Khamis, 24 April 2025

SIAPA BUNUH JFK

 

SIAPA BUNUH JFK


Aku masih ingat  lagi pagi Senin 25 November 1963. Pagi itu  aku bersama kawan-kawan  murid darjah enam duduk di bangku panjang di tuck shop   Goverment English School Kuala Klawang Jelebu. Kami berhenti rehat – jam 10 - menunggu loceng berbunyi.

‘ Presiden Amerika kena bunuh... dia kena tembak...’  Ini perbualan kami pagi itu. Entah dari mana berita ini di kutip aku tidak ingat.  Tapi inilah labun kami pagi itu.

‘ President Kennedy assasinated...not killed ... assasinated ... ‘ Mister Manjet Singh  guru darjah kami  pagi  itu memperkenalkan satu perkataan baru.  Apa beza assasinated dengan killed tidak pula di terangkan.

Di rumah aku membaca akhbar Utusan Melayu tentang pembunuhan Presiden John F Kennedy. Sosok ini ialah Presiden Amerika yang ke 35. Aku pun tidak tahu kenapa ada huruf F lepas nama Kennedy.

Utusan Melayu melaporkan Presiden Amerika yang termuda  ini telah di tembak mati pada Jumaat 21 November 1963. Dia di tembak oleh Lee Harvey Oswald di Dallas Texas ketika melakukan lawatan resmi.

Dua hari kemudian aku terbaca pula berita  Lee Harvey Oswald - pembunuh Kennedy telah juga di tembak mati oleh seorang bernama Jack Ruby. Dari apa yang aku baca dari Utusan Jack Ruby ini penyokong setia Presiden Kennedy. Dia amat marah kepada Oswald lalu dia menembak mati Oswald. 

Ini pemahaman aku pada tahun 60’an tentang pembunuhan  John F Kennedy. Khalas.

Kemudian pada 30 Oktober 1966  Presiden Lyndon B Johnson  dari Amerika datang melawat Malaysia. Presiden Amerika ini melawat Felda  di  Labu Sendayan Negeri Sembilan. Ramai penghuni Felda ini berasal dari Jelebu. Malah rumah keluarga Felda yang dilawati oleh Johnson itu ialah rumah orang dari kampung aku - Kampung  Amar Penghulu Jelebu.   Selepas  Johnson melawat Felda Sendayan nama Felda  ini beralih menjadi Kampung LBJ.

Kemudian pada tahun 1968 aku terbaca pula berita Robert Kennedy  adik kepada John F Kennedy  di tembak mati oleh anak muda Palestin bernama Sirhan Bishara Sirhan. Robert Kennedy ini pada ketika itu sedang berkempen untuk menjadi calon Presiden dari Parti Demokrat.

Aku juga membaca berita  dua pemimpin Negro – Malcolm X  di tembak mati pada tahun 1965 dan Martin Luther King di tembak mati pada tahun 1968. 

Apa yang terus menarik perhatian  aku ketika ini ialah berita  Janda Cun bernama  Jaqueline Kennedy. Ini  janda Presiden Kennedy. Aku tidak akan ketinggalan untuk terus membaca  untuk mengikuti apa saja  berita tentang Janda Cun ini.

Malah bila Janda Cun ini berkahwin dengan  Aristotle  Onassis aku di Jelebu merasa amat kecewa. Ini kerana Janda Cun ini telah sanggup berkahwin dengan jantan gemuk muka berkedut yang 23 tahun lebih tua darinya. Tetapi Jantan Gemuk  ini dilaporkan ini amat kaya.

Ketika semua ini berlaku aku belum memiliki kesedaran politik.  Apa yang di tulis oleh  Utusan Melayu dan apa aku dengar dari Radio  Malaya pada ketika itu adalah berita  dan maklumat kebenaran untuk aku.

Bila aku memasuki Universiti Malaya dan menjadi ahli Kelab Sosialis pada tahun 1971 baru aku sedar kenapa Presiden Johnson datang melawat Malaysia. Rupa-rupanya Presiden Amerika ini mahu melobi Perdana Menteri Tungku Abdul Rahman untuk menghantar askar membantu Amerika dalam Perang Vietnam.

Aku juga  dapat tahu juga ketika Johnson melawat Sendayan ada  demo di  Seremban di susun oleh Parti Buruh dan Parti Rakyat yang menentang Amerika. Dari Kelab Sosialis aku mendapat pemahaman tentang apa itu imperialis. 

Aku diberi kesedaran bahawa Amerika dan Britain – Anglo-American - ialah negara imperialis dan musuh rakyat dunia. Hingga ke hari ini kuliah pencerahan di Kelab Sosialis menjadi pedoman  politik aku. 

Aku menimbulkan kembali kes pembunuhan JFK ini kerana ketika Donald Trump berkempen dia telah membuat janji jika dia menang  dia akan membuka kembali siasatan kes kematian John F Kennedy. 

Dalam masa yang sama Robert F Kennedy Junior anak buah arwah  JFK juga telah ikut sama membantu Trump berkempen.  Ayah sosok ini  - Robert F Kennedy - juga mati kena tembak. 

Dari apa yang aku baca kes pembunuhan JFK ini tidak pernah reda. Setakat tahun  2022 lebih dari 22 buah buku non-fiksyen telah ditulis tentang kes pembunuhan ini. Lebih dari 11 dokumentari dan filem telah di buat tentang kes ini. Pada tahun 1991 Oliver Stone dari Holywood  telah mengarahkan sebuah filem bernama JFK. Filem   kontroversial ini  menolak teori JFK ditembak mati oleh  seorang penembak sahaja. 

Hampir ke semua buku dan  filem menolak naratif resmi   bahawa JFK dibunuh  hanya oleh satu sosok yang bernama Lee Harvey Oswald. 

Enam puluh tahun selepas Presiden John F. Kennedy dibunuh, sebilangan besar rakyat Amerika terus percaya bahawa Lee Harvey Oswald tidak bertindak sendirian tetapi sebaliknya, ada orang lain terlibat dalam konspirasi untuk membunuh presiden.

Dari kajian terakhir  tahun 2023  terdapat  65% warga  dewasa Amerika  menganggap Oswald bekerja secara bersama dengan orang lain. Hanya 29% warga Amerika yang percaya bahawa Oswald membunuh JFK sendirian. 

Hari ini Donald Trump telah menang dan kembali menjadi Presiden. Robert F Kennedy Junior kini dalam kabinet Trump.  Maka  kini Trump telah mengotakan janji kempennya.

Pada 17 Mac 2025 Trump mengumumkan bahawa "semua fail Kennedy" akan dikeluarkan pada keesokan harinya. Jabatan Kehakiman  wajib melunaskan Arahan Eksekutif Trump. Mengikut kiraan Arkib Negara Amerika, sebanyak 2,182 rekod dikeluarkan mengikut arahan Trump dalam bentuk PDF, dengan jumlah hampir 64,000 muka surat. 


Tapi ini masih bukan kesemua fail. Masih ada lagi fail bersama CIA dan FBI yang belum muncul. Malah ada juga maklumat yang masih di tutup dengan dakwat hitam

 Justeru siapa dan mengapa JFK di bunuh ?

Kajian pungutan suara 2013 dari Gallup  telah mendapati bahawa ramai  percaya pembunuhan Kennedy adalah kerja berbilang pelakon. Antaranya Kerajaan Federal pada masa itu, lembaga CIA dan FBI juga terlibat. Malah  11% pula percaya Mafia juga  memainkan peranan yang penting.  

Secara keseluruhannya kajian 2013 ini mendapati  38%  berpendapat Oswald tidak bertindak bersendirian. CIA, FBI, Perkhidmatan Rahsia dan Naib Presiden Lyndon Johnson -- sebagai terlibat. 

Naratif yang besar cukup mudah untuk menunjukkan ada kerjasama  antara para pelakon ini. Pertama Presiden Kennedy telah marah dengan CIA. Mengikut fail yang di buka  kemarahan JFK ini berpunca dari kegagalan episod Bay of Pigs.

Pada tahun 1961 CIA telah mencadangkan kepada Kennedy  bahawa  rakyat Cuba akan bangun memberontak jika  Presiden JFK   menghantar satu pasukan soldadu ke Cuba. 

Maka pada 17 April 1961 -  soldadu Amerika bersama gerila anti Castro telah masuk menyerang Cuba di Bays of Pigs.   Serangan ini gagal kerana tidak apa pun rakyat Cuba yang bangun sama membantu soldadu Amerika seperti yang di war warkan oleh CIA. Hasilnya 118 soldadu Amerika tewas. JFK di malukan oleh Fidel Castro Presiden Cuba.

Presiden Kennedy amat marah dengan CIA.  Akhbar The New York Times pada 25 April 1966 mengutip kata-kata JFK   : "Shatter the CIA into a thousand pieces and scatter it to the winds - "Saya akan memecah CIA menjadi seribu keping dan menghamburkannya ke angin." 

Fail JFK yang  baru dibuka menunjukkan James Jesus Angelton – Pegawai Tertinggi CIA – telah lama mengenali Lee Harvey Oswald. Malah intipan telah berjalan lama terhadam sosok ini. Selama ini  naratif  yang disebarkan ialah Oswald ini pro-Komunis dan anti-Amerika. Tidak ada sangkut paut dengan CIA.  Justeru berniat untuk membunuh JFK.

Dalam buku The Man Who Killed Kennedy yang muncul pada tahun 2013  penulisnya oleh Roger Stone  telah menuduh Presiden Johnson  terlibat sama.

Melalui kajian  mendalam penulis  Roger Stone yakin  bahawa Lyndon Johnson membunuh Presiden John F. Kennedy. Lyndon Johnson yang  ketika itu Naib Presiden Amerika  telah  memanipulasi keadaan di Dallas pada 22 November 1963. Mengikut buku ini LBJ akan berhadapan dengan tuduhan rasuah. Tuduhan ini akan dibuka oleh Kennedy.

Dalam masa yang sama  Presiden Kennedy juga menghalang Israel dari membuat bom nuklear.  Dari sudut ini di lihat Israel juga memiliki kepentingan untuk menjimatkan  Presiden Kennedy. 

Dimana pula peranan Mafia. Pada hemat aku aku peranan Mafia ini amat menarik. Sila tunggu minggu hadapan. (TT)


TULISAN INI DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI
https://www.malaysiakini.com/columns/740338

Tiada ulasan: