Pakai Vellfire bukti Putrajaya tak ikhlas perubahan iklim, kata ahli Parlimen Pakatan
PUTRAJAYA tidak ikhlas tentang matlamat perubahan iklim apabila memilih Toyota Vellfire yang guna lebih banyak petrol berbanding Proton Perdana, kata dua bekas ahli kabinet dari Pakatan Harapan (PH).
Yeo Bee Yin dan Ong Kian Ming berkata pada COP26 baru-baru ini Malaysia telah meletak sasaran untuk mengurangkan jejak karbon, dengan cita-cita mahu semua kenderaan kerajaan menggunakan enjin jenis bukan pembakaran dalaman (non-internal combustion) menjelang 2030.
Ini bermaksud semua kenderaan yang digunakan menteri, timbalan menteri dan penjawat awam menggunakan sama ada kenderaan hibrid atau elektrik.
Namun Putrajaya diihat tidak berusaha untuk capai matlamat tersebut apabila memutuskan untuk tukar kenderaan rasmi daripada Proton Perdana kepada Toyota Vellfire.
“Ini tidak ambil kira kenyataan bahan api Toyota Vellfire pada 8.6l/100km adalah sebanyak 36.5 peratus lebih tinggi berbanding penggunaan bahan api 6.3l/100km Honda Accord (ditandakan semula sebagai Proton Perdana).
“Dengan mengandaikan kereta menteri bergerak 100 km sehari selama 5 hari seminggu, ini bermakna 2,000 km perjalanan sebulan. Berdasarkan anggaran ini, bil petrol bulanan untuk Vellfire adalah RM94.3 lebih tinggi daripada Honda Accord.
“Vellfire juga menjana 460 kg CO2 berbanding Honda Accord! Ini bermaksud, waktu buat keputusan untuk tukar kepada Vellfire, mereka tidak pertimbang kesan alam sekitar,” kata Yeo dan Ong dalam satu kenyataan.
“Kita dapat lihat ‘keikhlasan’ kerajaan yang mahu jadi lebih mesra alam dalam keputusan ini.
“Jika ini sikap kerajaan sekarang, boleh percayakah komitmen kerajaan untuk guna kenderaan mesra alam menjelang 2030?” kata mereka.
Yeo pernah memegang jawatan menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim manakala Ong bekas timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika PH kerajaan. Mereka juga masing-masing merupakan ahli Parlimen Bakri dan Bangi.
Mereka berkata demikian mengulas ucapan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man pada COP26 baru-baru ini di Glasgow.
Ada juga sasaran lain yang meragukan seperti diumumkan Tuan Ibrahim itu, kata Yeo dan Ong, mempersoalkan sama ada komitmen sama terhadap matlamat ini turut dikongsi oleh kementerian lain.
Ini termasuk komitmen untuk menukar sisa kepada tenaga selain meningkatkan kadar kitar semula negara kepada 40 peratus menjelang 2025.
Ia melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun setakat ini tidak ada dasar penting diumumkan atau dilaksanakan oleh kementerian tersebut, kata mereka.
Ini kerana 158 daripada 165 atau 95 peratus tapak pelupusan sampah kita tidak bersih yang mengeluarkan gas metana, kata Yeo dan Ong memetik angka oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.
Satu lagi komitmen kementerian Tuan Ibrahim adalah sasaran 31 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui untuk penjanaan kuasa menjelang 2025, yang lebih rendah berbanding komitmen kerajaan PH sebanyak 33 peratus dalam tempoh sama.
Yeo dan Ong mempersoalkan mengapa sasaran itu telah dikurangkan, terutamanya memandangkan harga tenaga solar dan teknologi tenaga boleh diperbaharui lain telah menurun.
“Kerajaan perlu buat sasaran lebih tinggi untuk tenaga boleh diperbaharui,” kata mereka.
Mereka juga membangkitkan isu kekurangan strategi dalam menetapkan dasar penetapan harga karbon.
Yeo dan Ong berkata Putrajaya perlu membentang dan meluluskan Akta Perubahan Iklim dalam komitmennya untuk mengurangkan jejak karbon.
Akta tersebut perlu meliputi dasar di semua kementerian dan termasuk “belanjawan karbon” yang mesti dicapai Malaysia.
Mereka berkata PH telah menyediakan kajian dasar untuk akta sedemikian, yang dirancang untuk dibentang pada 2022, tetapi tidak dapat dilaksanakan apagila kerajaan PH digulingkan melalui Langkah Sheraton. – 26 November, 2021.
KERAJAAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan