Perubahan iklim punca ramai petani India bunuh diri
BEED: Kesan cuaca melampau akibat perubahan iklim meningkatkan risiko bunuh diri dalam kalangan petani di India susulan tanaman tidak menjadi.
Perubahan iklim menyebabkan hasil tanaman makin merosot akibat kekurangan air, peningkatan suhu, banjir dan hujan tidak menentu, digabungkan bebanan hutang.
Kemusnahan tanaman memaksa petani berhutang bagi terus mengusahakan tanah, sehingga mereka dibebani hutang terlalu tinggi, sekali gus memilih untuk membunuh diri sebagai 'jalan keluar' yang mudah.
Inilah dilema yang memberi kesan besar ke atas sektor pertanian India, yang menggaji 45 peratus daripada 1.4 bilion penduduk.
Berdasarkan kumpulan penyelidikan Centre for Science and Environment yang berpangkalan di New Delhi, kejadian cuaca melampau di seluruh India menjejaskan 3.2 juta hektar kawasan tanaman tahun lalu.
Lebih 60 peratus daripada jumlah itu berlaku di Maharashtra.
Menteri Pertanian India, Shivraj Singh Chouhan, berkata di wilayah Marathwada sahaja 3,090 petani membunuh diri dengan purata hampir tiga orang setiap hari, antara 2022 hingga 2024.
Statistik kerajaan bagaimanapun tidak memperincikan punca petani membunuh diri, namun penganalisis mengaitkannya dengan beberapa faktor.
Profesor pengajian pembangunan di Tata Institute of Social Sciences, R Ramakumar, berkata kegiatan pertanian di banyak ladang kecil di India masih dilakukan secara konvensional dan sangat bergantung kepada cuaca serta masa.
Beliau berkata, kesan perubahan iklim serta keadaan rentan dan ketidakstabilan meningkatkan risiko dalam bidang pertanian.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan kegagalan tanaman dan ketidaktentuan yang seterusnya melemahkan lagi kedudukan ekonomi penanaman bagi petani kecil serta pinggiran.
"Kerajaan boleh membantu petani melalui skim insurans lebih baik bagi menghadapi kesan cuaca melampau serta pelaburan dalam penyelidikan pertanian," katanya.
Petani juga cuba mengatasi kejatuhan hasil tanaman dengan melabur dalam baja atau sistem pengairan ketika berdepan cuaca tidak menentu.
Namun, pihak bank sering keberatan menawarkan kredit kepada peminjam dengan pendapatan tidak menentu seperti petani.
Ini menyebabkan sebahagiannya beralih kepada ceti haram yang menawarkan wang segera dengan kadar faedah melampau, sekali gus berisiko menghadapi malapetaka jika tanaman gagal.
Industri pertanian berada dalam krisis berterusan sejak beberapa dekad lalu dan masalah petani membunuh diri berlaku di seluruh India biarpun Maharashtra mencatatkan antara kadar kes tertinggi.
Berdasarkan statistik Biro Rekod Jenayah Kebangsaan, 30 individu dalam sektor pertanian membunuh diri setiap hari, pada 2022. – AFP


Tiada ulasan:
Catat Ulasan