Khamis, 3 September 2020

DUIT BERKEMPEN MELOROH MASUK






DUIT BERKEMPEN


MELOROH MASUK




Pada hari  Selasa 3 November 2020 warga  Amerika Sarekat akan keluar mengundi. Mengundi untuk  memilih Presiden  ke 46 . Ini kali  ke 59 Amerika mengadakan pemilihan  Presiden 4 tahun sekali semenjak 236 tahun dahulu.   Pada November ini Donald Trump dari Parti Republican akan mempertahan kerusinya. Trump akan dilawan oleh  Joseph Biden dari Parti Democrat.

Pemilihan Presiden Amerika ini adalah contoh terbaik untuk memahami politik undi atau electoral politics.  Apa yang telah dan sedang berlaku dalam politik undi di Amerika ini juga sedang  berlaku disetiap negara yang mengamalkan sistem politik undi. Tujuan mengundi untuk memilih wakil ke Parlimen untuk membuat hukum undang undang dan dasar negara.

Politik undi di Amerika adalah sama dengan politik undi di Malaysia dan  di negara Dunia Ketiga. Politik undi Amerika mungkin berbeza sadikit dengan sistem politik undi di Negara Nordic – Sweden,  Denmark, Norway dan Finland -  atau di negara yang  gunapakai sistem undi berkadar – propositional representation. Tapi secara menyeluruh Amerika adalah contoh budaya unggul politik undi.

Dalam tulisan akhir saya telah menimbulkan tentang kuasa.  Politik undi dijalan untuk mendapat kuasa.  Sosok yang mencalonkan diri untuk diundi berniat untuk  mendapat kuasa. Melalui kuasa  Si Polan  yang menjadi Yang Berhormat (YB) boleh  mendraft, mencadang, mengusulkan  undang-undang untuk dilulus, diubah  atau dibatal dalam Parlimen. Para YB juga  boleh membuat dasar  untuk negara.  

YB yang berkumpul dan  berlabon dalam Parlimen itu tugasnya ialah membuat undang-undang dan dasar negara. Diatas kertas jika kita baca - amat jelas para YB ini  dilihat panglima unggul  yang memilki kuasa. Kuasa yang didapati melalui  jumlah undi yang lebih banyak berbanding dengan yang kalah kerana dapat undi kurang. Amin. 

Tetapi Hishamuddin Rais dalam tulisan ini akan membuktikan bahawa  dibelakang kuasa  ini ada lagi kuasa yang betul betul-betul berkuasa.

Apakah ini bermakna di belakang Muhyiddin, Azmin Ali  dan Menteri kabinet  adalah lagi  yang lebih berkuasa. Apakah  ini juga bermakna dibelakang Trump  ada lagi yang berkuasa. Apakah ini bermakna dibelakang  Boris Johnson  Perdana Menteri United Kingdom ada lagi yang lebih berkuasa? 

Betul dan tepat. Dibelakang kuasa PM , Presiden atau Menteri  atau YB  ada lagi kuasa yang lebih berkuasa.  Kuasa yang lebih kuat dari kuasa undi.

Penghuraian saya tentang politik undi  bertujuan untuk membuktikan bahawa dibelakang kuasa Presiden,   kuasa Perdana Menteri,  kuasa Menteri ,  kuasa Senator dan YB adalah lagi ‘ makhlok’ dibelakang kuasa ini.  Khalas.

Siapa makhlok ini ? Melayu ke China ? Islam atau   Nasrani?

Makhlok ini bukan susah untuk kita kenali dan difahami. Makhlok ini bukan makhlok halus. Makhlok  ini sama saperti kita.  

Kalau makhlok ini makan petai maka kencingnya pasti berbau haring. Kalau makhlok ini banyak makan labu  maka makhlok ini pasti akan kerap  terkentut. Tapi awas dan waspada makhlok ini serupa dengan kita. Tetapi serupa bukan bermakna sama. Amin.

Saperti kata arwah Cik Gu Muzaffar Tate -  politics is a rich man’s game – politik ini permainan orang kaya kaya.  Politik undi ini adalah puncak politik orang kaya kaya.

Donald Trump sebelum menjadi Presiden ialah  seorang billionaire pemilik  hotel dan  pemaju bangunan di New York. Ketika berkempen pada tahun 2016 , Si Trump ini telah menggunakan duit sendiri sebanyak 66 juta dolar. Tapi keseluruh kempen Trump pada tahun itu ialah 1.6 bilion dollar Amerika. Biden  yang  sedang menentang Trump  sekarang  telah mengumpul duit seramai 699 juta dollar. Kita belum terbaca jumlah dana yang telah dikumpul oleh Presiden Trump.

Dalam kempen kali pertama tahun 2008 Barack Obama telah menggunakan 730 juta dollar.  John McCain  lawan Obama menggunakan 333 juta dollar. Jumlah penuh kempen tahun 2008 ialah 2.4 bilion dollar.   Sila perhatikan jumlah:  bukan puluh puluh ratus. Bukan  ratus ribu tapi ratus ratus juta. Hingga jadi berbilion dollar. Amin.

Sekali dilihat  berkempen ini macam projek  membakar duit. Semua duit hangus terbakar. Betul. Mak Cik Pak Cik di Malaysia  tahu bila ada PRU maka duit akan ramai turun. Tambah lagi  dalam  Pilihan Raya Kecil (PRK) lagi banyak duit turun.

PRK  Permatang Pauh, Kuala Kangsar, Tanjung Piai, Port Dickson  atau di Slim baru baru ini terbukti dana melimpah turun.  Kampit beras dan kampit gula bertukar tangan. Tetiba baju , kasut, beg sekolah anak anak dihantar depan pintu.  Tanpa diminta tanpa dipesan tetiba nasi minyak sampai ke surau.  Semua  ini adalah  sebahagian dari ciri-ciri budaya politik undi Malaysia.

Kempen PRK ini memunculkan  cerita-cerita rakyat.  Disurahkan bagimana Mak Cik dan Pak Cik di kampong berdoa agar YB dikawasan mereka mati. Jika Yb mati maka akan diadakan  PRK. Bila PRK diadakan  duit meloroh masuk.

Putar kembali ingatan kepada  PRK Bukit Gantang April 2009. Bagaimana pekerja parti, pihak keselamatan, pegawai SPR  dan juga pelancung politik  telah melonjakkan ekonomi tempatan. Media melaporkan bagaimana mee udang Kuala Sepetang  yang biasanya 12 ringgit melonjak naik  menjadi 15 ringgit semangkok.  Malah ombak ekonomi PRK ini melimpah hingga ke Taiping dimana hotel  dan rumah tumpangan  habis dilanggan. Amin.

Dari mana duit berkempen ini di cekau?

Trump , Obama, Biden memerlukan  ratus juta  hingga berbilon dollar untuk berkempen.  Zaman air liur dan zaman air dagu sudah berlalu. Maka  dari mana  duit dicekau?.

Akhbar Washington Post 14 Febuari 2020 telah melaporkan  semenjak 2017 Presiden Trump telah mengadakan  48 kali pertemun dan jamuan makan malam bersama elit dan  gedebe parti Republican. Untuk  makan bersama Presiden tiket dijual dari 50,000  dolar seorang hingga ke ratusan  ribu mengikut jarak dari meja Presiden. Lagi dekat dengan Presiden  lagi mahal harga  kerusi. 

Washington Post juga  melaporkan bagaimana  satu jamuan makan malam paling mahal untuk Trump telah diatur untuk 30 orang atau 15 pasang gedebe dari parti Republican.  Harga satu  tiket ialah 580,600 dolar. Dalam sekelip mata Jawatan Kuasa Kempen Trump  telah mendapat 10 juta dollar untuk duit kempen.

Apakah ini cukup?  Jawabnya pasti belum melintasi 1 bilion.  Justeru dari mana lagi duit nak dicekau?

Parti  Republican atau Parti Democrat tidak akan bergerak hanya dengan  sokongan  rakyat.  Undi rakyat tidak akan masuk peti undi  jika dollar tidak memainkan  peranan.  Ini kempen tahun 2020 bukan kempen zaman Abraham Lincoln. Bukan lagi pakai wayang pacak dan alat pembesar suara. Teknoloji  media yang dijana internet  memainkan pernan penting. Tv dan media cetak masih berperanan. Untuk digerakan semua ini memerlukan dolar dan dinar.

Justeru  tanpa segan silu diakui bahawa dibelakang kedua dua parti politik Amerika in ada sokongan  orang kaya.  Mereka bukan hartawan. Mereka   bukan jutawan. Mereka adalah  bilionwan. Mereka ini warga 1% yang memiliki 99% harta kekayaan Amerika.  

Majalah Forbes telah melaporkan  kempen 2020 ini  Trump tidak perlu lagi menggunakan duit sendiri. Dilaporkan 80 bilionaire telah mara ke hadapan untuk membantu  Trump. Ini bermakan 9% bilionaire Amerika yang bernilai  210 bilion dollar akan menyediakan dana untuk  kempen Trump.

Di belakang Parti Democrat juga ada orang kaya. Mengikut laporan Forbes , pada akhir tahun 2019 Joe  Biden telah mendapat sokongan dari 60 orang billionaire Amerika.

Saya perlu memberi tahu bahawa ada satu lagi punca dana untuk Trump dan Biden.  Punca dana ni bukan  dari sosok orang kaya tapi dari organisasi. Organisasi ini memiliki  pengaruh lebih dari 100 ekor bilionaire.  Organisasi  saperti  the America Israel Public Affars Committee (AIPAC) , Christian United For Isreal dan American Jewish Committee.  

Setiap calon Presiden akan dijemput datang ke AIPAC.  Anggota   AIPAC  mahu mendengar dasar baru, undang undang baru, hubungan luar negara  baru  yang akan dibawa oleh  calon baru ke Rumah Puteh. Paling penting   untuk halwa telinga para ahli AIPAC  ialah mendengar  dasar calon Presiden tehadap Israel. Dasar terhadap Timur Tengah.

Ucapan garis politik Timur Tengah  di AIPAC ini boleh memenang atau  dan boleh menewaskan bakal calon ke Rumah Puteh. Inilah yang saya katakan  ada kuasa  lebih berkuasa dari kuasa peti undi.

Jangan lupa pada 10 May 2019  NST telah memetik berita dari AFP.  Rakyat Malaysia telah diberi tahu  bahawa  Najib melalui 1MDB dan melalui Jho Low telah memberi sumbangan sebanyak  21.6 juta dollar untuk kempen Obama pada tahun 2012. 

Kenapa dan mengapa orang kaya kaya ini menyokong   Trump atau menyokong Biden.  Apakah kuasa AIPAC hingga dianggap lebih berkuasa dari suara rakyat Amerika. Dan kenapa Najib mahu memberi sumbangan kepada kempen Obama. Soalan yang sama juga  boleh kita tanyakan kenapa Syed Mokhtar menyokong Mahathir. Dan kenapa Lim Goh Tong  menyokong Najib.  

Untuk menjawab soalan ini sila tunggu minggu hadapan. Amin. (TT) 



4 ulasan:

Ketua Pengarang berkata...

isham rais guna washington post sebagai sumber...

gambar jamuan tu gambar jamuan dengan presiden Brazil iaitu Jair Bolsonaro

trump tidak dalam poket sesiapa..

tak seperti usop biden.. korup.. rasuah di ukrain.. anak dia dapat dana dari china...

biden dikuasai establishment, globalist, wall street... biden ni dah nyayuk.. dementia.. kemungkinan pernah kena stroke.. hampeh Biden

Tanpa Nama berkata...

orang bisnes nak untung, sapa boleh bagi untung, pelaburan masuk sana, kah kah kah mudah, bukan setakat menderma selepas itu menuai balik dengan projek konsesi, you help me, I help you lah bro, simple he hukum dunia, lu tolong wa, wa tolong lu ma, amiso kah kah kah

Tanpa Nama berkata...

artikel kau ni contoh kumpul dana untuk kempen pilihanraya negara kafir harbi. kat malaysia lain, sini patuh syariah. kat malaysia kutip dana dalam tin milo jer, takde dana yg melimpah ruah. semuannya wasatiyah. kahkahkah

parti pas paling syumul, depa berdoa malaikat turun mengundi untuk parti depa. ko ingat para malaikat yg mengundi untuk parti pas tu boleh dibeli dgn wang ringgit ke? kau jgn nak bandingkan kempen di negara kafir harbi tu dgn kempen di malaysia, sini negara melayu islam laa. kahkahkah

chrisqck berkata...

1. Ini gua sudah lama tahu. Yang gua mahu tahu sekarang apa cadangan lu supaya kuasa rakyat terus berdaulat dan kuasa tokey2 ini semua di kurangkan kalau tak dihapuskan sama sekali?

2. Lu cerita sama mcm Anwar shj tak betul. Apakah Tun ini suci sgt? Apa cerita zaman PH dulu harga Perumahan tak turun malah dijaga tokey2 itu semua dimudahkan orang luar membeli sedangkan sepatunya diturunkan harga kepada harga mampu milik marhaen?

3. Kalu bukan Anwar siapa lagi lu mahu jadi PM? Takkan Tun lagi? Mat Sabu kah? Atau mana2 pemimpin Melayu Islam yang lain? Tak mungkin lu mahu LGE kan? Dia cina, mana boleh jadi PM di Malaysia ini? Shafie Apdal kah? Dia takda tokey2 yang sokong kah? Duit kempen dia semua dijamin bersih kah?