Rabu, 7 November 2018

MERAKAM SEJARAH - GM2 PERTAHAN KEMENANGAN






MERAKAM SEJARAH

GM2 PERTAHAN 

KEMENANGAN


Pada jam 10.32 malam bersamaan hari Rabu 9 Mei 2018 anak semua bangsa warga Malaysia telah berjaya menghumbankan United Malays National Organisation ke dalam tong sampah sejarah. Ini babak  kemenangan hasil dari  perjuangan dan pengorbanan  anak semua bangsa.

Kejayaan 9 Mei ini  saya takrifkan  kepada kejayaan apa yang saya namakan perjuangan GM2 - Gerakan Merdeka Dua.

Pada ketika ini GM2 wajib bertanya  - apa yang wajib kita lakukan? Apa yang seharusnya kita lakukan?  Apa tugas sejarah GM2 pada tahap ini? Siapa dan apa dia GM2 ini?

Untuk memahami GM2 ini maka kita wajib melihat kembali perjuangan masa lampau dalam usaha untuk menghumbankan United Malays National Organisation.

Perjuangan yang kita sambut dengan kemenangan 9 Mei ini adalah sambungan perjuangan anti-kolonial yang dimulakan oleh datuk nenek moyang kita yang terdahulu. Semenjak penjajah Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun menjejakkan kaki ke Tanah Melayu - para wira patriot dan nasionalis Melayu telah  bangun menentang penjajah.

Kita dari GM2 adalah penyambung  garis perjuangan Tun Fatimah, Tun Ali, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Maharaja Lela, Mat Kilau, Mat Indra, Datuk Sagor,  Tok Gajah dan pahlawan wira  yang lain. 

Justeru kita dengan bangga memanggil diri kita  GM2 atau Generasi Merdeka Kedua. Kita adalah penyambung perjuangan GM1 - kaum nasionalis Merdeka Pertama. Boestamam, Pak Sako, Rashid Maidin, Abdullah Sidi, Aziz Ishak, Shamsiah Fakeh dan Chin Peng adalah diantara nama-nama nasionalis dan patriot pertama yang berjuang untuk merdeka.

Perjungan GM2 ini  bermula pada tengah malam 31 Ogos 1957. Pada tarikh ini malapetaka telah menimpa Tanah Melayu apabila kuasa kolonial Inggeris telah memberikan kuasa pentabiran Tanah Melayu kepada United Malays National Organisation. Tanah Melayu dari tanah jajahan beralih menjadi tanah jajahan bentuk baru. 

Tanah jajahan bentuk baru ini  membolehkan  United Malays National Organisation menjadi barua dan budak suruhan Inggeris. Bersekongkol bersama gerombolan  Melayu ini  ialah para cukong dari Malayan Chinese Association (MCA) dan dari Malayan Indian Congress (MIC). 

Gerombolan ini telah  menjarah dan merompak Tanah Melayu  selama 60 tahun. Para cukong menjadi kaya raya. Kaum feudal Melayu menjadi lupa daratan. Elit politik Melayu menjadi pekakas para cukong.

Kenapa kuasa kolonial Inggeris berundur?

Dari kajian sejarah - kuasa kolonial Inggeris tidak ada pilihan. Britain telah jatuh muflis kerana terlibat dalam  Perang Dunia Kedua. Tanah-tanah jajahan Inggeris di Asia dan Afrika mula berjuang menuntut merdeka. Kaum nasionalis mula bangun menentang penjajah. India lubuk emas Inggeris telah  bangun menentang penjajah  dan bebas merdeka pada tahun 1947. 

Di Tanah Melayu semenjak Darurat diistihar pada 20 Jun 1948 -  dibawah kepimpinan Parti Komunis Malaya ( PKM) gerila bersenjata anak semua bangsa telah  bangun membantai dan menyerang soldadu upahan  kolonial Inggeris.

Untuk terus menyelamatkan ladang getah , lombong bijeh dan harta pusaka maka Tanah Melayu dijadikan neo-colony. Jika Inggeris tidak berundur maka  perjuangan bersenjata anak semua bangsa akan lambat laun mencapai kemenangan. Kuasa kolonial Inggeris akan tumpas.

Memberikan kuasa kepada United Malays National Organisation  adalah jalan paling selamat untuk Inggeris. Jalan terbaik untuk menyelamatkan harta kekayaan penjajah.

Satelah Inggeris berundur Parti Komunis Malaya terus memimpin  perjuangan bersenjata dari bawah tanah. Garis politik  - united front - barisan  bersatu diteruskan melalui anak-anak syarikat and kaum kerabat Parti Komunis dalam usaha menentang  penjajahan bentuk baru.

Angakatan Pemuda Insaf (API) Angkatan Wanita Sedar ( AWAS), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) - yang telah diharamkan  meneruskan  perjuangan dibawah payung Parti Buruh dan Parti Rakyat.  

Justeru semenjak 31 Ogos 1957 - GM2  anak  semua bangsa - warga Tanah Melayu telah   bertekad untuk terus melawan budak suruhan Inggeris -  United Malays National Organisation dan kuncu-kuncu dalam Perikatan (UMNO,MCA, MIC).

Pada Rabu 9 Mei GM2 berjaya. Maka pertanyaan sejarah kepada GM2 ialah  apa tugas sejarah kita hari ini?

Kejayaan utama 9 Mei ialah terbukanya ruang demokrasi. Membuka dan merampas ruang demokrasi ini adalah kejayaan  utama.

Untuk sarjana politik, pakar kaji masyarakat, penulis  sejarah dan para aktivis politik - mereka akan faham bahawa  perjuangan ini   bertahap tahap. Kadang kala mengelembong, kadang kala kempis dan kadang-kadang macet. Ini adalah  watak perjuangan. 

Jika kita  melihat  sejarah Revolusi Peranchis apabila kepala Louis ke16 dipenggal pada 21 Januari 1793 kita diajar bahawa tugas pertama revolusi rakyat ialah menghapuskan  kaum feudal. Tugas kedua ialah mendirikan  negara republik.

Bagitu juga dengan Ravolusi Oktober 1917 di Rusia dan Revolusi Tiongkok  1949 di China. Tahap pertama menghapuskan kaum feudal dan tuan tanah.  Kemudian membuka ruang demokrasi baru. Dan tahap ketiga ialah berusaha untuk mendirikan negara republik rakyat berasaskan sistem ekonomi sosialis.

Jangan sesekali silap baca. Silap baca maka kita akan membuat silap langkah. Kemenangan Parti Pas di Terengganu  pada 1999 bukan kerana Islam tetapi kerana Anwar Ibrahim. Kemenangan Dr Jeya di Sungai Siput pada PRU12 bukan kerana sosialisma tetapi  kerana Anwar Ibrahim. Silap baca maka garis politik kita akan  menajdi Lokman Adam. Amin.

Mempertahan ruang demokrasi ini adalah tugas utama kita hari ini. Ajenda perubahan - reform ajenda - wajib terus bermain bukan hanya dibibir tetapi dalam perbuatan dan kerja politik.

Dalam perjuangan ini garis politik ialah numero uno - awal wahid. Mempertahankan ruang demokrasi ini adalah ajenda numero uno. Gagal mempertahankan  ruang demokrasi akan membawa malapetaka yang lebih menjahanamkan dari 60 tahun pentadbiran gerombolan Ketuanan Melayu.

Lihat apa terjadi kepada - People’s Power - kuasa rakyat - di Pilipina? Rakyat Pilipina bangun ke jalan raya menumbangkan Marcos (1986). Kejayaan Curazon Aquino disambut hebat. Muncul  Ramos, Estrada, Arroyo, Banigno Aquino - dan kini muncul Duterte.

Apa latar, apa naratif yang telah berlaku hingga rakyat Pilipina kini berhadapan dengan Duterte. Sosok ini dikatakan ‘pembunuh berlesen’. Dari laporan media,  dunia telah diberitahu lebih dari 5000 warga Pilipina telah  gugur akibat  dasar dan arahan Duterte. Ini menakutkan. 

Apa terjadi dengan kuasa rakyat? Bagaimana kuasa rakyat  tergelincir hingga  menjadi kuasa laras senapang?

Mari kita lihat Indonesia. Kemenangan menjatuhkan Suharto (1998) telah membuka politik baru. Ruang demokrasi terbuka. Di Indonesia hakikatnya - ada kejayaan dan ada kegagalan. Harapan untuk melestarikan ajenda reform masih berjaan. Indonesia tidak seburuk Pilipina. 

Maka  anak semua bangsa dan GM2 wajib meneliti dan memberi perhatian rapi terhadap pengalaman  Indonesia dan Pilipina. Kita wajib belajar dari pengalamn terdahulu mereka. Waspada - kemungkinan Malaysia terjerumus ke dunia Duterte bukan satu yang mustahil. Amin

Mempertahan dan memperluas ruang demokrasi  bertujuan untuk mengusulkan agenda perubahan kepada anak semua bangsa. Mempertahankan ruang demokarsi ini bermakna memperkasa agenda perubahan.

Apa itu agenda perubahan?

Apa yang tercatat dalam Manifesto PRU14 itu jelas sebagai janji Pakatan Harapan kepada para pengundi. Tujuan manifesto adalah untuk mengolah persetujuan agar anak semua bangsa bangun dan menghumbankan Najib dan Rosmah. Ini telah berjaya kita lakukan.

Ada lagi agenda  perubahan yang wajib dilakukan. Ini bukan hanya memansuhkan GST. Atau melupuskan  hutang PTPTN. Ada yang lebih penting dari semua ini.

Apa dia?

Pekara yang lebih penting ini  tidak dapat dipegang atau dibayar atau dibeli. Pekara ini ialah  bagaimana melalui  ruang demokrasi yang telah dimenangi  kita dapat mewujudkan  superstruktur politik atau pembudayaan politik yang akan menjamin keadilan sosial untuk anak semua bangsa.

Ini memerlukan perancangan dan fikrah untuk mewujudkan dasar dan superstruktur arah tuju tanah air kita ini.  Mewujudkan supertsruktur ini adalah ajenda politik yang  paling penting. 

Superstruktur  wujud berlandaskan agihan ekonomi. Hubungan antara daulah dengan rakyat. Hubungan antara kaum pekerja dengan pemilik kilang. Hubungan nelayan dan pesawah dengan pembeli dan pengguna. Hubungan kita dengan kaum feudal. Hubungan rakyat dengan penguasa. 

Superstruktur hanya akan lahir jika dilakukan perubahan struktural. Ini bermakna dengan adanya ruang demokrasi  barulah dapat dilakukan   perubahan struktural. 

Perubahan struktural bermakna ada lembaga daulah akan diubah, akan dilupus, atau akan diwujudkan lembaga baru. Semua ini dilakukan demi  memperkasa , memperluas agenda perubahan.

Menilai, melupuskan dan mewujudkan lembaga-lembaga daulah yang baru  amat penting. Sayugia dingatkani bahawa lembaga daulah inilah yang mewujudkan pembudayaan kita hari ini.

Jakim mengetuk pintu dan masuk ke ruang pribadi kita kerana kuasa daulah. Kuasa ini boleh dilupuskan.  Bagitu juga dengan kaum feudal.  Kalau kita mahu terus mencium tangan kaum feudal maka kaum feudal akan terus menghulurkan tangan sambil mereka merembat pasir, tanah dan balak. 

Wajib diingatkan bahawa kewujudkan kaum feudal ini berlandaskan perlembagaan. Perlembagaan inilah yang kita kenali sebagai superstruktur. Perlembagaan boleh diubah dan diganti. 

Jangan sesekali silap baca. Jangan silap tafsir.  Saya yakin GM2 memiliki fikrah yang bukan jenis  Lokman Adam. Justeru sibuk-sibuk dengan labon siapa menjadi Perdana Menteri salepas Mahathir atau apakah Mahathir akan memberikan kerusinya kepada Anwar atau Si Anu dan Si Anu - adalah projek membuang masa. Ini labon politik yang  remeh lagi temeh.

Apa yang penting bukan siapa salepas Mahathir. Pada ketika ini Mahathir sedang menjalankan beberapa perubahan struktural. Mahathir sedaang membuka  politik baru. Contoh terbaik dalam politik baru ini  ialah tulisan Kadir Jasin dan Tamrin Baba. Dua sosok ini menulis  tentang peranan kaum feudal dalam  Malaysia Baru. 

Tulisan Kadir dan warkah Tamrin mustahil dapat disebarkan  dizaman Najib. Inilah yang saya tafsirkan  sebagai contoh agenda perubahan struktural. 

Perubahan struktural ini  akan juga mengubah cara kita melihat dunia. Cara Bani Melayu melihat peranan Raja Melayu. Mengubah cara kita berhubung sesama manusia. Menilai kembali peranan aum feudal adalah contoh terbaik perubahan struktural dalam Malaysia Baru.

Anak semua bangsa - bangsa semua agama dan GM2 -  ketika kita berjuang pedoman kita ialah - berani berjuang berani menang. Kemenngan 9 Mei  ini wajib terus dipertahankan. 

Ada jenis  politikus yang sibuk ke hulu ke hilir berkempen dengan mengunakan nama Allah tetapi tidak pernah melakar atau berniat untuk membawa perubahan  struktural. Para politikus jenis ini hanya berupaya berfikir tidak jauh dari lima tahun. 

Anak semua bangsa dan GM2 tidak memikirkan  pilihan raya lima tahun lagi. GM2 memikirkan agenda yang lebih besar dari kerusi YB. Agenda kita ialah mewujududkan keadilan sosial dan kesejahteran umat negara bangsa  dalam Malaysia Baru.

Sila tunggu. Minggu depan ada  epilok. (tt)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45

----------------

3 ulasan:

Unknown berkata...

dh klimaks ke

Tanpa Nama berkata...

kaum2 kerabat kata jasa soltan2 melayu ni adalah terlalu banyak lebih banyak dari lombong & balak yg disapu oleh yang mulia...betulke?

Tanpa Nama berkata...

tepat sekali tt... sapa jadi pm tak penting. keadilan lebih penting dari partai keadilan... islam syumul lebih penting dari parti islam.. melayu miskin lebih penting dari parti melayu. rakyat berunited front lebih penting dari partai bersatu

mat indra sama timeline dengan mat kilau... ko biar betul tt.

kah kah kah