Peluang DAP raih undi Melayu
TIDAK mustahil seorang ahli Parlimen berketurunan minoriti dari DAP menjadi perdana menteri Malaysia pada satu hari nanti. Itulah cita-cita parti ini.
Parti ini mahu prinsip meritokrasi mendasari setiap keputusan penting negara, termasuk dalam pelantikan pemimpin utama Malaysia. Itulah impiannya.
Itulah yang dimaksudkan ketua umumnya Lim Guan Eng dalam satu potongan rakaman ucapannya yang tular di WhatsApp sekitar seminggu lalu.
Dalam rakaman itu, bekas menteri kewangan tersebut menganjurkan agar rakyat tidak terjerat dengan isu kaum dan agama untuk membolehkan Malaysia terus maju.
“Tengok dekat Great Britain. Sekarang seorang dari kaum minoriti, seorang yang berketurunan India dan Hindu boleh jadi perdana menteri Great Britain.
“Tapi kita masih keluarkan tohmahan berdasarkan agama dan bangsa. Macam mana kita nak cakap kita hormati semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.
Lim merujuk pelantikan Rishi Sunak ke jawatan perdana menteri United Kingdom. Negara kelahiran Sunak pernah menjajah negara kelahiran ibu kepada pemimpin parti Konservatif itu.
Lim memberi contoh idealis dan eksotis. Tapi tentulah Lim tidak menyebut Sunak hanya meraih kejayaan selepas mengahwini anak jutawan.
Ahli Parlimen Richmond di UK itu mendapat untung daripada kejayaan firma bapa mertuanya.
Sunak meloncat pantas ke puncak kuasa British sewaktu syarikat dikuasai keluarganya untung besar dari dasar dilaksana kerajaan pimpinan parti Konservatif.
Adakah Lim melihat Sunak memacu kemaraan politiknya dengan kebolehannya semata-mata tanpa jaringan keistimewaan dinikmati golongan maha kaya UK?
Salah satu syarikat dikuasai keluarga Sunak bernilai hampir AS$80 bilion. Ia mendapat untung dengan membantu syarikat UK menggantikan pekerja mereka dengan migran bergaji murah.
Pada masa sama, Sunak waktu itu mempromosi dasar Brexit partinya yang mahu mengekang imigrasi bagi menjamin kerja untuk warga British.
Banyak lagi isu berkaitan konflik kepentingan menghurung Sunak dan menimbulkan persoalan sejak anak kelahiran Southampton itu dilantik menjadi perdana menteri akhir bulan lalu.
Lim menyebut mengenai keturunan Sunak dan pelantikannya ke jawatan itu dalam satu nafas kerana membandingkan prejudis ke atas kaum minoriti di negara ini.
.
Prejudis itu kuat, terutama kerana majoriti pemimpin utama dan ahli DAP terdiri daripada keturunan Cina dan India saja dan kerana parti itu banyak memperjuang hak minoriti.
Ia semakin kuat apabila muncul ekstremis seperti Ronnie Liu yang mahu DAP terus mempertahankan kecinaannya.
Kalangan pemimpin dalam DAP seperti Liu merengsa penyokong Pakatan Harapan (PH) sendiri apabila timbul isu seperti pengenalan kepada tulisan jawi dalam tiga halaman buku teks sekolah.
Ia antara isu kecil yang diperbesar-besarkan kalangan pemimpin DAP sehingga pentadbiran PH kacau-bilau waktu itu.
DAP tidak berupaya mendisiplinkan ahlinya dan membiarkan kepentingan parti mengatasi matlamat lebih besar pentadbiran Putrajaya.
Kesannya dapat dilihat dalam keputusan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai pada November 2019, yang memberi bayangan kepada kejatuhan PH pada Februari 2020.
DAP sedar ia memerlukan sokongan pemilih Melayu untuk menguasai Putrajaya dan tidak dapat terus kekal di bawah tempurung Pulau Pinang saja.
Kita boleh lihat DAP menyedari perkara itu apabila parti tersebut meminda perlembagaannya bulan lalu bagi mendisiplinkan pemimpin parti yang bermulut celupar.
Mengikut pindaan baharu perlembagaan, ahli yang berani bising-bising membantah keputusan akan dihumban keluar oleh parti dengan frasa “demokrasi” dalam nama rasminya ini.
Langkah ratifikasi akta antilompat parti di peringkat DAP itu menyebabkan wakil rakyatnya yang tidak taat kepada ketetapan akan gugur keahlian serta merta.
.
Tindakan itu mengecewakan wakil rakyat seperti Liu yang menganggapnya sebagai satu usaha mengekang kebebasannya untuk bersuara.
Penyandang kerusi DUN Sungai Pelek itu mahu kekal dengan DAP buat masa ini tetapi kita boleh meneka masa depannya dalam parti itu tidak lagi bersinar.
Dalam kesempatan ini, beliau mempersoalkan keputusan DAP menggugurkan panyandang kerusi seperti Wong Tack yang giat membantah loji memproses sisa nadir bumi Lynas.
Ramai masih ingat protes Himpunan Hijau digerakkan Wong yang berjalan kaki dari Gebeng, Pahang ke bangunan Parlimen untuk menyampaikan memorandum membantah pembinaan loji itu.
Loji berkenaan kini berdiri megah di Gebeng dengan satu lagi loji memproses sisa dibina khas di hulunya, hasil kelulusan yang dibuat sewaktu 22 bulan PH menguasai Putrajaya.
Seterusnya, minggu lalu DAP mengumumkan Wong digantikan dengan calon Melayu Young Syefura, penyandang kerusi DUN Ketari untuk mempertahankan kerusi Bentong.
Mengulas perkembangan itu, Liu membangkitkan ketidakadilan dialami Wong, yang dianggapnya sebagai pejuang.
Menteri daripada DAP yang meluluskan lesen tersebut pula, Yeo Bee Yin beruntung kerana diumumkan dapat bertanding di Puchong, kata Liu.
“Beliau lanjutkan lesen operasi Lynas tapi dapat ganjaran kerusi selamat. Pejuang yang malang pula diarah tinggalkan kerusi untuk bertanding di kerusi lebih sukar.
“Kini beliau (akan) bertanding sebagai calon Bebas sebagai bantahan,” kata Liu mengulas pengumuman Wong yang tetap mahu melawan untuk mempertahankan Bentong.
Tentulah DAP boleh kata mereka tidak boleh berbuat apa-apa dalam isu loji Lynas dan menyalahkan perdana menteri waktu itu, Dr Mahathir Mohamad atas kelulusan yang diberi.
Kita masih ingat bagaimana Himpunan Hijau serta perjalanan getir dan luka-luka di kaki Wong diperbesar-besarkan DAP sedikit masa lalu.
Tetapi menterinya tidak berani pun letak jawatan bagi membantah loji Lynas, malah meluluskannya pula. Itulah yang pengundi boleh nampak.
Ia juga menyebabkan orang nampak pemimpin DAP hanya pandai mengacah-acah dalam isu sensitif tetapi tidak berani bertegas dalam kes loji yang didakwa maha bahaya.
DAP dilihat tidak serupa dulu, tidak sekental Lim yang sering diriwayatkan sanggup dipenjara 18 bulan kerana mempertahan kesucian seorang gadis Melayu.
Patutlah Wong dan Liu sangat berang. Tapi DAP amat memerlukan sokongan pengundi Melayu dan calon seperti Young Syefura dilihat sesuai bagi kerusi seperti Bentong.
Keputusan mencalonkan Young Syefura untuk kerusi Bentong mungkin berpandu kepada kejayaan di Raub, yang dikekalkan calon Melayu selama dua penggal sejak 2013.
Komposisi pengundi Bentong lebih kurang Raub juga – pengundi Melayu kira-kira 50%, pengundi Cina lebih kurang 40%.
Isu setempatnya juga lebih kurang serupa. Kedua-duanya jadi sasaran pelaburan baharu hasil projek berimpak tinggi yang merentasinya – lebuh raya CSR dan juga kereta api elektrik ECRL.
Kes pembukaan tanah haram untuk membangunkan ladang durian juga merengsa pengundi. Wong, Liu dan para pemimpin DAP rajin sekali tampil mempertahan kebun haram ini.
Banjaran Bentong dan Raub bakal menikmati kemakmuran besar dan DAP tentu tidak mahu membiarkannya terlepas ke tangan MCA semula.
Pada kali ini juga, buat julung kalinya DAP berusaha memperluaskan kuasa ke kerusi Kuala Lipis dengan mempertaruhkan calon Melayu veteran parti itu, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.
Zulpuri pertama kali menang di DUN Mentakab pada PRU13. Dalam PRU lalu beliau mempertahankan Raub, kerusi dimenangi Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz penggal sebelumnya.
Pada kali ini, Zulpuri juga diumumkan bertanding kerusi DUN Tras, kerusi yang sudah dua penggal dikawal DAP dalam kerusi disandangnya di Raub.
Seorang lagi calon muka baharu DAP, Muhamad Khairi Khalid akan bertanding DUN Pulau Manis, dalam kawasan Parlimen bekas perdana menteri Najib Razak yang kini dipenjara.
Kemaraan DAP sehingga ke Lipis kali ini disebut sebagai mimpi dan angan-angan oleh pemimpin Umno tempatan. Kita lihat nanti siapa yang akan terjaga. – 4 November, 2022.
1 ulasan:
ketuanan melayu VS malaysian malaysia..
Jujur V topeng
kah kah kah
Catat Ulasan