GARIS
PANDANGAN
MALAYSIAN INSIGHT
Mencari keadilan di tengah pandemik
ADA sesuatu yang tentunya tidak kena dengan sistem keadilan kita kalau seorang tukang potong rumput yang tidak mengenakan pelitup muka dihukum penjara tiga minggu sementara seorang wakil rakyat hanya dikenakan kompaun RM1,500 atas kesalahan sama.
Malah ada juga menteri dan selebriti yang berulang-ulang melanggar peraturan pencegahan penularan pandemik Covid-19. Malang sekali, penguatkuasaan undang-undang terhadap mereka terlalu bertolak ansur, makan masa lama dan hukumannya terasa ala kadar saja.
Di mana letaknya keadilan? Apa tujuan hukuman? Apa sebenarnya falsafah di sebalik hukuman?
Seorang pemotong rumput Azawan Rajik semalam dijatuhi hukuman penjara tiga minggu oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas mengaku salah atas tuduhan tidak mengenakan pelitup muka di tempat awam, lapor media.
Azawan memberitahu mahkamah dia sedang bekerja memotong rumput dekat sebuah jambatan dan membuka sekejap pelitup mukanya untuk bernafas. Pada masa itu jugalah polis datang dan melihatnya tidak memakai pelitup muka.
Selepas mendengar penjelasannya, Majistret Lovely Natasha Charles bertanya sama ada dia mahu menukar pengakuan tetapi Azawan tetap mahu mengaku salah. Dia tidak diwakili peguam dan membuat pengakuan salah tentunya juga tanpa mendapat nasihat perundangan yang wajar.
Majistret menjatuhkan hukuman penjara tiga minggu. Hukumannya berjalan sejak 4 Jun, iaitu tarikh dia ditahan dan selepas itu akan diserah kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia.
Patah balik sedikit ke belakang. Hanya dalam 10 hari lepas, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dikompaun RM1,500 kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam. Dia hanya mengenakan pelindung muka plastik dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Apakah salah kalau orang bertanya: kenapa tukang potong rumput dipenjara tiga minggu tetapi wakil rakyat didenda RM1,500?
Ada beberapa perbezaan antara dua kes ini.
Semasa kejadian, Tajuddin memberikan sidang media mengenai kemalangan dua tren transit aliran ringan (LRT) di Kuala Lumpur pada hujung Mei lalu. Pada masa itu, beliau berada di tengah sekumpulan orang dan bercakap kepada mereka.
Sebagai perbandingan, Azawan mengikut laporan berada di tempat terbuka dan bukan di tengah kerumunan orang ramai. Kalau ikut data dan sains, mana satu keadaan yang lebih mudah menyebabkan penyakit merebak?
Azawan warga Filipina yang memegang pas imigresen yang sah dan dilaporkan oleh media turut mempunyai satu kesalahan imigresen yang lain, yang bagaimanapun tidak dinyatakan. Tajuddin pula wakil rakyat yang tugas utamanya menggubal undang-undang dan dasar, dan sudah tentu lebih tahu kesan dan akibat perbuatannya melanggar peraturan.
Tajuddin dikompaun mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021. Azawan dipenjara kerana pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit. Hukuman dua peruntukan undang-undang itu memang berbeza.
Tetapi masyarakat tidak minta difahamkan tentang perbezaan itu. Mereka hanya mahu melihat keadilan. Hukuman biarlah setimpal. Sampai bila pun orang tidak akan faham kenapa dan bagaimana seorang tukang potong rumput harus masuk penjara sementara seorang wakil rakyat hanya bayar denda.
Terlepas daripada kompleksiti undang-undang, hukuman yang berbeza ini mengukuh tanggapan umum bahawa ada pilih bulu dalam sistem penguatkuasaan peraturan mencegah pandemik Covid-19. Malah, keadilan nampak seperti hanya terjangkau untuk mereka yang mampu mengupah peguam.
Tanggapan itu bukan keterlaluan tetapi memang sudah dibina bertumpuk-tumpuk dan perlahan-lahan sejak perintah kawalan pergerakan mula dilaksanakan pada pertengahan Mac 2020.
Pada awal pelaksanaan PKP, seorang pesuruhjaya kehakiman Muniandy Kannyappan di Mahkamah Tinggi Taiping memanggil sebuah kes yang diputuskan oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput untuk semakan.
Dalam kes itu, dua pekerja binaan pada awalnya dihukum denda tetapi memilih untuk dipenjara tiga bulan kerana tiada wang untuk melunaskan hukuman. Mereka dihukum kerana melanggar peraturan apabila berada di luar rumah memancing ikan di sebuah kolam ketika PKP berjalan.
Fakta kes menunjukkan mereka ingkar arahan pihak polis untuk meninggalkan kolam ikan berkenaan.
Mereka memancing ikan kerana sudah tiada lagi pendapatan, lebih dua minggu selepas PKP dikuatkuasa. Mereka makan gaji hari; tidak boleh bekerja bermakna tiada gaji.
Pesuruhjaya kehakiman Muniandy membatalkan hukuman penjara dan menggantikannya dengan hukuman kerja khidmat masyarakat 4 jam sehari selama tiga bulan.
Apa katanya?
Hukuman mesti setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. “Setimpal” pula ditimbang dengan melihat pada kesalahan dan keadaan orang yang melakukan kesalahan.
“Hakim mahkamah rendah wajar meneliti semua pilihan hukuman yang ada dalam sistem keadilan kita demi keadilan yang sewajarnya kepada tertuduh, yang mana jika tidak, akan menafikan hak mereka di bawah undang-undang,” kata Muniandy.
Sehingga hukuman dijatuhkan ke atasnya semalam, Azawan sudah ditahan selama 15 hari. Dia ada baki lagi enam hari dalam tahanan sebelum diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan susulan. Membetulkan hukuman ke atas Azawan, sekiranya hukuman itu salah, hanya akan jadi urusan di atas kertas semata-mata — tetapi kesannya besar kepada masyarakat.
Hukuman ke atas Azawan wajar disemak semula — supaya jangan berlaku salah tanggapan masyarakat tentang penguatkuasaan undang-undang dan hukuman.
Undang-undang tidak mengenal pangkat. Undang-undang tidak boleh dilihat dikuatkuasakan mengikut darjat. – 19 Jun, 2021.
Pengarang MalaysianInsight
Tiada ulasan:
Catat Ulasan