Isnin, 14 Oktober 2019

DARI ARKIB SEJARAH



 SURAT DARI LOW TI FANG 

Hisham/Tukartiub,

Saya baru terjumpa buku lama saudara Pilihanraya atau Pilihan jalan raya dan sempat membaca satu artikel di dalamnya, Said Zahari dan Utusan di dalam parit.

Saya cuma memanjangkan email ini untuk berkongsi semula tulisan saudara pada 5-Sept-2000 ini. 

Dengan kematian akhbar ini minggu ini, rasa tulisan lama saudara ini cukup relevan untuk mengenang perjuangan awal dan perjuangan Pak Said - sebelum dirampas Umno. Metafora akhabr ini jatuh ke dalam parit juga seperti sesuai menggambarkan keadaan akhbar ini sekarang. File ada dilampirkan jikalau saudara rasa perlu untuk berkongsi di blog tukartiub.

Terima kasih!

Said Zahari dan 'Utusan' di dalam parit

Published:   |  Modified: 

Sebelum mengenal huruf, saya telah berkenalan dengan Utusan Melayu dan Utusan Zaman - kedua-duanya bertulisan Jawi.

Ketika itu saya hanya membelek-belek dan melihat-lihat gambar. Saya tidak tahu siapa penulis dan siapa pengarangnya.

Kuala Klawang, pekan pusat daerah Jelebu, pada akhir tahun 50-an dan awal 60-an tidak mempunyai kedai menjual bahan bacaan. Jalan dan sistem pengangkutan ke daerah kami agak terhad. Kawasan kami, di hujung Banjaran Titiwangsa hanya dilihat sebagai satu daerah khusus untuk orang buangan.

Untuk menyelesaikan masalah ini, arwah ibu telah melanggan akhbar dari Seremban dan dikirimkan melalui bas pertama yang melintasi kampung kami dari bandar itu. Setiap pagi sebelum jam 9, pemandu bas akan membalingkan akhbar ini ke tepi jalan. Kaedah ini berjalan dengan baik. Hanya sekali-sekala akhbar kami datang agak lewat atau tidak sampai langsung.

Dua tahun sesudah kemerdekaan, saya mula pandai membaca Utusan Melayu , dan Utusan Zaman dijadikan bahan rujukan. Saya tidak begitu jelas tarikhnya, tetapi tiba-tiba pemandu bas dari Seremban gagal membalingkan akhbar langganan keluarga kami.

Hampir seminggu saya tidak bertemu Utusan Melayu . Kemudian saya mendengar khabar bahawa telah berlaku mogok di pejabat akhbar berkenaan di Kuala Lumpur. Inilah kali pertama saya mendengar perkataan mogok. Apa yang dimogokkan, kenapa mogok dan apa makna mogok, tidaklah pula saya mengerti.

Penjara Lee Kuan Yew

Dua minggu kemudian Utusan Melayu muncul kembali. Tapi keluarannya agak nipis. Saya menjadi kecewa, tetapi bukan kerana isinya. Akhbar yang nipis dan lebih ringan itu, apabila dibalingkan keluar dari tingkap bas, ia akan jatuh ke dalam parit dan basah. Amat mengecewakan saya.

Selang beberapa bulan kemudian, Utusan Melayu kembali seperti sedia kala. Saya langsung tidak tahu apa yang terjadi dengan "mogok Utusan" atau siapa pula yang mengendalikan akhbar kegemaran saya ini. Beberapa tahun kemudian, muncul pula Utusan Malaysia dan keluarga saya pun beralih daripada akhbar jawi kepada rumi.

Apabila menuntut di Universiti Malaya pada tahun 1971, saya terus menceburkan diri dalam arus gerakan mahasiswa. Pada era ini gerakan mahasiswa cukup hidup. Perdebatan falsafah, ideologi dan politik amat kuat dan segar. Mungkin ini sebahagian tempias Perang Dingin.

Di kampus, saya menganggotai Kelab Sosialis yang aktif. Aktiviti kelab ini telah menemukan saya dengan Usman Awang, kemudiannya saya panggil Tongkat.

Pada 1973, saya mula mendengar nama seorang insan yang dipanggil Said Zahari. Insan ini, menurut Tongkat, ialah bekas ketua pengarang Utusan Melayu dan sedang ditahan di penjara Lee Kuan Yew.

Tongkat pada ketika ini sedang berusaha menerbitkan sajak-sajak karya Said Zahari yang berjaya diseludup keluar. Kini barulah saya sedar bahawa Said pernah sampai dalam hidup saya, semasa keluarga melanggan Utusan Melayu. Hanya saya tidak menyedarinya.

Terlalu ramai SB

Apabila buku Sajak dari Penjara diterbitkan, kami dari Kelab Sosialis telah mengambil langkah untuk menjualnya secara peribadi. Kutipan wang daripada jualan buku itu bertujuan membantu keluarga Said yang tinggal di Singapura.

Buku kecil berwarna putih ini berharga tiga ringgit. Pada ketika itu agak susah juga bagi seseorang mahasiswa mengeluarkan tiga ringgit demi sebuah buku puisi - harga nasi campur di kampus tidak pernah melintasi satu ringgit.

Pada tahun ini juga seorang penyajak agung dari Russia, Yevgeni Yevtushenko, melawat Malaysia. Beliau telah diundang untuk membaca sajak di fakulti pendidikan Universti Malaya. Anggota Kelab Sosialis mengambil kesempatan ini untuk menjual buku sajak Said pada malam itu.

Ini bukanlah satu kerja yang mudah. Pertama, kami tidak dijemput. Kedua, pada malam pembacaan sajak ini, terlalu ramai SB (polis Cawangan Khas) berkeliaran untuk melihat dan memerhatikan siapakah yang berani datang mendengar suara Yevgeni Yevtushenko, penyair dari sebuah negara yang dianggap musuh.

Namun, kami berjaya juga menjual beberapa buah Sajak dari Penjara . Saya tidak akan melupakan pensyarah sastera Inggeris saya, Fadzilah Amin yang telah memberikan sepuluh ringgit untuk buku kecil ini.

Ada juga individu yang menggelarkan diri mereka sebagai "sasterawan Melayu" telah menepis kami daripada mengganggu soiree budaya ini dengan anggapan kami menjual propaganda komunis.

Minggu lepas, dua hari sesudah ulang tahun kemerdekaan tahun 2000, saya dapat bertemu dengan manusia yang bernama Said Zahari untuk kali ketiga. Kali ini dalam satu soiree yang dianjurkan oleh anak-anak muda.

Merdeka bukan agenda Umno

Suasana soiree ini agak berbeza daripada malam puisi Yevtshenko dahulu. Pada malam ini, insan yang diraikan oleh anak-anak muda ialah Said Zahari - bekas ketua pengarang Utusan Melayu dan bukan seorang penyair.

Pak Said yang kini bertongkat telah berucap dengan loghat Singapuranya untuk memberikan penilaian baru dan melihat kembali babak-babak sejarah perjuangan nasionalisme menuntut kemerdekaan.

Menurut Pak Said, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) lebih awal meniupkan api nasionalisme bagi membangkitkan semangat orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan. PKMM telah melaungkan slogan, "Merdeka!"

Pada malam ini juga, untuk pertama kalinya anak-anak muda generasi baru ini mendengar, dari mulut seorang individu yang terlibat secara langsung dalam perjuangan kemerdekaan, bahawa agenda merdeka bukanlah agenda Umno.

Parti itu, menurut Pak Said hanya menentang Malayan Union dengan slogan "Hidup Melayu." Hanya apabila tekanan dan gelombang kemerdekaan tidak dapat dibendung lagi, barulah Umno bersetuju untuk melaungkan agenda merdeka.

Tempoh 17 tahun adalah satu masa yang terlalu lama untuk seorang manusia terkurung di penjara tanpa apa-apa tuduhan atau perbicaraan. Tapi saya tidak nampak dendam kesumat dan penyesalan dari manusia yang bernama Said Zahari ini.

Dia hanya menuntut fakta sejarah diperbaiki dan nama-nama pejuang kemerdekaan yang telah dicicirkan diiktiraf semula untuk generasi akan datang. Saya melihat hati dan jiwanya masih muda - semuda anak-anak siswa yang membacakan puisi dari bukunya.


Untuk saya, pertemuan kali ini mengingatkan saya pada mogok Utusan, 37 tahun dahulu. Barulah saya mengerti kenapa akhbar Utusan Melayu , akhbar penggerak nasionalime Melayu menjadi nipis dan jatuh ke dalam parit.

Dan saya juga tidak hairan kenapa hari ini Utusan Malaysia yang semakin tebal tetapi masih lagi terperam di dalam parit. (TT)



-------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sejak 1998 hingga minggu lepas tiap2 hari aku kutip utusan malaysia di pejabat utk dibawa balik rumah, utusan malaysia sangat berguna utk dibuat alas berak kucing2 belaan aku. Kini utusan malaysia dah berkubur, aku yakin kucing2 aku akan rindu pada utusan malaysia. Semoga utusan tenang di sana. Amiin.