MAKNA
DAN TANDA
King
Farouk had once been reported as saying: ‘There will soon be only
five kings left: the kings of England, diamonds, hearts, spades and
clubs.’
dikutip
dari
http://www.historytoday.com/richard-cavendish/abdication-king-farouk
Pada
tahun 1952 – saya baru lahir. Jadi apa yang saya tulis ini
hanyalah apa yang saya kutip 20 tahun kemudian. Surah yang saya
tulis ini surah saheh. Tok Perawinya amat ramai - semuanya orang
Arab. Maka saya tidak akan mempertikaikan sanadnya.
Pada
satu ketika dahulu Mesir dibawah pemeritahan Raja Farouk – Raja
Mesir dan Sudan. Mesir menjadi wilayah rebutan kuasa kolonial
Peranchis dan Britain. Mesir kaya dengan sejarah kuno. Negara ini
satu-satunya negara Arab yang ramai penduduk, pertanian subur dan
berpotensi untuk menjadi kuasa besar di Afrika dan Timur Tengah.
Sesudah
Perang Dunia Kedua - muncul Free Officer Movement – gerakan
nasionalis anti penjajah dibawah pimpinan Gamel Abdel Naseer dan
Muhamad Naguib. Mereka melakukan rampasan kuasa. Raja Farouk
dinaikkan keatas kapal dan dihantar ke Itali. Mesir menjadi Republik
Mesir. Naguib menjadi Presiden dan Naseer menjadi Perdana Menteri.
Raja
Farouk ini adalah raja akhir untuk Mesir. Zaman Firaun dan zaman raja
di Mesir tamat pada tahun 1952. Raja Farouk ini pernah berkata :
akhirnya dalam dunia ini hanya tinggal 5 raja, Raja England, Raja
Lekok, Raja Daiman, Raja Kelawar dan Raja Sepit. Surah ini diketahui
oleh semua warga Arab. Ketika saya berkelana di Timur Tengah – dari
Liban ke Baghdad – surah ini sering saya dengar apabila saya
berkesah kepada anak-anak muda Arab tentang Malaysia yang memiliki
ramai raja.
Kelmarin
kita membaca bahawa seorang Menteri Besar baru telah muncul di
Selangor. YB Azmin Ali telah dipilih oleh Istana untuk menggantikan
Khalid Ibrahim. Kemuculan Azmin Ali ini bukan menjadi berita pelik
tetapi menjadi berita benar.
Adalah
adil bagi saya untuk menambah surah ini dengan memberikan latar
politik yang telah berlaku di Selangor. Saperti Tun Seri Lanang yang
mengkitabkan Salalatus Salatin untuk anak cucu cicit – saya juga
bersurah agar anak cuci cicit kita dapat mengetahui apa yang telah
berlaku pada tahun 2014 di Selangor.
Parti
Keadilan Rakyat telah lama hilang keyakinan terhadap Khalid Ibrahim.
Maka Langkah Kajang diwujudkan dengan niat untuk menobatkan Anwar
Ibrahim sebagai MB Selangor. Rancangan ini gagal. Deep State atau
Daulah Terpendam telah bergerak dan berjaya mengenepikan Anwar
Ibrahim. Masuk Dr Wan Azizah – Presiden Parti Keadilan Rakyat
sebagai ganti untuk menjadi calon N25 Kajang.
Wan
Azizah bukan sahaja menang malah undi sokongan bertambah berganda.
Ertinya Langkah Kajang mendapat sokongan. Tetapi Khalid Ibrahim –
bekas peniaga - yang bijak mencongak jual beli tetapi gagal membaca
politik. Khalid menayangkan sikap enggan berundur.
Kengganan
Khalid atau lebih tepat lagi kalau saya katakan kedegilan Khalid ini
telah mebuka ruang untuk ' hantu dan polong' merancang dan memasang
lukah. Memang ramai hantu dan polong menunggu peluang untuk merembat
harta kekayaan Selangor.
Surah
ini akan menjadi tempang dan lopong jika saya tidak sebutkan peranan
Haji Hadi Presiden PAS dalam pergolakan politik Selangor. Sikap klik
klok yang diambil oleh Haji Hadi juga membuka satu lagi pintu untuk
polong dan hantu memasang lori dan trailer untuk menawan pasir
Selangor.
Peralihan
MB – dari Khalid Ibrahim ke Wan Azizah ini menjadi bisul yang
menakutkan para politikus. Apa yang mereka takuti ialah proses
'menunggu MB' akan membosankan orang ramai. Sokongan kepada Pakatan
Rakyat akan pudar dan hilang. Ini juga merosakkan ketrampilan imej
Pakatan Rakyat yang telah berjaya menambah kerusi Dun dan Parlimen
sesudah PRU13.
Menunggu
Khalid 'celah dan blah' ini telah menimbulkan pelbagai bentuk krisis
dalaman. Dalam PKR kita membaca bagaimana Azmin Ali telah merancang
senyap-senyap kentut halusnya untuk menawan kerusi MB. Dalam PAS pula
kita terbaca, kita terdengar dan kita diberitahu bagaimana
kepimpinan Hadi semakin kluk klik. Gohed gostan Hadi ini memeranjat
ramai orang. Malah para penyokong setia parti PAS juga terperanjat
berok.
Hadi
Awang pada satu ketika dahulu adalah protaganis utama politik
Islam di Malaysia. Tetiba kedegilan Khalid Ibrahim untuk berundur
telah membuka jubah Hadi. Tok Guru yang dahulunya seorang
Islamis-Internasionalis kini menjadi jaguh Melayu dari Kampong
Rusila.
Gohed
gostan Hadi Awang ini juga telah membuka satu lagi pintu. Kali ini
bukan polong tetapi kemunculan satu gerakan Islam progresif –
sebuah NGO yang dipanggil PASMA. NGO ini adalah wadah anak-anak
muda yang merasa mual, loya dan tidak berpuas hati dengan garis
politik Hadi Awang.
Kalau
di Indonesia ada PDIP – Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan.
PASMA – di Semenanjung walau pun bukan sebuah parti politik tetapi
sentimen sambutan dan aura para protoganis gerakan ini dilihat
berkemungkinan menjadi wadah perjuangan sebuah parti politik.
Umum
mengetahui bagaimana Wan Azizah telah mendapat 30 Akuan Bersumpah
dari Adun Selangor termasuk dua dari Adun PAS yang menyokong Wan
Azizah untuk menggantikan Khalid. Umum juga tahu bahawa PKR dan DAP
telah mengajukan hanya satu nama – Dr Wan Azizah Wan Ismail –
kepada Istana. Umum juga tahu bahawa nama Azmin Ali tidak dicadangkan
oleh PKR , oleh DAP atau pun oleh PAS.
PAS
dikatakan telah menghantar 3 nama – kesemuanya adalah Adun dari
PAS. Kesahehan dan nama YB yang mana telah diajukan kepada Istana
hanya Haji Hadi seorang, atau mungkin Din Ayam menantunya sahaja
yang mengetahui.
Kelmarin
diumumkan bahawa YB Azmin Ali dari Gombak telah dipilih oleh Istana.
Saya ulangi : dipilih oleh Istana. Istana telah mengambil langkah
yang amat pelik lagi memelikkan. Biasanya nama bakal MB ini akan
diketahui berhari-hari lebih awal sebelum angkat sumpah. Kali ini
Istana telah melakukan serangan mendadak. Semua ini dilihat gajil
lagi pelik. Semua ini menimbulkan persoalan yang diwajib di tanyakan
untuk kurun ini.
Dalam
kenyataan resmi PKR – secara terbuka dan terang telah menyatakan
bahawa tindakan Istana itu salah. Perlantikan MB yang baru ini tidak
berlandaskan suara majoriti. Azmin Ali TIDAK mendapat sokongan dari
mana mana parti dalam Pakatan. Mengikut kenyataan PKR lantikan ini
adalah bersalahan dengan Undang-undang Tubuh Selangor. Kenyatan yang
sama juga telah dikeluarkan oleh DAP.
Ketika
saya menggarap tulisan ini – saya belum terbaca kenyataan dari PAS
atau dari Tuan Haji Hadi Awang.
Apa
sebenarnya yang dapat kita baca dari Langkah Kajang-selain dari
berundurnya Khalid Ibrahim. Wajib untuk kita semua mengumpul
pengalaman dan mendewasakan pemahaman politik. Selain dari memberi
ingatan pada anak cucu cicit.
Petama:
tindakan Istana ini membuka banyak implikasi. Jika Istana boleh
memilih MB – maka apa perlunya diadakan pilihan raya. Apa perlunya
diadakan Dewan Rakyat atau Dewan Negara atau Dewan Negeri. Apa
gunanya ahli Parlimen diundi dipilih. Selamatkan dana dari membazir
mengadakan pilihan raya.
Kedua:
apa yang berlaku di Selangor ini akan menjadi precedent – rujukan -
kepada negeri lain. Apakah mustahil lima tahun dari hari ini tetiba
Sultan Kelantan mahu Ibrahim Ali jadi Menteri Besar. Atau Sultan
Kedah tetiba mahu Mahfuz Omar menjadi MB Kedah menggantikan cucu
Iskandar Kutty.
Ketiga:
Dalam Kes Perak 2009 – suara majoriti – tanpa Akuan Bersumpah
telah menobatkan Zambry Kadir untuk menggantikan Nizar Jamaluddin.
Kenapa suara majoriti ini tidak di nobatkan di Selangor? Ada dua
hukum – satu untuk memenangkan United Malays National Organisation
dan satu lagi untuk mengalahkan Pakatan Rakyat.
Krisis
Selangor ini telah membuka banyak seluar dalam dan jubah. Secara
makro - hubungan antara PAS dan PKR kelihatan renggang. Ini akan
mengambil masa yang lama untuk diubat baik. Secara mikro pula kita
melihat wujudnya kelompok-kelompok yang tidak segaris wujud dalam PAS
dan dalam PKR.
Keburukan
ini pasti ada baiknya. Pada hemat saya satu yang amat positif muncul
dari Politik Selangor ini ialah kemuculan jalur garis politik dalam
PAS dan PKR. Jalur-jalur ini bertingkah-tingkah. Adalah satu
kesilapan jika dibaca bahawa jalur ini adalah perbezaan pribadi
antara sosok dengan sosok. Untuk saya ini silap. Dibelakang
sosok-sosok ini adalah garis politik. Sosok-sosok ini mewakili satu
jalur pandangan.
Dalam
pertempuran politik akan muncul pelbagai jenis manusia. Ada yang
merancang secara gelap-gelap dalam gua, ada yang terbuka menyatakan
pandangan, ada yang pasang janji pasir sana dan pasang janji air
disini. Ini adalah perjalanan politik. Ini realpolitik. Kaum
orpotunis, kaum kelentong dari pelbagai genre membiak dalam suasana
sademikian. Dalam masa yang sama juga dalam krisis melahirkan
pemimpin baru dan menguji yang lama.
Akhirnya
kita kembali sekali lagi kepada surah Raja Farouk. Apa yang
dilafazkan dalam surah Raja Farouk itu adalah kebenaran. Apa yang
dilakukan oleh Istana dengan tidak menghormati suara majoriti akan
mendekatkan kita semua kepada Raja Farouk. Apabila Istana memungut
nama Azmin Ali maka ianya memungut Raja Kelawar. (TT)
NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa yang mahu melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-30-45
---------