IDENTITI
BANGSA DAN AGAMA
Saya pernah bersurah dan merakam sejarah tentang perjuangan warga miskin kota yang mendirikan rumah ditanah kerajaan di Tasek Utara Johor Baru. Ini berlaku pada bulan September 1974. Ketika itu saya adalah Setiausaha Agong Persatuan Mahasiswa Universiti Maalay (PMUM).
Pada Khamis 19 September 1974 jam 2.00 pagi saya ditangkap bersama arwah Yunus Ali dan Syed Hamid Ali - pemimpin Parti Rakyat dan dua peneroka. Ketika itu kami sedang berkhemah - tidur bantah - dihadapan pejabat Menteri Besar Osman Saat di Bukit Timbalan.
Lewat pagi kami berlima dimasukkan ke lokap bandar Johor Baru. Lokap ini betul-betul ditengah bandar. Ini kali pertama saya ditangkap dan tidur dalam lokap.
Siang Khamis jam 9.30 pagi kami dibawa ke mahkamah Johor Bahru untuk tahanan reman selama 1 minggu. Kemudian kami di hantar ke Penjara Air Molek juga dalam bandar Johor Bahru.
Babak ini terjadi dalam bulan puasa. Justeru, semua tahanan reman Islam dilonggokan sesama sendiri untuk mempermudah catuan makanan.
Dalam sel kami ada dua lagi anak muda. Satu kes bunuh dan satu kes samun. Esoknya sampai lagi seorang anak muda dari Kota Tinggi. Bila saya tanya kes apa. Ini jawapan dariya.
‘ Kes nak sokong kau oranglaaa… kes kita orang Melayu…’
Saya amat amat gumbira apabila mendengar ayat ini. Pada hemat saya ini tanda perjuangan kami telah merebak. Mamat ini salah saorang lagi penyokong perjuangan warga miskin kota Tasek Utara. Dalam kebangaan saya terus bertanya lagi untuk mengetahui lebih dalam.
‘ Alaaaa… towkay China tuan punya boat nak tipu aku… cilaka.. aku rompaklaa….’
Saya terperanjat bila mendengar kata-kata ini. Ini terjadi 44 tahun dahulu. Ketika itu pemahaman saya tentang politik baru bermula. Ketika itu saya tidak pernah memikirkan apa itu persolan nasional. Jauh sekali memahami teori jati diri , indentiti atau asal usul bagaimana agama muncul dalam dunia ini.
Tetapi babak ini telah melekat dalam hidup saya. Babak ini tidak pernah terdelete. Ianya terus tersimpan dalam ‘ documents’. Setiap kali ianya diperlukan saya akan panggil babak ini keluar untuk ingatan.
Ucapan dari anak muda Kota Tinggi ini memberi makna yang dalam kepada saya hingga ke hari ini. Malah pada hemat saya kenyataan anak muda ini masih lagi diguna pakai. Masih relevant untuk kita gunakan untuk memahami keadaan kita hari ini.
Tanda dan makna dari nartif babak ini ialah jati diri atau identiti diri. Mamat Kota Tinggi ini anak muda Melayu. Dia Melayu dan beragama Islam. Sebelum dia masuk ke dalam sel kami pasti dia telah tahu siapa kami. Ini kerana bandar Johor Bahru telah beberapa hari heboh dengan berita perjuangan warga miskin kota mendirikan rumah ditanah kerajaan di Tasek Utara.
Lihat bagaimana secara bijak anak muda ini telah merekrut dirinya saolah-olah bersama dalam perjuangan. Dia merompak. Yang dirompak China. Lalu dia menidentifikasi dirinya sebagai Melayu. Pada hemat anak muda ini kerana China yang dirompak maka Melayu wajib memberi sokongan.
Lojiknya - anak muda ini memelayuka dirinya untuk mendapat sokongan dari kami yang juga Melayu. Anak muda Kota Tinggi ini pasti tahu bahawa apa yang telah dia lakukan adalah satu kesalahan. Dia merompak. Semangat kemelayuan telah digunakan dihadapan kami dalam usaha untuk mendapat simpati. Mengikut lojik anak muda ini simpati akan muncul kerana yang dirompak ialah ‘0rang Lain’ - the Other - towkay China.
Ini bukan satu yang pelik. Bukan menghairankan. Ini lumrah.
Lihat bagaimana Najib yang telah melakukan rompakan dana 1MDB telah berjaya memelayukan dan mengislamkan dirinya untuk menghalalkan rompakan. Ahli-ahli United Malays National Organisation menjadi rabun mata dan rabun otak dan terus memejamkam mata atas jenayah Najib ini.
Najib merompak dianggap okay kerana Najib pemimpin Melayu. Pemimpin Melayu ini pula disucikan oleh Islam. Islam Najib dibuktikan dengan kerapnya Najib pergi ke Saudi Arabia untuk mencium Batu Hitam. Malah Islam Najib dibuktikan dengan jubah dan serban apabila Najib berha na na di Dataran Merdeka.
‘ Ta pa dia Melayu. Tak apa dia Islam…’
Hakikatnya - naratif saya ini ialah konsep perkongsian identiti. Dalam konteks Malaysia bila kita membincangkan identiti diri maka kita akan masuk ke ruang rujukan ‘ orang lain - the other ‘. Orang lain ini ialah China atau India. Orang lain inilah yang melahirkan difinasi identiti Melayu di Malaysia.
Najib Melayu. Najib bukan China. Najib Islam. Najib bukan kapir. Indentiti wujud melalui pandanan negatif. Dalam ilmu falsafah metod ini dipanggil metod penafian atau negation. Dia bukan China maka dia Melayu. Dia bukan Kapir maka dia Islam.
Ini juga adalah salah satu metod falsafah untuk mengenal Tuhan. Siapa itu Tuhan. Tukan bukan botol. Tuhan bukan minyak wangi. Tuhan bukan kapal. Dari penafian ini wujudlah pemahaman kita tentang siapa itu Tuhan.
Berkongsi indentiti bukan satu yang salah. Malah ini adalah naluri awal manusia untuk mencari persamaan. Kekitaan ini bukan satu yang wajib dihalang. Ianya satu sifat yang natural. Apa yang menjadi salah apabila kekitaan - apabila identiti bersama ini disalah guna.
Di Malaysia ini identiti diri - bangsa dan agama ini makin merebak dan menjadi jadi mengikut suasana iklim politik. Sebelum Mei 13 1969 dahulu yang menjadi metod penafian hanyalah bangsa. Dia Melayu ke ? dia China ke? Dia orang kita ke atau pendatang? Itu sahaja.
Tetapi hari ini agama telah juga ditambah masuk untuk memperkuatkan penafian demi melahirkan identiti diri. Maka jika Melayu maka si Polan itu pasti Islam. Walau pun Si Polan itu kaki dadah, minum arak, main judi, sex rambang, penyamun, perogol kanak-kanak dan tidak pernah mengamalkan apa pun ajaran Islam. Cium Batu Hitam jauh sekali. Yang Islam hanya bin dan binti. Tapi agama masih jadi identiti diri bila dipanggil dan diperlukan.
Mari kita rujuk kes Kuil Seafield melalui maklumat pendek atau maklumat dalam watsapps. Semua maklumat ini jelas digerakkan atas kesedaran jati diri bangsa dan agama. Pesanan dan panggilan kepada Melayu jelas dengan menyebut nama Tuhan dan beberapa potongan ayat dalam Bahasa Arab terselit dalam watapps ini.
Tujuan pesanan atau maklumat ini ialah untuk meramaikan sokongan. Salah benar adalah pekara kedua. Ini sama saperti anak Muda Kota Tinggi yang saya temui dalam Penjara Air Molek. Dia memainkan ‘kad’ Melayu. Salah benar bukan perhitungan. Lebih ramai lebih afdal jika kita berkongsi melakukan kejahatan.
Mengapa pekara sademikian terus berlaku?
Untuk memahami apa yang salah. Untuk memahami apa yang benar mmerlukan pandangan yang rasional. Dalam kontek bangsa dan agama pandangan rasional bukan pekara induk. Agama tidak pernah rasional. Agama ialah kepercayaan.
Apa yang penting dalam konteks bangsa dan agama adalah - apakah kamu bangsa aku dan apakah kamu seagama dengan aku. Jika kamu seagama maka kita satu kabilah. Di Seafeild kamu wajib memdobrak Keling Hindu yang kurang hajar terhadap Melayu Islam.Khalas.
Suasana ini menjadi lebih hangat, merbahaya dan boleh meledak bila bila masa. Dua bahan letupan - bangsa dan agama - boleh dibakar dengan senang sekali. Inilah kekuatan indentiti diri. Identiti diri ini telah dibuktikan berkali-kali berjaya menenggelamkan pandangan rasional yang berkemungkinan mereda keadaan.
Apa yang perlu kita lakukan satelah kita memahami fakta ini.
Untuk ini saya memiliki pandangan yang mungkin boleh dibincangkan. Pada hemat saya para polituks adalah orang yang salah dalam penyelesaian masalah bangsa-bangsa. Saya menolak orang politk kerana dari pengamatan saya selama ini orang politik adalah yang menjadi punca segalanya.
Selendang Merah Kiyai Saleh lahir dari kancah politik Bintang Tiga. Bentrokan di Batu Kikir juga hasil dendam kesumat Bintang Tiga. Pergaduhan Mei13 1969 adalah hasil dari perebutan kuasa orang politik dan konteks Malaysia moden.
Sekali lagi saya ingatkan - panjang fikrah orang politik hanya lima tahun. Orang politik dan para politkus betapa hebat pun retoriknya tidak ada keupayaan untuk berfikir dan memikirkan sesutau lebih dari lima tahun. Politikus berfikir kontot dan sontot. Untuk mereka yang penting ialah undi dan menang kerusi sekali lagi.
Politikus bukan pembina bangsa. Politkus bukan pemikir bangsa. Politikus mencari undi bukan untuk mendirikan negara bangsa.
Yang mendirikan negara bangsa ialah pemikir bangsa. Pemikir bangsa ialah negarawan. Negarawan tidak memikirkan untuk meraih undi, untuk popular dan mendapat sokongan. Pemikir bangsa melihat negara bangsa satu dua atau tiga atau lima generasi ke hadapan. Mata negarawan ialah mata helang. Hati negarawan ialah hati sasterawan. Kegigihan negarawan memecah alam.
Selagi wacana persoalan nasional ini tidak dibuka, selagi tidak dibincangkan dengan tuntas maka Selendang Merah, Batu Kikir , Mei13 dan ratusan lagi kes kuil akan muncul. Yakinlah.
Para pemikir, para budayawan, anak muda, pelajar, agamawan - anak semua bangsa dan bangsa semua agama - wajib diajak bersama untuk mememikir persoalan nasional dalam arus Malaysia Baru.
Satu lagi persoan timbul. Apa itu Melayu? Apa itu China? Dan apa itu India? Tunggu minggu hadapan. (tt)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45
--------------------