Ahad, 7 April 2024

TERUSKAN BOIKOT MEK DONAL




Dari burger ke kopi, jenama global tewas kepada produk tempatan ketika kempen boikot Israel berterusan


Daripada gerai burger kepada jenama malt coklat tempatan yang selama ini cuba bersaing dengan nama global, kempen memboikot produk dan syarikat yang mempunyai pertalian atau simpati dengan Israel telah mengubah nasib banyak jenama tempatan.

Sebelum ini, mustahil bagi syarikat tempatan untuk menamatkan pengaruh besar beberapa jenama antarabangsa terhadap pengguna di negara ini.

Ia termasuk sebuah jenama minuman malt coklat terkenal yang selama beberapa dekad dipasarkan sebagai minuman sihat, dikaitkan dengan acara sukan dan juga menjadi sajian wajib di hospital.

Tinjauan di beberapa pasar raya utama menunjukkan produk tersebut kini hampir tidak bergerak dari rak.

Sebaliknya, produk tempatan yang biasanya dipamerkan di sebelahnya, kini mendapat permintaan tinggi, malah selalunya tidak lagi kelihatan kerana kehabisan stok.

Perkara yang sama berlaku untuk produk kopi, di mana banyak kedai kopi yang tidak dikenali sebelum ini mula berkembang pesat di seluruh negara dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Ini kerana syarikat kopi tempatan tampak lebih yakin pengguna akan beralih kepada jenama mereka.

Ada juga jenama yang dipromosikan di platform media sosial seperti TikTok menggunakan hashtag #boikotIsrael, dengan harapan memanfaatkan sentimen pro-Palestin di kalangan pengguna.

Sebagai respons, beberapa jenama besar termasuk syarikat makanan segera yang terjejas oleh kempen boikot di dunia Islam, bertindak menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin dengan mengumumkan bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Terdapat juga syarikat, seperti KFC, yang menggantung sepanduk di luar premis untuk memberitahu orang ramai yang syarikat itu milik tempatan.

Sementara syarikat seperti McDonald's telah mengambil pelbagai pendekatan untuk melawan trend boikot, daripada mengadakan kunjungan kepada pemimpin agama kepada mengumumkan sumbangan zakat, dan yang terbaru tindakan undang-undang terhadap mereka yang mengaitkannya dengan kekejaman Israel.

Taktik sedemikian bagaimanapun hampir tidak memberi apa-apa kesan dalam mengubah nasib yang menimpa produk dan jenama Barat yang menjadi sasaran boikot.

Sekumpulan pelajar universiti di Cyberjaya mendapati kempen boikot telah menukar pilihan menu mereka pada bulan Ramadan kali ini.

Pada tahun-tahun lepas, Nurul Izzani, 21 dan rakan-rakannya bersahur di sebuah restoran makanan segera yang terletak di tengah-tengah bandar Cyberjaya. 

Menurutnya, restoran itu mempunyai menu khas untuk sahur yang menjadi kegemarannya selain pelbagai pilihan lain.
 
Tahun ini, mereka memilih untuk berkunjung ke gerai burger berhampiran.

"Selepas gambar kanak-kanak kelaparan, mati tertimbus dan hospital dibom, kami pilih untuk makan di sini sahaja. 

"Bukan sahaja boleh jimat, burger biasa tepi jalan pun lagi sedap," kata Izzani kepada MalaysiaNow, sambil memesan "Burger Special", menu wajib di kebanyakan gerai burger.

Pemilik sebuah gerai burger, Thaqif, berkata perniagaannya laris sejak November tahun lalu, iaitu tidak lama selepas Israel melancarkan kempen pengeboman berskala penuh di Semenanjung Gaza berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober.

Katanya, sebelum kempen boikot mula tersebar, agak sukar menghabiskan stok burgernya, walaupun gerainya dibuka sehingga 1 pagi.

"Ada hari tak sampai 100 biji dijual sebab bergantung kepada pelanggan yang lalu kaki lima di sini. 

"Sekarang, selalunya pukul 11 malam dah habis. Saya tinggal kurang 10 biji roti untuk dijual," kata Thaqif.

Dia menunjukkan ke arah seorang lelaki Mesir di sebuah gerai shawarma berhampiran.

"Sejak beberapa bulan lepas, kami selalu bergurau siapa tutup kedai dulu. 

"Kadang-kadang shawarma dia habis awal, kadang-kadang burger saya," tambahnya.

Boikot anti-Israel telah menyaksikan kedai makanan segera seperti McDonald's dan Starbucks hampir sepi pada waktu puncak, apabila umat Islam menggunakan kuasa pengguna mereka menyahut seruan global yang asalnya dimulakan oleh Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) sebuah gerakan yang menganjurkan boikot terhadap syarikat, jenama dan institusi akademik yang didakwa secara langsung atau tidak membiayai dan menyokong rejim Israel.

BDS berkata jenama itu disasarkan "kerana syarikat-syarikat ini atau cawangan atau francais mereka di Israel secara terbuka menyokong apartheid Israel dan/atau memberikan sumbangan yang banyak kepada tentera Israel ketika 2.3 juta rakyat Palestin yang terkepung di Gaza diserang".

Pergerakan BDS, yang diasaskan di AS pada 2005, diilhamkan oleh sekatan ekonomi terhadap Afrika Selatan pada tahun 1980-an, yang membawa kepada berakhirnya rejim apartheid kulit putih.



BOIKOT 

MEK DONAL 

BERI BURGER

 PERCUMA PADA

 ASKAR ZIONIS

AMIN

BOIKOT 

KK MART

AMIN

SATU ZIONIS 

INTERNASIONAL

SATU LAGI 

ZIONIS TEMPATAN

AMIN

KHALAS

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bila nak buka ramlee burger outlet? Dah berpuluh taun jual pakai kereta sorong skali dengan sekartus dua weed...buka la outlet..pas tue jerit boikut bak kut teh...bukan sebalik..no outlet dah mengelupur..

Tanpa Nama berkata...

Sejak aku membaca surah TT, sejak sedekad lalu, minum kopi dalam cawan bukan dalam gelas plastik. Apa lagi makanan paket yang perlu dikoyakkan. Aku melakukan yang sama. Setiap pekan kampung yang aku singgah, wajib aku rasai lauk pauknya dan kopi dalam cawan.