MAKAN
TANGGUNG
BERAK
CANGKUNG
Perang mulut TMJ dan Kadir Jasin
PERANG mulut antara Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan A Kadir Jasin selepas wartawan veteran itu memberi amaran kerabat raja yang tersesat dalam kancah arena politik mungkin akan dihentam.
Menerusi blognya, Kadir hari ini tanpa menamakan sesiapa, mengulas mengenai dakwaan bahawa Tunku Ismail dan ayahandanya diintip oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Bekas ketua editor News Straits Times itu berkata kerabat raja sepatutnya lebih bimbang menerima hentaman daripada dipantau kerana membuat kenyataan bersifat “partisan” atau berpihak.
“Ia adalah tentang mereka memasuki arena politik di mana mereka akan dihentam, kekebalan mereka dipersoal dan status mereka direndahkan.
“Sesiapa yang bermain politik perlu sedia untuk dilayan sebagai ahli politik termasuk ketika mereka menggunakan media - media sosial atau rasmi - untuk memberikan pandangan berpihak,” kata kadir di blog beliau.
Kadir dipercayai merujuk kepada tuduhan Tunku Ismail pada Ahad bahawa baginda dan ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipantau Putrajaya.
.
Beberapa jam selepas tulisan Kadir itu, Tunku Ismail yang lebih dikenali sebagai TMJ menerusi Facebook pula berkata sudah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk bercakap benar terhadap salah laku tanpa mengira akibatnya dan itu merupakan satu-satunya cara untuk mengelak kesilapan lama berulang kembali.
“Sama ada kami di ‘whacked’ atau di ‘clobbered’ (dihentam), ia adalah perkara kecil bagi saya. Apa yang penting kepada saya adalah rakyat saya,” kata TMJ di Facebook.
“Status saya hadir daripada khidmat saya kepada rakyat dan bercakap benar adalah salah satu tugas saya.
“Kepada penulis tersebut, ingin saya katakan, anda tidak perlu bimbang dengan ‘status’ saya - saya akan baik-baik saja.”
Jelas sekali TMJ merujuk kepada Kadir yang terdahulu berkata kerabat raja tidak lagi boleh sesuka hati membuata kenyataan berpihak.
TMJ juga berkata baginda tidak bercakap mengenai menentang kerajaan tetapi ingin menegaskan bahawa sekiranya kerabat raja boleh dipantau, apatah lagi dengan rakyat biasa.
“Kata-kata saya tidak selalu mudah ditelan. Tetapi saya sentiasa meletakkan kepentingan negara dalam diri saya.
“Malaysia baru memerlukan lebih ramai pemimpin-pemimpin yang tidak takut bercakap benar. Ia adalah satu-satunya cara untuk mengelakkan kesilapan kita yang lalu,” kata TMJ. – 11 September, 2018.