SATU CADANGAN UNTUK SEMUA
Adalah satu harapan - harapan anak semua bangsa untuk melihat negara kita
ini membuka satu sejarah baru. Harapan ini amat besar sekali. Lebih besar dari
niat Sultan Mahmud meminang Puteri Gunung Ledang. Lebih besar dari niat Layla
ingin bertemu Kais. Lebih besar dari niat Uda datang meminang Dara. Besar sekali harapan ini sehingga tidak ada perkataan
yang dapat menerangkan betapa besarnya harapan ini.
Saat dan masanya
telah tiba untuk kita semua - anak semua bangsa - untuk membuka satu sejarah
baru untuk Malaysia.Saat dan masanya ialah sekarang. Saatnya ialah hari ini.
Saatnya ialah sesudah para pembaca selesai membaca tulisan ini.
Saya akui , kelahiran Malaysia Baru ini bukan satu yang
senang. Membuka sebuah naratif baru dan menutup naratif lama bukanlah semudah turun ke kedai membeli
kueh. Bukan semudah menuang kopi ke dalam cawan. Satu naratif baru untuk satu tamadun adalah satu
perjuangan. Perjuangan ini adalah satu naratif yang berliku-liku.
Disini saya ingin menerangkan apakah maknanya naratif.
Naratif ialah penceritaan. Naratif ialah cerita dan kesah-kesah yang kita
dengar. Semua kesah, semua cerita ada memiliki tanda dan makna. Kesah-kesah
yang kita dengar tidak bebas dari tanda dan makna. Ada yang jelas tersurat. Ada
yang jelas tersirat. Keupayaan kita ialah untuk memahami apa dibelakang naratif ini.
Naratif juga wajib dikongsi bersama. Cerita tidak akan menjadi cerita jika kita tidak berkongsi cerita itu.
Naratif tidak menjadi naratif jika tidak diketahui ramai. Kita wajib memiliki
naratif yang boleh dikongsi. Dengan
perkongsian naratif ini akan menjadi ingatan bersama - atau collective
memories. Ingatan bersama ini ama-amat penting untuk membuktikan wujudiah kita
sebagai kita. Perkongsian naratif yang menjadi ingatan bersama ini akan
mengikat kita untuk melahirkan kita sebagai kita.
Dua kekasih akan terus mengingati dimana kali pertama
mereka bertemu. Apa ucapan pertama yang dilafazkan. Dipipi sebelah mana
ciuman pertama diberikan. Apa janji-janji yang dibuat ketika bercengkerama.
Anak lelaki yang pertama siapa namanya. Anak perempuan yang pertama sekolahnya
dimana. Semua ini naratif orang berkasih. Semua ini akan menjadi ingatan.
Kolektif memori ini akan mengikat setiakaseh pasangan ini untuk menuju ke dunia
berumah tangga - satu dunia yang baru.
Negara bangsa juga memerlukan naratif. Ini untuk
mengikat dan memunculkan negara bangsa. Kita menjadi kita kerana kita memiliki
naratif. Tetapi pada hemat saya sebagai sebuah negara bangsa yang baru - kita
masih belum kukuh - belum padu dalam satu ikatan naratif yang kukuh. Kelahiran tamadun negara bangsa memerlukan
satu naratif yang kukuh.
Negara bangsa yang kita panggil Malaysia ini sebenarnya
hanya satu wilayah yang kita imajinasikan. Kita khayalkan bahawa kita ini Anak
Bangsa Malaysia.Kita berkhayal bahawa kita sedang berada dalam sebuah negara
yang dipanggil Malaysia. Tetapi ikatan ke Malaysian kita tidak kukuh. Kita
TIDAK memiliki satu naratif nasional yang mengikat kesemua kita untuk kelahiran
satu negara bangsa yang sopan, bertamadun dan berilmu.
Mari kita lihat negara jiran kita Indonesia. Mereka
memiliki satu naratif nasional walau pun
Indonesia dari Sabang sampai Marukee ada ribuan pulau-pulau yang
terpisah-pisah. Tetapi sebagai satu negara bangsa Indonesia terikat dalam satu ikatan yang amat
kukuh. Mereka memiliki naratif dan ingatan bersama yang jitu untuk memboleh kan
terdirinya negara bangsa yang dipanggil Indonesia.
Naratif nasional Indonesia ialah apabila orang Jawa,
orang Aceh, orang Sumatra, orang Banjar dan dan... bangun dengan bamboo runcing
menentang penjajah Belanda. Pertempuran menentang Belanda menjadi nararif nasional. Mereka bermandi darah menentang
penjajah.Inilah kolektif memori yang mengikat setia kawan semua suku bangsa untuk menjadi Banga Indonesia.
Perjuangan bersama menentang penjajah menjadikan mereka terkumpul dalam satu
ikatan kukuh.
Orang Asing - The Other - dalam konteks sejarah
Indonesia ialah Penjajah Belanda. Orang Asing ini dilihat sebagai penindas,
perampok dan penjarah tanah air mereka. Justeru kesepakatan menentang kezaliman
ini melahirkan naratif yang dikongsi bersama. Dari naratif berjuang melawan
Belanda inilah lahirnya negara bangsa yang dipanggil Indonesia. Tanpa naratif
'bamboo runcing' tidak mungkin kesatuan negara bangsa ini dapat didirikan.
Apatah lagi ada ribuan pulau, ratusan bahasa dan budaya yang berbeza-beza. Terikatnya
Indonesia itu adalah kerana setiakawan semua suku bangsa bangun menentang
Belanda.
Kedatangan penjajah dari Barat ke wilayah kita adalah hasil dari
perkembangan ekonomi kapitalis. British datang ke Tanah Melayu untuk mengambil
emas, besi, bijeh timah, getah dan kayu kayan. Ini hukum dunia kapitalis
yang mendirikan tanah tanah jajahan dan mencarai pasaran.
The Other - British - sebelumnya Portugis, Belanda -
semuanya mendapat tentangan dan serangan dari anak tempatan. Penentangan kaum feudal Melayu terhadap
penjajah British adalah petanda awal bahawa kedatangan penjajah di bumi Melayu
ini tidak akan diterima dengan hati terbuka. Keris dan tombak telah menunggu
Portugis dan Belanda. British yang
datang ke Tanah Melayau sesudah Portugis dan Belanda - sedang menjajah
India. British telah melihat kebangkitan warga India. Justeru
British telah mengumpulkan pengalaman
tentang cara terbaik untuk memerintah Tanah Melayu.
British sedar sebagai 'the other' mereka memerlukan tali
barut untuk mematahkan serangan dari anak tempatan. Maka peranan tali barut ini
telah diambil oleh United Malays National Organisation. Parti ini telah
didukung, dipilihara dan dipupuk oleh British. Peranan parti ini ialah memandulkan dan menumpaskan gerakan
bersenjata menentang British.
Peranan talibarut Britisah yang dimainkan oleh United
Malays National Organisation ini jelas dapat dilihat pada tarikh 31 Ogos. Saya
nobatkan tarikh ini sebagai Hari Malapetaka kepada Tanah Melayu. Kita melihat
bagaimana naratif nasional kita telah
menjadi tunggang terbalik. Hari
Kemerdekaan seharusnya tanda hari perjuangan anak tempatan bangun
menentang penjajah.Tetapi di Tanah Melayu agak lain. Pada 31Ogos - Hari Malapertaka - ialah hari dimana United Malays National
Organisation merayakan kemenangan bukan menentang penjajah tetapi
menentang Orang Yang Menentang Penjajah.
Talibarut 'the
other' kini menjadi penentangan terhadapa mereka yaang menentang 'the other'.
Justeru tidak saperti Indonesia. Tanah Melayu gagal melahirkan naratif nasional. Kegagalan
mewujudkan naratif nasional inilah yang kini melahirkan tajuk berita
akhbar - Apa Lagi Cina Mau.
Pada saat ini, amat
jelas United Malays National Organisation ini masih belum menerima
hakikat bahawa satu ombak baru sedang
mengampoh. Parti politik yang masih berselimutkan Ketuanan Melayu ini
gagal melihat bahawa selama 5 tahun ini
anak-anak muda kian rancak melakar kelahiran satu naratif baru.
Penipuan yang
berlaku dalam PRU13 wajib dilihat dari
segi sebagai positif. Memang betul
anak semua bangsa merasa kecewa kerana ditipu. Memang tepat ada yang
bersedih kerana ditipu. Tetapi dalam kekecewaan ini, dalam kesedihan ini kita semua wajib menunda buka satu naratif
baru. Dalam naratif baru ini - anak semua bangsa - wajib bersama-sama dalam
satu kancah. Jika ayah dan datuk
kita dahulu terikat dalam barisan
bersatu AMCAJA- PUTERA - kali ini kita
wajib bersatu dalam Angkatan Rakyat untuk mewujudkan satu naratif baru.
Kita telah melihat Perhimpunan Kemarahan Rakyat di
Kelana Jaya, di Pulau Pinang, di Kedah, di Johor, di Negeri Sembilan - ratusan
ribu anak semua bangsa telah turun ke jalan raya. Kehadiran mereka berhimpuan adalah tanda
bahawa satu naratif baru sedang dilakar.
Inilah tanda satu naratif
nasional sedang muncul. Naratif ini akan
memangkin kelahiran Malaysia Baru.
Di Kelana Jaya - saya memerhati dengan mata terbuka -
saya ternampak anak anak muda turun
berbondong-bondong. Saya bertanya kepada
diri saya sendiri apakah mereka ini PENGUNDI?
Dari amatan saya mereka kelihatan amat muda. Anak-anak muda ini adalah
Facebook Revolutionaries, Pejuang Siber
dan Pendekar IT. Ratusan ribu mereka turun , dikumpulkan oleh FaceBook.
Persoalan telah mengundi, telah mendaftar atau belum bukan persoalan. Yang wajib mereka lakukan
ialah mendobrak United Malays National
Organisation.
Untuk saya, pada
hemat saya Malam Kelana Jaya bukan hanya
permulaan terbukanya satu naratif nasional. Malam Kelana Jaya lebih dari
itu. Sejarah akan melihat Malam Kelana Jaya
menjadi mitos. Malam Kelana Jaya
akan menjadi mitos nasional saperti
mitos Mat Kilau, atau Datuk Bahaman,
atau Tok Janggut yang bangun melawan Sepoi British. Sama saperti lajenda Maharaja Lela membunuh J.W.W Birch. Inilah yang saya takrifan sebagai satu naratif
baru.
Jika Mat Kilau dan Tok Janggut bangun melawan British.
Jika Tentera Rakyat Malaya Melawan
Jepun, jika Tentera Rakyat Malaya
Melawan British - kali ini anak anak muda sedang mengampoh bangun menentang
United Malays National Organisation. Menentang parti Ketuanan Melayu ini adalah naratif baru. Turun ke jalan raya memberikan makna bahawa
anak semua bangsa kini berada dalam satu
kancah. Dalam satu kubu. Dalam satu barisan yang maha besar untuk menyambung
dan menyelesaikan perjuangan Ayah
dan Datuk kita yang telah digagalkan
pada tahun 1957.
Melahirkan
naratif nasional ini ialah langkah pertama untuk mendirikan satu negara bangsa.
Naratif berkongsi dan bersetiakawan. Naratif yang akan mengikat kesetiaan
kepada bumi yang kita pijak. Inilah
adalah tugas sejarah untuk anak-anak muda. Tugas sejarah yang wajib
diselesaikan oleh para revolusiner
facebook, pejuang tweeter, panglima siber dan pemilik talipon bijak. Ianya menjadi tugas anak muda kerana akhirnya
dunia ini adalah milik anak muda. (TT)
NOTA
tulisan ini telah
disiarkan dalam SUARA KEADILAN
akhbar mingguan yang bangun melawan
PILIHAN JALAN RAYA
------------