F.B
Zana Tingtong
Rasisme bermula dari rumah, menolak rasisme juga bermula dari rumah.
Sebagai anak campuran seorang Melayu dan Punjabi, aku tidak pernah mengenal erti rasisme. Ibu ayah mengajar kami empat beradik untuk menghormati setiap manusia tanpa sebarang syarat. Pada masa itu, aku tidak pernah peduli pun tentang keturunan kerana aku sendiri tidak pasti tentang susur galurku yang bercampur-campur itu.
Yang pasti, ibu ayahku tidak rasis. Kerana jika mereka rasis, tentu mereka tidak berkahwin. Dan aku dilayan baik oleh keluarga belah ibuku yang masih menganut Sikh - tidak pernah mereka merendah-rendahkan kami empat beradik kerana bangsa dan agama.
Perkara sama juga semasa aku ke tadika dan sekolah rendah Convent di Taiping, Perak; rasisme seolah-olah tidak wujud dengan kawan-kawan baik terdiri dari pelbagai kaum dan agama. Baik di sini memang bererti baik. Kami makan, main, belajar, bertukar hadiah, semuanya dilakukan tanpa wujud sebarang kejanggalan.
Pada zaman itu, kami boleh berbual tentang apa saja - daripada jenis makanan yang dimakan di rumah, cara sembahyang, bahasa, budaya, agama dan tradisi kaum masing-masing. Tetapi kami seperti tiada perbezaan, tidak pernah sekali pun di antara kami, dari pertuturan atau tindakannya, yang merasa kaumnya lebih hebat atau mulia daripada yang lain.
Aku mula mengenal rasisme semasa keluargaku berpindah ke Tg Malim. Aku tidak maksudkan orang-orang di kawasan ini rasis, tetapi aku sempat bersekolah rendah untuk sementara waktu di Tg Malim, dan buat pertama kalinya aku dapat melihat bagaimana ada sesetengah pelajar dijauhi dan diejek kerana keturunannya.
Di situlah buat pertama kalinya juga aku diejek kerana keturunanku. Kata-kata seperti 'Syazana Singh', 'tak pakai serban ke?', benda-benda ini mula muncul.
Malah, adik aku bercerita tentang perkara yang sama. Katanya, ada di kalangan kawan yang tidak mahu memegang tangan rakan sekelas dari kaum lain kerana 'hitam', 'kotor' dan sebagainya.
Ini semua perkataan yang keluar daripada mulut kanak-kanak berumur kurang 12 tahun. Dari mana lagi mereka belajar untuk berkata sedemikian jika bukan dari rumah?
Jadi apa yang benar-benar aku harapkan, adalah untuk generasi aku yang kini kebanyakannya mula menjadi ibu dan ayah, untuk tidak mengajar erti perbezaan kepada anak-anak.
Tetapi ajarlah mereka yang bakal menjadi peneraju bumi Malaysia ini tentang kasih sayang, perpaduan dan persamaan antara kita tanpa sebarang syarat, tanpa mengenal warna kulit, bangsa dan agama.
Ajarlah mereka bahawa setiap idola agama, tidak kira Nabi Muhammad, Jesus, Buddha atau Krishna, tidak pernah sekali-kali mahukan manusia menjadi rasis.
Dan ajarlah mereka untuk menolak rasisme, dengan menjadikan kita contoh penolak rasisme yang paling baik.
Dengan cara itu, perkataan-perkataan seperti 'Cina babi', 'Melayu malas' atau 'India samseng' akan terus hilang dari bumi Malaysia dan tidak muncul-muncul lagi.
----------------
2 ulasan:
Dia ni tak paham ke? Atau buat2 tak paham...memang Malaysia dibina atas dasar rasisme... Sebab tu ada umno mca mic dap gerakan parti dayak kimma ipf ppp dan macam2.... Party2 ini dimonopoli oleh satu bangsa...
pak2 arab boroi, kalo pakai umrah kemudah duduk kepanasan, sbjik macam patung happy tu..
Catat Ulasan