Penduduk bimbang lebih banyak kematian selepas KKM tutup operasi 24 jam klinik kesihatan
Rinita Marutandi sedang bersembahyang di kuil pada tengah hari 13 Oktober ketika adiknya mula mengadu sakit badan.
Adiknya, Praveen Marutandi, seorang penyelia ladang kelapa sawit berusia 25 tahun, mahu pulang ke rumah namun jatuh pengsan. Rakan-rakan mula mengerumuninya.
Dalam keadaan panik, ahli keluarga membawa Praveen ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim, kira-kira 5 minit dari kuil tersebut.
Namun, setibanya di sana, mereka diberitahu tiada doktor berada di klinik ketika itu.
"Pengawal keselamatan memberitahu kami bahawa doktor dan pegawai perubatan sedang makan tengah hari.
"Selepas 15 minit, keadaan adik semakin teruk, jadi kami membawanya ke sebuah klinik swasta untuk rawatan segera kira-kira pukul 2 petang.
Sejam kemudian, mereka dimaklumkan Praveen sudah sudah tiada nadi.
Rinita berkata doktor dan ambulans dari klinik kesihatan akhirnya tiba di klinik swasta tersebut. Namun segalanya sudah terlambat.
Rentetan episod itu, Rinita dan adik-beradik lain mengemukakan aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Bukan kes pertama
Apa yang menimpa keluarga Praveen bukan satu-satunya yang terjadi di Tanjung Malim, sejak klinik kesihatan di bandar itu menghentikan operasi 24 jam bermula 1 Ogos lepas dengan alasan menyeragamkan operasi seperti klinik luar bandar lain.
Asalnya berstatus Hospital Tanjung Malim, operasinya dipindahkan sepenuhnya ke Hospital Slim River pada 2001. Bagaimanapun, operasi unit kecemasan 24 jam secara syif dan perkhidmatan hemodialisis dikekalkan - sehingga 1 Ogos lalu.
Pada 27 September, satu kemalangan berlaku di depan klinik tersebut membabitkan seorang pelajar sekolah. Bagaimanapun, ketika itu pasukan kecemasan dikejarkan ke Hospital Slim River untuk kes lain.
Apabila tiba ambulans daripada Hospital Slim River, penduduk sudah pun membawa mangsa ke hospital lebih awal.
Aktivis yang juga jurucakap penduduk setempat, Mythreyar Mutturamalinggam kini mengetuai usaha menuntut kerajaan mengembalikan operasian 24 jam klinik itu. Setakat ini, hampir 3,000 tandatangan ketua keluarga di Tanjung Malim telah dikumpulkan.
Klinik Kesihatan Tanjung Malam menyediakan perkhidmatan kepada 60,000 penduduk Tanjung Malim, selain di Hulu Bernam di utara Selangor. Proton City dan Universiti Perguruan Sultan Idris yang mempunyai ribuan pekerja dan pelajar juga terletak dalam radius perkhidmatan klinik berkenaan.
"Selama 20 tahun, klinik ini beroperasi 24 jam. Tiba-tiba Kementerian Kesihatan kata ia perlu ikut waktu operasi klinik luar bandar lain.
"Selama ini adakah salah ia beroperasi 24 jam?" soal Mythreyar.
Selepas diturun taraf menjadi klinik, kemudahan seperti wad dan makmal darah yang dahulunya tersedia untuk penduduk sekitar juga ditutup.
Kepentingan khidmat kecemasan
Selain Praveen, sekurang-kurangnya dua lagi penduduk mati akibat sakit jantung, dan penduduk merasakan peristiwa itu mungkin boleh dielakkan sekiranya menerima rawatan awal.
Zainidar Sarkawi, 62, dari Hulu Bernam, kematian suaminya Mokhtar akibat sakit jantung ketika sedang meniaga sayur di pasar pagi Tanjung Malim, 2 Oktober lepas.
"Dia mengadu sakit jantung ketika sedang meniaga. Pukul 9 pagi kami sampai dan doktor memeriksa suami. Dia dibawa terus ke Hospital Slim River namun selepas 10 minit tiba di zon merah, dia sudah tiada," katanya kepada MalaysiaNow.
Hospital Slim River terletak kira-kira 22 km dari Tanjung Malim. Begitu juga Hospital Kuala Kubu Bharu yang terletak 23 km dari daerah tersebut.
Menurut Mythreyar, seorang lagi penduduk dilaporkan meninggal dalam rumah pada awal pagi selepas ambulans dari Hospital Slim River tiba lewat.
Menurutnya, walaupun dua kes sakit jantung itu terjadi semasa waktu operasi klinik, penduduk khuatir lebih banyak kes kecemasan yang tidak dapat diselamatkan jika Klinik Kesihatan Tanjung Malim terus mengekalkan waktu operasi seperti sekarang.
"Kita faham jika kelengkapan canggih seperti di hospital besar tidak boleh dibekalkan kerana kekangan bajet, tetapi sekurang-kurangnya ada kelengkapan untuk rawatan awal.
"Orang meninggal kerana kelewatan rawatan awal. First aid sangat penting. Kalau datang sini, ada first aid, okaylah. Tetapi dari sini hendak ke Slim River jaraknya 22 km," katanya.
1 ulasan:
brickfield tak tutup? tuduhlah brickfield pun tutup sekali. Kah kah kah!
Catat Ulasan