Pesanan Kebimbangan
dari pena
Sdr A Kadir Jasin
1. Akhir-akhir ini, nampak semakin banyak pengguna media sosial disiasat, ditangkap, dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhi hukuman.
2. Itu pun, apabila sekumpulan wartawan veteran dan penerbit akhbar membawa kebimbangan mereka ke pengetahuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), ada pihak yang mempersendakan mereka sebagai "Eight Big Brothers". Sikap "dismissive" anggota kerajaan dan pegawai media mereka adalah antara punca ketegangan di antara Kerajaan Madani dan penggerak demokrasi.
3. Di kalangan penggiat media sosial yang sedang menjadi buruan pihak berkuasa, ada yang dikenali ramai sebagai pengkritik kerajaan, khususnya terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tetapi ada juga pengguna kasual yang membuat kenyataan rambang tanpa berfikir panjang dan tanpa pengetahuan telah terjebak sehingga dihukum penjara setahun dan didenda RM20,000.
4. Memandangkan kesungguhan dan kekerapan pihak berkuasa menggunakan undang-undang ke atas pengguna media sosial maka adalah penting bagi mereka memahami undang-undang, khususnya yang berkaitan agama, kaum dan raja. Memburukkan lagi keadaan, ada pengguna media sosial sendiri menjadi gunting dalam lipatan dengan mengadu kepada polis dan SKMM.
5. Mereka kena tahu had kebebasan bersuara dan undang-undang yang berkaitan dengannya, terutama sekali Akta Hasutan, serta toleransi kerajaan. Ingatlah, semua pengguna media sosial tertakluk kepada undang-undang jenayah seperti Akta Hasutan dan kepada undang-undang sivil seperti fitnah bertulis (libel) dan lisan (slander).
6. Kalau mereka ulas mengenai isu-isu sensitif, misalnya 3R, dengan menggunakan fakta sahih dan secara berhemah serta mengamalkan hak menjawab (right of reply), mereka boleh mengurangkan risiko dikenakan tindakan undang-undang.
7. Kebenaran (truth), ulasan yang saksama (fair comment), kepentingan awam (public interest) dan hak menjawab (right of reply) adalah pelindungan dan pembelaan yang kukuh terhadap fitnah bertulis (libel) dan lisan (slander).
8. Fahami juga "rule of the game" - hukum-hakam - media sosial ini. Apabila seseorang, tidak kira insan totok tanpa darjat atau raja yang bersemayam di atas takhta, mencemar kaki turun ke gelanggang media sosial, semuanya menjadi sama rata. Justeru itu mereka mestilah bersedia menerima buruk dan baiknya.
9. Penulis Amerika, Amy Jo Martin berkata: "Social media is the ultimate equalizer. It gives a voice and a platform to anyone willing to engage." (Media sosial adalah penyamarata mutakhir. Ia memberi suara dan gelanggang kepada sesiapa saja yang bersedia berbahas).
10. Jadi, marilah kita berbahas dengan saksama. Janganlah orang biasa diintip dan dihukum tetapi yang bernama dan ternama diberikan perlindungan.
11. Semua yang terbabit kena faham iaitu, tidak seperti kaedah komunikasi arus perdana yang ada perantara (pegawai media, pemberita dan pengarang), media sosial adalah terus antara tuan punya akaun dengan khalayak (audience). Jadi kenalah bersedia menerima reaksi baik dan buruk seperti kata ungkapan Inggeris, "warts and all".
Sekian. Terima kasih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan