Amaran setiausaha agung PBB kepada semua kerajaan
Minggu lalu bermulalah Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabatnya di New York dengan Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres menyampaikan ucapan pembukaannya.
Kiranya, ia merupakan ucapan dasar PBB bagi mengupas keadaan dunia masa kini dan seruan apa yang patut dilakukan oleh negara anggota dan manusia keseluruhannya.
Jadi kali ini beliau memberikan amaran mengenai keadaan dunia yang bertambah buruk kerana semakin "unhinge" iaitu terpisah atau pelebaran jurang yang akhirnya akan berlaku "fracture" atau perpecahan.
Dunia yang terpecah adalah suatu yang buruk kerana bukan saja melemahkan kerjasama sesama manusia tetapi juga berbahaya dari segi keselamatan.
Menurutnya, dunia menjadi "unhinge" kerana peningkatan ketegangan geopolitk yang menyebabkan kesukaran kerajaan-kerajaan bekerjasama menghadapi cabaran sejagat.
Apabila disebut ketegangan geopolitik, tentu perkara pertama yang difikirkan ialah perang di Ukraine serta pesaingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Rusia.
Tetapi bukan itu sahaja, kini sedang berlaku pesaingan antara AS dan China.
Tetapi apa yang Guterres maksudkan adalah lebih daripada itu.
Pertelagahan yang sedang berlaku melibatkan kuasa ketenteraan, kuasa ekonomi, kuasa utara dan selatan serta kuasa timur dan barat.
Dari segi ketenteraan tentunya antara AS dan Rusia serta China.
Dari segi ekonomi, masih antara AS dengan China.
Tetapi apabila disebut antara utara dengan selatan, ia bermaksud antara negara-negara kaya dengan miskin.
Apabila disebut antara barat dengan timur, beliau maksudkan negara-negara Barat dengan negara-negara bukan Barat.
Maknanya dunia sedang berpecah dari pelbagai sudut.
Tetapi sasaran kritikan utamanya tetap terhadap Rusia kerana melancarkam perang.
Ia mengorbankan nyawa manusia, mendatangkan penderitaan pada ramai orang dan memusnahkan harta-benda, dan di atas segalanya ialah mengenepikan peranan PBB yang ditubuhkan untuk menghalang perang.
Guterres selanjutnya menyatakan bahawa keadaan buruk dunia adalah antaranya kerana badan-badan dunia dan konvensyen antarabangsa seperti PBB menjadi lemah sebab kerajaan-kerajaan bukan saja tidak mematuhinya tetapi tidak menghormatinya.
Akibatnya, tata kelola dunia tidak mampu menghadapi cabaran-cabaran besar bersama seperti perubahan iklim yang memberi kesan buruk kini.
Kandungan ucapan setiausaha agung PBB itu tentunya disediakan oleh petugas-petugas badan dunia yang meneliti dan membincangkan dengan beliau.
Nada ucapan itu diwarnai oleh personaliti Guterres sendiri yang sering memberi amaran pada dunia terhadap cabaran-cabaran masa kini.
Beliau selalunya berterus-terang dan mendokong aspiraii PBB, iaitu perdamaian, pembangunan dan hak asasi manusia.
Gaya kepimpinan Guterres terserlah dengan melihat bagaimana PBB melalui agensinya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menangani wabak Covid-19 dari tahun 2020 hingga 2022.
Keberkesanan tata kelola PBB bergantung pada kerjasama negara-negara ahli khususnya lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu AS, Rusia, China, United Kingdom dan Perancis.
Kesemuanya adalah kuasa bom nuklear.
Tanpa sokongan mereka, PBB hanya boleh mengeluarkan kenyataan.
Dari segi sejarah, kuasa-kuasa ini hanya memberi kerjasama jika ia menguntungkan kepentingan politik mereka.
Tetapi itu bukan semangat Piagam PBB ketika dilancarkan oleh pemenang-pemenang Perang Dunia Kedua dahulu iaitu AS, Soviet Union dan United Kingdom pada tahun 1945.
Namun, dunia hanya ada PBB untuk menghadapi cabaran global bersama.
Setiausaha agung PBB bukanlah ketua dunia.
Ia hanya merupakan diolomat tertinggi dunia dan ketua pentadbiran PBB dan agensinya.
Kuasa sebenar PBB terletak pada anggota-anggota tetap Majlis Keselamatan.
Maknanya presiden AS, Rusia, China, Perancis dan perdana menteri United Kingdom (UK) adalah ketua de facto dunia.
Maka di antara lima negara itu, AS merupakan negara paling kuat.
Maka secara de facto, ia adalah ketua dunia dan seharusnya berlagak sedemikuan.
Presiden AS, tidak kira siapa bertanggungjawab bukan sahaja bagi negaranya tetapi juga dunia.
Setiausaha agung PBB hanya mampu bersuara.
Maka tentunya Jabatan Negara AS lebih berpengaruh daripada pejabat setiausaha agung PBB
Guterres yang menjadi setiausaha agung PBB sejak tahun 2017 adalah bekas perdana menteri Portugal dari Parti Sosialis.
Beliau pernah menjadi presiden Socialist International, badan gabungan parti-parti sosialis dunia.
Maka pandangan politik beliau adalah menjurus kepada fahaman kiri walaupun sosialisme di Eropah adalah sederhana, pragmatik dengan penekanannya adalah kepada pemeliharaan alam sekitar.
Beliau dikritik kerana sering memberikan amaran buruk kepada dunia, dan tanpa mengemukakan penyelesaian.
Tetapi dalam ucapannya ini, beliau mengemukakan seruan dan cadangan supaya dilakukan refornasi sistem kewangan dunia yang dalam keadaan sekarang mendatangkan penderitaan.
Beliau juga mencadangkan langkah-langkah praktikal bagi mengatasi cabaran perubahan iklim.
Dalam pada itu, Guterres juga menyatakan keperluan pertauran dan perjanjian mengenai kepintaran buatan (AI) yang tanpanya boleh mengancam dunia.
Tetapi di atas segalanya, beliau mahu dilakukan pembaharuan dalam struktur PBB.
Katanya struktur PBB sekarang ketinggalan zaman dan selama setahun, ia lumpuh dan tidak dapat berbuat apa-apa.
Terhadap sistem kewangan antatabangsa yang ada kini, beliau menyifatkannya sebagai "tidak berfungsi, ketinggalan zaman dan tidak adil”.
Guterres mencadangkan reformasi mendalam terhadap sistem ini termasuk pakej menyelamat bernilai AS500 bilion setahun untuk negara-negara yang paling teruk menanggung hutang.
Terhadap krisis iklim, beliau menuntut supaya diadakan pakatan solidariti iklim yang mana negara-negara pengeluar haba meningkatkan lebih usaha bagi mengatasinya dengan negara-negara kaya membantu ekonomi-ekonomi baru muncul dengan bantuan kewangan dan teknologi.
Katanya, Afrika mempunyai keupayaan solar dunia sebanyak 60% tetapi hanya 2% pelaburan bagi tenaga yang diperbaharui.
Tetapi negara manakah yang mahu mendengar cadangan dan keluhan Guterres?
Setiap kerajaan mempunyai masalah dan tuntutan dari dalam negara masing-masing.
Tindakan-tindakan mereka mencerminkan politik dalaman negara.
Sistem politik demokrasi liberal membawa suasana sebegini.
Ini termasuklah AS yang akan menghadapi pilihan raya presiden tahun depan.
Sebab itu sistem demokrasi liberal perlukan satu lapisan ideologi bagi membela manusia sejagat.
Guteterres menyebut mengenai banjir di Derba, Libya yang mengorbankan lebih 11,000 penduduk.
Katanya peristiwa pecahnya tiga empangan itu adalah kesan daripada tata kelola buruk yang berdepan dengan perubahan iklim.
Katanya, penduduk-penduduk di situ adalah korban pada konflik iklim dan para pemimpin dekat dan jauh.
Pemimpin dekat ialah ahli politik Libya sendiri dan pemimpin jauh ialah ahli politik Barat.
Beliau menyalahkan bukan sahaja pemimpin Libya yang gagal mencapai kesepakatan tetapi pemimpin luar yang tidak membantu bagi pencapaian perdamaian.
Maksudnya AS yang bertanggungjawab bukan saja mencetuskan perbalahan di Libya tetapi gagal meeujudkan perdamaian di sana.
Semasa pemerintahan Muammar Gaddafi, Libya berada dalam keadaan aman.
Kerajaannya membina empangan-empangan untuk memenuhi keperluan air rakyatnya.
Dari awal lagi AS berusaha hendak menggulingkan Gaddafi atas nama demokrasi dan anti keganasan.
Gelombang Arab Spring yang mengimpikan sistem demokrasi liberal bagi menggantikan autokrasi di seluruh Timur Tengah menjatuhkan Gaddafi.
Tetapi selepas itu, konflik di negara itu berterusan antara golongan Islamis dengan pihak pro-demokrasi.
Konflik yang bertahun-tahun itu mengakibat banyak infrastruktur termasuk empangan-empangan terabai dan tidak disenggarakan.
Apabila berlaku hujan lebat yang luar biasa, dipercayai akibat perubahan iklim, kerajaan yang mentadbir kawasan itu tidak bersedia untuk menghadapi keadaan itu.
Sebagai sosialis Eropah, tentulah Guterres menyokong sistem demokrasi dilaksanakan di Libya.
Tetapi apa yang nyata, dalam pelaksanaannya, berlaku peperangan dan konflik yang tidak berkesudahan.
Ia bukan saja berlaku di Libya tetapi juga Syria.
Sudah tentu itu bukan aspirasi asal Arab Spring.
Jika amaran-amaran Guterres itu tidak diambil peduli oleh negara-negara dunia terutama anggota tetap Majlis Keselamatan, memang benar badan dunia itu sudah lumpuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan