Isnin, 26 Disember 2022

EKONOMI EKONOMI - RAKYAT TERTEKAN


Gabungan manifesto BN, Pakatan perlu selesai kos sara hidup dan ekonomi, kata penganalisis


KERAJAAN perlu pastikan manifesto gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memberi keutamaan kepada soal menangani kenaikan kos sara hidup, kata penganalisis.

Ia berikutan isu membabitkan kos sara hidup dan ekonomi yang semakin menekan kehidupan rakyat merupakan antara tumpuan utama dalam manifesto kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mereka.

Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata manifesto kedua-dua parti itu boleh digunakan dalam membantu menyelesaikan isu rakyat.

“Kurangkan kos sara hidup, itu matlamat utama sekarang, fokus terhadap bagaimana kurangkan harga dan menambah bekalan dalam pasaran, antaranya telur ayam, harga ayam meningkat, ini perlu diatasi dulu.

“Untuk menangani peningkatkan kos hidup rakyat, matlamat manifesto adalah memperbaiki ekonomi, mewujudkan ekonomi yang mapan, pertumbuhan ekonomi meningkat, itu kunci penyelesaian isu berkait kos hidup rakyat,” kata Mazlan, kepada The Malaysian Insight.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Rafizi Ramli pada 20 Disember berkata, kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa diketuai Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali bagi menunaikan janji manifesto pilihan raya mereka.

Jawatankuasa itu kata Rafizi akan meneliti dan menggabungkan janji manifesto, berikutan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim merupakan gabungan beberapa parti yang mempunyai manifesto berbeza sewaktu tempoh berkempen pada PRU15, November lalu.

Dalam manifesto PRU15, Tawaran Harapan: Kita Boleh PH, gabungan itu mengemukakan 10 tawaran kepada pengundi, yang salah satunya merupakan komitmen bagi menguruskan peningkatan kos sara hidup rakyat.

Antara cadangan mereka termasuk penghapusan monopoli dan kartel dalam sektor bahan makanan dan membuka persaingan bagi mengelakkan kegiatan mengaut keuntungan melampau.

PH juga memberi komitmen untuk meningkatkan pemberian insentif pengeluaran makanan khususnya barangan keperluan asas agar tekanan kenaikan harga boleh dikurangkan dalam tempoh jangka masa panjang.

Sementara BN, dalam manifestonya Perancangan Amal dan Usaha (Padu) yang menggariskan 10 teras dan 99 tawaran, turut menyentuh isu peningkatan kos sara hidup, dengan komitmen meningkatkan pendapatan rakyat melalui pemberian skim bantuan pendapatan asas.

Melalui skim tersebut, kerajaan akan mengkreditkan bantuan tunai secara automatik kepada semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,208.

Tingkat pendapatan

Mazlan berkata, kerajaan juga perlu meningkatkan hasil dan pendapatan negara bagi membolehkan dana mencukupi dapat diperolehi untuk menanggung keperluan subsidi kepada rakyat dalam usaha mengurangkan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Kalau ekonomi negara baik banyak hasil boleh digunakan sebagai subsidi kurangkan kos sara hidup rakyat.

“Isu segera yang boleh diberi perhatian juga adalah mewujudkan mekanisme tarik pelabur asing.

“Ini perlu diberi perhatian jawatankuasa itu, antara langkah yang boleh diambil adalah memperbaiki hubungan dengan negara luar, tingkatkan kerjasama serantau bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI), ini kena dibuat segera,” katanya.

Dalam tawaran Padu, BN memberi komitmen untuk mengehadkan pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam sektor tertentu bagi mengelakkan agensi berkenaan merebut peluang syarikat swasta.

Selain itu, komitmen juga diberikan untuk negara terlibat lebih agresif dalam rundingan perdagangan bebas dengan negara serantau, negara membangun, dan juga negara maju.

Manakala PH turut menyentuh soal peningkatan ekonomi dengan komitmen untuk menyediakan lebih banyak dana strategik yang mengukuhkan kapasiti syarikat milik Malaysia untuk melibatkan diri dalam pelaburan langsung domestik.
.
Mereka turut menawarkan pewartaan Zon Perdagangan Bebas di Sabah, dan menyediakan lebih banyak insentif eksport untuk menggalakkan perdagangan antarabangsa.

Manifesto kedua-dua gabungan itu turut dilihat menyentuh soal jaminan keselamatan makanan, yang mana PH menawarkan reformasi tanah pertanian selain pertanian pintar melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D).

BN pula memberi komitmen membuka enam lembah makanan negara dan melahirkan 5,000 generasi petani moden di bawah umur 40 tahun di samping menghapuskan Permit Import (AP) dalam agro makanan dan penetapan 10% ladang milik GLC diperuntukkan bagi penghasilan makanan.

Kesaksamaan wilayah

Mazlan berkata, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada kesaksamaan antara wilayah seperti Sabah dan Sarawak.

Pada 21 Disember lalu, Anwar mengumumkan Putrajaya bersetuju memindah kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri berkenaan.

Langkah itu kata Mazlan menunjukkan komitmen kerajaan sebagai sebahagian usaha memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963.

PH dan BN juga menyentuh soal pembangunan belia dengan BN menawarkan penubuhan Jawatankuasa Belia bagi semakan polisi di Parlimen, di samping dana keusahawanan belia bernilai RM300 juta dan kuota belia sebagai senator dalam Dewan Negara.

PH pula menawarkan tiket kapal terbang pada kadar harga tetap RM199, dari Semenanjung ke Sabah atau Sarawak, kad belia, dan dana subsidi berjumlah RM500 untuk latihan oleh HRD Corp.

“Walaupun matlamat fokus yang agak berbeza antara manifesto PH dan BN, ada beberapa isu yang ada persamaan.

“Justeru saya cadangkan jawatankuasa yang akan diwujudkan ini boleh beri fokus kepada beberapa perkara yang BN dan PH kongsi matlamat sama,” kata Mazlan lagi.

Keperluan asas

Sementara itu, pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata, tumpuan juga perlu diberikan kepada keperluan asas dan kehidupan rakyat seperti sektor pemakanan, pertanian dan harga tarif elektrik.

Menurutnya, jangka masa terbaik untuk melihat hasil pelaksanaan gabungan manifesto itu adalah berperingkat, iaitu tiga bulan selepas kerajaan dibentuk untuk jangka masa pendek, sehingga sembilan bulan hingga setahun untuk tempoh masa seterusnya.

“Sebagai kerajaan pemerintah adalah menjadi tanggungjawab tunai manifesto terutama gabungan manifesto yang boleh beri keselesaan hidup untuk tangani kos sara hidup rakyat,” kata Awang Azman.

Tambahnya, fokus utama adalah mengenai usaha memastikan atau mencari penyelesaian kos sara hidup yang tinggi dan bagaimana penyelesaian itu dapat dilaksanakan dengan pelbagai strategi.

“Bukan satu strategi tetapi pelbagai strategi, sektor pemakanan harus diberi keutamaan dan sektor tenaga,” katanya lagi.

Pada PRU15 tiada gabungan yang mampu membentuk kerajaan bersendirian dengan PH menang kerusi terbanyak sebanyak 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) 74 kerusi dan BN 30 kerusi.

GPS menang 22 kerusi, manakala GRS menang di enam kerusi Parlimen sementara Warisan menang di tiga kerusi.

PH kemudian membentuk kerajaan perpaduan bersama BN, GPS, GRS, dan kemudiannya disertai parti lain seperti Warisan.

Pada 16 Disember lalu, PH turut menandatangani memorandum perjanjian persefahaman bersama empat gabungan berkenaan bagi mengukuhkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Anwar. – 26 Disember, 2022.

DALAM MASA

TAK LAMA

EKONOMI DUNIA

AKAN MELEDAK

RUNTUH

AMIN

BERSEDIA

BERHADAPAN DGN

KRISIS INI

KHALAS

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bro lu ingat tak malaysia ada majlis professor negara.selama 33 bulan PN PAS memerintah, apa majlis professor ini buat utk ekonomi malaysia.rafizi bukan professor.pada ketika telur tiada dipasaran, mana hilang professor2 ekonomi MPN?nape tiada sekor kangkungpun yg memberi penerangan seperti mana rafizi buat. setelah 33blan MPN hilang dlm ilmu tinggi keprofessorsan, akhirnya bila ada sosok bernama rafizi cuma menerangkan ilmu basic ekonomi, tetiba2 prof2 kangkung ini ada suara nyaring..mana bole kita serahan masa depan negara kpd prof2 kangkung ni.