Isnin, 4 Ogos 2025

WUJUDKAN DUA NEGARA

 


WUJUDKAN

DUA NEGARA


Setiap kali kita buka portal berita pasti berita tentang Gaza akan muncul.  Hakikatnya hampir dua tahun ini berita tentang Palestin, Gaza dan Israel ini telah  menjadi perbualan harian di seluruh dunia.

Paling akhir ialah suara  Presiden Trump  untuk pertama kalinya mengakui bahawa kebuluran sedang melanda Gaza.  Kebuluran ini bukan kerana sawah kering padi tak jadi. Bukan kerana kemarau berpanjangan seperti yang berlaku  di Ethiopia  pada tahun 1983-1985. Tidak.
 
Bulur  kini telah dijadikan senjata oleh Zionis Israel.  Kebuluran sengaja diatur dan di rancang untuk memastikan warga Palestin di Gaza akan  mati  lapar.

Kita melihat gambar kanak-kanak kurus kering yang sedang didukung oleh  Sang Ibu.  Kita melihat  video kanak-kanak terlentang di katil  menunggu ubat yang tak kunjung sampai.

Kita melihat gambar puluhan kanak-kanak  mengangkat mangkuk menunggu makanan di agih. Kita juga melihat klip video Abang dan Kakak mati ditembak ketika berkumpul beratur  menunggu lori pembawa makanan.

Air mata kemanusiaan kita berliang.

Imej, gambar dan klip video ini mencabar kemanusiaan kita. Imej-imej ini sedang bertanya  apakah kita masih memiliki jiwa dan perasaan. Atau kita telah lali dan hati kita telah beku seperti hati seorang  Zionis.

Berat mata memandang berat lagi  tangan kecil yang menadah mangkuk  ayan menunggu bubur di curah.

Ketika tulisan ini digarap  kita telah membaca  berita awal bagaimana Presiden  Emmanuel Macron dari Perancis akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.  Kemudian kita terbaca juga Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer akan berbuat perkara yang sama. Paling akhir ialah kenyataan Perdana Menteri Canada Mark Carney yang juga akan mengiktiraf negara Palestin.

Pengiktirafan ini akan dilakukan di Persidangan tahunan Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York bulan September depan.

Ini satu perkembangan baru yang boleh dilihat positif.

Berita pengiktirafan  negara Palestin  ini  telah di jawab oleh Netanyahu. Untuk Netanyahu dan  Zionis Israel pengiktirafan ini  disamakan sebagai  memberi hadiah  kepada pengganas Hamas. 

Portal berita PBS pada  28 Julai 2025 telah melaporkan bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata tiada siapa di Gaza kelaparan: "Tiada dasar kebuluran di Gaza, dan tiada kebuluran di Gaza. Kami membolehkan bantuan kemanusiaan sepanjang tempoh perang memasuki Gaza - jika tidak, tidak akan ada warga Gaza."

Tidak ada kebuluran di Gaza ? Inilah contoh  Zionis Yahudi Berhati Hijau.  Bukan saja menafikan tiada kebuluran malah Netanyahu  klim Israel membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza.

Ini ialah tahap mohong yang satu dunia sedang  menjadi saksi.

Kebuluran  yang berlaku di Gaza ini  telah membuka kembali   naratif : Jalan Penyelesaian Dua Negara – Two States Solution. Dua negara ini maknanya : Satu negara bernama Israel dan satu  lagi bernama Palestin. Dua negara merdeka berdaulat wujud sebelah menyebelah.

Untuk memahami konsep Dua Negara ini kita kembali melihat sejarah. Jalan Penyelesaian  Dua Negara ini dimunculkan  pada tahun 1993 melalui Perjanjian Oslo.

Perjanjian Oslo ini  adalah inisiatif dari Presiden  Bill Clinton. Presiden Amerika ini telah menemukan Pengerusi  Gerakan Palestin (PLO) Yasser Arafat  degan Perdana Menteri Yithak Rabin di Oslo Norway.

Perjanjian pertama ini, Deklarasi Prinsip (Oslo I), telah ditandatangani pada tahun 1993 dan mewujudkan rangka kerja untuk rundingan masa depan. Ini termasuk tadbir urus  Palestin sendiri  di bahagian Tebing Barat dan Gaza. 

Perjanjian Kedua, Oslo II, ditandatangani pada 1995. Perjanjian Kedua ini menggariskan struktur tadbir urus sendiri Palestin dan pengunduran Israel secara berperingkat.

Melalui Perjanjian Oslo akan berlaku pengiktirafan bersama: Di Oslo I, Israel mengiktiraf PLO sebagai wakil rakyat Palestin, dan PLO mengiktiraf hak Israel untuk wujud.

Pada 4 November 1995 Perdana Menteri Israel Yithak Rabin yang bersalaman dengan Yasser Arafat di Oslo telah di tembak mati  oleh seorang siswa  ultra nasionalis. Penembak ini  menentang niat pengiktirafan negara Palestin

Hakikatnya hingga ke hari ini Perjanjian Oslo ini  dianggap  gagal dengan terbunuhnya Yithak Rabin.  Dalam masa yang sama askar Israel yang seharusnya berundur dari menduduki wilayah Palestin telah tidak melakukan apa-apa.

Jalan Penyelesaian Dua Negara ini hanya  menjadi bualan. Malah  tanah dan wilayah Palestin makin banyak di jarah dan di duduki olek Penempatan Baru  Yahudi. 

Di Tebing Barat semakin banyak kawasan penempatan baru muncul. Langkah menjarah dan menjajah Tebing Barat ini di klasifikasi oleh PPB sebagai satu jenayah. Tetapi dengan sokong Amerika kaum Zionis  di Israel tidak ambil pot untuk menghormati pandangan dunia atau undang-undang antara bangsa. 

Semenjak 1967 Israel telah membina kira-kira 160 penempatan yang menempatkan kira-kira 700,000 orang Yahudi  di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Pada ketika ini di anggarkan ada 3.3 juta rakyat Palestin tinggal bersama mereka.

Paling akhir pada 29 Mei  2025 – Portal BBC telah melaporkan Menteri Pertahan Israel  Katz berkata : Sebanyak  22 penempatan baru yang telah diluluskan oleh kerajaan di Tebing Barat. Ini pengembangan wilayah terbesar dalam beberapa dekad.

Kenyataan Menteri Pertahanan Israel tentang penempatan baru ini berlaku ketika  Gaza sedang diserang dan kebuluran menjadi senjata.

Penempatan atau merampas  tanah Palestin  secara meluas dilihat sebagai menyalahi undang-undang  antarabangsa. Tetapi  Zionis Israel tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa. 

Di belakang Israel ada Amerika yang sedia membantu  dan menghalalkan apa sahaja tindak tanduk dan langkah yang di lakukan oleh Israel. Dalam masa yang sama  Israel juga  di bantu oleh negara Kesatuan Eropah.

Justeru isu  penempatan dan penjarahan tanah Palestin ini adalah punca  perbalahan antara Israel dan Palestin. Hakikatnya Palestin sedang di jajah oleh Israel.  Menyokong Palestin adalah menyokong negara untuk membebaskan diri mereka dari penjajahan.

Dari  pembacaan politik kasar – mengiktiraf kewujudan dua negara – ini adalah jalan penyelesaian yang tepat dan betul.  Apakah ini dapat direalisasikan.

Untuk ini kita wajib kembali melihat sejarah. Israel hanya wujud pada tahun 1948. Israel wujud sebagai projek kuasa imperial Anglo-Amerika  pasca Perang Dunia Kedua. 

Kuasa imperialis Inggeris  mengendur   satelah Perang Dunia Kedua. Kuasa Inggeris digantikan oleh Amerika yang melihat Israel ini boleh dijadikan  rakan strategik untuk mengawal Timur Tengah. Akhirnya Israel terus menjadi pangkalan tentera untuk kepentingan Amerika.

Pasca OPEC dan krisis minyak 1974  - Israel semakin dilihat amat penting untuk menjadi polis dan mata-mata Amerika di Timur Tengah. Justeru saban tahun Israel mendapat imbuhan 3 bilion dolar dari Amerika. Ini bukan hutang. Ini duit tunai. Ini tidak termasuk  bantuan senjata, logistik dan risikan dari Amerika.

Hari ini Israel bergantung kuat dengan Amerika. Dalam masa yang sama dunia sedang melihat bahawa  badan politik Amerika juga terikat kuat dengan kepentingan Israel.  Malah tanpa Amerika Israel tidak mungkin wujud. Dalam masa yang sama tanpa  kaum Zionis  dan Israel  - Amerika juga tidak akan wujud.

Hubungan usus besar dengan usus kecil inilah yang terus memanjangkan krisis timur tengah. Hubungan ini juga yang terus memanjang pembantaian warga Palestin.

Ketika tulisan ini di garap  belum ada laporan apa-apa kenyataan dari Rumah Putih. Presiden Trump belum memberi apa-apa komen  tentang  niat dan cita-cita Emmanuel   Macron, Keir Starmer dan Mark Carney  yang mahu mengiktiraf negara Palestin.

Persidangan tahunan PBB di New York akan berlaku dalam bulan September. Dalam masa sebulan ini  pasti banyak perkara yang akan berlaku. 

Dunia sedang menunggu apakah  Trump akan bersama  menerima cadangan Dua Negara yang sedang diajukan oleh  Macron ,Starmer dan Carney .

Apakah Trump  sebagai seorang Zionis akan menembak mati cadangan Penyelesaian  Dua Negara ini. Apakah Trump akan bersedia menerima cadangan ini yang pada awalnya  menetas dalam tangan Bill Clinton dari Parti Demokrat.

Sebelum Donald Trump membuat keputusan  tentang Two States Solutionn mari kita lihat apakah Trump yang mengakui  kebuluran wujud di Gaza  akan melakukan sesuatu untuk menamatkan  genosid di Gaza. Amin. (TT)

 

TULISAN INI 
DISIRKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/751056







1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kenapa kau tak duduk sana dan boleh berdemo setiap jam? tanya je!