MERAKAM SEJARAH
IBU PERTIWI
TELAH BERSUARA
Minggu ini saya sambung kembali wacana Merakam Sejarah virus Karona. Anak semua bangsa dan bangsa semua agama – umat manusia - sedang dan masih lagi berhadapan dengan serangan virus Karona. Ketika saya menulis ini kita di Malaysia telah selesai memasuki hari ke 34 berkhalwat a.k.a Perentah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita hendaknya sedaya upaya telah mematuhi arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Virus Karona sedang mengampoh dunia. Dan mengancam Ibu Pertiwi. Ibu Pertiwi? Siapa dan apa itu Ibu Pertiwi ini?
Pertiwi berasal dari bahasa Sanskrit. Ini nama asal dewi yang ditugaskan oleh Dewata Mulia Raya untuk menjaga bumi. Pertiwi ialah nama dewi penjaga bumi kita ini.
Dari bahasa Sanskrit konsep dewi penjaga bumi ini telah di Nusantarakan dan digenderkan untuk menjadi Ibu Pertiwi. Walau pun dewi ini telah menjadi ibu ianya masih lagi menjaga bumi kita ini. Akhirnya dewi penjaga bumi ini telah di Nusantarakan oleh masa : dari ibu menjadi tanah air. Kemudian menjadi tanah tempat tumpah darah anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Nusantara. Maka inilah sejarah asal usul Ibu Pertiwi.
Dalam bahasa Inggeris Ibu Pertiwi ialah Mother Earth. Ibu Pertiwi ialah Bumi Manusia tempat kelahiran anak semua bangsa umat manusia.
Saya menulis Ibu Pertiwi dengan menggunakan huruf besar. Ini kerana ianya nama saperti Awang atau Kiah. Juga sebagai tanda hormat saya kepada dewi yang selama ini menjaga kehidupan kita semua.
Kenapa saya menulis tentang Ibu Pertiwi. Apakah sangkut pautnya Ibu Pertiwi dengan virus Karona dan Covid-19. Biar saya pejelaskan.
Saya dalam kesedaran atau lebih tepat lagi dalam kesedihan kerana ketika saya menggarap tulisan ini Ibu Pertiwi sedang menitiskan air mata. Ibu Pertiwi sedang melihat anak semua bangsa di Bumi Manusia ini dalam kesusahan. Berani saya nyatakan disini bahawa Ibu Pertiwi telah lama menangis.
Ibu Pertiwi bukan hanya menitiskan air mata malah Ibu Pertiwi telah lama bersuara. Pasti ada yang bertanya dan menyoal. Menangis ? Besuara? Bila? Apa buah butirnya?
Saya sedar diatas bumi ini tidak ramai yang terdengar esak tangis Ibu Pertiwi. Justeru soalan dan pertnyaan ini tidak salah.
Sabenarnya kita di Bumi Manusia melihat depan mata kita tanda tangisan Ibu Pertiwi tapi tidak memahami tanda tanda itu. Hati dan jiwa umat manusia kurun ke 21 telah keras membeku hingga gagal membaca titisan air mata Ibu Pertiwi. Gagal mendengar suara esakan Ibu Pertiwi.
Dewi penjaga bumi telah patuh mengikut arahan Dewata Mulia Raya. Ibu Pertiwi tidak pernah melupakan tugasnya menjaga keselamatan dan kesejahteraan umat manusia. Ibu Pertiwi tidak pernah lalai atau lupa. Yang lalai, yang lupa dan yang angkuh ialah umat manusia sendiri.
Ibu Pertiwi dari awal lagi telah bersuara memberi ingata. Ibu Pertiwi bersuara di Congo pada tahun 1976 melalui Ebola. Kemudian pada tahun 1998 Ibu Pertiwi bersuara di Bukit Pelandok Port Dickson. Pada tahun 2002 suara Ibu Pertiwi boleh didengar di Guandong China. Pada tahun 2012 Mers muncul di Saudi Arabia. Seawal tahun 1918 lagi Ibu Pertiwi telah besuara. Hanya umat manusia lalai terlupa apa itu Spanish Flu.
Pada awal tahun 2020 muncul virus Karona yang kini dinamakan Covid-19. Lalu dihebohkan dari mana asal usul Sang Karona ini. Rumahnya dimana? Dalam negara mana Sang Karona mengeram dan menetas.
Aduh! Soalan soalan bentuk ini ini terus muncul. Tidak putus-putus soalan ini muncul dalam portal media baru. Semuanya menimbulkan sensasi agar mata manusia moden terperangkap untuk melayari berita yang hanya lima para dengan 400 patah perkatan. Selainya ialah iklan Bujang Bertemu Janda atau iklan Memanjangkan Punai.
President Trump yang sikapnya anti – China Merah telah memanggil Sang Karona ini The Chinese Virus. Ada juga kumpulan media yang memanggil namanya Wuhan Virus - tempat awal virus ini muncul.
Ada juga a media arus perdana yang memanggil virus ini Virus CCP. CCP ini ialah singkatan dari Chinese Communist Party. Ini tanda kemarahan kumpulan ini terhadap Parti Komunis China yang telah membenam berita serangan awal virus ini hampir satu bulan.
Malah telah ada beberapa kumpulan termasuk angotta ahli Dewan Senate Amerika telah menyaman Parti Komunis China. Untuk kumpulan ini mereka menggangap CCP bertanggung jawab membiarkan Sang Karona merebak dan mengancam dunia. Jalur fikrah ini menyalahkan China Merah.
Untuk saya asal usul Sang Karona ini tidak penting buat ketika ini. saya ulangi – buat ketika ini. Membincagkan asal usul virus ini akan membuang masa. Kita wajib berunited front memerangi Sang Karona. Jangan buang masa dan tenaga fikrah yang melambatkan kemenangan kita. Jumlah warga yang gugur terus bertambah.
Pada fikrah saya - ketika babi luka datang menyondol adalah tidak masuk akal untuk kita bertengkar dan mencari siapa yang bertanggung jawab melukakan Sang Babi. Langkah tepat ialah menangkap Sang Babi kemudian dihantar terus ke Bali untuk dijadikan Babi Guling Ibu Oka. Khalas.
Apa yang penting untuk saya ialah Ibu Pertiwi telah memberi tahu dengan jelas kepada umat manusia bahawa alam maya ini bukan wilayah monopoli umat manusia sahaja. Duduk sama di bumi ini adalah unggas, ikan, anjing, beruang, bunga , pokok dan seribu satu macam mahklok halus yang hanya diketahui oleh Ibu Pertiwi. Bumi ini telah disusun dengan peraturan oleh Dewi Bumi. Hukum alam ini semuannya dirancang untuk menjadikan Bumi Manusia ini indah lumayan.
Awal sejarah umat manusia hidup aman damai bersama alam. Untuk saya ini satu masa yang tidak lama dahulu. Masih segar dalam ingatan. Saya dari suku Biduanda yang berasal usul dari Orang Asli sedar tujuh keturunan dahulu datuk nenek moyang saya hidup aman damai bersama alam. Pada ketika itu antara manusia dengan alam tidak ada bezanya.
Ada satu pekara yang sampai hari ini masih kekal dalam ingatan saya. Ianya ialah amaran Tok Batin dan amaran kolektif Orang Asli tentang busung. Busung dianggap bahaya.
Apa itu busung? Sampai hari ini ianya hanya dianggap sebagai mitos Orang Asli. Busung dalam ilmu perubatan moden agak jauh berbeza dari naratif busung Orang Asli. Tetapi ingatan saya tebal tentang wilayah dan tempat-tempat yang dilarang masuk kerana ada busung. Justeru ada bukit, ada lembah ada kawasan yang dianggap berbusung. Wilayah ini akan ditiggalkan oleh Orang Asli.
Hari ketika Karona menyerang busung berligar sekali lagi dalam kepala saya. Apakah busung ini virus. Kerana dari surah yang saya terima sesiapa mati terkena busung maka kuburnya akan ditinggalkan. Kubur berbusung bahaya untuk didekakti. Naratif busung ini turun dari mulut ke mulut. Pada hemat saya ini adalah naratif dari Ibu Pertiwi untuk menjaga bumi kita ini.
Manusia moden hari ini telah melupakan naratif busung Orang Asli. Kajian ilmiah moden mentakrif busung sebagai ascites . Busung yang saya surahkan ini bukan busung hasil kajian ilmu moden. Pada hemat saya naratif busung Orang Asli datang dari Ibu Pertiwi dalam usaha menjaga hutan rimba dari dirobek dan dijarah balaknya. Wujudnya naratif busung diwilayah itu maka hutan itu selamat. Bukit itu selamat.
Disini kita kembali kepada persoalan asal usul Sang Karona atau Sang Ebola atau Virus Hiv. Hakikatnya makhluk halus dan busung busung ini telah sedia wujud bersama kita. Semenjak kun fa ya kun – semenjak big bang - makhluk halus ini telah wujud Bersama umat mansuai bersama alam.
Kenapa muncul sekarang?
Bila soalan ini ditanyakan maka kita umat manusia wajib melihat diri kita sendiri. Makhluk halus virus ini selama jutaan tahun ini terperosok dalam hutan belantara, dalam padang pasir, dalam gunung glasier, dalam perut bumi – tanpa diusik tanpa disentuh. Ibu Pertiwi mengetahui hal ini.
Sang Ebola muncul di Congo bukan secara tidak sengaja, Bagitu juga Mers, Sars dan Nipah. Kemuculan virus , busung dan makhluk halus ini semuanya hasil kerja tangan umat manusia. Umat manusialah yang bertanggung jawab memanggil keluar makhlok-makhlok halus ini.
Harus kita sedari bahawa perangai, budaya dan sikap yang kita miliki pada tahun 2020 ini baru berumur 260 tahun. Budaya, perangai gaya hidup dan nilai yang kita miliki hari ini semuanya hasil dari sosial kostruk. Atau dibina oleh alam social sekeliling.
Justeru sosial konstruk dan budaya yang kita amalkan hari ini bermula dengan Revolusi Industri ( 1760-1840). Dalam masa kurang lebih 100 tahun gaya hidup moden telah menjemput datang virus Spanish Flu. Jangan silap faham namanya Spanish Flu tapi dari kajian 2018 telah dibuktikan aianya berasal dari Kansas Amerika. Soldadu Amerika membawa virus ini ke Eropah ketika Perang Dunia Pertama.
Sang Karona yang sedang menyerang umat manusia hari ini akan sampai ke tahap mana?
Saya bukan terdidik dalam ilmu bomoh dan tabib moden. Justeru saya tidak dapat memberi pandangan ilmiah yang bersangkutan dengan perubatan. Apa yang saya percaya Sang Karona ini ialah suara Ibu Pertiwi. Saya sedang mendengar esak tangisan umat manusia yang sedang terkurung berkhalwat. Saya juga telah lama melihat Ibu Pertiwi sugul bersedih. Jika umat manusia menangis dan Ibu Pertiwi menangis sama - apa akan berlaku kepada busung dan makhluk halus ini. Tunggu minggu hadapan. (TT)