Kami akan terus kekalkan Pakatan, kata Amanah, DAP
AMANAH dan DAP akan terus mengekalkan Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan PKR walaupun sekutu mereka itu akan menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata mereka juga akan bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi meyakinkan pengundi untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) di Johor.
“Walau apapun keputusan PKR, kedua-dua Amanah dan DAP akan terus bekerjasama dengan PKR serta parti-parti pembangkang lain termasuk Muda untuk menawarkan satu barisan yang bersatu padu bagi meyakinkan pengundi untuk memilih kerajaan PH dalam pilihan raya Johor.
“Inilah masanya untuk pengundi Johor mengembalikan mandat kepada PH bagi memastikan kerajaan Umno-BN tidak terlepas daripada tanggungjawabnya kerana gagal menguruskan pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi, lockdown atau kawalan pergerakan yang dibuat berkali-kali yang menyebabkan kerugian kewangan lebih RM500 bilion tanpa berjaya mengatasi jangkitan virus, krisis politik yang berulang-ulang serta ketidakstabilan pentadbiran, bencana banjir yang mengorbankan lebih 55 nyawa dan kerugian RM20 bilion serta skandal rasuah yang kembali berleluasa,” kata mereka.
Semalam, Presiden PKR Anwar Ibrahim umum parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRN Johor, manakala DAP dan Amanah memakai logo PH.
Mohamad dan Lim seterusnya berkata meski berbeza pendapat dengan sekutu mereka itu, Amanah dan DAP menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logo sendiri.
“Amanah dan DAP akan terus menggunakan logo PH sebagai tanda perpaduan yang mencerminkan iltizam masa hadapan serta aspirasi untuk membentuk kerajaan melalui sebuah gabungan yang bersatu padu.
“Sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP inginkan semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang bersama yang berpegang kepada matlamat bersama dan agenda politik bersama.
“Kedua-dua Amanah dan DAP berpendapat bahawa parti-parti komponen serta parti-parti sahabat perlu duduk bersama, sama ada sewaktu senang atau sewaktu susah,” jelas dua pemimpin itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, PH menggunakan lambang PKR kerana pendaftarannya sebagai parti politik ketika itu belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Mohamad dan Lim berkata parti mereka akan tetap menggunakan logo PH bagi meneruskan usaha untuk kembali menjadi kerajaan.
“Satu logo bersama amat penting untuk meyakinkan pengundi bahawa PH serius untuk menjadi kerajaan, dan berusaha bergerak bersama sebagai satu pasukan dalam pilihan raya.
“Pengundi atas pagar lazimnya akan memberi sokongan positif kepada mana-mana gabungan yang mereka yakin mampu menang serta dilihat bekerjasama sebagai satu pasukan walaupun ada beberapa perbezaan antara mereka.
“Kita masih ada tiga kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk meneruskan usaha memenuhi keperluan rakyat. Atas sebab inilah, Amanah dan DAP akan tetap menggunakan logo Pakatan Harapan bagi meneruskan usaha untuk kembali menjadi kerajaan ,” kata mereka. – 27 Januari, 2022.
2 ulasan:
Mat songel nak kena macam world series di US.....strike 1 strike 2 strike 3 you're OUT!
Masaalah nya songel dah kena banyak strike PKR kerusi terbang WAWI Izzajanda pun dan sepi backip dia tuh pun masih degil.....kulit muka dia sama brand ngan kulit muka bosscow ke?
Betul! Pakatan Harapan memang ada HARAPAN tanpa Anwar. PRU14 Pakatan Harapan menang kerana tiada Anwar. Kerajaan Pakatan Harapan hancur selepas hanya 22 bulan kerana ada Anwar.
Catat Ulasan