk tahun 2022.
Apa maknanya semua ini?
Pada tahun 1935 Majer Jeneral (Bersara) Smedley D. Butler telah menulis buku: War is a Racket – Perang Adalah Perniagaan Tipu. Dalam buku yang digarap hasil dari pengalaman dalam tentera Majer Jeneral Smedley telah membutirkan bagaimana tentera Amerika telah melancar beberapa perang di Amerika Latin.
Perang untuk menegak demokrasi. Perang untuk melawan komunis. Demokrasi dan komunis dijadikan sebab musabab untuk mengolah persetujuan rakyat Amerika agar menyokong Presiden dan ahli Kongres untuk melancarkan perang.
Wal hal tujuan perang tidak ada sangkut paut dengan membawa demokrasi. Ini terbukti seperti di Iraq dimana demokrasi dijadikan alasan untuk menumbangkan Saddam Hussein. Senjata ‘mass destruction – senjata pemusnah ’ dijadikan ratipan untuk memerangi Iraq.
Hakikatnya : Kita tidak perlu berdolak dalih. Kiat tidak perlu menipu diri sendiri. Perang dilancarkan bertujuan untuk memastikan industri senjata terus berkembang.
Tokan senjata, taikon senjata, pemilik kilang senjata telah memberi dana kepada para politikus ketika berkempen mencari undi. Dana politik ini adalah pelaburan. Satelah Presiden atau ahli Kongres di pilih maka inilah masa untuk menuai pelaburan itu.
Presiden dan ahli Kongres akan berpolitik untuk mewujudkan perang. Bila perang pecah maka Military-Industrial Complex - Kompleks Industri Senjata akan bergerak pantas untuk mengeluarkan senjata.
Industri senjata ini amat penting untuk Amerika. Sebagai negara imperialis senjata perlu untuk menundukkan musuh. Hegemoni Amerika ini asasnya ialah kekuatan senjata.
Malah eksport utama Amerika ialah senjata. Syarikat Lockheed Martin, Boeing, Northrop Grumman dan Raytheon Technologies adalah nama-nama syarikat gergasi persenjataan dunia.
Bersama syarikat senjata ini wujud pula syarikat tentera swasta. Di Amerika ada 5,883 syarikat tentera swasta. Nama terulung yang dikenali dalam dunia ialah Blackwater dan G4S.
Soldadu swasta ini menjalankan tugas yang sama seperti yang dijalankan oleh tentera resmi Amerika. Bezanya soldadu dari Blackwater boleh melakukan kerja-kerja jahat dimana soldadu resmi Amerika tidak akan melakukan.
Kontrak untuk membuat senjata dan kontrak kerja gelap yang bernilai berbilion dolar akan diluluskan oleh Kongres.
Kerja gelap seperti mengebom ‘ kenduri kahwin’ di Kabul pada 18 Ogos 2019 dimana 63 telah tewas dan 180 lagi cedera. Kerja jahat ini dilakukan oleh ISIS – Islamic State of Iraq and Syria.. Dunia tahu ISIS adalah jaringan syarikat Al-Qaeda.
Al-Qeada asal usulnya adalah anak syarikat soldadu swasta yang ditaja oleh Amerika untuk melawan Rusia di Afghanistan pada tahun 1979. Kerja jahat lagi gelap ini tidak akan dilakukan oleh soldadu resmi Amerika. Justeru soldadu Amerika tidak akan didakwa dakwi di Mahkamah Dunia.
Media Barat tanpa henti melaporkan kata-kata dan ucapan molek-molek meminta perang Ukraine dihentikan. Saranan hentikan perang kita dengar dari Presiden Biden dan Ursula Von der Leyen Presiden Kesatuan Eropah.
Seperti pelakon Holywood yang menggunakan ‘method acting ‘ Biden dan Leyen telah menitiskan air mata sedih apabila melihat gambar mayat bergelimpang di atas jalan raya di Bucha.
Di belakang air mata buaya ini sebenarnya Amerika dan NATO dan EU tidak mahu perang ini ditamatkan.
Apa buktinya ?
Buktinya - Amerika dan NATO terus meneruskan pembekalan pelbagai bentuk senjata kepada Ukraine. Senjata ini semuanya dari Amerika. Dana persenjataan terus dibekalkan kepada Ukraine.
Justeru dana politik yang dilaburkan oleh Lockheed Martin, Boeing atau Blackwater kini panennya sedang dituai. Malah jangan terperanjat bila ditemui ramai ahli Kongres dari parti Republikan dan Demokrat memiliki saham dalam syarikat membuat senjata.
Berita dari portal Insider pada 13 Disember 2021 telah melaporkan terdapat 15 ahli Dewan Senat dan Kongres yang menerajui dasar pertahanan Amerika ada memiliki kepentingan dalam syarikat persenjataan.
Dua bulan semenjak perang Ukraine ini bermula ianya telah menaikkan lagi nilai saham Boeing, Lockheed Martin dan Taytheon Technologies. Saham syarikat senjata naik maka poket politikus juga menggelembung naik sama.
Justeru mustahil perang ini akan ditamatkan secepat mungkin. Malah ada tujuan lain lagi untuk meneruskan perang. Tunggu minggu hadapan. Amin. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
BEBASNEWS.MY
https://bebasnews.my/2022/04/10/perang-ukraine-dan-ekonomi-bahagian-kedua/
DAN
DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/376233