Isu Rampasan Bible oleh JAIS
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyatakan rasa perihatin untuk melihat konflik yang timbul antara JAIS dengan Persatuan Bible Malaysia dapat diselesaikan dengan segera dalam suasana yang harmoni, adil dan jujur. Konflik dan ketegangan yang melanda negara masa kini menampakkan dengan jelas bahawa perhubungan dan persefahaman rakyat Malaysia yang majmuk – pelbagai agama dan etnik – masih berada ditahap meresahkan dan membimbangkan serta perlu kepada usaha penyelesaian yang segera.
Justeru, KEADILAN menawarkan diri untuk mengambil inisiatif bagi mempertemukan semua pihak yang terlibat duduk dalam satu meja perundingan. Kami berpendapat salah faham, prejudis dalam kalangan sebahagian penganut-penganut agama Islam dan Kristian seperti yang telah berlaku kebelakangan ini boleh diselesaikan secara praktis dan harmoni meskipun terdapat beberapa halangan.
Amalan tersebut bertepatan dengan perintah Allah (SWT) seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an:
“..Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan keduniaan. Kemudian apabila kamu telah berazam (sesudah mesyuarat untuk membuat sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah (SWT), Sesungguhnya Allah Maha Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.”
(Surah Ali ‘Imran: 159).
"Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah (berdialog) dengan mereka dengan cara yang lebih baik."
(Surah An-Nahl : 125)
KEADILAN yakin pendekatan berhikmah dalam menangani isu-isu keagamaan adalah cara yang terbaik bagi mengelakkan ketegangan antara penganut-penganut agama Islam dan Kristian di negara ini berterusan. Sesungguhnya ketegangan hidup beragama adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip beragama, Perlembagaan Malaysia dan amalan demokrasi.
Justeru, antara perjuangan utama KEADILAN adalah untuk menjamin kedamaian hidup beragama berasaskan nilai-nilai keadilan sejagat dan juga perlembagaan negara. Bagi mencapai tujuan di atas, KEADILAN sentiasa menganjurkan supaya disuburkan budaya interaktif untuk mewujudkan iklim yang kondusif ke arah kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.
KEADILAN berharap dialog dan perunding yang bakal dianjurkan nanti akan dapat:
Menyuburkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan budaya dialog antara masyarakat Malaysia yang majmuk ke arah Malaysia yang aman dan makmur.
Menyediakan medan sesuai yang bersifat interaktif untuk para peserta saling mengenali sebagai asas komunikasi positif dan bermanfaat untuk masyarakat pelbagai agama.
Mengumpul pandangan secara objektif berkaitan keresahan dan kebimbangan sebenar masyarakat pelbagai agama untuk diusahakan jalan penyelesaian terbaik oleh semua pihak.
KEADILAN berharap semua pihak yang terlibat tidak terperangkap dengan agenda musuh yang mahu melihat hidup aman dan tolaransi beragama menjadi musnah. Masyarakat berbilang agama di Malaysia selama ini telah berjaya membina suasana harmoni, saling hormat menghormati dan bertolak ansur.
Dr Muhammad NurManuty
KetuaPenerangan PKR
-------------