Jumaat, 6 Januari 2023

BANJIR DI KELANTAN & TERENGGANU SALAH SENDIRI


Aktiviti tanah tidak terkawal punca Kelantan, Terengganu banjir teruk, kata pakar

AKTIVITI guna tanah tidak terkawal terutama di kawasan hulu lembangan sungai antara punca banjir teruk melanda di Kelantan dan Terengganu, kata pakar banjir.

Menurut pakar hidrologi dan banjir Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Edlic Sathiamurthy biarpun secara asasnya banjir yang berlaku itu dikaitkan dengan fenomena kitaran Ensso, La Nina dan El Nino dan perubahan iklim yang menyebabkan taburan hujan semakin lebat.

Namun penerokaan kawasan hutan secara besar-besaran bagi tujuan pembalakan, perladangan atau pembangunan menyebabkan banjir semakin memburuk dengan kesan kemusnahan yang dahsyat, katanya.

“Apabila kita terus lakukan perubahan guna tanah di hulu sungai dan bila berlaku hujan lebat yang menyebabkan aliran air turun dengan banyak.

“Tapi aliran air ini tidak dapat diserap oleh tanah atas faktor aktiviti guna tanah dan turut berlaku elemen mendapan menyebabkan sungai menjadi cetek.

“Akhirnya sungai tidak mampu menampung lebihan air menjadikan seperti keadaan yang kita lihat sekarang (banjir teruk),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, sangat penting kerajaan negeri mengawal dan tidak membenarkan berlakunya pembalakan secara besar-besaran atas alasan untuk menjadi kawasan pertanian, ujarnya.

Sathiamurthy memberi contoh pembangunan di lembangan Sungai Golok, Kelantan dan Sungai Nerus, Terengganu, antara kawasan paling terjejas teruk semasa banjir lepas.

“Kalau kita tengok kawasan dua sungai ini antara paling terjejas teruk dengan paras air yang tinggi, sedangkan ada juga kawasan lain yang kurang kesannya.

“Jadi apa kita buat dengan lembangan sungai kalau dibuat banyak pembangunan dari kawasan hutan hujan tropika ditukar jadi kawasan ladang, lombong atau kawasan perbandaran maka akan menyumbang betapa buruknya kejadian banjir,” katanya.

Beliau mengulas mengenai banjir besar yang berlaku di negeri pantai timur itu pada bulan lepas.

Terengganu merekodkan lebih 40,000 mangsa banjir dengan pekan Jerteh di Besut lumpuh sama sekali apabila semua laluan di kawasan itu ditenggelami air.

Manakala di Kelantan, hampir 32,000 menjadi mangsa dalam banjir yang turut menenggelamkan seluruh bandar Rantau Panjang.

Banjir besar baru-baru ini juga mengulangi kejadian sama pada 2014 di pantai timur.

Mengulas lanjut Sathiamurthy berkata faktor pembangunan dan tiada sistem saliran baik yang turut menjadi punca banjir buruk.

Katanya, proses perbandaran terutama dengan keadaan jalan raya yang berturap tar menyebabkan lebihan air hujan tidak dapat diserap dengan baik dan akan mengalir ke sistem saliran perparitan.

Jelasnya keadaan akan bertambah buruk jika saliran perparitan tidak direka bentuk dengan baik, gagal berfungsi akibat kelemahan penyelenggaraan dan akhirnya tidak dapat menampung jumlah air apabila hujan lebat.

“Kalau ikut konsep hidrologi baki air hujan atau air tidak diserap ini kita panggil larian air permukaan. Di kawasan hutan yang mempunyai tebatan semulajadi, hampir 100% air hujan akan diserap ke tanah dan kurang 1% akan jadi larian air permukaan.

“Ini berbanding di bandar, 90% boleh jadi larian air permukaan, sebab itu boleh jadi banjir kilat,” katanya.

Selain itu beliau turut menyatakan kebimbangan kesan pembinaan benteng pemecah ombak (break water) yang banyak terdapat di muara sungai atau laut di Terengganu.

Beliau berkata biarpun tujuan pembinaan itu bagi memudahkan bot nelayan keluar masuk tanpa mengira waktu dan pasang air surut tapi sebenarnya ia memberi kesan menyempitkan muara sungai.

“Kita tidak kata benteng ini tidak boleh digunakan tapi kalau negara lain seperti di Australia, ada banyak pemecah ombak tapi ia direka bentuk sesuai dengan sifat dan proses pantai di kawasan tersebut.

“Kalau di Malaysia satu reka bentuk pemecah ombak ini kita guna untuk semua tanpa ambil kira kesesuaian kawasan itu,” katanya.

Justeru, beliau berkata kerajaan pusat atau kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan yang lebih holistik dalam menangani isu banjir seperti pengurusan lembangan sungai bersepadu.

Katanya kaedah itu adalah yang terbaik bagi mengurangkan kesan banjir teruk namun sayangnya ia tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

“Idea itu ada sejak 20 tahun yang lalu tapi saya tak nampak konsep itu diguna pakai. Apa sahaja aktiviti guna tanah yang kita ingin lakukan sebenarnya perlu ada perancangan.

“Jika tidak kita akan sentiasa alami masalah yang sama, banjir dan mungkin akan lebih buruk. Kalau tidak ada perubahan iklim banjir teruk akan berlaku jika kita tidak jaga dan tidak merancang pembangunan.

“Sebab itu saya selalu kata banjir tidak boleh dielakkan kerana ia fenomena semulajadi namun kita boleh elak kesan yang teruk,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Kajian Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S Piarapakaran berkata ada dua faktor yang menyebabkan impak banjir yang teruk iaitu penggondolan hutan yang menyebabkan hilang tebatan semula jadi dan perubahan iklim.

Beliau juga berpendapat faktor perubahan iklim sebagai punca banjir perlu disokong atau dirujuk dengan data dan kajian trend sebelum ini.

“Perubahan iklim ini alasan mudah untuk kita mencari kambing hitam. Kita faham Malaysia iklim khatulistiwa dan ada hutan hujan tropika tapi kita ada atau tidak data sejarah untuk buktikan taburan hujan.

“Kita kena rujuk fakta dan bukan tunding jari kata ia kerana perubahan iklim,” katanya.

Paling mendesak yang perlu diberi perhatian ialah projek tebatan banjir bertujuan untuk menangani impak banjir besar namun sejauh mana keberkesanannya, katanya.

Beliau berkata menjadi kebimbangan banyak projek tebatan banjir yang dilakukan tidak lagi praktikal memandangkan berlakunya pembangunan di sekitar kawasan tersebut dan ia akhirnya membazir dan gagal.

“Projek tebatan banjir ini kita memang kena buat sebab ia akan kawal lebihan air hujan sebab hutan kita dah habis. Ia memang membantu tapi dengan syarat tidak boleh ada pembangunan di sekitar itu. 

“Namun apa jadi ketika ini tidak begitu seperti contoh di Perak, projek tebatan banjir dibuat namun bila projek itu sudah berlangsung dan sudah siap kawasan sekitar itu digondol. 

“Tebatan memang masih berfungsi tapi ia tidak direka untuk mengawal air hujan lebihan.

“Sebab itu saya kata apa sahaja projek tebatan dibuat kena ambil kira persekitaran terutama dalam konteks projek masa panjang supaya tidak membazir berbilion ringgit duit rakyat,” katanya.

Menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini berkata 40 projek berkaitan tebatan banjir serta saliran mesra alam akan dilaksanakan bagi menangani masalah banjir sehingga tahun 2100.

Di Kelantan terdapat dua projek utama RTB sedang dilaksanakan, satu daripadanya Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dengan kos RM456 juta yang kini siap hampir 90% dan siap sepenuhnya April ini.

Satu lagi projek ialah di Sungai Golok membabitkan tiga fasa dengan fasa satu siap 71% dan dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2024. – 6 Januari, 2023.

BANJIR

MALAPETAKA

CUACA  SEMUANYA

HASIL KERJA

MANUSIA

AMIN

KITA SAMA SAMA

BERTANGGUNG 

JAWAB

AMIN

HANYA KITA

BERSAMA SAMA

YG BOLEH

MENYELESAIKAN

MALAPETAKA

CUACA

KHALAS

2 ulasan:

panglimo potaseh berkata...

Masak-ala ..sokor kita .. Serambi Mokah masey banjir, Kelantan pon masey banjir. Sorambi Mokah dah hampir sesuchi Mekah-El-Korim, Mekah Banjir maka serambi nye pon basah, sama-sama basah terair, banjir .. apa mau heran ..ini makna Allah sayang Kelantan ..Kelantan dah macam Mekah. TaT ..nak tanya, apasal MUKAH (kat Sarawak) tak banjir ..?

panglimo potaseh berkata...

Masak-ala ..sokor kita .. Serambi Mokah masey banjir, Kelantan pon masey banjir. Sorambi Mokah dah hampir sesuchi Mekah-El-Korim, Mekah Banjir maka serambi nye pon basah, sama-sama basah terair, banjir .. apa mau heran ..ini makna Allah sayang Kelantan ..Kelantan dah macam Mekah. TaT ..nak tanya, apasal MUKAH (kat Sarawak) tak banjir ..?