Jangan ambil untung bila kawalan harga ayam, telur ditarik balik, kata peruncit
PEMAIN industri tidak harus mengambil kesempatan daripada inisiatif kerajaan untuk mengapungkan harga ayam dan telur bulan depan, kata pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin.
Beliau berharap industri terutamanya pembekal ayam akan menguruskan harga dengan betul dan tidak terbabit dalam pencatutan yang tidak bertanggungjawab.
“Bulan depan kerajaan akan menaikkan harga siling ayam iaitu RM9.40 sekilogram.
“Kita harus ingat hanya kerana kerajaan mengapungkan harga, ia tidak bermakna harga ayam harus naik (tidak adil),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kawalan harga sementara bagi telur dan ayam dilaksanakan untuk memastikan harga barangan dan bekalannya kekal stabil.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu kawalan harga sementara akan ditarik balik supaya pasaran tempatan dapat berfungsi dengan bebas bagi memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi di pasaran.
Susulan itu Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, tarikh harga ayam dan telur diapungkan akan diumumkan pada sidang media pada 30 Oktober ini.
Beliau berkata, perbincangan sedang diadakan dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan harga kekal berpatutan selepas pengumuman itu.
Ameer juga berkata, cabaran lain adalah ketersediaan telur.
Beliau berkata, ketersediaan telur tidak akan meningkat dengan begitu cepat walaupun dengan harga telur terapung selepas 30 Oktober.
“Jadi, ia satu kitaran dan ia tidak akan stabil dengan serta-merta walaupun untuk telur ia mungkin lebih cepat.
“Buat masa ini kami tidak mengalami kekurangan bekalan ayam. Semua pasar raya besar juga menjual ayam di bawah harga kawalan RM9.40.
“Tetapi saya tidak berpuas hati dengan pembekal kerana apabila industri mendapat tahu kerajaan berhasrat untuk mengapung harga, malangnya mereka menaikkan harga sebanyak 60 sen sekilogram minggu ini.
“Kami menjual pada harga RM8.29 sekilogram sekarang tetapi kos kami meningkat sebanyak 60 sen, jadi kami terpaksa menjual pada harga RM8.89.”
Ameer berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mesti mengambil tindakan terhadap pencatutan itu.
“Mereka mesti mengejar pemain industri kerana mengapa mereka perlu menaikkan harga.
“Secara teorinya, mereka tidak sepatutnya menaikkan harga serta-merta. Mungkin sebulan kemudian jika struktur kos mereka lebih tinggi, maka harganya perlu dikaji semula.
“KPDN mesti memantau dan menyemak harga dan mereka mesti melihat justifikasi kenaikan itu.”
Begitu juga katanya, bagi telur harga kawalan gred A adalah 45 sen, B (43 sen) dan C (41 sen).
“Jadi, pasaran menyatakan telur mungkin naik 10 sen. Contohnya telur naik dari 45 sen kepada 55 sen, saya ragu-ragu harga boleh naik lebih tinggi daripada itu kerana telur Omega berharga 60 sen.
“Bagaimana telur gred A boleh lebih mahal daripada telur Omega?
“Jadi, industri perlu mengambil iktibar, kerana perdana menteri Anwar bertegas rakyat perlu mendapat manfaat daripada ini (harga terapung) dan peniaga tidak mengambil kesempatan.”
Beliau berkata, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan tegas jika pemain industri mengambil kesempatan kerana idea keseluruhannya adalah untuk membenarkan kuasa pasaran mengawal harga bagi memastikan ketersediaan.
“Kita mesti memastikan rakyat dan peruncit turut bertahan dengan harga yang berpatutan.
“Jadi, jika kerajaan berasakan industri ini tidak adil kepada rakyat, maka mereka patut benarkan pengimportan telur.”
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Ameer menjadi ‘suara’ perniagaan dalam menunjukkan kelemahan kerajaan serta memberikan cadangan dalam mengatasi kenaikan harga dan kekurangan makanan. – 22 Oktober, 2023.
1 ulasan:
Mydin saja tarak untung sangat, support Mydin Pitchay woit, super super lain tinggalkan tepi kah kah kah
Catat Ulasan