Selasa, 16 Februari 2021

PERANG DADAH


PERANG DADAH


Ajensi  berita  nasional BERNAMA  pada 11/2/2021 melaporkan : 

DUA rakan berdepan hukuman gantung selepas didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 150.15 kilogram pada 1 Feb lepas.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu bersama seorang lagi yang masih bebas, Amnat a/l Ratsamee di sebuah rumah di Kampung Batu Bertangkup, Jalan Kilang Gula daerah Padang Besar, kira-kira 7.50 pagi.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama serta dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Minggu lalu aku telah meminta para pembaca melihat  dan memahami apa kaitan syarikat Tiger Beer  dan Achor Beer  milik  suku sakat Baginda Queen dengan Akta  Dadah Bahaya 1952. Amat jelas pada hemat aku  hukum hakam  Akta Dadah Bahaya 1952 yang anti ganja dan ketum ini bertujuan untuk memastikan warga di Tanah Melayu didorong untuk membeli    Tiger dan Anchor.  

Ganja boleh ditanam di belakang rumah. Ketum boleh ditanam di tepi sawah. Tanaman asli dari bumi Tanah Melayu  ini menjadi pesaing hebat dan akan berpotensi membunuh pasaran   Tiger dan Anchor. 

Di Tanah Melayu Baginda Queen memperkenalkan apa yang dipanggil sistem pasaran bebas.  Pasaran bebas ini ialah  nama  cantik untuk sistem ekonomi kapitalis.  Di hebohkan bahawa dalam sistem pasaran bebas  ini pembeli dan pengguna bebas memilih apa yang hendak dibeli , diguna atau dipakai.

Tapi dalam kes  perniagaan beer hakikatnya tidak ada  pasaran bebas.   Bila ketum dan ganja diharamkan maka beer  menjadi jualan  yang dipaksakan kepada anak tanah jajahan.   Nampak atau tidak ? 

Aku melihat dengan jelas  bahawa dengan  kuasa  senjata dan hukum hakam kolonial hanya produk dari syarikat Baginda Queen sahaja yang  dibenarkan. Tanaman asli  yang berasal usul dari bumi kita di larang. Ditakrif sebagai bahaya. Dicap sebagai racun.  

Dalam masa yang sama dijual cerita  seolah-olah kerajaan Baginda Queen menjadi baik hati hendak menjaga kesihatan anak di tanah jajahan. Tertiba di Tanah Melayu  kuasa kolonial Inggeris  mahu Bani Melayu sihat walafiat. Jangan terkena  racun daun ketum. Pooorah. Semua karut.

Lu tak caya - disini buktikanya. Biar aku berkesah :   Syarikat East India Company  (EIC) sampai  ke Bengal India pada tahun 1773.  Di India  syarikat Baginda Queen ini bertemu dengan candu.  

Aduh! Cium punya cium. Hisap punya hisap candu ini dibuktikan sebagai barang baik untuk dijadikan barang jualan di pasaran bebas.

Maka candu menjadi bahan jualan EIC ke negara China. Candu ini jadi bahan tukaran – punca mata wang .  Dengan duit jual candu suku sakat Baginda Queen telah membeli   teh, tembikar, dan kain sutera dari China untuk diperniagakan di pasaran Eropah.  

England kaya raya. London jadi besar.

Perniagaan candu ini menjadikan warga China melepek menjadi Mat Pet. Maharaja China marah lalu menutup pelabuhan. Melarang  kapal lanun Baginda Queen masuk membawa candu. Perang pecah.  Ini dipanggil Perang Candu 1839-1842. 

China kalah perang  lalu menanda tangani Perjanjian Nanking 1842. Pelabuhan China  seperti Shanghai  dan Canton dipaksa  buka untuk  kapal lanun Baginda Queen berlabuh membawa candu.   

Hasil dari penjualan candu  Mamat yang bernama  William Jardine (1784-1843) mendirikan syarikat  Jardine, Matheson & Co.   Tukar beli candu ini memerlukan bank – maka  muncul  Hong Kong  And Shanghai Bank (HSBC)  

Bro, mustahil  lu tak pernah dengar Jardine dan HSBC. Ini syarikat gergasi. 

Sekarang nampak atau tidak peranan candu untuk kuasa kolonial Inggeris. Untuk aku semua nampak jelas. Candu dari India  ini  menjadi punca ekonomi membina empire . Candu membina kuasa tentera  laut dan soldadu Baginda Queen. Kuasa kolonial Inggeris berjaya  menjajah 53 negara  dalam dunia ini – yang hari ini dikenali sebagai Negara Commonwealth. Dibelakangnya ialah kuasa candu. 
 
Aku juga wajib beri tahu disini  bahawa  William Jardine  bukan kecik anak.  Selain dari tokan candu Jardine  juga seorang YB  - ahli Parlimen untuk kerajaan Baginda Queen. 

Hah! Maka tidak pelik  Baginda Queen  tidak membuat apa apa akta  di India. Tidak mentakrifkan candu sebagai  bahaya atau racun.  Ganja yang hidup meliar di India pun tidak ditakrif sebagai bahaya. Kenapa? Kerana pasaran candu dan ganja kini dimiliki oleh syarikat Baginda Queen Victoria.

Di India British mengendalikan kedai penjualan candu.  Ini bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais . Ini fakta sejarah.

Kesah candu, ganja  dan ketum ini bergerak lagi. Dari zaman Queen Victoria hingga ke tahun 60’an dan 70’an.  Sebelum Perang  Dunia Kedua hampir semua  wilayah Asia dan  Asia Tenggara  dimiliki oleh kuasa kolonial – Belanda, Inggeris, dan Peranchis .  

Vietnam dijajah oleh  kuasa kolonial Peranchis. Rakyat Vietnam bangun melawan penjajah.   Perang pembebasan rakyat Vietnam  bermula  dari tahun 1946 ke tahun 1954. Bila Peranchis kalah  - negara Vietnam terbagi dua -  Vietnam Utara – Vietnam Selatan.

Amerika kuasa imperial baru muncul  sesudah Perang Dunia Kedua  hendak tunjuk gedebe. Amerika masuk campur menyokong Vietnam Selatan. Perang   Vietnam bersambung.  Amerika Sarekat di bawah  Presiden Nixon (1969-1974)  menyambung dan meneruskan  Perang Vietnam (1955-1974).

Amerika menghantar   beratus ribu soldadu ke Vietnam. Anak muda Amerika dipaksa menjadi soldadu.  Ketika ini pencerahan politik anti perang  mula merebak. Ketika ini juga gerakan anak muda , mahasiswa dan pelajar mula mengampuh. Anak muda dan pelajar  bangun  menentang  ‘draft’ -  sistem paksaan menjadi soldadu.  


Anak muda Amerika tidak mahu pergi mati berperang. Mereka menentang draft.

Suasana anti perang ini dibantu oleh kesedaran warga  Amerika Kulit Hitam yang memperjuangkan ‘civil rights – hak asasi Kulit Hitam  semenjak 1954 .

Dua kumpulan – Kulit Hitam dan Pelajar Kulit Putih - mula bekerjasama. Mereka menentang Perang Vietnam.  Keadaan ini mengancam Amerika.  Mengancam projek perang Vietnam Nixon. 

Apa Nixon lakukan ?

Pada 18 Jun 1971 – Presiden Nixon melancarkan Perang Dadah.  Nixon menganggap dadah sebagai musuh utama Amerika. Musuh Amerika ini wajib ditumpaskan dimana sahaja ianya  berada.  Kokian dari Colombia. Candu dari Segitiga Eams – Laos , Burma dan Siam – wajib diperangi. 

Apakah sebenarnya niat Nixon dengan Perang Dadah?

Amat jelas Perang Dadah mengalihkan pandangan rakyat Amerika terhadap Perang Vietnam yang semakin  ditentang oleh rakyat Amerika dan rakyat dunia. 

Perang Dadah juga memerlukan senjata. Maka industri senjata dan tokan senjata – industri militari -  amat-amat bersyukur. Bukan hanya ada Perang  Vietnam kini Perang Dadah juga sampai. Kilang senjata bekerja 24-7.

Baik betul hati Nixon ini.  Kalau dulu  Baginda Queen dan Tuan Gabenor  Malaya meluluskan Akta  Racun 1952 untuk menjaga kesihatan rakyat hanya  untuk Tanah Melayu. Nixon lebih hebat. Nixon mahu seluruh warga dunia sihat tanpa tersedut racun dadah.  Nixon memerangi  dadah diseluruh dunia.

Kenapa Nixon  menjadi Presiden yang amat baik?

Bro... lu jangan silap baca.  Projek Perang Dadah Nixon ini ada agenda tersorok. Nixon melancarkan Perang Dadah ini ialah untuk menumpaskan Gerakan Kulit Hitam yang semakin tersusun , semakin berani  dan telah mendirikan pasukan bersenjata Kulit Hitam – Black Panther.

Black Panther  telah meradikalisasi  bukan hanya anak muda Kulit Hitam malah anak muda Kulit Putih juga telah menjadi radikal. Kini gerakan anak muda anti perang ,  kumpulan Kulit Hitam   sedang menyusun  warga Amerika untuk membawa politik baru yang keluar dari sistem dua parti – Democrat dan Republican.

Bro... ketika ini Nixon sedar jika suasana  politik baru ini diteruskan maka kuasa imperial Amerika akan ditentang. 

Tahun 60’an, di zaman Perang Vietnam dan di era Rock n Roll  Woodstock  menghisap ganja adalah perkara biasa dikalangan anak muda ,  pelajar , seniman  dan para intelektual.  Ganja dihisap tanpa sekatan.

Nixon melalui Perang Dadah telah menjadikan ganja musuh negara. Bila sahaja ganja diumumkan sebagai  dadah merbahaya makan ramai para aktivis ,  pemimpin pelajar, para seniman dan para intelektual dicap sebagai penjenayah.

Memiliki ganja dicap sebagai jenayah.  

Target utama anti ganja Nixon ini  ialah anak muda dan Kulit Hitam. Gerakan Kulit Hitam ini wajib ditumpaskan. Maka ganja ditabur merata-rata. 

Ditabur merata-rata? Apa lojiknya?  

Dibelakang Perang Dadah Nixon ini  ada lagi projek gelap  yang amat gelap.   Ada  tokan yang besar. Lebih besar dari  Jardine, Matheson & Co. Lebih besar  dari Baginda Queen Victoria. Lebih besar dari  East India Company.
Tokan baru dadah tahun 70’an telah beralih. Dulu milik kuasa kolonial Inggeris. Kini  dadah milik kuasa imperialis Amerika. 

Apa? Siapa di Amerika jadi tokan dadah. Mustahil  Intelligence Agency (CIA) tidak tercium.

Bro... nak tahu siapa tokan dadah baru tunggu minggu depan. (TT)






1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sementara Baginda Queen melancar perang candu di China, berlaku kebuluran yang dashyat di India. Tanah pertanian yang dulu ditanam makanan telah digunakan untuk tanam ganja. Cuaca buruk akibat ElNino menyebabkan hasil tuaian yang kurang, makanan tak cukup. Berpuluh juta orang India mati kelaparan. Cuba google "famine India opium".