Rabu, 20 Ogos 2008

HANAFI MAMAT MASIH HILANG

Orang ramai di Permatang Pauh masih tertanya-tanya siapakah dia Hanafi Mamat dari parti Angkatan Keadilan Malaysia ( Akim) ini. Daripada gambar di media Hanafi Mamat dilihat hampir menyerupai seorang panglima di zaman Hang Tuah.

Hanafi yang juga calon di P44 - Permatang Pauh telah dicadang dan disokong oleh dua orang ahli United Malays National Organisation bahagian Permatang Pauh.

Hingga ke hari ini Bilik Gerakan Akim masih tidak kelihatan. Gambar poster Hanafi pun belum dapat dilihat. Malah penduduk masih menunggu-nunggu untuk melihat rupa bentuk logo Akim.

Tukar Tiub akan cuba sedaya upaya mencari Hanafi Mamat untuk ditemubual.

BERITA TERKINI

Hanafi Hamat telah dikatakan akan sampai malam ini dari Kelantan.

PORT DICKSON

Malam tadi Anwar Ibrahim telah berceramah di Stadium MPSP Permatang Rawa. Di anggarkan hampir 5000 pendengar dan penyokong PKR telah hadir.

Satu perkara baru telah ditimbulkan oleh Anwar Ibrahim. Dia telah menerangkan bahawa dia tidak menyerang Najib ketika berkempen tetapi Najib dalam ceramah kecilnya telah memburuk-burukkan Anwar.

Di Permatang Rawa malam tadi Anwar Ibrahim telah memberi amaran kepada Najib ' ......jangan sampai saya bukak cerita Port Dickson....'

Anwar kemudian meminta orang-orang United Malays National Organisation pergi bertanya kepada Najib apakah dia ' Port Dickson'.

POSTER ARIF SHAH

Poster Arif Shah semakin banyak muncul di tepi jalan-jalan raya terutama di kawasan Seberang Jaya. Arif Shah ialah Ahli Dewan Undangan kawasan Seberang Jaya.

Kawasan Seberang Jaya adalah kawasan perumahan moden bukan kampong tradisional. Di kawasan ini terdapat cafe, bar dan restoran- restoran makanan segera yang kerusinya tidak boleh beralih-alih.

Di sini juga ada satu kawasan perumahan Majlis Bandaran Seberang Prai. Di pilihanraya yang lalu kawasan ini tidak menyokong Dr.Wan Azizah.

DUIT BELANJA SUDAH SAMPAI

Malam tadi saya merayau ke seluruh Permatang Pauh. Saya temui banyak anak-anak muda lelaki sedang bekerja keras memanjat tiang letrik dan talipon untuk memasang bendera Barisan Nasional.

Mereka ini pastilah anak-anak muda tempatan yang tahu dimana bendera-bendera ini hendak dipasang.

Dua hari dahulu hanya ada beberapa kerat sahaja bendera dan kain rentang Barisan Nasional. Kalau orang baru masuk ke kawasan ini pasti hairan dan bertanya - apa sudah jadi dengan calon United Malays National Organisation?

Kini perang poster semakin rancak.

BILIK GERAKAN PKR KOSONG

Saya juga ternampak banyak bilik gerakan PKR yang kosong. Yang ada hanya dua atau tiga buah meja plastik dan tujuh lapan buah kerusi. Lampu terpasang tetapi satu susuk manusia pun tidak kelihatan.

Apa yang menjadikan lebih pelik ialah bilik-bilik gerakan ini amat rapat antara satu dengan yang lain.

Bilik Gerakan ini seharusnya dijadikan pusat berkumpul dan berkempen tetapi dari apa yang saya difahamkan Bilik Gerakan ini juga adalah alat 'bodek' untuk menunjukkan kepada pemimpim bahawa ' boss saya buat kerja... ada bajet...'

Pusing punya pusing saya ternampak sebuah bilik gerakan di tepi jalan di Permatang Pasir yang di kerumuni orang. Bukan ceramah tetapi menayangkan vcd Reformasi. Mat Motor pun ikut sama tersadai menonton dengan topi keledar di kepala dan bontot di atas motor.

JAMUAN MAKAN MALAM

Muhyidin Yassin telah mengadakan satu jamuan makan malam di kawasan Seberang Jaya. Ini sudah pasti jamuan Nasi Kandar satu masakan yang cukup “top” di sini.

Dari apa yang saya di fahamkam hanya 50 orang sahaja yang datang ke jamuan ini. Kekurangan tetamu ini mungkin kerana kad jemputan tidak sempat diedar atau tukang masak ini bukan tukang masak yang 'top' di Permatang Pauh.

NAJIB BERLEGAR-LEGAR

Kelmarin di sebelah petang Najib Razak telah berlegar-legar di kawasan kampung. Dia kemudian berhenti satu dua minit untuk bertemu bual dengan sesiapa sahaja yang ada di jalan raya.

Di sebelah malam Najib telah memberi satu ceramah di Permatang Pasir. Para pendengar cukup intim lagi khusyuk sehinggakan Najib tidak memerlukan alat pembesar suara.

SMS YANG DI TERIMA

Banyak jenis teks SMS yang berlegar-legar di Permatang Pauh. SMS telah menjadi senjata untuk berkempen.

Tiga hari dulu saya terima SMS tentang Musa Hassan masuk hospital kerana tekanan jantung. SMS ini terbukti sahih apabila media kelmarin telah melaporkan berita yang sama.

SMS terbaru ialah : Imam yang terima sumpah Saiful bernama Ramlang Porigi. Ahli Umno Cawangan Sri Macang Bukit Mertajam dalam Parlimen Permatang Pauh. Nombor keahlian 03405843.