Rabu, 25 Mac 2020

MERAKAM SEJARAH - KITA BERKHALWAT





MERAKAM SEJARAH 

KITA BERKHALWAT 

Saya menangguhkan semua siri tulisan Merkam Sejarah yang bersangkutan dengan  keadaan politik tanah air sesudah Mahathir meletak jawatan. Pada hemat saya  - pada saat dan ketika ini saya memaksa diri saya untuk  menulis, merakam dan memberi pendapat tentang kaeadaan negara kita yang sedang diserang oleh Virus Karona – COVID-19.

Saya mahu  merakam sejarah yang saya anggap lebih besar dari pertukaran pentabiran  kerajaan. Yang lebih besar dari Perdana Menteri baru. Yang lebih besar dari segala-segala yang besar yang pernah kita ketahui dahulu. 

Saya menerima satu pesanan ringkas  dari Rahmat Harun kawan dan juga penyunting di portal MalaysiaKini. Isinya pendek padat dan amat amat mengejutkan. Pesanan ringkas itu berbunyi:  THE GREAT RESET -  terjemahan dalam bahasa Melayu  berbunyi : semuanya sekali lagi akan diubah.

Pesanan ringkas ini memaksa saya befikitr. Pesanan ringkas ini memaksa saya melihat  diri. Melihat makna kehidupan. Mencari makna perjalanan hidup dalam dunia ini.  Melihat dan menilai modeniti. Melihat dan menilai politik.  Memikirkan apa saterusnya. Saya jangka  perasaan sademikian bukan saya seorang sahaja yang merasakannya. 

Anak semua bangsa dibumi manusia pada bulan March 2020  ini pasti sama saperti saya – bertanya, befikir, bertanya apa sesudah ini.

Ketika saya mengetik tulisan ini Malaysia telah memasuki hari ke enam berkurung. Saya mengunakan perkatan berkhalwat.  Anak semua bangsa – warga semua agama diminta oleh kerajaan untuk duduk berkhalwat dirumah. 

Berkhalwat  dari padangan agama dan budaya Melayu kita seharusnya menjadi tenang. Merehatkan jiwa dari alam maya. Tetapi berkhalwat pada bulan March 2020 ini tidak sama saperti Hang Tuah  berkhalwat sebelum dan sesudah  bertikam  dengan Hang Jebat.

Berkhalwat tahun 2020 - duduk dihadapan computer menjadikan jiwa  gelisah. Amin.

Sayugia saya rakamkan bahawa berkhalwat ini bukan hanya kita di Malaysia malah seluruh dunia sedang  berkhalwat. Virus Karona sedang mengampoh, mengamuk untuk menyerang penduduk dunia. Virus ini tidak mengenal Melayu, China , India atau  Iban. Virus ini tidak mengenal ahli parti  PKR, DAP, UMNO , BERSATU atau PAS. 

Virus ini tidak mengenal tua muda sida pondan jantan atau betina. Tak kenal miskin kaya. Untuk Karona jika kamu duduk di Country Height Kajang atau di PPRT Kampong Kerinchi semua sama. Virus ini tidak mengenal alim beragama atau tak beragama. Tak mengenal Islam atau bukan Islam.  Mangsa pertama di Malaysia seorang Padri manakala mangsa   kedua seorang ahli Tabligh. Amin.

Dalam hikayat klasik Melayu yang  kita  baca kita akan bertemu dengan watak-watak yang menakutkan orang kampong. Kesah burung garuda datang menyerang hinggakan negeri menjadi padang jarak padang terkukur. Kesah naga  masuk kampong mencari anak dara. Cerita kumpulan penyamun  masuk   kampong membunuh sesiapa saja yang cuba menghalang. Cerita seram Nenek Kebayan menjampi anak dara menjadi batu.  Semua kesah-kesah ini  menakutkan. Tapi Virus Karona  lebih menakutkan dari serangan burung Garuda. Lebih menakutkan  dari serangan pelisit dan polong.  Virus Karona lebih menakutkan  dari Raja Bersiong. 

Yang amat-amat saheh menakutkan  ialah  kita  semua diberi tahu bahawa pada ketika ini  tidak ada ubat atau vaksin yang boleh melawan dan menumpaskan jangkitan virus ini.  Amin.

Untuk tulisan pertama ini saya tidak akan menulis tentang asal usul virus Karona. Blog Tukartiub saya menerima banyak surat yang membocorkan pelbagai teori dan pendapat tentang virus ini.  Ramai pembaca blog saya  mengasak dan meminta  saya menulis pencerahan.

Saya sedar dan faham atas segala permintaan ini. Malah saya juga membaca, meneliti dan mengkaji semua fakta yang bersangkutan dengan virus ini. Saya menyelongkar dan mengeledah pebagai laman dan portal yang menulis tentang Karona. 

Saya tahu apa yang saya  tahu. Saya juga ada pandangan. Saya tahu apa itu biological warfare – perang bioloji.  Saya tahu dimana letaknya Wuhan.  Saya tahu apa makna imperialisma. Saya tahu peranan modal.

Tetapi buat masa ini pada hemat saya pencerahan jalur ini tidak akan memberikan apa manafaat kepada kita semua. Saya mengharapkan kita semua – anak semua  bangsa – warga semua negara – bangsa semua agama selamat dari serangan virus ini. Keselamatan umat manusia  untuk terus hidup  pada ketika ini pada hemat saya adalah ajenda numero uno – ajenda utama. 

“ If the epidemic continues its mathematical rate of acceleration, civilisatioan could easily disappear from the face of the earth within  a few weeks… kalau epidemic ini berterusan dengan jumlah hitungan kematian meningkat dalam beberapa minggu umat manusia akan lupus dari muka bumi ini”. Kata-kata dari Victor Vaughan Surgeon General  Tentera Amerika. Surgeon General ialah sosok perubatan yang tertinggi dalam ranking bala tentera Amerika.

Ucapan ini dilaporkan pada bulan Oktober 1918 ketika Spanish Flu sedang  memuncak menewaskan tentera dalam Perang Dunia Pertama.  Spanish Flu ini dilaporkan membunuh  lebih dari 50 juta warga Eropah. Flu ini membunuh kedua-dua pasokan soldadu yang sedang berperang dan  merabak ke  penduduk di Eropah. Ianya hanya dapat dialahkan pada bulan Disember 1920. 

Membaca sejarah Spanish Flu ini menjadikan saya takut.

Takut! Arwah Emak dan  arwah  Abah saya pernah bersurah  tentang takut. Mereka merasa takut ketika Jepun melanggar Tanah Melayu dalam perang dunia ke dua.  Pada   8 Disember 1941 soldadu  Jepun mendarat di Kota Baru. Saya  belum lahir lagi. 

Keluarga saya pada ketika itu duduk Kampong Tengah Tengkek Negeri Sembilan. Ini wilayah yang dibuka oleh Tok Sidek ayah kepada Zaleha Sidek dan datuk  kepada Hishamuddin Rais.

Emak pernah bersurah bagaimana  Abah   mendirikan pondok dalam paya hutan rumbia dalam sawah. Emak dan Abah menyorokkan kakak saya kerana didesas desuskan  soldadu Jepun akan menangkap  budak perempuan. Ini hanya desas  desus sama saperti desas desus  watapps dan facebook hari ini.

Untuk jenerasi   ibu dan ayah kita   mereka telah mengalami  perang dunia.   Saya amat yakin masih ramai lagi otai otai yang pernah membesar ketika Jepun mengganas. Untuk otai yang muda pasti  mereka ada mengalami  perentah berkurung  pada bulan Mei 1969.

Saya sendiri  pernah dua kali mengalami berkurung. Kali pertama pada tahun 1953 ketika saya berumur 4 tahun. Emak kami seorang guru wajib  berpindah dari Sekolah Tapak Jempol Kuala Pilah  ke  Sekolah Umum Kuala Klawang Jelebu.  Pada ketika itu wilayah Jelebu diistihar kawasan hitam.  Ini bermakna di wilayah Jelebu   ramai Tentera  Pembebasan Rakyat Malaya sedang aktif melawan soldadu Inggeris yang menjajah Tanah  Melayu.

Saya masih ingat lagi pekan Kuala Klawang mendapat perentah berkurung dari  Baginda Queen Elizebeth. Kuala Klawang telah  dipagar dengan kawat berduri. Pagar berduri di Kuala Klawang hanya ada 3 pintu. Satu pintu masuk dari Jalan Seremban. Satu pintu keluar masuk ke Titi dan satu lagi pintu masuk keluar ke Peradong. Soldadu Ghurkha – soldadu upahan Baginda Queen – lengkap  bersenjata mengawal  pintu-pintu ini.  Kami diwajibkan  berada dalam rumah dari jam 6 petang hingga jam 6 pagi. 

Soldadu Ghurka diarahkan untuk menembak mati sesiapa sahaja yang didapati keluar dari rumah ketika waktu berkurung. Hingga ke hari ini pada tahun 2020 setiap kali saya melintasi tiga bekas  tapak pintu ini ingatan saya akan datang kembali. Pacaran imej soldadu Ghurkha yang lengkap bersenjata akan segar bermain dikepala. 

Dipintu ada khemah khas. Perampuan dibawa ke bilik khas untuk diraba badan agar tidak menyorokan apa-apa – senjata atu makanan. Saya  yag memerhati  apa yang berlaku akan setia menunggu  bila emak saya dipereksa oleh soldadu.

Berkurung ketika itu selain dari tidak boleh keluar rumah makanan warga daerah Jelebu  dicatu.  Setiap anggota rumah dikira. Berapa kati gula, berapa gantang beras, berapa botol minyak kelapa semuanya ditetapkan  oleh Baginda Queen. Satu  keluarga memiliki  satu permit untuk membeli barang-barang ini. Tanpa permit barang makanan  tidak dapat dibeli. Susu tin – cap teko -   dan apa saja barang dalam tin akan ditebuk dahulu.  Semua ini bertujuan agar gerila Parti Komunis Malaya akan mati kelaparan tanpa penyokong dapat menghantar makanan.

Makanan ke Jelebu akan dihantar melalui ‘convoy’ pada hari Rabu.  Lori lori membawa makanan ini datang dari Seremban akan melintas Bukit Tangga. Wilayah hutan yang dikedalikan oleh gerila anti Baginda Queen.  Di hadapan dan belakang lori  makanan ini ialah kereta perisai soldadu Ghurkha. Convoy ini dikawal ketat oleh soldadu yang lengkap bersenjata.

Rumah kami – kuater guru – betul betul   dua ela dari  laluan pagar berduri. Malah saya kerap  bermain  dengan arwah abang saya ditepi pagar berduri ini. Kami amat takut jika terusik pagar atau guli  kami terlepas ke luar pagar. 

Saya masih ingat lagi tentang takut. Diwaktu malam setiap kali  ada ‘ bunyi  diluar  kebiasaan ‘  mata kami sakeluarga akan berpandangan. Apakah  bunyi itu?  Apakah Ghurkha sedang berjalan memereksa pagar. Atau  gerila anti soldadu Queen sedang beroperasi. Dalam rumah sekeluarga  diam senyap.

Kali kedua saya mengalami berkurung ialah pada bulan Mei 1969.  Ketika itu saya belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Setiap pagi Senin semua murid akan berkumpul dalam Dewan Hargreaves.  Diatas pentas ialah guru besar dan jemaah guru-guru duduk beratur. Guru besar akan berucap.  Dormitori terbaik akan mendapat hadiah. Juga nama-nama murid ‘nakal yang yang akan masuk DC - detention class - akan diumum.  Bila nama disebut diumum maka murid ini akan ‘bangun malu’ untuk dilihat oleh 500 kawan-kawan sekolah. Mereka yang kena DC tidak dibenarkan keluar ke pekan Kuala Kangsar dihujung minggu. Mereka dikurung dalam kawasan sekolah.

Tetiba pada Jumaat  16 Mei 1969  semua murid diarah berhimpun di Dewan Hargreaves. Saya hairan dan tertanya-tanya. Apa terjadi. Senin 12 Mei kami telah berhimpun.  Kenapa minggu ini berhimpun sekalI lagi pada hari Jumaat.

Bila kami masuk ke Dewan Hargreaves maka saya lihat semuanya berlainan. Ini bukan himpunan biasa. Saya masih ingat lagi dibarisan depan ialah OCPD Kuala Kangsar dengan pakaian seragam polis. Tuan Pegawai Daerah, Megat Khas Pengerusi Kolej Melayu dan Dr Underwood ahli Majlis sekolah.

Guru Besar  Aziz Ismail memberi taklimat tentang apa yang berlaku di Kuala Lumpur. Pengerusi  Kolej Melayu Megat Khas  berucap pendek. Kami diberitahu darurat telah diistihar. Parlimen telah digantung.  Kami pelajar  Kolej  Melayu diminta awas berjaga jaga. Makanan akan dicatu. Tapi semua sedang diusahakan. 

Ini berkurung pada tahun 1969. Kami tidak ada radio. Akhbar terputus semenjak 14 Mei.  Kuala Kangsar yang jauh dari Kuala Lumpur menjadikan suasana tidak tegang.  Komunikasi yang terputus tidak menambah keruh keadaan.  Pada  March 2020 semua ingatan ini datang kembali. 

Berkurung kali ini saya bukan di West Wing Dorm19. Saya di Brickfeild. Saya telah berkhalwat semenjak arahan dibuat. Kali ini bukan  arahan Megat Khas Pengerusi Kolej Melayu. Bukan arahan OCPD Kuala Kangsar. Bukan kerana pergaduhan Melayu China. Bukan berkurung  di pekan Kuala Klawang Jelebu kerana  gerila PKM sedang membantai soldadu Baginda Queen. Bukan. Bukan. Bukan.

Kali ini saperti pesanan ringkas dari Rahmat Harun – The Great Reset – sedang berjalan. Virus Karona sedang menyerang. Apa seterusnya. Tunggu minggu hadapan untuk sambungan.( TT)





----------

Tiada ulasan: