KERJA DAN KAYA
Minggu lalu saya mengajukan pandangan tentang analisa dan pandangan ucapan Mahathir Muhamad dalam Kongress Maruah Melayu yang berlangsung di Shah Alam pada 6 Oktober 2019 yang lalu. Mahathir dalam ucaptama telah mengkritik dan memberi analisa kenapa Melayu corot dalam hal pencapaian ekonomi.
Saya memberi pendapat bahawa analisa dan pandangan Mahathir ini tempang, lopong dan tidak lengkap. Bunyi dan nada hujah Mahathir ini telah selalu kita dengar. Bani Melayu segan bekerja. Memilih kerja. Enggan kerja susah. Tidak mahu kerja kotor. Suka kerja dengan kerajaan. Suka mencari kerja kerajaan yang ada pencen.
Saya berani berkata bahawa bahawa pandangan Mahathir ini tidak semuanya tepat dan betul. Malah hujah Mahathir ini amat klise. Hujah ini dituturkan tanpa asas ekonomi yang boleh merungkai secara tuntas kenapa Bani Melayu corot dalam ekonomi.
Mahathir jelas bertukang tanpa alat yang lengkap untuk memahami kenapa Bani Melayu corot dalam ekonomi. Alat pertukanagn Mahathir tidak lengkap. Sesiapa sahaja yang berhujah tentang ekonomi tanpa menggunakan tukul dan paku Marxis maka analisa itu akan tempang dan tidak tuntas.
Cuba kita analisa hujah yang selalu kita dengar bahawa: jika sesorang bekerja kuat dan rajin bekerja maka orang ini akan berjaya dalam kehidupan. Berjaya ertinya memiliki harta kekayaan. Kata-kata kunci disini ialah rajin dan kerja kuat.
Hujah ini adalah hujah hampeh dari kaum kapitalis. Hujah ini boleh kita jentik tanpa perlu menggunakan alat pertukangah Marxis. Lojik akal tanpa tukul Marxis sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa pandangan ini karut.
Jika kerja kuat, jika rajin bekerja – jika teori ini tepat dan betul - maka sosok yang paling berjaya dalam dunia ini pastilah Minah Nazarawit Udunga dari kampong pendalaman Ethiopia yang berjalan 4 batu berulang alik tiga empat kali sehari untuk mengambil air minuman demi keluarga, lembu kambing dan tanaman.
Jika kuat kerja dan rajin bekerja dan berjaya jadi kaya pastilah Meena Kumari dari Tamil Nadu yang mendukung anak kecil disebelah kanan manakala tangan kiri menjunjung sebuntil gandum ketika sedang berkerja di ladang milik seorang Zamindar.
Jika rajin dan kuat bekerja akan menjadi kaya raya maka yang akan jadi kaya raya pastilah Kak Bibah di Banggol Dedap Kedah yang dari awal subuh telah turun ke sawah. Sebelum ke sawah memasak air dan menyediakan sarapan apa yang ada untuk anak dan suami. Tengah hari pulang dari sawah Kak Bibah akan memasak apa yang ada untuk makan tengah hari. Sebelah petang Kak Bibah merembas cangkul di belakang rumah dengan harapan pisang dan terong belanda akan hidup subur.
Jika rajin dan kuat bekerja yang akan jadi kaya raya maka taikon di Malaysia ini pasti Alang Dusin dari Kuala Muda Kedah yang ke laut melawan ombak berhari-hari untuk menangkap ikan.
Lalu saya bertanya betulkah Vincent Tan kuat bekerja walhal dia sendiri tidak pernah turun menapak melihat setiap kedai judi miliknya. Apakah Vincent bekerja keras bermati-matian menjual numbor.
Apakah betul Ananda Krishnan kuat bekerja maka dia jadi kaya raya. Boleh saya berikan sebuah tv saya yang rosak agar tuan pemilik stesen Astro ini memperbaikinya. Dan saya akan membayar upah untuk menambah kekayaan beliau.
Betulkan Lim Goh Tong rajin dan kuat bekerja siang dan malam tak tidur tidur sambil melaung dan menjerit memanggil duit untuk bertaburan datang berlongkok-longok hingga menjadi bukit menyembah kaki Lim Goh Tong.
Apakah betul Tuan Haji Daim Zainuddin rajin. Dia menapak dari rumah ke rumah menjual garam hinnga dia jadi kaya. Kemudian Tuan Haji Daim ini membanting tulang membancuh simin dan mengatur batu bata untuk mendirikan 58 tingkat bangunan Ilham untuk didudukinya.
Apakah betul Tuan Haji Syed Mokhtar rajin dan kuat bekerja. Tuan Haji ini memikul setiap guni beras yang masuk secara halal dan haram ke Malaysia. Kemudian Tuan Haji ini membungkus beras ini untuk dipikul dan dihantar dari kedai ke kedai untuk dipasarkan. Hasilnya Tuan Haji ini jadi kaya raya.
Jelas rajin dan kuat kerja ini adalah teori hampeh yang sengaja ditaburkan oleh kaum kapitalis dan para penyokong sistem kapitalis. Teori rajin dan kuat bekerja jadi kaya ini cuba membuktikan bahawa sosok yang gagal dan corot dalam pencapaian ekonomi itu adalah mereka yang tak rajin dan tak kuat bekerja.
Dalam ucapan Maruah Melayau Mahathir gagal untuk menerangkan sajelas dan tuntas bahawa Bani Melayu malah anak semua bangsa dalam negara ini hidup dalam sistem ekonomi kapitalis.
Dalam sistem ekonomi kapitalis ada hukum dan syarat-syarat yang jelas. Hukum dan syarat yang saintifik dan teratur. Dalam apa sahaja sistem ada ciri dan pola yang tidak akan berubah-ubah. Ciri dan pola ini tidak berganjak. Datanglah rebut dan taufan sistem ekonomi kapitalis tegak berdiri.
Sekali lagi saya mashorkan bahawa rukun iman sistem ekonomi kapitalis ialah mencari untung. Untung yang dicari ialah keuntungan maksima. Hukum ini tidak berubah-ubah sama ada kamu Lim Goh Tong, Daim Zainuddin atau Syed Mokhtar. Tidak berubah-ubah walau pun kamu telah mencium Batu Hitam di Kaabah atau telah menyelam dalam Sungai Ganges atau telah berpuasa 7 hari di Vatican.
Pekara ini tidak dijelaskan oleh Mahathir. Ini kerana Mahathir Muhamad percaya jika Bani Melayu bekerja kuat dan rajin maka semua Bani Melayu boleh menjadi macam Daim, macam Lim Goh Tong atau macam Syed Mokhtar.
Hujah saya yang jelas ini membuktikan bahawa Mahathir tidak memiliki pandangan ekonomi yang tepat.
Untuk memahami kenapa Bani Melayu corot dalam ekonomi maka kita wajib memahami dari mana datangnya harta kekayaan. Dari mana punca harta kekayaan. Dalam hal ekonomi hanya tukul dan paku Marxis yang dapat memberi penjelasan tuntas.
Punca keuntungan yang akhirnya menjadi harta kekayaan adalah hasil lebihan tenaga kerja kaum buruh. Lebihan nilai tenaga kerja kaum buruh ialah dipangil laba atau untung.
Kak Bibah menanam padi kemudian menjual padi ini seguni 50 Ringgit pada Syed Moktar. Yang kemudian dijual oleh Syed Mokhtar 150 ringgit seguni. Tolak ini tolak itu Syed Mokhtar dapat untung 80 ringgit. Untung ini ialah lebihan nilai tenaga kerja dan masa dari Kak Bibah.
Duit 80 ringgit itu yang jadi untung kepada Syed Mokhtar tenaga buruh Kak Bibah yang telah dieksploit oleh Syed Mokhtar. Masa dan tenaga kerja Kak Bibah yang dibayar rendah. Lebihan dari nilai masa dan tenaga ini diambil oleh Syed Mokhtar. Lagi ramai petani saperti Kak Bibah menjual beras kepada Syed Mokhtar lagi kaya Syed Mokhtar.
Bagitu juga kilang – kilang apa sahaja – lagi ramai yang bekerja – lagi banyak lebihan tenaga kerja buruh yang dikumpulkan oleh tuan empunya kilang.
Sebuah kilang membuat kasut mengupah 80 buruh pekerja. Lebih murah gaji yang dibayar untuk membuat kasut lebih baik. Semakin banyak kasut dijual dengan harga yang lebih tinggi dari harga upah membuat kasut maka lebih cepat tuan kilang kasut jadi kaya raya.
Tuan empunya kilang kasut tidak pernah membanting tulang. Tidak pernah bekerja keras. Tidak berpeloh kerana pejabat berhawa dingin. Tidak pernah menapak menghatar kasut dari ke kedai kedai kerana ada buruh pengedar. Tuan kilang hanya mengumpul untung – mengumpul lebihan nilai masa dan tenaga 80 orang buruh dalam kilangnya.
Untuk menghalalkan exploitasi kaum buruh ini ketika saya belajar disekolah saya diberitahu oleh Cik Gu semua ini memerlukan modal. Modal perlu untuk dilabur. Tanpa modal tak ada kilang. Tak ada kilang maka tak ada kerja. Tak a da kerja kita mati tak makan. Inilah mantra yang sesebarkan. Ini mantra karut.
Mantara ini menghebohkan bahawa Vincent Tan , Tin Phek Kiing atau Lim Goh Tong mengeluarkan modal yang besar. Mereka melabur. Mereka mengambil risiko atas modal dan memastikan pelaboran mereka membawa untung. Mereka ada jentera. Mereka ada tanah. Maka kerana mereka melabor dan kerana mereka ada jentera maka mereka boleh menuai keuntungan.
Ini juga cerita karut. Pelaburan , tanah, modal dan jentera dalam istilah Marxis dikenali sebagai punca pengeluaran. Punca pengeluaran ini juga bermula dari eksploitasi lebihan tenaga kerja kaum buruh yang terdahulu. Harta kekayaan yang dikumpul oleh orang kaya adalah hasil ekploitasi tenaga kerja dan lebihan nilai kerja kaum buruh. Ini fakta yang saintifik bukan lebong Hishamuddin Rais.
Buruh dan modal tidak dapat dipisahkan. Tanpa buruh modal mengecut tidak kemana – mana.
Kita selalu mendengar syarikat leteronik di Pulau Pinang ditutup. Syarikat berpindah ke Vietnam atau ke China Merah. Perpidahan ini adalah saintifik mengikut hukum dan syarat sistem ekonomi kapitalis.
Kilang kapitalis akan berpindah mencari wilayah yang dapat ditegakkan rukun iman kapitalis : keuntungan maksima.
Syarikat Apple pembuat talipon bimbit pindah ke China Merah. Pindah ke India . Pindah ke Indonesia. Semua mencari buruh murah dan pasaran luas. Jaminan keuntungan maksima.
Sistem kapitalis datang ke Malaysia ini juga kerana wujud syarat dan pola. Tanah tapak kilang disediakan. Cukai dikecualikan. Buruh dilarang berpersatuan. Jika ada mogok pemimpin buruh boleh ditangkap dan dibuang kerja. Tidak ada gaji manima. Gaji semurah mungkin dan secukup hidup. Gaji boleh cukup makan agar jangan mati. Jika mati tidak dapat memburuh lagi.
Apa sangkut paut semua ini dengan kenapa Bani Melayu corot dalam hal ekonomi.
Sebelum saya tangguhkan tulisan ini ingin saya beri tahu bahawa majoriti Minah Karan yang bekerja dikilang -kilang leteronik di Pulau Pinang atau di Seremban adalah gadis Bani Melayu. Hari ini mereka tidak kaya apakah ketika memburuh dulu mereka malas bekerja atau tidak bekerja keras?
Kenapa agaknya Kak Bibah tak kaya-kaya. Dan kenapa segala tangkapan ikan Alang Dusin diambil terus oleh Towkay Lim yang menjadi mengedar ikan ke restoran makanan laut di Pulau Pinang. Untuk jawapan tunggu minggu hadapan. (TT)
TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM SUARA KEADILAN
SESIAPA INGIN MELANGGAN
SILA PUKUL TALIPON
03-92-21-30-45
-----------