Rabu, 13 Jun 2018

MERAKAM SEJARAH - ANWAR IBRAHIM




MERAKAM SEJARAH  

ANWAR IBRAHIM 


Saya akan dianggap murtad kalau saya tidak menulis tentang Anwar Ibrahim dalam siri merakam sejarah ini. Para REFORMIS akan memurtadkan saya kerana tidak memperlihatkan dan berlabon tentang peranan Anwar.

Hakikatnya dari fakta sejarah dalam kempen PRU14 peranan Anwar amat  minima - amat sadikit. Malah kadang kala mengganggu perjalanan  siratul mustakim Pakatan Harapan. 
Ini  terjadi kerana ketika PRU14 dirancang dan berjalan  Anwar ini sedang dipenjara oleh Najib. Anwar dipenjara atas  tuduhan meliwat Saiful Bukhari.  Ini fakta sejarah.

Tetapi yakinlah peranan Anwar Ibrahim ini besar. Untuk memahami rakaman sejarah biar saya butirkan beberapa fakta  latar untuk pengetahum umum.

Mungkin ada pembaca kurang arif tidak mengetahui beberapa fakta latar belakang tentang Anwar Ibrahim. Wajib diberitahu  bahawa Anwar Ibrahim ini sebelum memakai jubah Islam telah memakai songkok Melayu.

Kampus Universiti Malaya - pasca Mei13 1969  - Anwar telah menonjolkan diri sebagai pemimpin pelajar. Tapi bukan memimpin  Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya - PMUM.  Bukan. Bukan. Bukan.

PMUM adalah persatuan pelajar untuk  anak semua bangsa-bangsa semua agama. Dari segi fakta sejarah pucuk pimpinan PMUM sering kali diteraju oleh  kumpulan liberal sekular atau  pelajar kiri  dari Kelab Sosialis. 

Anwar memimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiri Malaya ( PBMUM ). PBMUM tidak berjanji memayungi  anak semua bangsa. Justeru  Anwar  tidak pernah bertanding untuk merebut kerusi PMUM. Jika bertanding dalam pilihan raya umum PMUM pada tahun 1970 - Anwar akan kalah meleset. Hakikatnya amat jarang aktivis dan pemimpin PBMUM berani  bertanding untuk memimpin PMUM. 

Dari fakta sejarah - pernah pada tahun 1973 bekas Presiden PBMUM - Zulkifli Ahmad cuba bertanding dalam pilihanraya PMUM. Tapi gagal.

Ketika saya di UM - warga  mahasiswa menggambarkan  demograpi Malaysia. Justeru garis Melayu atau garis Islam  tidak ada keupayaan untuk mewakili anak semua bangsa - bangsa semua agama dalam kampus UM. 

Pasca Mei13 dalam  tahun 1970  Anwar  melancarkan kempen menobatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam Universiti Malaya. Dari sini Anwar mencipta nama.

Kemudian Anwar menukar songkok Melayu PBMUM untuk memakai jubah Islam. Fakta  - jubah Islam - ini sering ditimbulkan.  Ada yang menimbulkan ‘ jubah hijau’ ini untuk membuktikan bahawa pada satu ketika dulu Anwar ini seorang  fundumentalis Islam. Berita dan labon saperti ini biasanya datang dari musuh politik Anwar.

Sabenarnya Anwar Ibrahim ini  lebih licik dari itu. Anwar memiliki keupayaan  untuk menukar songkok, baju, jubah, tali leher, jaket dan mantu  berkali-kali. Semua dilakukan dalam usaha membantu pemperkukuh kerja politik dirinya.

Semua yang saya tulis ini adalah latar awal ketika Anwar di UM. Jangan silap fakta saya bukan satu angkatan dengan Anwar  Ibrahim. Kami pergi ke sekoah yang sama. Kami masuk ke unversiti yang sama - fakulti yang sama tapi  BUKAN jabatan  yang sama. Hakikatnya  Anwar Ibrahim lebih senior dari saya.

Bila saya masuk ke UM tahun 1971 saya  sempat melihat cakaran didinding  papan tanda. Cakaran ini bertujuan memadamkam maklumat dalam Bahasa Inggeris. Ini kerja kempen Anwar Ibrahim dan PBMUM.  Inilah yang saya takrifkan sebagai  ‘songkok’ Melayu  dari Anwar Ibrahim.

Pada 3 Disember 1974 anak mahasiwa pelajar dari pelbagai kampus  turun berdemo di Dataran Merdeka untuk menyokong perjuangan kaum tani yang kelaparan di Baling Kedah.  Dari Dataran Merdeka para demonstran masuk ke Masjid Negara.

Pada Rabu 4 Disember 1974 Anwar ditahan dibawah ISA. Pada 8 Disembar 1974 saya hilang ke bawah tanah dari  Kolej Ke Tujuh Universiti Malaya.

Saya berkelana selama 20 tahun. Anwar menjadi ahli United Malays National Organisation dan menjawat jawatan dalam parti dan kerajaan.

Pada 2 September 1998 Anwar Ibrahim Timbalan Perdana Menteri Malaysia dibuang dari kerajaan atas tuduhan meliwat.  Pada 20 September 1998  satu tunjuk perasaan telah diadakan. Demonstrasi bermula  di Masjid Negara kemudian  para demonstran telah masuk ke Dataran Merdeka. 

Untuk saya ini pengulangan sejarah. Ini permulaan gerakan  politik jalan raya. Sejarah demonstrasi Disember 1974 berulang sekali lagi pada September  1998. 

Pada petang 20 September ini saya hadir di Masjid Negara dan  menyebar  kertas pelekat dari Kumpulan APA - Artist Pro-Active. 

Pada sabelah malam 20 September  Anwar ditahan. Dari sini bermula gerakan REFORMASI. Manifestasi reformasi ialah politik jalan raya.  Saya cukup senang hati kerana politik jalan raya kembali menyemarakkan garis politik Malaysia.

Sebaik sahaja Anwar ditahan seluruh negara mengelodak. Anak-anak muda mula turun ke jalan raya. Semua ini sepontan tanpa disusun atau diatur. Ini tanda sokongan  hangat anak anak muda - pelajar dan mahasiswa - kakak , ibu, abang dan ayah  -  terhadap Anwar Ibrahim. Si Anwar dianggap sebagai harapan masa depan mereka.

Sejarah merakamkan bahawa manifestasi gerakan reformasi 1998  ialah demonstrasi. Manakala ikon reformasi ialah Anwar Ibrahim. Sosok yang dipanggil Anwar Ibrahim ini menjadi simbol yang paling ampoh. Ikon dan wajah Anwar Ibrahim telah berjaya membawa orang ramai ke jalan raya.

Kepada penyokong dan simpatisan Reformasi - pemenjaraan  Anwar memberi makna  masa depan mereka telah punah ranah - hancur berderai.  Mereka meletakan harapan kepada sosok bernama Anwar.  Bayangkan bagaimana  kecewa melanda apabila Anwar dipenjara. Justeru mereka sanggup  bertempur dengn FRU di jalan raya.

Anwar walau pun dalam penjara tapi pegaruhnya menembusi jeriji besi dan tembok  batu penjara. Menyebut nama nama Anwar Ibrahim bermakna menyebut keadilan. Menyebut nama Mahathir Muhamad bermakna menyebut kezaliman.

Majoriti Bani Melayu pada tahun 1998  yakin bahawa  Anwar telah dizalami  oleh Mahathir Muhamad.

Dalam PRU10, PRU11, PRU12 dan PRU13 - tidak dapat dinafikan faktor Anwar adalah  faktor numero uno. Dalam PRU10 pada tahun 1999  Terengganu jatuh ke tangan parti Islam PAS. Kemenangan Pas adalah kerana Anwar. 

Imej mata lebam Anwar adalah  rujukan kemenangan itu. Menidakkan fakta ini sama saperti menidakkan faktor Mahathir  yang berjaya menjatuhkan United Malays National Organisation pada Rabu 9 Mei 2018.

Wajib diakui bahawa Anwar Ibrahim memiliki keupayaan berucap yang hebat. Sesiapa yang mendengar kali pertama ucapan Anwar akan terpesona.  Memang hebat retorika dari mulut Anwar. Ini bukan ucapan dari Ustad tapi akan diselang seli  dengan ayat Quran dan Hadis Nabi.

Malah untuk memperkukuh diri Anwar  juga melamar beberapa patah perkataaan German atau Peranchis. Walau pun bunyi perkataaan asing ini  tidak bagitu tepat tetapi bunyi yang salah ini telah cukup untuk mendodoikan telinga Mak Cik dan Pak Cik Felda.

Tidak cukup dengan  - weltanschuung - Anwar akan mengugurkan beberapa  nama sosok-sosok penting dalam ucapannya. Ini bertujuan untuk membantu pemperkukuhkan dirinya. Akan disebut nama Qardawi, akan disebut nama Al Gore atau Edorgan. Akan dipalit nama George Town University untuk memberi gambaran pada Maka Cik dan Pak Cik Felda  bahawa Anwar ini bukan kecik anak.

Pasti Mak Cik Felda akan berkata …Oh! Hebatnya Si Anwar ini hampir semua pemimpin dunia dikenalinya.  

 ‘ Di hina..dipukul.. ditelanjangi… ..’ Pekara ini diulang ulangi oleh Anwar. Untuk sesiapa yang sering mengikut ceramah Anwar pasti mereka telah mendengar surah yang sama berpuluh kali.

Memang betul. Memang tepat sosok bernama Anwar Ibrahim ini  telah dihina. Telah dipukul. Telah ditelanjangi. Inilah kehebatan Anwar Ibrahim. Dia dipenjara  tiga kali.

Kali pertama di Kamunting tahanan ISA kerana  terlibat dalam gerakan pelajar pada tahun 1974. Kali kedua 14 April 1999 - tuduhan meliwat. Pada 2008 sekali lagi Anwar dituduh meliwat. 

Kali pertama apabila Anwar dituduh meliwat kelihatan sokongan cukup hebat. Ribuan turun ke jalan raya. Apabila Anwar dipenjara gelombang REFORMASI mengelodak dan mengacam kedudukan Perdana Menteri Mahathir.

Tetapi apabila tuduhan  ke dua sampai sokongan  menjadi  lembik. Tidak seheboh kali pertama Anwar ditangkap dan dipenjara. Tidak ada ada tunjuk perasaan besar besaran menuntut Anwar dibebaskan. Mungkin - rakyat Malaysia  telah naik bosan  dengan kes liwat. 

Walau apa pun sejarah  wajib merakamkan tanpa Anwar Ibrahim tidak  akan ada kemenangan Rabu 9 Mei. Tanpa Anwar masuk penjara tidak mungkin gelombang reformasi bermula. Anwar adalah sosok yang bertanggung jawab memecah ruyung.  

Memech ruyung bukan satu yang senang. Memecah ruyung memerlukan pengrobanan. Anwar telah memecahkan ruyung itu untuk kita sesama menikmati sagunya.

Sejarah akan merakamkan bahawa Anwar Ibrahim menjadi penyebab utama yang membangunkan kesedaran Bani Melayu  untuk berani bangun menentang Parti Kertuanan Melayu. Anwar juga  berjaya berkempen untuk meyakinkan anak semua bangsa bahawa United Malays National Organisation wajib ditolak.

Berbulan bulan dahulu - ketika saya mencadangkan agar Mahathir Muhamad dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri  Pakatan Harapan - tidak ramai yang menyokong. Malah saya mendapat sumpah seranah. Saya mencadangkan  Mahathir  kerana pada ketika itu Anwar  sedang dipenjara oleh Najib.

Hari ini Mahathir telah diangkat untuk menjadi PM sekali lagi. Agenda reform Mahathir semakin jelas. Mengikut kata Suhakam tidak ada apa pun yang ‘ sacrosanct atau suci ‘ yang tidak boleh dibincagkan dalam  Malaysia Baru. Amin.

Malah mengikut kata  Kadir Jasin - bekas pengarang NST - hal ehwal raja-raja Melayu juga termasuk dalam agenda reform Pakatan Harapan. Ini satu yang hebat.

Hari ini Anwar telah bebas dari penjara. Kebebasan ini telah membuka pelbagai kemungkinan untuk Anwar. Anak  semua bangsa sedang menunggu Anwar Ibrahim untuk bergerak serentak  seirama memalu gendang agenda reform Mahathir Muhamad. 

Harapan yang punah ranah pada tahun 1998 dahulu kini disambung. Agenda reform Pakatan Harapan yang sedang berjalan sekarang adalah lanjutan harapan anak semua bangsa kepada sosok Anwar Ibrahim. 

Anwar Ibrahim tidak perlu lagi menukar songkok atau jubah. Anak semua bangsa sedang siap siaga  untuk  melintasi jambatan menyeberang masuk ke Malaysia Baru bukan untuk jadi jambatan dalam Malaysia Kuno. (TT)




NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45


-----------------------

1 ulasan:

siluman pejajaran berkata...

double edge sword nih... Kult boss \m/