PERANGKAP AKAN
MELEJANG
Tangkap Pencuri! Perdana Menteri Malaysia Sedang Merancang Menipu Pilihanraya.
Stop , Thief. Malaysia’s PM is about to steal election.
Ini saya terjemahkan dari tajuk tulisan lidah pengarang majalah The Economist keluaran 10hb March 2018 yang lalu. Saya ulangi lagi - ini tajuk tulisan dari lidah pengarang. Untuk para wartawan, untuk pemerhati politik dan untuk yang sedar - lidah pengarang - membawa makna yang dalam.
Kalau tulisan dari lidah pengarang Utusan Melayu maknanya ini dasar dan pandangan Utusan. Ini juga selari dengan dasar dan pandangan parti United Malays National Organisation yang menjadi kerajaan. Ini kerana akhbar Utusan adalah milik United Malays National Organisation. Maknanya tulisan itu juga adalah dasar kerajaan.
Justeru The Economist ini suara siapa? Kenapa bunyi lidah pengarangnya amat kasar terhadap Najib? Terlalu kasar terhadap seorang pemimpin Melayu Islam yang warak. Kasar terhadap pemimpin Melayu Islam yang jujur berhemah dan yang tak pernah tinggal sembahyang.
Malah Si Najib ini terbukti warak. Si Najib ini baru sahaja membawa kuam keluarga - anak , bini, adik ,menantu dan ibu - berumrah ke Mekah dengan menggunakan duit orang ramai. Menaiki kapal terbang kerajaan. Tidak ramai anak yang warak lagi soleh saperti Najib yang ada keupayan dan kemampuan berumrah membawa sanak saudara yang ramai. Ini kehebatan Najib. Amin.
Malah Najib yang warak lagi suci ini sempat masuk melawat makam Nabi Muhamad. Ada gambar terpampang sebagai bahan bukti kesucian Najib. Tetapi saya juga terbaca ada suara sumbang yang mempertikaikan apakah ini betul Makam Nabi Muhamad? Ini kerana mengikut pandangan yang alim lagi berilmu Makam Nabi telah lama ditutup.
Walau apa pun - untuk saya sama ada Najib pergi umrah dengan kaum keluarga dengan menggunakan duit kerajaan atau tidak bukan satu isu penting. Sama ada Najib melawat Makam Nabi atau tidak juga tidak penting.
Apa yang amat amat penting ialah kenapa majalah The Economist ini bagitu kasar terhadap seorang pemimpin Melayu Islam yang warak, syumul , jujur dan berhemah?
Ini persoalan hakiki dari mata hati 30 juta anak semua bangsa - bangsa semua agama - warga Malaysia. Ini tidak termasuk 7 juta pekerja asing dan pendatang haram yang juga pasti tertanya-tanya kenapa Najib dituduh oleh majalah The Economist sebagai PENCURI.
Sebelum saya memanjangkan labon biar saya terangkan makna - to steal election. Dalam bahasa Inggeris to steal election bukan mencuri pilihanraya. To steal election bermakna akan menipu pilihanraya untuk menang.
Pada padangan The Economist Najib akan menipu dalam PRU14 ini untuk menang. Padangan The Economist ini kelihatan selari dengan pandangan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah dari Pakatan Harapan. Malah ahli-ahli Pakatan Harapan dan penyokong Pakatan Harapan juga telah sedar akan rancangan jahat Si Najib yang akan menipu PRU14 untuk menang.
Lalu saya kembali bertanya - kenapa The Economist ini menuduh Najib ini pencuri dan penipu? Suara siapa dibelakang lidah pengarang The Economist? Apakah majalah yang berpusat di kota London ini bersekongkol dengan Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah. Apakah ini agenda China Lim Kit Siang dari Democratic Action Party? Atau ini kumpulan lama Anwar Ibrahim bergetah kembali?
Kenapa pandangan The Economist ini selari dengan pandangan Pakatan Harapan. Ini membuatkan saya tertanya-tanya. Kenapa?
Dalam ceramah Mahathir di Bachok Kelantan, di Kamunting Perak dan yang yang paling akhir pada Ahad 18hb March lalu di Seremban , Dr Mahathir terus menuduh Najib ini pencuri dan penipu. Mengikut Mahathir Najib akan menang PRU14 hanya dengan jalan tipu.
Mahathir mengulangi 900 perempuan bernama Fatimah Ismail yang bakal jadi pengundi hantu. Mahathir mengulangi kesah 70 orang Melayu, India dan China yang duduk disatu rumah dialamat yang sama. Mahathir menerangkan 400,000 undi awal dan hampir 1 juta undi pos. Semua ini adalah penipuan.
Tapi mengikut Mahathir penipuan paling afdal lagi cun ialah persempadan semula. Maaf - Mahathir tidak menggunakan perkatan cun. Perkataan cun ini dari saya Hishamuddin Rais.
Mahathir kata Najib pencuri. The Economist kata Najib pencuri. Mahathir kata Najib akan menipu PRU14. The Economist juga berkata Najib akan menipu untuk menang PRU14.
Hairan bin pelik bagaimana ini terjadi. Agenda siapa ini? Apakah Mahathir telah mengupah The Economist untuk menperlekeh Najib.
Jika kita tanya Lebai Google maka kita akan diberitahu bahawa majalah ini adalah milik syarikat The Economist Group. Syarikat ini dimiliki oleh keluarga Cadbury, Rothschild, Shroder, Agnelli, Lyton dan beberapa keluarga yang lain. Majalah ini telah muncul semenjak tahun 1843. Maknanya sudah lebih dari 100 tahun.
Nama keluarga yang paling menonjol pastilah Rothschild. Saya yakin ramai pembaca tahu bahawa Rothschild ini adalah keluarga Yahudi yang memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah. Keluarga ini memiliki bank, kilang, kilang senjata, majalah dan seribu satu macam jenis perniagaan.
Maka pada hemat saya suara lidah pengarang The Economist itu pastilah mewakili kepentingan kaum keluarga ini.
Semua keluarga ini adalah kaum kapitalis. Maknanya majalah ini mewakili suara kapitalis besar. Maknanya The Economist mewakilki kepentingan kaum peniaga antarabangsa.
Untuk para ilmuan majalah The Economist ini mewakili apa yang dipanggil MNC - Multi National Cooperation. MNC ini adalah syarikat gergasi dunia. Bukan tahap warung Mek Jah. Bukan tahap restoran Amjal. Bukan tahap gedung membeli belah Mydin. Syarikat MNC ini berupaya menyusun, mengatur perjalanan sistem ekonomi kapitalis dalam dunia kita ini.
Hakikatnya semenjak ledakan Bing Bang atau semenjak Kun Faya Kun - tidak adalah majalah yang bagitu berkuasa dan penting dalam alam kapitalis kita ini. Majalah The Economist ini kait berkait dengan akhbar The Financial Times yang juga berpusat di Kota London.
Wow! Majalah ini cukup hebat. Panglima majalah ini ialah modal. Modal pada pandangan majalah ini wajib menjuari politik. Modal didahulukan - politik mengendalikan. Politik diwujudkan untuk mengembangkan modal. Justeru The Economist menjadi kitab dan hadis rujukan dalam dunia modal.
Lalu kita semua bertanya kenapa majalah ini mengutuk dan memperlekeh seorang pemimpn Melayu Islam yang warak? Kenapa majalah ini benci terhadap Najib? Apa salah Najib? Kenapa Najib dilakukan sabagini rupa?
Bukankah Najib ini tidak pernah tinggal sembahyang? Najib ini seorang yang warak walau pun ada tuduhan dari surat Akuan Bersumpah arwah P I Bala yang menuduh Najib ini pernah bersegama depan belakang dengan Altantuya. Model cun lagi bergetah ini telah mati dibunuh oleh Sirul dan Azilah.
Apakah bersegama depan belakang dengan si Altantuya ini membuatkan Si Najib ini menjadi pencuri saperti tulisan lidah pengarang The Economist? Mustahil. Justeru apa lagi kesalahan Najib sahingga pemimpin Melayu Islam yang warak ini diserang?
Pada 16 March 2016 Tuan Haji Ahmad Rasidi Hazizi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom telah bangun menjawab bagi pihak Najib. Tuan Haji ini menyelar tulisan The Economist ini. Menurut Tuan Haji ini semua laporan itu adalah palsu dan tidak betul.
Laporan tentang 1MDB itu semuanya fitnah dan tohmah. Mengikut surat Tuan Haji Pak Duta mustahil Najib yang warak lagi syumul akan menipu untuk menang dalam PRU14. Malah Najib semenjak menjadi Perdana Menteri telah mengemudikan Malaysia dengan baik. Majalah The Econoimist ini membawa lagu kolonial kata Tuan Haji wakil kita di London.
Nasib baik Malaysia memiliki Pak Duta yang cekap lagi bijak menjawab dan menepis segala tohmahan The Economist. Bijak menulis dalam Bahasa Inggeris. Nasib baik Pak Duta kita bukan Tan Seri Muhammad Muhamad Taib. Kalau Mat Taison ini Pak Duta kita di London hancus mancus Tanah Melayu kita ini. Amin
Saya telah memerhatikan dan membuat peta tentang pencuri dan penipu yang dikatakan bernama Najib ini. Saya perhatikan dengan rapi. Dengan jelas saya melihat memang wujud satu konspirasi bertaraf antarabangsa yang sedang merancang untuk menerajang Najib.
Ini projek Regime Change - projek tukar kerajaan.
Lalu saya teringat kembali kepada Presiden Marcos pada tahun-tahun 80’an. Bukan hal kasut isterinya yang saya ingat tetapi cara dan rupa bentuk konspirasi global yang diatur dan disusun untuk menerajang Marcos.
Peranan media antara bangsa - Majalah The Times, The Newsweek, Far Eastern Economic Review, BBC, CNBC, ABC dan termasuk majalah The Economist. Media-media milik kaum kapitalis besar ini terus menerus menyerang Marcos hingga Presiden Marcos ini mati terkulai.
Ilmelda Marcos, isteri Sang Presiden , bekas ratu cantik tidak sempat melarikan diri dengan semua kasut-kasutnya. Kesian.
Bayangkan betapa jahatnya media antarabangsda ini sehinggakan bekas ratu cantik ini tidak sempat memakai kasut untuk lari.
Inilah yang saya takuti. Saya takut kempen terajang Najib yang sedang dijalankan oleh media antarabangsa ini menjadikan seorang perempuan gemok pendek yang bernama Rosmah Mansor tidak sempat membawa lari semua beg Birkinnya. Jika ini berlaku maka sejarah sedih berulang lagi.
Dunia akan teringat bagaimana Ilmeda Marcos tak sempat lari dengan kasut. Janganlah hendaknya Si Rosmah tak sempat lari dengan beg tangan Birkin.
Lalu, saya harap-harapkan Si Rosmah ini akan membuat persediaan awal. Persediaan awal saperti memesan pesawat pengangkut Antonov 124. Kapal terbang ini boleh membawa muatan beg Birkin tanpa masaalah. Malah yang berat berat termasuk si Rosmah sendiri boleh dimuatkan ke dalam Antonov 124.
Para pembaca akan bertanya bila agaknya konspirasi meneranjang Najib ini akan berakhir? Bila perangkap akan melejang? Jawapan awal ialah apabila Najib telah cabut lari? Tapi bila? Kenapa The Economist menyerang? Untuk ini sila tunggu minggu hadapan. (tt)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
--------------------