JANGAN
BUANG MASA
Jangan
buang masa. Anwar Ibrahim sedang dipenjara. Jadi - jangan buang masa.
Apa
yang saya tulis kali ini adalah rakaman pengalaman untuk menjadi
rujukan. Pengalaman itu adalah ilmu. Ilmu datang dari pengalaman yang
terkumpul. Ilmu bukan datang dari mimpi. Bidang apa pun ilmu itu
pasti ianya bukan datang dari betapa dibawah pokok pisang. Ilmu
bukan datang dari suara jin atau pelesit. Ilmu adalah pengalaman
terkumpul. Apabila pengalaman ini ditulis maka ianya menjadi ilmu
rujukan.
Apabila
kita baca buku – yang kita baca itu adalah pengalaman orang lain.
Rumusan dalam buku itu adalah rumusan dari pengalaman Sang Penulis.
Kita membaca untuk mengenal pasti pengalaman. Untuk kita jadikan ilmu
rujukan.
Jangan
buang masa berbincang pekara-pekara remeh. Contohnya - jangan mula
hendak berfikir untuk mulakan kempen penerangan Kes Jubur Saifol.
Jangan buang masa. Jangan sekarang ini baru hendak buat kempen
penerangan.
Jangan
buang masa dengan cadangan-cadangan bangang untuk membuat apa yang
dikenali sebagai ' road show' untuk menerangkan kes Anwar.
Cadangan
bangang ini biasanya datangnya dari Si Polan bin Si Polan dengan
tujuan untuk dilihat sedang melakukan satu kerja politik untuk
membebaskan Anwar dari penjara Sungai Buluh. Ini kerja bangang. Orang
ramai telah tahu. Rakyat seluruh Malaysia telah tahu. Rakyat dunia
pun tahu apa yang telah terjadi kepada Anwar Ibrahim. Jadi jangan
buang masa.
Laporan
berita dan analisa tentang kenapa Anwar dipenjara ini telah ditulis
berjela-jela. Buku dan kitab telah banyak ditulis.
Bergantang-gantang air liur telah terhampur menerangkan duduk pekara.
Semua media dunia – BBC, ABC, CNN, ITN, CHANEL4, FOX dan dan dan
telah melaporkan secara terperinci. Buka YouTube lihat kembali
REFORMASI98. Semua ada. Justeru, jangan buang masa.
Selama
15 tahun Reformasi98 telah berjaya mempropagandakan bahawa kes liwat
Azizan Abu Bakar – pemandu Wan Azizah – adalah satu konspirasi
politik bertujuan untuk menjatuhkan Anwar. Kenapa Anwar wajib
dijatuhkan pada tahun 1998?
Anwar
wajib dipenjara kerana Anwar hendak menjatuhkan Mahathir Muhamad.
Kenapa Anwar hendak jatuhkan Mahathir? Kerana dasar ekonomi Mahathir
sedang mengkayakan kroni Mahathir sahaja. Kroni Mahathir TIDAK mahu
berkongsi kekayaan. Ramai kroni dan penyokong Anwar tidak dapat
apa-apa kerana dasar Mahathir Muhamad. Ini amat jelas. Jadi jangan
buang masa.
Hakikatnya
- Anwar dipenjarakan pada tahun 1998 kerana perebutan ekonomi.
Politik ialah ekonomi. Jangan buang masa buat cerita moral. Jangan
buang masa buat cerita agama. Jangan buang masa buat cerita janggut
Nabi. Jangan buang masa untuk debatkan sembahyang siapa lebih afdal.
Anwar
dipenjara pada tahun 1998 kerana ada berbilion bilion ringgit harta
kekayaan negara yang sedang dirembat oleh kroni Mahathir. Buka mata
dan ingat – ada berbilion bilion ringgit duit negara yang ingin
dirembat oleh kroni Mahathir.
Justeru
jangan buang masa dengan kesah Azizan yang kaki berbulu. Semua orang
sudah tahu. Tilam. Ummi Hulfilda. Rahim Noor. Aziz Shamsuddin –
hanyalah aji no moto dalam kes pemadu kereta yang bernama Azizan Abu
Bakar.
Pada
tahun 1998 – kami Generasi Reformasi98 TIDAK buang masa. Kami
telah tahu apa yang kami wajib buat. Kami telah sedar jalan mana yang
wajib kami ambil. Tidak ada huh tidak ada hah. Mahathir Muhamad
wajib dijatuhkan. Parti United Malays National Organistaion wajib
ditumbangkan. Ini jelas. Kami tidak buang masa dengan pekara remeh.
Dalam
tulisan ini biar saya surahkan fakta fakta sejarah untuk membuktikan
tentangwujudnya kerja-kerja politik bangang. Kerja kerja bangang
yang tidak membawa apa apa faedah. Kerja-kerja bangang yang membuang
masa.
Ketika
ledakan REFORMASI98 terjadi Sangkaran Pillai a.k.a Chandra Muzaffar
telah dilantik untuk menjadi Timbalan Presiden Parti Keadilan
Nasional. Ketika ini Anwar telah setahun dalam penjara. Pada satu
petang saya telah dipanggil ke Bukit Damansara – rumah lama Anwar
– untuk berbincang apa yang perlu dilakukan untuk membebaskan
Anwar.
Petang
itu dari mulut Sangkaran Pillai muncul idea kempen untuk membasuh
bendera Malaysia. Basuh bendera ini sebagai simbolik tentang
Malaysia yang kotor. Inilah cadangan yang paling bangang yang pernah
saya dengar. Tidak adalah yang kerja politik paling bangang dari
basuh bendera.
Lalu
persoalan timbul kenapa kempen basuh bendera ini cuba dianjurkan?
Kenapa cadangan bangang ini muncul?
Untuk
jawapannya - biar saya buka lagi satu fakta sejarah. Biar saya
bersurah lagi. Kali ini bukan tentang Anwar Ibrahim. Ini berlaku
ketika saya menjadi salah seorang Pemandu BERSIH2.0. Lapan Tuntutan
Bersih telah dihebohkan. Rakyat telah diberitahu.Demo Bersih 1 dan
Bersih 2 telah selesai. Tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya – barua
setia Parti Ketuanan Melayu – tidak ambil pot.
Lalu
timbul cadangan agar aktivis Bersih mengikat riben kuning pada
kereta. Ikat riben kuning pada pokok kayu. Ikat riben kuning pada
pasu bunga. Jelas ini satau cadangan kerja bangang dari sebuah NGO
yang dipimpin oleh Ivy Josiah yang menjadi kerabat Bersih.
Tetapi
kenapa cadangan-cadangan bangang ini muncul?
Cadangan
bangang ini muncul dari mulut ajen gelap atau ajen tidur atau orang
suruhan United Malays National Oganisation. Mereka cuba mensabotaj
gerakan massa. Tak percaya. Sila selidiki di mana Chandra Muzafar sekarang? Sila juga selidiki NGO yang cadang pasang riben kuning
dapat duit dari siapa. Apa yang ditulis ini fitnah. Ini fakta.
Jangan
buang masa untuk terus berlabon dan berbincang kali ini Anwar
dipenjara kerana rancangan Najib atau rancangan Rosmah. Atau ini
rancanagn Daim atau ini rancangan Mahathir.
Jangan
buang masa bincangkan siapa Saifol dan siapa Mumtaz. Jangan buang
masa untuk bincangkan sama ada hakim adil atau tidak. Tak perlu
bincang siapa Shafiee yang diupah oleh Najib ke Paris untuk
'rayau-rayau' kes bunuh Altantuya.
Jangan
buang masa. Semua ini tidak penting lagi kerana Anwar Ibrahim sudah
masuk jil.
Pasang
lilin depan penjara Sungai Buluh boleh lepas geram tapi akhir semua
kerja ini adalah sia sia. Kerana ianya tidak akan membebaskan Anwar
Ibrahim. Malah mungkin ada ahli-ahli PKR atau penyokong Pakatan akan
melihat mereka telah melakukan kerja politik kerana telah membakar
lilin di hadapan penjara Sungai Buluh.
Bakar
lilin depan penjara ini agak tinggii tarafnya berbanding dengan
basuh bendera atau ikat riben kuning. Tapi – awas - bakar lilin
di depan penjara ini samalah saperti bakar lilin dalam hutan Belum.
Tak memberi impak. Tak ada siapa yang tahu. Tak ada siapa yang
melihat. Cik Gu penjara bekerja makan gaji. Kalau pun ada yang
simpati – ramai tak ambil pot. Akhirnya ' bakar lilin ' ini akan
cair dan padam sendiri.
Jangan
buang masa. Anwar Ibrahim sedang dipenjara. Jangan lok lek lok lek.
Jangan kalih beralih. Jangan bincang tak habis-habis. Jangan
bermesyurat tak putus putus.
Jawapan
depan mata. Yang wajib dibincangkan ialah Hari apa? Jam Berapa? Dan
Dimana? Bila apa? Hari apa? Jam berapa? Apa bendanya ini?
Jawabnya:
Turun ke jalan raya.
Inilah
teknik perbincangan Reformasi98. Para Reformis bukan membicangkan
sama ada nak buat road show atau nak bakar lilin atau nak ikat riben.
Apa para Reformis98 bincangkan ialah berapa ribu boleh turun
berdemo. Berapa ramai boleh turun ke jalan raya. Berapa banyak yang
boleh dikumpulkan.
Jangan
buang masa Anwar Ibrahim sudah dalam penjara. Jadi, masanya telah
sampai untuk turun ke jalan raya. Bila masanya? Masanya sekarang.
Sekarang sentiasa masa yang tepat.
Kenapa
perlu ke jalan raya? Inilah ilmu yang ditemui oleh Reformasi98. Tanpa
jalan raya mustahil Mahathir akan udur. Tanpa jalan raya dari tahun
1998 hingga tahun 2001 –mustahil Perdana Menteri Mahathir
Muhamad akan letak jawatan. Tanpa jalan raya mustahil ada kemenangan
dalam tahun 2008. Tanpa jalan raya mustahil ada kemenangan dalam
PRU13. Ini adalah pengumpulan pengalaman. Ini adalah ilmu politik
yang muncul dari pengalaman.
Dalam
kajian makmal jika sesuatu percubaa boleh diulang buat dan
menghasilkan jawapan yang sama maka percubaan itu menjadi ilmiah.
Jalan raya telah menjadi ilmiah sebagai kerja politik pada tahun 1998
hingga tahun 2013. Malah kerja politik ini terbuktri berjaya di
Mesir, di Indoesaia, di Siam, di Filipina dan di Iran.
Politik
jalan raya akan membuktikan bahawa kezaliman wujud dalam negara ini.
Kerana adanya kezaliman maka ramai rakyat TIDAK puas hati. Kerana
tidak puas hati rakyat turun ke jalan raya. Kalau tidak turun ke
jalan raya ertinya tidak ada kezaliman. Semakin besar ombak jalan
raya semakin ramai yang akan terpukau dan masuk bersama ombak ini.
Ini
adalah hukum politik. Tidak ada sesiapa yang ingin dilihat
ketinggalan dalam ombak perubahan yang akan di bawa oleh jalan raya.
Demo
di jalan raya adalah sekolah politik yang tuntas. Pembelajaran
politik tentang apa itu daulah, apa itu daulah terpendam, apa itu
jentera daulah, siapa itu ajen daulah. Dengan sekelip mata para
demonstran akan faham apa peranan mata-mata, peranan polis, apa
peranan media, apa peranan mahkamah.Jalan raya ialah sekolah politik
terunggul.
Dalam
politik jalan raya juga akan terbogel dan ditelanjangkan
politikus-tikus yang menyamar bising. Akan terbonggeng politikus suka
masuk frame tapi kecut dan takut berpolitik di jalan raya.
Paling
penting ribuan turun ke jalan raya ini akan membuktikan kerajaan
Najib Rosmah adalah zalim. Ribuan dijalan raya ini akan menjadi
berita dunia. Ribuan dijalan raya akan menjadikan Malaysia focus
media dunia. Klip dan gambar media dijalan raya akan mempengaruhi
pemimpin-pemimpian negara luar untuk terus memberi tekanan kepada
Najib Rosmah.
Kemarahan
jalan raya ini wajib diteruskan kerana Pakatan Rakyat mendapat mandat
adalah 52% untuk mentadbir Malaysia. United Malays National
Organisation hanya mendapat 47% sokongan. Gerombolan Ketuanan Melayu
berkuasa kerana mereka menipu dalam pilihan raya. Di jalan raya
gerombolan Ketuanan Meayu tidak akan berjaya menipu.( TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa yang berniat melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon:
03 -92-2130-45
-----------