Sabtu, 26 Oktober 2024

AMERIKA SELASA 5 NOVEMBER


AMERIKA 

SELASA 5 

NOVEMBER


Pada Selasa 5 November 2024  Amerika akan mengadakan pemilihan Presiden ke 60.  Seramai  244 juta warga Amerika akan mengundi. Pemilihan Presiden tahun 2020 seramai 160 juta telah keluar mengundi atau 66.6%. 

Undi awal telah dan sedang berjalan. Soldadu dan tentera telah di beri kertas undi 45 hari  lebih awal dari Selasa 5 November.

Mata dunia sedang memerhatikan kepada dua calon dari dua parti. Donald Trump calon Presiden dan  JD Vance Naib Presiden dari Parti Republikan. Kamala Harris calon Presiden dan Tim Waltz Naib Presiden dari Parti Demokrat.

Kenapa mata dunia memerhati apa yang  sedang berlaku di Amerika? Kenapa Hishamuddin Rais perlu menulis tentang pemilihan calon Presiden di Amerika?

Jawabnya mudah. Amerika memiliki 750 pangkalan tentera – darat, udara dan laut – di 80 buah negara di seluruh dunia. Sehingga September 2022, terdapat 171,736 tentera aktif bertugas merentasi 178 negara. Paling ramai di Jepun (53,973), Jerman (35,781) dan Korea Selatan (25,372).

Malah Al-Jazeera mendakwa mungkin angka dan  jumlah  ini lebih lagi kerana Pentagon – Jabatan Pertahanan Amerika - tidak memaparkan semua data.

Kertas hijau – Dolar Amerika – menjadi mata wang dunia.  Amerika negara kapitalis terbesar dalam dunia. Pasaran dan perniagaan apa saja dalam dunia ini  pasti akan bersabit dengan Amerika.

Dalam istilah ilmu sains politik Amerika adalah negara imperialis. Amerika adalah hegemon yang menjajah dunia.  Amerika adalah sebuah empayar. Malaysia seperti ratusan negara dalam dunia ini semuanya di bawah naungan empayar ini.

Justeru  kita wajib tahu apa yang telah, yang  sedang dan yang akan berlaku di Amerika. Malaysia mengguna pakai sistem ekonomi kapitalis. Ekonomi kapitalis dunia hari ini di dominasi oleh sistem ekonomi kapitalis Amerika. 

Dalam masa yang sama Amerika adalah rakan niaga kita yang penting seperti China, Singapura dan Jepun. Ertinya jika Amerika terkentut kita di Malaysia akan terbau kentut masam Amerika.

Ketika tulisan ini digarap satu perang olok-olok  sedang berjalan di Dakota Utara. Pesawat B52 pembawa bom nuklear terlibat sama. Pengisian minyak kereta  kebal sedang diuji seolah-olah  dalam persediaan perang nuklear. Maklumat ini saya pungut dari X US Civil Defense News.

Dalam masa yang sama  Rusia, China, Oman dan Iran sedang membuat latihan tentera laut  - perang olok-olok - di Lautan Hindi. Mereka sedang berlatih cara untuk memadamkan api jika kapal laut Iran terbakar.

Ketika ini juga Jabatan Pertahan Iran telah membunyikan semboyan bersedia untuk berperang. Ini sebagai jawapan kepada Netanyahu yang mahu meledakkan pangkalan  tenaga nuklear Iran.

Iran telah mengeluarkan bantahan kepada PBB  terhadap  niat jahat Israel.  Israel merancang untuk meledakkan pangkalan nuklear Iran. Niat Israel ini  telah  sengaja di bocorkan kepada media oleh pihak yang tidak diketahui.

Keinginan Israel menggunakan senjata  nuklear ini  berkait dengan pemilihan presiden Amerika  5 November ini. Selama 20 tahun Israel enggan menafikan dan enggan mengesahkan negara Zionis ini memiliki bom nuklear. Sekarang semuanya terbonggeng.

Ketika Amerika membuat latihan perang nuklear -  negara-negara kesatuan BRICS sedang mengadakan Persidangan di Kazan Rusia. Di laporkan 36 pemimpin dunia akan hadir di Kazan.

Semua ini adalah latar suasana politik dunia sebelum 5 November. Kenapa semua ini berkait dengan 5 November? Jawabnya  cukup mudah. 

Daulah terpendam atau deep state  tidak mahu Donald Trump menang dan menduduki Rumah Putih sekali lagi. Kini  wujud  cabal atau komplot yang tersusun  berusaha untuk memastikan Trump kalah dan Kamala Harris ke Rumah Putih.

Riak-riak perang nuklear dan ancaman nuklear dari  Israel ini adalah sebahagian dari perancangan  komplot yang mahu Trump tersingkir.

Daulah terpendam sedang  berkomplot untuk menyediakan suasana jika Trump menang.  Suasana ini adalah suasana  tegang dan memungkinkan menimbulkan kacau. Kekacauan dalam Amerika pasti akan mengombak ke luar.

Di luar Amerika suasana kacau dan tegang telah sedia menunggu. Perang Ukraine dan perang Gaza sedang berjalan. Hamas, Hizbullah, Houthi dan Iran tidak akan melepaskan senjata mereka.  Filipina,  Lautan Sunda dan Taiwan adalah belerang yang menanti untuk meledak.

Suasana dalam negara dan luar negara  yang tegang ketika pemilihan kerusi Presiden Amerika  belum pernah terjadi.  Dua kali Trump telah cuba di tembak mati.  Tuduhan  baru untuk membunuh Trump telah juga di kaitkan dengan Iran dan kumpulan ISIS – Islamic State.

Pelbagai pandangan  dan teori konspirasi sedang tersebar di Amerika.   Semua ini dibantu pula oleh Internet, AI dan media sosial.  Rancak amat rancak hingga tidak dapat di kenal pasti berita palsu dan berita benar.

Sebagai contoh : Ribut taufan  Helene di Florida yang baru berlalu telah   mencabut 44 nyawa. Berita muncul bahawa taufan ini adalah hasil buatan manusia. Taufan ini adalah hasil teknologi ketenteraan. Taufan Helene ini bertujuan untuk memporak peranda dan memindahkan berjuta-juta bakal pengundi  di Florida sebulan sebelum 5 November. Florida ialah negeri penyokong  Trump dan parti Republikan.

Tidak cukup dengan ini   sembilan bulan sebelum Taufan Helene  stesen TV CBS  telah melaporkan berita makhluk asing yang bukan dari bumi telah datang menyerang Bayside Market Place di Maimi Florida. Berita ini merebak dan menular melalui media sosial.

Pada hari ini para penganut teori ‘ aliens invasion’  terus mengajukan pandangan bahawa daulah terpendam akan  mementaskan perang.  Amerika diserang oleh  makhluk asing. Perang dan kacau bilau yang dipentaskan  ini bertujuan untuk memastikan Trump tidak menjadi Presiden.

Saya wajib mengembalikan pencerahan tentang QAnon yang wujud pada tahun 2017 setahun sesudah Trump menjadi Presiden. QAnon pemuka teori konspirasi berasal dari  forum di laman web 4chan bermula pada Oktober 2017. 

Penganut konspirasi QAnon ini percaya bahawa  Donald Trump sedang melancarkan perang rahsia terhadap kumpulan pedofil kanibalisme syaitan dalam Hollywood, Parti Demokrat, dan daulah terpendam dalam kerajaan Amerika Syarikat.

Pada pemilihan tahun 2020 Trump kalah dan Biden  menang.  Para penyokong Trump yang dipengaruhi oleh QAnon ini telah datang menyerang Bangunan Capitol Amerika Syarikat di Washington, D.C. pada 6 Januari 2021.

Penyokong Trump ini enggan menerima keputusan pemilihan. Mereka percaya bahawa Biden telah menang dengan undi tipu.

Hari ini QAnon masih lagi wujud dan berkembang. Mereka ini adalah panglima di barisan hadapan penyokong Trump. Mereka yakin Trump akan kembali ke Rumah Putih untuk meneruskan perjuangan membasmi kebatilan di Washington DC.

Satu lagi fakta yang wajib di fahami ialah peranan Netanyahu dan Zionis Israel. Ini bukan dari QAnon atau teori konspirasi.  Amat jelas Netanyahu sedang menggunakan tarikh 5 November ini sebagai satu peluang.

Untuk Netanyahu 5 November ini adalah peluang besar untuk menjerut Amerika agar turut sama memerangi Iran. Projek ini telah lama dalam perancangan.

Mesir ,  Iraq, Libya dan Syria semuanya telah mandul bila berhadapan dengan Israel. Hanya Iran yang masih tegak gagah berdiri menentang Zionis Israel. Justeru Iran wajib di musnahkan.

Netanyahu melihat ketika ini Amerika sibuk dengan pemilihan Presiden. Saranan dan kenyataan dari Presiden Biden yang mahu Perang Gaza di tamatkan telah tidak dipedulikan oleh Netanyahu.

Kumpulan AIPAC (The American Public Affairs Committee) yang melobi politik Amerika  untuk  memastikan kepentingan Israel akan terus selamat dalam tangan Trump atau dalam tangan Kamala. AIPAC ini adalah kumpulan pelobi yang paling berpengaruh di Amerika.

Dalam suasana berkempen – Trump dan Kamala – tidak ada pilihan melainkan menyokong Israel dan mengikut skrip AIPAC.

Kempen sedang berjalan hangat. Trump dan Kamala berceramah disana sini. Tuduh menuduh lekeh memperlekeh sedang  berjalan.

Manakala Kamala pula terus menuduh Trump adalah bahaya besar kepada sistem demokrasi Amerika. Trump yang kasar dan lucah dituduh tidak layak untuk memimpin  Amerika dan dunia.

Penyokong Trump telah mula menyebarkan berita bahawa pendatang haram akan sekali lagi digunakan seperti tahun 2020 untuk menyokong Kamala. 

Tertiba pada 18 Oktober 2024 satu gempa bumi berlaku di Turkmenistan yang terletak di utara Iran. Maka media sosial dan  penyokong Israel telah menyebarkan berita bahawa ini bukan gempa bumi biasa. 

Gempa bumi di Turkmenistan ini disebabkan oleh ledakan bom nuklear Iran. Mengikut berita yang tersebar Iran telah mengadakan percubaan meledakkan bom nuklear di bawah tanah.

Satu lagi berita gempa  yang paling menggemparkan berlaku pada 22 Oktober 2024. Majalah The Economist yang amat-amat pro Kamala telah meramalkan bahawa Trump kini mendahului Kamala.

Akhbar The Guardian dan The Independent dari London juga meramalkan ‘ Tembok Biru’  mungkin runtuh. Tembok Biru adalah wilayah penyokong Demokrat.

Saya yakin daulah terpendam  bersama industri senjata sedang berbincang untuk mengambil langkah untuk memastikan Trump tidak akan masuk ke Rumah Putih sekali lagi.

Apa langkah yang akan diambil oleh daulah terpendam ? Apakah Israel akan menyerang Iran ? Apakah pangkalan nuklear Iran akan diserang ? 

Dan jangan  lupa penyokong tegar Trump dan  penganut QAnon juga sedang bersedia.  Sama-sama kita tunggu dan lihat apa yang berlaku. (TT)


TULISAN INI
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/723988












Tiada ulasan: