Selasa, 2 Ogos 2022

BERUK LIHAT BERUK BUAT


BERUK LIHAT 

BERUK BUAT


Perdana Menteri Ismail Sabri  telah mengajukan agar Bahasa Melayu di jadikan bahasa pengucapan dan bahasa  resmi  dalam pengurusan ASEAN.  Ramai yang menyahut seruan PM Sabri ini dengan sikap yang amat positif.

Malah seruan PM Sabri ini masuk akal dan meyakinkan. Ini kerana Bahasa  Melayu adalah bahasa  terbanyak diguna pakai dalam wilayah ASEAN. 

Di Berunai,  Singapura, Indonesia, Patani Selatan  Siam dan Mindanao Selatan  Filipina – semua menggunakan Bahasa Melayu.  Malah di Timur Timor wilayah  bekas tanah jajahan Indonesia Bahasa Melayu di gunakan. Kini Australia ada usaha menjadikan Bahasa Melayu bahasa ke dua untuk dipelajari di sekolah-sekolah.

Umum wajib juga diberitahu bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa ke enam teramai penggunaan dalam dunia.

Data PBB – Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu menunjukkan bahasa Mandarin paling terbanyak diguna pakai. Lebih dari 1.1 bilion  umat manusia menggunakan Bahasa Mandarin, di ikuti oleh Bahasa  Inggeris 983 juta,  Hindustan 544 juta, Sepanyol 527 juta, Arab 422 juta  dan ke enam Bahasa Melayu dengan 281 juta pengguna.

Justeru ini bukan omong kosong dari Hishamuddin Rais. Ini data PBB.

Cadangan PM Sabri ini pada awalnya mendapat sambutan. Tapi hari demi hari    cadangan ini mula ditakrif sebagai  manai lagi haprak. Semakin ramai memperlekeh niat dan cita-cita PM Sabri.

Berita mula muncul  dan tersebar luas dikalangan warga Internet bahawa  PM Sabri membuat saranan penggunaan Bahasa Melayu  dalam ASEAN ini kerana dia sendiri tidak begitu fasih pengucapan  dalam Bahasa Inggeris.  

Justeru warga Internet menganggap cadangan PM Sabri itu  hanya satu alasan untuk menutup keupayaan diri sendiri  yang lemah dalam pengucapan Bahasa Inggeris.

Saya tidak tahu sejauh mana keupayaan fikrah PM Sabri dalam berfikir dan bertutur dalam Bahasa Inggeris. 

Mungkin :  Why menjadi:  what is the because...’ Saya tidak arif  sama ada PM Sabri fasih berucap dan berfikir dalam Bahasa Inggeris atau tidak.  Hanya Guru Nanak yang mengetahui.  

Seingat saya PM Sabri belum pernah berhadapan dengan media antarabangsa. Jauh sekali bertemu bual  dalam Hard Talk BBC dan berhadapan  dengan Jeremy Paxman.

 Jeremy mana ?
 
Media dan wartawan Malaysia ini semuanya a bergenre  minta maaf dahulu sebelum mengajukan  soalan. Kah kah kah. Justeru PM Sabri dan para politikus kita  merasa selamat untuk memutar.

Malaysia tidak memiliki wartawan jenis Jeremy Paxman yang akan menanya politikus hingga ke lubang cacing.

Apa yang jelas  pada 2016 Zahid Hamidi telah   berucap  di UNGA ( United Nations General Assembly ) – di PBB  New York.  Timbalan PM kita ini telah berjaya memperlihatkan kepada umum dan kepada warga dunia  tentang keupayaan dirinya berucap dalam Bahasa Inggeris.

Seyogia kita sesama sedari bahawa  Bahasa Inggeris ini bukan Bahasa Ibunda kita justeru  keupayaan berucap atau berfikir pasti  tidak  sama seperti ‘native ‘ Orang Asal.

Najib  Razak yang belajar dari sekolah menengah  hingga ke universiti di United Kingdom telah pernah kantoi dalam pengucapan Bahasa Inggeris. Ini bukan  terjadi di  UNGA New York. Ini berlaku di Kuala Lumpur ketika membuat  sidang akhbar  bersama Presiden Obama pada 27 April 2014.

Najib gagal menyebut dengan betul perkataan Inggeris  ‘ proliferation’. Najib cuba mengulang perkataan ini berkali-kali sehingga Obama dengan pantas melawak dan menyambut dengan ketawa sambil berkata  ‘ that a hard one’ – kah kah kah.

Ini fakta sejarah bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais.

Mari kita kembali kepada saranan PM Sabri yang mengajukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa ASEAN.


Saya menyokong langkah ini.  Ini cadangan yang baik. Sokongan saya bukan kerana saya Melayu. Sokongan saya kerana  saya berpandukan teori dan garis politik bahawa kita wajib membebaskan diri dari kongkongan  bahasa kolonial.

Bahasa jiwa bangsa.

Dalam masa yang sama sokongan saya terhadap saranan PM Sabri ini berlapik. Bukan sokongan angkat tangan tanpa soal jawab. Ini budaya feudal. Saya telah berjaya membebaskan diri dari jadi Pak Angguk atau Pak Turut.

Saya ada membaca berita tentang Dewan Bahasa Pustaka (DBP)  berusaha memanjang dan memperluaskan niat dan cita-cita Bahasa Melayu yang diimpikan oleh PM Sabri ini.

Seperti biasa DBP telah menganjurkan seminar  dan ber Si Minah.

PM Sabri di jemput untuk menyampaikan ucaptama. Ini di ikuti dengan pembentangan kertas kerja. Berjela  kertas kerja di baca. Berbincang dan berlabun. Bergebang dan berceloteh.   Hasilnya : wallah  hu alam bissawab. Jauh panggang  dari api. Jauh jambatan dari sungai.

Berlabun dan berbincang hal memperkukuhkan Bahasa Melayu di Tanah Melayu  ini telah berjalan berdekad  dekad. Bergantang air liur telah terhambur.

Pada hemat saya sebelum PM Sabri keluar membawa Bahasa Melayu ke Bangkok, ke Hanoi, ke Manila atau ke Phnom Penn saya cadangkan kepada PM Sabri ketika masuk ke Putrajaya sila buka tingkap kereta dan memandang ke luar.

Perhatikan perkataan PRECINCT di sana sini. Perincat 1, 2, 3, 4, 5.. dan dan dan. Mak Cik Kiah  Binti Lebai Alun yang memangkah undi untuk Ismail Sabri dari FELDA Bera tidak tahu kepala angguk apa ‘ precinct’ ini.

Precinct adalah saki baki peninggalan Mahathir Muhamad. Apakah PM  Mahathir ini   peminat setia NYPD Blue  - cerita polis di New York tidak pula saya ketahui. Siri tv  NYPD Blues berlangsung dari tahun 1993-2005. Mungkin Mahathir pernah menuntun siri tv ini atau  ketika berUNGA di New York Mahathir ternampak tanda jalan depan hotel dia menginap. 

Ketika Mahathir ternampak perkataan Precinct 8  di New York  Putrajaya sedang dibangunkan. Beruk melihat beruk membuat.

Saya  sendiri mula berkenalan dengan perkataan precinct  dari cerita tv  NYPD Blue. Cerita polis Amerika yang berpindah  dari Balai Precinct 8 ke Balai Precinct 10 di New York.

Justeru sebelum mengubah penggunaan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu di ASEAN saya cadangkan agar PM Sabri mengubah penggunaan perkataan precinct di Putrajaya terlebih dahulu.

Betulkan rumah sendiri sebelum berniat  nak membetulkan  Dewan Orang Ramai. Betulkan tangga rumah sendiri dahulu sebelum hendak betulkan tangga Batu Caves. 

Mustahil DBP tidak dapat bertemu dengan perkataan yang sesuai untuk menggantikan perkataan precinct. Bahasa Melayu ada perkataan  jalan, ada wilayah, ada daerah, ada lorong, ada lebuh, ada denai, ada mukim -  semua perkataan ini membuktikan Bahasa Melayu kaya.

Kenapa kita mengguna pakai perkataan  PRECINCT. Apakah ini :  monkey see monkey do – bila beruk melihat maka beruk membuat.

Saya ingat lagi Rais Yatim ketika menjadi Menteri pernah berkata ‘ ... Kita  akan ubah penggunaan precinct di Putrajaya...’ Ucapan ini terlepas dari mulut   Rais  Yatim ketika dia  merasa agak tidak begitu selesa dengan Mahathir yang kerap memperlekehkan PM Dolah Badawi.

Hingga sekarang saya rasa Rais Yatim sendiri telah terlupa akan  slogan Bahasa Jiwa Bangsa yang selalu dia hebohkan ketika dia menjadi Menteri Penerangan.

Awas ! Penyakit monkey see monkey do tidak ada sangkut paut dengan penyakit  monkeypox. Ini dua perkara yang berbeza. Monkeypox adalah penyakit berkuman. Manakala monkey see monkey do juga penyakit tetapi  penyakit tidak berkuman.

Penyakit beruk lihat  beruk buat  ini  sering  hinggap  dan menyerang   warga negara bekas tanah jajahan.  Yang selalu terkena penyakit ini adalah orang  kulit hitam, sawo matang dan yang bukan berkulit  putih. 

Seperti dalam filem King Kong beruk  yang berasal dari Borneo telah  jatuh cinta dengan wanita  berkulit putih di New York.  

Tanda  awal penyakit beruk melihat beruk membuat ialah merasa kagum seperti King Kong apabila melihat Orang Putih. Anak bekas  tanah jajahan kagum  dengan Tuan Bekas penjajah hingga kan  malu dan tidak sanggup untuk menggunakan perkataan yang wujud   dalam bahasa ibunda sendiri..

Seperti ada  tersimpan niat kalau-kalau satu hari nanti jika  Baginda Queen datang melawat Putrajaya maka Baginda Queen  akan kagum bila melihat perkataan PRECINCT digunakan di sana  sini.

Untuk saya cadangan PM Sabri membawa  Bahasa Melayu ke ASEAN itu tepat.  Tapi sebelum menyingkapi kain orang singkap  kain sendiri dulu. Lihat badan sendiri dahulu. Apakah  ada  kurap atau  panau terselit disana sini.

Untuk saya kurap yang paling jelas depan mata  di Putrajaya  ialah perkataan precinct.

Jika  PM Sabri benar-benar  jujur dan tegas dalam agenda  Bahasa Asean ini maka langkah pertama ialah melupuskan penggunaan perkataan precinct di Putrajaya.

Jika PM Sabri  menamatkan penggunaan precinct mungkin warga Internet  sekali lagi dengan serta merta akan memperlekehkan tindakan ini.

Jangan risau saya cadangkan ketika PM Sabri mengumumkan penamatan perkataan precinct di Putrajaya sila  berucap dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.  Gunakan dua bahasa ini  secara lancar.

Buktikan anak Lubuk Kawah Temerloh boleh berucap dalam Bahasa Melayu dan Bahasa  Inggeris dengan baik.  Malah Mak Cik Kiah dari FELDA Bera  dan   Mister Anthony Ching dari Talawi Bangsar akan faham niat baik PM Sabri.

Pastikan ucapan dwibahasa ini bukan ayat campur aduk  seperti  kebiasaan pengucapan pengacara radio gelombang Melayu. Sampaikan dengan ayat yang sempurna.  

Kemudian buktikan kepada warga Malaysia dan warga Internet apabila  dalam bulan September 2022 di UNGA di New York  – PM Sabri fasih  menyampaikan ucapan dalam  Bahasa Inggeris.  

Untuk membuktikan kepada warga Internet  bahawa PM Sabri ini bukan monkey see monkey do  sila  adakan sidang akhbar di  Precinct 8 New York.

Jemput The New York Times, The Washington Post, CNN , Los Angles Times  dan ratusan lagi media dunia yang semua berkampung  di New York  ketika UNGA.

Berani berhadapan dengan media dunia tanpa skrip.

Jangan gentar dan jangan takut  dengan  penggunaan Bahasa Inggeris bila dijemput   berucap di Asia Society. Jangan tolak  jemputan  Council of Foreign Relation walau pun ini sarang CIA.

Untuk membuktikan  PM Sabri fasih dalam dua bahasa  dan  tegas dalam hal Bahasa Melayu ke ASEAN  maka langkah pertama : ubah penggunaan perkataan precinct di Putrajaya terlebih dahulu. Amin. (TT)

TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIAKINI.COM
https://www.malaysiakini.com/columns/630399


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sokong pendapat TT! Tapi Bahasa Melayu sekarang dah ada ramai beruk, bukan saja "precinct", bahkan dah jadi Bahasa Inggeris celup ataupun Bahasa Kelakar! Contohnya, dalam lapuran akhbar internet berikut ...

https://www.malaysiakini.com/news/630544

... sila terangkan perkataan Bahasa Melayu berikut ...
1. pemfailan
2. aset
3. injuksi
4. eksibit
5. bafi

Kalau nak orang lain terima Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa, kena halau beruk-beruk dulu .... kahkahkah!!!

Tanpa Nama berkata...

Ekcerli aah..we must spit engrish well supaya dihormati. We kanot say my kerlish or ekontrulet like noh omar. Pandai BI tidak mencacatkan BM cuma ia menjadikan kita mengtahui lebih dari satu bahasa. Tak rugi tahu lebih dari satu bahasa. Perkasa ke tak perkasa ke bg kat ibrahim ali je.