Mangsa banjir Shah Alam masih bergelut
PENDUDUK Taman Sri Muda di Shah Alam masih belum pulih sepenuhnya walaupun sudah lapan bulan kediaman mereka musnah akibat banjir besar.
Bercakap kepada The Malaysian Insight, mereka “masih jauh” untuk kembali seperti sebelum tragedi Disember tahun lalu.
Walaupun kerja-kerja ubah suai dan baik pulih sedang berjalan, rumah mereka cuma tinggal lagi 50 peratus untuk siap, namun tambah mereka, beban kewangan juga antara masalah utama.
Sambil berterima kasih kepada sokongan kumpulan masyarakat awam dan sukarelawan, bantuan kerajaan masih tidak mencukupi, kata mereka.
Pemandu ambulans Mohd Anas, 51, berkata rumahnya baru siap separuh jalan, berharap dapat siapkan menjelang hujung tahun ini.
“Saya berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh NGO dan rakan-rakan saya yang banyak menyumbang tetapi dari segi bantuan kerajaan, saya sangat kecewa.
“Mereka (kerajaan) hampir tidak sediakan apa-apa. RM2,000 yang mereka bagi tak cukup sebab kos baiki kereta saya sahaja RM6,000,” katanya.
Beliau menjangkakan Adun dan ahli Parlimen kawasannya sering melawat rakyat untuk memantau mereka.
“Dua bulan pertama selepas banjir, mereka datang setiap hari tetapi sekarang sudah tak nampak langsung. Mungkin sebab isu ini sudah tak viral.
“Kerajaan bertanggungjawab atas semua yang berlaku kepada kami semasa banjir tetapi sekarang mereka membisu. Saya tak nampak ada platform untuk kami hubungi mereka,” katanya.
Hujan lebat sebelum dan pada hujung minggu 17 dan 18 Disember tahun lepas telah menyebabkan banjir besar di beberapa negeri, termasuk bahagian tengah Semenanjung seperti Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang. Kejadian ini boleh dianggap luar biasa kerana musim banjir waktu itu kebiasaannya melanda negeri pantai timur.
Ketika kemuncak banjir itu, lebih 70,000 orang hilang tempat tinggal. Malah 54 nyawa terkorban. Selangor, terutamanya di Taman Sri Muda dan kawasan sekitar Shah Alam, antara negeri yang paling teruk dilanda banjir.
Anas berkata simpanan beliau hampir habis susulan banjir.
“Dengan keadaan inflasi sekarang, saya belanja 30 peratus gaji bulanan untuk baiki rumah perlahan-lahan. Hujung bulan duit saya cuma tinggal berapa ratus sahaja,” kata Anas.
Anas juga berkata beliau masih trauma setiap kali hujan di Taman Sri Muda, tambahan dengan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
“Setiap kali hujan lebat kami mula bawa barang-barang kami ke tingkat atas.
“Jadi, kalau saya ada wang yang cukup, saya pasti akan pindah ke tempat lain. Tetapi keadaan kewangan saya sekarang menghalang saya,” kata Anas yang mengalami kerugian sekitar RM15,000 semasa banjir.
Tak guna tunggu bantuan kerajaan
Sementara itu, pemain gitar David Arokiasamy, 68, berkata beliau amat berterima kasih atas semua perabot yang disumbangkan oleh orang ramai.
“Bagaimanapun dinding saya masih belum dicat. Masih banyak perkara yang perlu dibuat supaya rumah saya kembali seperti sebelum banjir.
“Bantuan diberikan kerajaan cepat habis sebab bukanlah banyak sangat pun,” kata David.
Tambahnya beliau juga masih trauma setiap kali hujan namun hidup perlu diteruskan.
“Tetapi saya tidak boleh selalu fikir tentang banjir yang berlaku atau yang akan berlaku sebab saya perlu kembali ke kehidupan saya dan mencari rezeki,” kata David yang telah kehilangan ramai pelajar gitar selepas banjir memandangkan keretanya rosak untuk pergi mengajar.
David berkata beliau tidak boleh bergantung banyak kepada kerajaan juga kerana mereka hilang.
“Jika anda perasan semasa banjir, anda akan nampak ramai individu bagi bantuan, malah lebih daripada pihak berkuasa, jadi mengharapkan kerajaan membantu kami adalah sia-sia,” kata David.
Seorang lagi penduduk Mun Yi, 52, berkata rumahnya hanya 45 peratus siap dan beliau tidak tahu bila ia akan siap.
“Air setinggi tujuh kaki di rumah saya, jadi semua perabot di tingkat bawah rosak.
“Suami saya sudah bersara dan saya cuma bekerja sebagai tukang cuci jadi kami tidak ada banyak wang untuk baiki rumah. Kami hanya buat apa yang kami ada,” katanya.
Menurutnya, lebih separuh daripada bantuan yang diberikan kerajaan digunakan untuk kerja-kerja pendawaian.
“Cat rumah, beli televisyen baharu, set sofa, semuanya belum selesai.
“Saya pada masa ini hanya harapkan beberapa NGO untuk bagi bantuan yang saya perlukan,” katanya.
Beliau juga bimbang jika banjir berlaku lagi, beliau akan lebih lelah.
“Jika banjir besar berlaku lagi, saya tidak ada wang dalam bank saya untuk baiki dari awal lagi.
“Jadi apabila hujan, kami mengambil semua barang berharga kami dan bergerak ke tingkat atas ke bilik tidur kami,” katanya.
Selepas banjir, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan RM100 juta pembiayaan untuk membaiki rumah dan infrastruktur, dengan pembiayaan lanjut akan menyusul jika diperlukan. Setiap isi rumah yang terjejas banjir akan menerima RM1,000, yang akan disalurkan selepas mangsa pulang ke rumah masing-masing.
Baucar tunai RM500 setiap satu turut dijanjikan untuk diberikan kepada setiap keluarga bagi membeli peralatan elektrik yang rosak akibat banjir.
Skim ini bermula pada 7 Januari.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberi wang tunai RM2,500 kepada setiap keluarga yang terjejas untuk membeli barangan keperluan.
Setiap mangsa yang terjejas turut ditawarkan bayaran perkhidmatan menunda dan membaiki kereta secara percuma oleh pengeluar kereta nasional Proton dan Perodua, selain diskaun 50 peratus penggantian alat ganti. – 29 Julai, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan